Monday, August 8, 2011

RUMAH TRADISIONAL MELAKA

Rumah tradisional Melayu yang asli di Melaka dikenali sebagai Rumah Melaka, dan bentuk bumbungnya panjang. Pada bentuk bumbungnya juga terdapat unsur-unsur senibina Bugis, Jambi, Riau dan Minangkabau, dan tangga batunya yang bersalut jubin memperlihatkan pengaruh senibina Cina. Rumah-rumah bentuk limas yang banyak terdapat di Johor pula banyak dipengaruhi oleh unsur-unsur senibina Bugis, Jawa, Banjar dan Belanda.

Berehat seketika di tangga rumah Melayu Melaka


Walaupun berbagai tafsiran diberi untuk pembinaan asasnya atau rumah tradisional Melayu, namun pembinaan asasnya atau strukturnya adalah sama. Samada jenis perabung panjang (Bumbung Panjang), Rumah Bujang, Rumah Tiang Dua Belas, Rumah Minangkabau, Rumah Limas, Rumah Baju Kurung, Rumah Bumbung Perak, Rumah Kutai, Rumah Serambi Melaka dan lain-lain lagi ciri-ciri asas dan elemen utamanya adalah sama, iaitu mempunyai tiang berlapik batu, bumbung yang curam, berloteng, dapur di bahagian belakang, tangga di bahagian hadapan dan bahan binaan yang sama.

Perbezaan yang ketara ialah pada bentuk bumbung, perabung dan jumlah tiang utamanya. Di Melaka terdapat dua jenis rumah tradisional, iaitu jenis Rumah Serambi atau Rumah Melaka atau Rumah Bumbung Melayu dan jenis Rumah Perabung Limas atau Bumbung Limas. Rumah Melaka terdiri daripada tiga jenis, yang terkecil dinamakan Rumah Bujang, iaitu struktur bangunannya terdiri daripada enam batang tiang utama. jenis sederhana dinamakan Rumah Berbandung Dua, terdiri daripada dua belas batang tiang utama, manakala jenis yang terbesar dinamakan Rumah Berbandung Tiga, terdiri daripada enam belas batang tiang utama.

Rupabentuk fizikal Rumah Melaka dapat diperjelaskan samada secara vertikal ataupun horizontal. Secara vertikal bentuk Rumah Melaka dapat dibahagikan kepada tiga perenggan atau penggalan, iaitu penggalan tiang, penggalan badan dan penggalan bumbung, manakala secara horizontal, terdiri daripada unit-unit komponen yang mengandungi unit ruang serambi dan anjung, ibu rumah dan rumah dapur. Antara ibu rumah dan dapur dipisahkan oleh selang atau pelantar. Penggalan tiang bermula daripada pangkal tiang hingga ke paras lantai. Kayu tiang dipilih daripada kayu jenis yang baik agar tidak mudah rosak oleh serangga. Biasanya tiang rumah dibuat daripada kayu kempas, cengal, merbau, damar laut dan lain-lain. Tiang dilapik dengan batu alas. Struktur penting pada penggalan tiang ialah kayu-kayu rasuk dan gelegar. Kayu rasuk dikenali sebagai rasuk panjang dan rasuk pendek. Kayu-kayu yang panjang dihubungkan dari tiang ke tiang melalui lubang-lubang pada tiang. Penggalan tiang juga mengandungi kayu-kayu gelegar disusun berbaris di atas rasuk panjang. Cara susunan adalah melintang atas rasuk pendek. Di atas rasuk pendek dan gelegar itulah disusun papan lantai.

Bendul merupakan perhiasan pada bangunan. Ia merupakan kayu kerangka yang memberi ketahanan pada struktur bangunan. Bendul terdapat pada tepi keliling bangunan rumah. Bendul juga berfungi sebagai pemisah antara komponen atau unit rumah. Ia juga berfungsi sebagai penutup hujung lantai supaya nampak kemas. Penggalan tiang yang penting ialah tangga. Tangga bagi Rumah Melaka merupakan suatu perkara yang diambil perhatian. Tangga-Tangga batunya yang bersalut jubin menunjukkkan kesan-kesan pengaruh senibina Cina.

Penggalan badan pula terdiri daripada ruang bumbung dan tiang. Penggalan badan adalah penting kerana keseluruhan struktur bangunan tertumpu kepada penggalan tersebut. Pada penggalan badan inilah terletaknya konsep rumah kerana di sinilah juga terletaknya ruang-ruang dan komponen-komponen untuk menampung berbagai fungsi. Untuk melindungi ruang daripada terdedah kepada berbagi anasir, penggalan badan diberi berdinding. Di Melaka dinding papan dipasang menegak (teknik papan berlidah) atau melintang, susunan bertindih dipaku pada kayu kambi (jerejak). Rumah Serambi Melaka yang asli tidak diberi berdinding pada muka serambi ataupun pada anjung. Sebagai ganti dinding, dipasang kisi-kisi sebagai ganti pagaran selasar agar anak-anak tidak jatuh. Serambi dan anjung yang tidak berdinding itulah yang membezakan Rumah Melaka dengan rumah tradisional yang lain.


Pintu dan tingkap menjadi sebahagian daripada dinding. Rumah Melaka menggunakan beberapa buah pintu, iaitu pintu hadapan rumah, pintu di pelantar (selang) dan pintu di belakang rumah. Tingkap merupakan sebahagian dinding yang boleh dibuka katup dan berfungsi untuk pengedaran udara dan pencahayaan. Rumah Melaka mempunyai banyak tingkap yang dibuka ke arah luar. Jika tingkap memanjang ke lantai, di bawahnya dipasang kisi-kisi. Telah menjadi tradisi di Melaka kain-kain langsir perlu dipasang pada tingkap. Ukuran tingkap Rumah Melaka biasanya lebih kurang 80 sm x 120 sm manakala ukuran pintunya pula lebih kurang 90 sm x 190 sm.

Rumah Melaka tergolong dalam jenis rumah Melayu bumbung panjang di mana tulang perabungnya lurus mendatar dan letaknya memanjang rumah. Di muka tepi dindingnya dipasang tebar layar. Tutup bumbungnya adalah dari jenis lipat kajang. Kecuraman bumbungnya adalah sederhana iaitu antara 50 darjah hingga 60 darjah dan dinamakan tara. Di bawah tutup bumbung yang berlipat kajang tersembunyi ruang khas yang dinamakan loteng. Struktur bumbung terdiri daripada kayu alang, tunjak langit, kayu kasau, tulang perabung dan juga atap yang diperbuat daripada daun nipah atau rumbia. Kesan pengaruh luar yang datang kemudian terdapat Rumah Melaka yang menggunakan genting atau zink.

Secara horizontal pula dapat diperjelaskan tentang komponen Rumah Melaka. Komponen bangunan Rumah Melaka bergantung kepada jenis atau saiz rumah, samada kecil, sederhana ataupun jenis yang besar. Bagi jenis kecil, ruang serambi terdapat di tengah rumah dan ruang makan terletak dalam sebuah unit bangunan. Rumah jenis ini dinamakan Rumah Bujang. Rumah Bujang tidak mempunyai ruang anjung, ruang selang tangah atau pelantar.

Bagi jenis yang sederhana dinamakan Berbandung Dua (Dua Sebandung) terdiri daripada dua unit bangunan, iaitu ibu rumah dan dapur, yang dipisahkan oleh selang atau pelantar dan mempunyai serambi serta beranjung. Biasanya pelantar Rumah Melaka yang asli tidak beratap, tetapi berlantai dan berdinding. Ianya terdiri daripada dua belas batang tiang utama. Jenis Rumah Melaka yang terbesar dinamakan Berbandung Tiga (Tiga Sebandung) yang terdiri daripada komponen rumah ibu, rumah tengah dan rumah dapur. Unit-unit rumah dipisahkan oleh ruang selang atau pelantar. Jumlah tiang utama ialah enam belas batang, berserambi serta beranjung.

Lihat juga : Rumah Tradisional Melaka @ Kampung Alai

Lihat juga : Rumah Tradisional Melaka @ Kampung Pengkalan Batu