Monday, February 28, 2022

Pengertian Israk dan Mikraj


Secara peribadi, apabila mendengar kisah-kisah Rasulullah SAW yang mengalami peristiwa Israk dan Mikraj, aku berasa sedikit sebak. Sedih namun bangga apabila nabi Muhammad SAW, merupakan seorang manusia biasa yang dipilih oleh Allah SWT, diberikan keistimewaan dan mukjizat serta dapat bertemu dengan Allah SWT. 

Jika hendak difikir dari akal, fikiran dan logik, sudah pastinya tak terjangkau dek akal manusia bahawa nabi Muhammad SAW dapat bertemu dengan Allah SWT di Sidratul Muntaha di langit ke-7. Namun, peristiwa tersebut benar-benar berlaku. Dari sinilah juga solat fardhu 5 waktu sehari semalam mula diperintahkan oleh Allah SWT. Peristiwa ini turut dirakamkan dalam Al-Quran iaitu :

"Maha Suci Allah yang telah menjalankan hambanya (Muhammad) pada malam hari dari Masjidil Haram (di Mekah) ke Masjid Al-Aqsa (di Palestin), yang Kami berkati sekelilingnya, untuk memperlihatkan kepadanya tanda-tanda (kekuasaan dan kebesaran) Kami. Sesungguhnya Allah jualah yang Maha Mendengar, lagi Maha Mengetahui."

(Surah Al-Isra' : 1)



Mengikut pengertian Israk dan Mikraj bolehlah difahami seperti berikut :

ISRAJ 
Perjalanan nabi Muhammad SAW dari Masjid Al-Haram, Mekah ke Masjid Al-Aqsa, Baitulmaqdis.

MIKRAJ
Perjalanan nabi Muhammad SAW dari Masjid Al-Aqsa, Baitulmaqdis bertemu Allah SWT di Sidratul Muntaha.

Inilah serba sedikit yang dapat dikongsikan tentang peristiwa Israk dan Mikraj. Sebenarnya terlalu banyak kisah-kisah disebaliknya dan juga pengajaran-pengajaran yang terkandung di dalam peristiwa ini. Kita sebagai umat Islam wajiblah meyakini akan kejadian peristiwa ini. Ia merupakan satu perjalanan terulung bagi insan teragung iaitu nabi Muhammad SAW.

Sunday, February 27, 2022

Hadiah 20 Top Commentator Tahun 2021 Blog Mamapipie

 


Sebenarnya telah lama juga hadiah ini sampai, namun aku terlupa untuk muat naik ke dalam blog ini. Almaklumlah, baru sekarang rajin semula nak menulis blog. Terima kasih Mamapipie. Hadiahnya telah selamat sampai.

Aku dah terlupa hadiah ini sempena apa. Jadi aku belek-belek semula blog Mamapipie dan akhirnya aku dapati hadiah ini merupakan hadiah bagi 20 orang pengomen tegar blog Mamapipie bagi tahun 2021. Tak sangka pula masuk ranking juga.

Hadiah yang diterima ialah buku nota, pelapik tetikus, beg kecil dan kalender 2022. Sekali lagi, terima kasih diucapkan kepada Mamapipie atas hadiah ini. Ianya dihargai. 

Tangga Rumah Melaka


Melaka merupakan antara negeri yang penuh dengan sejarah. Sejarah kesultanannya yang agung diikuti dengan zaman penjajahan Portugis, Belanda dan Inggeris. Tiada negeri di dalam Malaysia yang sejarah penjajahannya begitu lama sekali.

Dari penjajahan demi penjajahan ini telah membentuk identiti negeri Melaka yang begitu unik dengan etniknya, budaya dan warisan yang dianggap universal di negeri ini. Apabila ke negeri Melaka, sudah tentu pelbagai seni bina bangunan dari seni bina tempatan sehinggalah ke seni bina penjajah, banyak terdapat di negeri ini.

Lihat sahaja pada tangga rumah Melaka. Dahulunya secara tradisi, tangga rumah Melaka diperbuat daripada kayu sahaja. Sama ada tangga yang terdapat di anjung atau di bahagian tengah rumah, memang menggunakan kayu. Namun, selepas era penjajahan, seni bina tangga telah berubah. Rumah-rumah tradisional Melayu Melaka telah menggunakan bahan binaan daripada batu.

Tidak hanya pada seni bina rumah tradisi, masjid-masjid juga menggunakan seni bina tangga yang diperbuat daripada batu. Apa yang lebih menariknya, tangga-tangga ini dihiasi dengan jubin-jubin yang bercirikan China dan Eropah. 

Di Melaka, terdapat lebih kurang 56 buah rumah tradisional Melayu Melaka yang telah dibaikpulih oleh kerajaan negeri melalui Perbadanan Muzium Melaka (PERZIM). Kebanyakkan rumah-rumah ini mempunyai tangga yang unik, dengan jubin-jubin yang pelbagai dan berbeza-beza. Ada yang bercorak flora, fauna dan ada juga sekadar jubin berwarna-warni tanpa corak.

Terdapat beberapa falsafah yang terdapat pada tangga rumah Melayu Melaka. Rupa bentuk tangga yang melebar ke depan membawa maksud tuan rumah mengalu-alukan kedatangan para tetamu yang ingin bertandang ke rumah. Bilangan anak tangga pula kebiasaannya adalah bernombor ganjil, di mana pada dasarnya apabila seseorang memasuki sesebuah rumah akan memulakan kaki kanan dan akan sampai ke muka pintu juga dengan kaki kanan. 

Begitulah sedikit sebanyak perkongsian tentang tangga rumah Melaka. Semoga bermanfaat.