Monday, January 29, 2024

Menukil Pantun Untuk Muzium

Gambar sekadar hiasan

Alkisahnya pagi tadi terima pesanan whatsapp dari bos. Beliau meminta aku untuk mencipta pantun untuk muzium. Pantun-pantun yang diminta dibuat ini adalah untuk dipaparkan di pintu masuk muzium-muzium. Pantun-pantun yang perlu dibuat adalah bertemakan muzium tersebut dan mengalu-alukan kehadiran pelawat.

Jadi, disebabkan tiada kerja-kerja yang terlalu segera yang perlu dilaksanakan, aku meluangkan sedikit masa untuk menukil beberapa pantun seperti yang terdapat di bawah ini :

Pantun untuk Muzium Samudera (replika Kapal Flor De La Mar)

Mari dimakan sirih puan,
sirih dipetik si anak mami;
selamat datang tuan puan,
menjadi tetamu muzium kami.

Burung camar di pohon mangga,
datang helang menjadi teman;
Flor De La Mar bukan dibangga,
sekadar menginsafi dijadi pedoman.

Pantun untuk Muzium Istana Kesultanan Melaka

Menguntum manis senyuman si dara,
datang teruna ingin bersua;
jemput masuk saudari saudara,
salam hormat untuk semua.

Nun di sana dusun buah-buahan,
pohon nangka dinaiki dedalu;
Muzium Istana simbol kemegahan,
Empayar Melaka di masa lalu.

Pantun untuk Muzium Sejarah Melaka

Anak muda turun ke bendang,
menuai padi bersama petani;
hadir kalian dijemput diundang,
penyeri muzium kami ini.

Mari ziarah teratak bonda,
tinggalkan duka biar berlalu;
bangunan Stadthuys tinggalan Belanda,
rekonstruksi Melaka masa dahulu.

Saturday, January 27, 2024

Antologi Puisi Merenung Bulan

Alhamdulillah... Ini adalah kali ketiga dapat berkolaborasi dengan penulis-penulis berpengalaman dalam penerbitan sebuah buku Antologi Puisi berjudul Merenung Bulan. Sebelum ini, pernah juga berkolaborasi bagi penerbitan buku Antologi Pantun Gunung Daik Bercabang Tiga dan Antologi Puisi Tiupan Nafiri.

Inilah rupanya muka hadapan buku

Di dalam buku ini terkandung puisi bergenre sajak yang mengumpulkan seramai 60 orang penukil dari Malaysia dan Indonesia. Aku harus berterima kasih kepada penerbit yang turut memberi peluang untuk aku menyumbangkan puisi ciptaanku.

Di dalam buku ini dimuatkan dua buah puisi bagi setiap penukil dengan jumlah keseluruhan terdapat 120 puisi. Di dalam antologi puisi ini semuanya berkisarkan tentang BULAN. Puisi yang aku tulis bertajuk Bulan oh Bulan! dan Kalam Illahi Tentang Bulan.

Salah satu daripada puisi aku yang termuat di dalam buku ini 


Semoga dengan terhasilnya buku ini dapat menambah khazanah negara khususnya dalam bidang penulisan puisi agar bidang yang 'sepi' ini tidak hilang ditelan zaman.

Rasanya nak buat pemberian percuma (giveaway) buku ni, ada sesiapa yang berminat untuk sertai? 

Wednesday, January 24, 2024

Ulasan Filem Pendekar Awang Darah Indera Gajah

Terlebih dahulu, aku bukanlah seorang peminat menonton wayang, apatah lagi untuk mengulas sesuatu filem. Dan post ini bukanlah untuk mengulas filem Pendekar Awang Darah Indera Gajah. 

Aku cuma nak berkongsi tentang tayangan amal yang telah kelab sukan dan kebajikan jabatan adakan. Tayangan amal ini diadakan 17 Januari yang lalu. Tema pakaian semasa menonton filem ini ialah busana Melayu atau Baju Kebangsaan. 

Aku ada 3 tanjak, tapi puas cari tak jumpa. Barangkali sudah terbuang masa rumah terbakar dulu


Ia berlaku dengan pantas. Perancangan hanya seminggu lebih sahaja. Sekali mesyuarat kemudian laksanakan gerak kerja dengan pantas. Alhamdulillah, sumbangan hasil jualan tiket amat memuaskan.

Berkenan cerita yang ditayangkan, tidak dapat aku ulas begitu jelas kerana aku sendiri masuk ke panggung wayang sudah terlewat kira-kira 20 minit. Kelewatan adalah disebabkan aku bertugas di luar panggung bagi memastikan kesemua pembeli tiket amal sudah hadir. Justeru, kisah permulaan cerita ini aku tidak tahu. 

Masuk-masuk panggung, aku hanya dapat menyaksikan aksi-aksi peperangan/ pergaduhan antara pihak British dan kumpulan Pendekar Awang. Aksi-aksi yang disajikan amat menarik, rugi rasanya masuk lambat kerana tak tahu cerita pangkalnya, tahu-tahu dapat tengok babak di pertengahan dan penghabisan saja. 

Apa-apapun, filem ini bagi aku amat menarik. Dapat meningkatkan semangat patriotik di kalangan warga negara khususnya bangsa Melayu. Siapa yang belum menonton lagi filem ini, aku sarankan agar kalian menontonnya.