Monday, December 21, 2015

2 HARI DI JAKARTA

Assalamualaikum dan salam sejahtera.

Dengan nama ALLAH yang MAHA PEMURAH lagi MAHA MENGASIHANI. Selawat dan salam buat nabi junjungan NABI MUHAMMAD S.A.W.

Indonesia antara negara yang biasa juga aku pergi. Antara tempat yang pernah aku sampai adalah di Batam dan Pekan Baru. Pergi pun kerana urusan kerja, bukan berjalan semata-mata. Kali ini, aku sekali lagi berpeluang untuk ke seberang. Kali ini ialah Jakarta, Indonesia. Tapi taklah lama, hanya 2 hari saja iaitu pada 18 dan 19 Disember 2015 yang lalu.


Pergi ke Jakarta kali ini, aku menaiki kapal terbang MAS. Urusan tempahan tiket kapal terbang, penginapan dan pengangkutan di sana semua telah diuruskan oleh jabatan. Aku hanya bawa badan saja. 

Banyak juga aku bertanya-tanya semasa di lapangan terbang KLIA hari tu, maklumlah, aku ni bukanlah selalu naik kapal terbang. Jadi aku bertanya untuk mengetahui prosedur-prosedurnya.  Bak kata orang, malu bertanya sesat berjalan. Jadi aku simpan perasaan malu untuk bertanya. Sampai ke satu kaunter, aku bertanya, sampai lagi ke satu kaunter, bertanya lagi. 


Di hotel inilah tempat aku menginap, The Media Hotel & Tower. Huh, hotel 5 bintang tu. Bagus betul jabatan aku, beri menginap di situ. Bilik besar, duduk seorang. Best giler le..



Tujuan aku ke sana sebenarnya untuk pergi ke Galeri Melaka @ Jakarta yang terletak di Jalan Malaka, Jakarta. Galeri tu milik Kerajaan negeri Melaka yang dipantau oleh PERZIM dan MBMB. 



Selain itu, kami juga membuat satu acara ringkas iaitu memberikan hadiah-hadiah kepada pengunjung bertuah pada hari itu (19 Disember 2015).

Di Jakarta kesesakan lalu lintas memang ketara. Dari pagi hingga ke malam, memang sesak. Diorang sebut jammed tu 'macet'. Jangan katakan kereta, motorsikal pun sukar untuk bergerak. Dalam suasana kesesakan tu, macam-macam ragam pemandu dan penunggang motorsikal aku dapat lihat. 


Terfikir dalam benak fikiran aku, bagaimanalah mereka boleh terus bertahan dengan situasi kesesakkan begitu sehari-hari.

Tiada apa yang sangat menarik pun hendak diceritakan lagi. Lawatan aku ke sana pun hanyalah 2 hari. Itupun, masa hari pertama sampai, hari pun sudah tengah hari. Jadi tak banyak tempat yang dapat dilawati. Dapatlah pergi ke Thamrin City sedikit ole-oleh untuk anak-anak. Macam pusat membeli belah biasa saja yang terdapat di Malaysia, kelainannya ialah barang yang dijual. 


2 hari di Jakarta belum memastikan aku memahami sepenuhnya suasana di sana. Tidak banyak yang boleh dikongsi, namun ianya tetap boleh dikatakan menarik antaranya ialah makanan. Dari Nasi Padang, Bakso, Mee Jawa dan Nasi Bakar. Tapi semua ini boleh kita dapati di Malaysia, kecuali aku baru terjumpa Nasi Bakar. Pasal itu aku mencubanya. Rasanya boleh tahan. Sedap.


Erm.. Tiada apa lagi nak dikongsikan. Cukuplah sekadar ini. Sekian, terima kasih. :)

Monday, November 16, 2015

JANGAN KERJA SEKADAR KERJA!

Assalamualaikum dan slaam sejahtera.

Dengan nama ALLAH yang MAHA PEMURAH lagi MAHA MENGASIHANI. Selawat dan salam buat nabi junjungan NABI MUHAMMAD S.A.W.



Jangan kita mengutuk, memaki mahu pun bergosip yang buruk-buruk tentang majikan atau organisasi tempat kita bekerja. Di situ adalah tempat kita mencari rezeki. Rezeki yang Allah SWT berikan kepada kita.

Dari rezeki itu, kita memperolehi gaji yang banyak membantu kita bermula gaji yang pertama hingga kini. Gaji itulah kita belanjakan untuk membina keluarga, menyara hidup isteri dan anak-anak, membeli rumah, membeli kenderaan dan berbagai-bagai lagi.

Fikirkanlah... Majikan atau organisasi cuma memberikan peluang kepada kita untuk mendapatkan pekerjaan. Kita sendiri sebenarnya yang memohon pekerjaan itu. Mereka tidak minta pun kita bekerja dengan mereka. Kita yang minta!

Jadi, mengapa harus kita tidak suka dengan majikan atau organisasi tempat kita bekerja? Sekiranya memang tidak mampu bekerja lagi di sesuatu majikan atau organisasi, kita boleh angkat kaki dan carilah pekerjaan lain yang boleh memberikan kegembiraan dan kebahagiaan kepada diri kita.

Dan jangan kita jadikan kerja hanya sekadar kerja. Kerjalah dengan penuh kerelaan dan keikhlasan hati. Sekiranya kerja adalah sekadar kerja, beruk pun boleh bekerja dengan menurut arahan tuannya dengan memanjat pokok kelapa. 

Apa kita telah lupa dengan kata-kata indah yang pernah dijawab semasa temuduga dahulu? Semuanya pasti 'ya' dan 'boleh'. tetapi kini, mengapa kita berubah? Disuruh itu, tidak boleh, disuruh ini, banyak alasannya...!

Rasullullah pernah bersabda, "bekerjalah seperti kamu akan hidup 1000 tahun lagi, beribadahlah seperti kamu akan mati esok hari."

Jadi, marilah sama-sama kita fikirkan sama ada pekerjaan kita ini adalah tempat kita beribadah ataupun sebagai tempat kita membuat dosa?

Pesanan untuk diri sendiri dan sahabat-sahabat.

Wednesday, October 21, 2015

JANGAN MENGUMPAT!!!

Assalamualaikum dan salam sejahtera.

Dengan nama ALLAH yang MAHA PEMURAH lagi MAHA MENGASIHANI. Selawat dan salam buat nabi junjungan NABI MUHAMMAD S.A.W.


Secara peribadi, aku tak suka mengumpat dan tak suka dengar orang mengumpat. Kalau terdengar sekalipun, aku anggap ia sebagai angin lalu. Apatah lagi jika yang diumpat itu adalah fitnah. 

Sama-samalah kita ingat mengingati antara satu sama lain.