Saturday, December 31, 2011

BUKAN SENANG BERKUASA





Assalamualaikum dan Salam Sejahtera.

Memang bukan senang apabila berkuasa dan ada juga yang senang bila berkuasa. Tetapi dalam konteks ini saya ingin menyatakan orang yang berkuasa sebenarnya bukanlah senang. Senang di sini bukanlah bererti senang dari segi harta benda, tetapi bukan senang untuk melaksanakan tugasan yang dipertanggungjawabkan.

Gaji Ketua Setiausaha Negara dengar-dengar menjangkau RM 60,000 sebulan. Mak datuk, tingginya. Dari segi mata biasa mungkin ia dilihat melampau, tetapi hakikatnya ia adalah memadai dengan tugas yang telah dipertanggungjawabkan dengan beliau. Kita sebagai orang biasa ini apabila diberikan tugas di tempat, ada kalanya kena siapkan cepat sehingga ke hari malam. Ini kita orang biasa, tapi mereka-mereka yang yang berjawatan tinggi ini lagilah teruk kerjanya. Jangan kata malam, mereka kerja hingga larut malam untuk menyempurnakan sesuatu tugas negara. Apa-apa hal yang kena marah, maki, hina adalah dia. Kerana dia adalah ketua.

Kalau kita tamat kerja pukul 5.00 petang sudah balik, berehat dengan anak isteri di rumah. Mereka? Balik rumahpun jarang dapat bermesra dengan isteri anak. Di rumah masih lagi memecahkan kepala memikirkan itu ini. Bercutipun mungkin setahun sekali. Pendek kata kehidupan sosial mereka kurang. Asyik dengan kerja, kerja dan kerja.

Lain pula ceritanya baru-baru ini berkisar dengan pegawai Kastam yang mati ditembak. Difahamkan beliau adalah pegawai yang aktif dalam melaksanakan tugas dan sering melakukan operasi. Dengan kuasa yang ada, memang patutlah apa yang telah beliau lakukan, membendung negara dari anasir penyeludupan dan segala ketidakakuran perundangan berkaitan kastam. Secara peribadi, saya katakan beliau adalah wira. Terkorban kerana melindungi negara. Terkoban kerana pangkatnya sebagai pegawai kastam. Sedarlah wahai pegawai-pegawai kastam yang lain, rakan anda itu sanggup mempetaruhkan nyawa dalam bertugas, janganlah pula anda sekalian sanggup memperkotak-katikan kerjaya anda dengan menerima rasuah. Sesungguhnya sekiranya anda menerima rasuah, anda bukanlah wira sebaliknya musuh negara. Musuh dalam selimut.

Dan apa yang hendak diceritakan ialah tentang diri saya sendiri. Baru-baru ini saya diberikan sedikit kuasa oleh Bos saya untuk menyokong sesuatu perkara bagi memberikan sesuatu itu pada pemohon (Ini bukanlah sesuatu yang amat besar). Sebelum membuat penyokongan, saya kenalah buat pemantauan untuk memastikan pemohon itu membuat apa yang ditetapkan. Dalam beberapa minggu, pemohon-pemohon tersebut telah mendapat sesuatu yang diinginkan atas surat sokongan saya buat dan ditandatangi oleh bos.

Namun dalam beberapa hari datang 3 ke 4 orang pemohon yang tidak dapat dan tercicir telah mendatangi saya dengan merayu itu ini. Bukan hanya hadir ke pejabat saya saja, yang telefonnya lain. Mana dapat nombor telefon bimbit saya pun tidak tahu. Sekali lagi mendengar "tolong encik.. tolonglah encik..."

Dalam pemikiran, saya lantas berfikir, oh.. inilah akan terjadi jika kita memiliki kuasa untuk menyokong atau meluluskan sesuatu. Kalau yang jenis makan rasuah, pasti akan mengkehendakkan sesuatu sebaik saja permohonan mereka disokong atau diluluskan. Ya Allah, Mohon dijauhkan.

Akhir kata, kepada sesiapa yang berkuasa, janganlah jadikan kuasa yang dimiliki itu untuk menunjuk-nunjuk dan menindas orang bawah. Jadikan kuasa itu sebagai tanggungjawab yang perlu dilaksanakan.

(Ps : Ultraman kalau kekurangan kuasa, butang di dadanya akan bunyi tit.. tit... tit... )

Thursday, December 29, 2011

KATA SPONTAN NO. 1 : JANGAN MASUK TANDAS






Assalamualaikum dan Salam Sejahtera.

Sebenarnya saya ada terperasan dan terbaca sesuatu di MukaBuku baru-baru ini yang membuatkan saya sedikit ketawa. Tak pastilah, apa yang ditulis ini benda baru atau lama, tetapi bagi diri saya ia adalah baru.

Pernyataannya sedikit lebih kurang seperti ini :

"Untuk makluman, pada 31 Disember 2011 anda dinasihatkan agar tidak ke tandas pada pukul 11.59 malam kerana anda akan keluar semula pada tahun hadapan"

Hehehe.. Lawak ke?

Wednesday, December 28, 2011

CAMERON HIGHLANDS.. TUNGGUUUU...





Assalamualaikum dan Salam Sejahtera.

Teringat pula pada cerita KL Menjerit masa Rosyam Noor menjerit Kuala Lumpur, Tungguuuu... Masa dia berhajat ke Kuala Lumpur. Tetapi pada entri ini saya letakkan tajuk Cameron Highlands.. Tungguuu... kerana kebetulan saya baru pulang dari Cameron Highlands.

Sebenarnya saya tidaklah gemar sangat untuk bercerita tentang hal peribadi, tetapi kadangkala rasa ingin berkongsi tentang sedikit pengalaman saya di sana. Saya pergi bersama isteri dan anak dan tidak lupa juga ayah bonda dan adik beradik yang lain. Kami menyewa "apartment" memandangkan jumlah kami yang ramai.


Inilah kali kedua saya jejakkan kaki di Cameron Highlands selepas yang pertamanya saya melawat ketika rombongan sekolah semasa darjah enam. Nampaknya, agak berbeza sedikit suhunya jika dibandingkan semasa dahulu. Kalau dahulu seingat saya, apabila bercakap mulut akan "berasap" kerana sejuk, tetapi kini, tidak lagi. Bayangkan, di tengah malam sudah mulai rasa hangat. Saya yang mulanya berpakaian baju dan berselimut tebal akhirnya membuka pakaian tebal dan selimut.

Rombongan darjah 6. Penulis bercermin mata.. ;)

Kesesakan juga melampau. Saya tidak pastilah sama ada kesesakan ini terjadi semasa cuti umum atau setiap hari. Saya terperangkap beberapa kali apabila hendak ke pasar malam di situ. Terperangkap hampir 2 jam. Malam yang pertama tidak dapat pergi kerana kelewatan, keesokan harinya kami keluar awal untuk menempuh kesesakan dan akhirnya tiba juga di pasar malam tersebut.

Huh.. Memang teruk kesesakannya...

Seperti biasa, di Cameron Highlands pastinya kita akan pergi melawat ke Ladang Teh yang mana sudah memang "habitat" teh untuk hidup segar di tanah tinggi.



Selain dari melawat ladang teh, tidak lupa juga untuk melawat ke tempat penanaman bunga-bungaan dan sayur-sayuran. Ingatkan dapat rasa memetik buat strawberi, tetapi malangnya tidak dapat kerana kekurangan buah. Jadi, hanya melihat-lihat saja persekitaran yang dipenuhi pelbagai bungaan dan sayuran.


Erm.. Sesiapa yang pernah pergi ke Cameron Highland tu, bolehlah berkongsi-kongsi cerita di sini. Bagi saya, ia kurang dari segi keseronokan, mungkin saya lebih terdedah dengan kesesakkan lalu lintas dan menyebabkan saya sedikit bengang, yang lain itu kira okeylah. Dapat menghirup udara segar, dapat melihat kehijauan, mendengar kicauan burung dan unggas.

Muhammad Fahim kesayangan...

Saya dan isteri...

(Ps : Nak pergi pastikan brek kereta dalam keadaan baik. Tayar juga kena pastikan dalam keadaan baik. Di sana memandu di kawasan berbukit, tayar memerlukan cengkaman yang baik)