Saturday, May 8, 2021

KEDUDUKAN KOTA A FAMOSA YANG SEBENAR

Saya cuba ringkas dan padatkan agar masyarakat tidak lagi keliru tentang lokasi dan apakah kota A' Famosa yang SEBENAR.

Lakaran Kota Melaka oleh Gaspar Correia. Turut kelihatan Kota A' Famosa


Bangunan yang dikenali A' Famosa yang dibina Portugis merupakan kubu bermenara 5 tingkat dibina sebaik sahaja Portugis menawan Melaka. Seramai kira-kira 1500 hamba Melaka dipaksa membina kubu ini. Bangunan A' Famosa TELAH TIADA kerana dimusnahkan oleh Belanda. Lokasinya kini dipercayai berdekatan di BULATAN KANCIL (roundabout) hadapan bangunan merah (Stadthuys). Di sinilah dikatakan terdirinya Masjid Agong Melaka.

A Famosa yang sebenar telah musnah

Di hadapan bulatan tersebut di bangunkan surau dan dinamakan Surau Warisan Dunia sebagai simbolik telah wujud masjid Agong Melaka di kawasan tersebut.

Gambaran artis menunjukkan terdapatnya masjid diyakini adalah Masjid Agong Melaka pada zaman Kesultanan Melayu Melaka menurut catatan sejarah

A' Famosa yang kita kenali sekarang yang terdapat di Bandar Hilir tempat pelawat melancong itu nama sebenarnya PINTU GERBANG SANTIAGO @ Porta De Santiago merupakan salah sebuah pintu masuk ke Kota Melaka (Fortaleza de Malaca).

Ini pintu gerbang Santiago @ Porta De Santiago

Maka benarlah apa yang disampaikan oleh Fedtri Yahya, pengacara merangkap penerbit Jejak Rasul 2021 : Ulama Pewaris Rasul yang memberi gambaran kewujudan Masjid Agong Melaka di Kota A' Famosa.

Nak salahkan netizen tidak boleh juga, kerana kota itu sejak sekian lama dikenali sebagai A' Famosa. Juga kesilapan bermula dari zaman penjajahan British lagi apabila mereka menamakan pintu gerbang ini sebagai A' Famosa. Diharap masyarakat mendapat pencerahan. πŸ™πŸΌπŸ™πŸΌπŸ™πŸΌ

Ps : Nanti tengoklah Jejak Rasul 2021 pada 9 Mei ini (Ahad). Manalah tahu muka saya ada dalam rakaman tersebut. πŸ˜ƒπŸ˜ƒπŸ˜ƒ

Lihat juga : Ini Bukan A' Famosa

Friday, May 7, 2021

WIRA PAPAN KEKUNCI

Apa yang kau tahu

apa pula kami tak tahu

atau kami tak tahu apa yang kau tahu

dan kau pun tak tahu apa yang kami tahu

jari jemari kau menekan satu-persatu huruf yang

banyaknya tanda-tanda soal dari koma dan noktah

andai kau lebih mengerti lagi arif

jelaskan pada kami yang fakir

bukannya meninggalkan tanda tanya yang tidak

berpenghujung.


Fairus bin Haji Mamat

24 November 2020

Thursday, May 6, 2021

PANTUN CINCAU

Kecoh sehari dua ini pasal cincau sehingga dibuat pantun oleh netizen. Saya pun sebenarnya kurang periksa bagaimana fenomena cincau ini bermula dan atas sebab apa. 


Bagi saya, selagi tidak terdetik hati saya untuk mengetahui sesuatu dengan lebih mendalam, elok dibuat bagai angin lalu. Namun, suka untuk saya mencipta pantun-pantun bertemakan cincau.


Pergi Melaka membeli cincau,

mari diminum waktu berbuka;

anak orang jangan dikacau,

kelak nanti lebam di muka.


Anak dara senyum ketawa,

duduk di serambi menikmati cincau;

anak perantau terus kecewa,

tak balik raya jiwa meracau.


Burung kedidi berkicau-kicau,

sambil menikmati seulas nangka;

apalah nasib dirimu cincau,

terhempas ke lantai sebelum berbuka.


Ok.  Setakat ini sahaja idea untuk membuat pantun bertemakan cincau. Puas pula nak memikir, ilham tak datang-datang. 

Ada kalanya bagus juga ada benda-benda viral sebegini kerana mengalakkan netizen berimaginasi dan kreatif dalam mencipta pantun-pantun. Tidak kiralah sama ada pantun yang dicipta itu baik atau sebaliknya, sekurang-kurangnya netizen telah mencuba dan buat yang terbaik.

Pantun juga merupakan salah satu warisan kita yang telah diiktiraf di peringkat antarabangsa. Baru-baru ini iaitu pada 17 Disember 2020, pantun telah diiktiraf oleh UNESCO sebagai Warisan Dunia bagi kategori Warisan Budaya Tidak Ketara Kemanusiaan. Pengiktirafan ini adalah secara bersama iaitu Malaysia dan Indonesia.

Ada siapa pandai berpantun? Sila sertakan pantun kalian di ruangan komen. πŸ˜ƒπŸ‘πŸΌ 

Lihat juga koleksi pantun saya di entri buku Antologi Pantun Gunung Daik Bercabang Tiga.