Wednesday, November 20, 2024

Pengalaman Unik Lawatan Ship Tour Genting Dream Cruise di Melaka

Pada 18 November 2024, aku berpeluang menyertai satu lawatan istimewa ke atas kapal mewah Genting Dream Cruise yang berlabuh di Melaka. Untuk pengetahuan korang, kapal ini mula berlabuh di Melaka kira-kira dua minggu yang lalu dan kini setiap hari Isnin ia akan berlabuh di sini sebagai sebahagian daripada pelayaran dari Singapura ke Melaka. Menariknya, ramai pelancong asing yang mengambil pakej pelayaran ini, menjadikan Melaka sebagai salah satu destinasi percutian mereka.

Bayangkan sebuah kapal setinggi 19 Tingkat. Ya, memang betul, aku sempat tengok nombor-nombor di lif yang ada sampai ke tingkat 19. Kapal ini memang gah dan megah. Sepanjang berada di atas kapal ini, aku terpegun dengan pelbagai kemudahan yang disediakan. Memang rasa macam berada di sebuah bandar kecil yang terapung. 

Kami para jemputan diberi peluang untuk merasai pengalaman di dalam kapal, termasuk menikmati hidangan makanan halal. Makanan dia memang sedap dan variasi. Selain itu, kapal ini dilengkapi dengan pelbagai hiburan seperti pentas persembahan, restoran-restoran mewah, kolam mandi, pusat membeli-belah dan macam-macam lagi. Tapi, ada satu bahagian yang agak eksklusif iaitu kasino. Kasino ini tidak dibenarkan beroperasi ketika kapal berada di perairan Melaka. Kasino hanya aktif bila kapal berada di perairan antarabangsa.  

Melaka kini semakin popular sebagai destinasi persinggahan kapal-kapal mewah seperti Genting Dream Cruise ini. Aku rasa ini satu peluang yang sangat baik untuk mempromosikan negeri Melaka kepada pelancong luar. Seronok betul dapat tengok sendiri kemewahan dalam kapal ini sambil menikmati suasana unik di atas laut.  

Bagi yang belum pernah merasai pengalaman sebegini, aku memang sarankan korang cuba kalau ada peluang. Genting Dream Cruise ini bukan sekadar kapal biasa, tapi sebuah pengalaman yang luar biasa. Siapa sangka Melaka kini menjadi salah satu destinasi kapal mewah yang terkenal?

Bot perantara yang mengambil dan menghantar pelancong dari kapal ke terminal jeti ICQS Melaka

Ketika kapal perantara menghampiri Genting Dream Cruise

Ada tempat shopping juga dalam kapal ni

Kolam renang pun ada

Kuih muih 

Beraneka sayur-sayuran

Sampai senak perut makan

Macam-macam ada 

Masa untuk mencekik

Jadi le dapat merasa. Nak ikut berlayar betul-betul tak tahu bila boleh dapat 

Ambil gambar mana yang sempat je. Banyak berjalan ship tour dan mendengar informasi yang disampaikan oleh kru kapal. 

Monday, November 18, 2024

Kopi dan Kek


Melangkah masuk ke Stadthuys Cafe, yang terletak di dalam bangunan Muzium Sejarah Melaka iaitu di bangunan Stadthuys membawa aku ke suasana yang penuh nostalgia. Ruangannya yang klasik dengan sentuhan kolonial membuatkan aku terasa seperti berada di zaman lampau, namun tetap selesa dan mesra. Bau harum kopi menyapa deria sebaik sahaja aku melangkah masuk. Suasana kafe ini memang tenang, sesuai untuk bersantai sambil menikmati hidangan ringan.

Kafe ni sebenarnya berada dekat saja dengan pejabat aku. Kalau aku toleh ke tingkap, kelihatan kafe ini di aras bawah pejabat aku.

Aku memesan secawan hazelnut coffee dan sepotong kek. Kopinya enak dengan aroma yang memikat, cukup untuk membuatkan aku menikmati keenakan di setiap hirupan. Manakala keknya, dengan gabungan rasa manis coklat yang lembut, benar-benar melengkapi situasi santai ini. Memang terasa seperti satu kombinasi sempurna untuk melupakan sejenak kesibukan bekerja.

Sambil menikmati kopi dan kek, dapat melihat para pelancong dari dalam dan luar negara turut melepak di kafe ini. Orang ramai boleh berkunjung ke kafe ini, bukan sekadar menikmati makanan dan minuman, tetapi juga menyerap suasana bersejarah Melaka. Bagi aku, ini adalah salah satu cara terbaik untuk menghargai keindahan dan warisan kita.

Tapi gambar ini bukan gambar hari ini. Ia berlaku pada beberapa minggu yang lalu. Cuma hari ni baru berkesempatan untuk membuat post di blog. 

Kalau sesiapa yang berkunjung ke Melaka, singgahlah ke kafe ini dan jangan lupa juga untuk melawat ke Muzium Sejarah Melaka. 

Sunday, November 10, 2024

Kelapa Pandan Belakang Rumah Berbuah Lagi

Alhamdulillah, sebatang pokok kelapa pandan yang aku tanam di belakang rumah kira-kira empat tahun lepas dah mula menunjukkan hasil. Masa mula-mula tanam tu, tak terfikir pun ia akan cepat berbuah, tapi sekarang dah masuk tandan keempat. Setiap kali berbuah, aku rasa macam satu kepuasan sebab apa yang kita usahakan sendiri, akhirnya menjadi.


Kelapa pandan ni memang istimewa, lain dari kelapa biasa. Airnya bukan saja banyak, tapi rasa dia manis dan wangi, cukup menyegarkan tekak. Ditambah lagi dengan isi yang lembut dan sedikit lemak, memang puas hati bila dapat buat air kelapa sendiri, tambah pula bila musim panas terik. Bila rasa kelapa ni, macam ada satu rasa homemade yang tak sama dengan kelapa beli.

Sekarang, aku nampak dah ada dua tandan lagi yang sedang berbuah dan makin membesar. Seronok betul tengok buah-buah kelapa ni bertambah satu persatu. Rasa seronok setiap kali tengok pokok ni berbuah. InsyaAllah, kalau terus membesar elok macam ni, mungkin tak lama lagi dah boleh petik lagi.

Bila ada pokok sendiri ni, terasa lagi nikmat rezeki dari alam. Dapatlah aku berkongsi dengan keluarga dan jiran-jiran buah kelapa pandan segar dari belakang rumah sendiri. Mudah-mudahan, pokok ni terus subur dan memberi rezeki buat kami sekeluarga.