Showing posts with label zaman penjajah di melaka. Show all posts
Showing posts with label zaman penjajah di melaka. Show all posts

Monday, November 12, 2012

HEBATKAH MELAKA???


Assalamualaikum dan Salam Sejahtera.
 
Saya ni bekerja di muzium di Bandar Hilir, Melaka. Kadang kala sedang duduk-duduk, saya selalu berfikir, hebat benar negeri Melaka pada suatu masa dahulu. Pelbagai negara yang datang tanpa diundang semata-mata mahu menguasai pelabuhan Melaka dan perdagangan Timur Barat.
 
Kedatangan Diego Lopez De Squeira di Melaka pada 1509. Pada ketika ini dilihat Melaka telah maju, mempunyai Kota pertahanan yang diperbuat dari batu dan kayu.
 
 
Dari Portugis, Belanda hinggalah ke British, semuanya menjajah kerana kepentingan Ekonomi. Namun ada juga yang berperanan untuk menyebarkan agama Kristian mereka.
 
Terpandang pula pada Bukit St. Paul. Menang strategik, bukit ini memang strategik sehinggakan di persekitaran kawasan inilah direbut-rebutkan oleh kuasa-kuasa Barat.  Dari puncak bukit ini jelas kelihatan sekeliling Kota Melaka dan amat baik bagi strategi pertahanan.
 
Serangan Portugis ke atas Melaka yang diketuai oleh Alfonso De Albuqueque. Kalau dilihat, tak ubah seperti peristiwa serangan di dalam Filem The Lord Of The Ring.
Begitu juga pada pentadbiran di Zaman Kesultanan Melayu Melaka, dahulunya Istana Sultan terletak di puncak bukit ini ataupun di kaki-kaki bukit. Sebelum dikenali sebagai Bukit St. Paul, dahulunya bukit ini adalah Bukit Melaka.
 
Oleh kerana bukit ini menjadi lokasi pertahanan yang strategik bagi kesemua kuasa Barat ini, terdapat perubahan nama bukit ini di masa mereka memerintah seperti :
 
Zaman Kesultanan Melaka - Bukit Melaka
Zaman Portugis - Bukit St. Paul
Zaman Belanda - Bukit St. Poulo
Zaman British - Bukit Bendera
 
Namun kini bukit ini terus dikenali sebagai Bukit St. Paul kerana terdapatnya Gereja St. Paul di puncak bukit tersebut. Namun pada pendapat saya, lebih elok sekiranya bukit ini dikekalkan dengan nama asalnya iaitu Bukit Melaka.
 
Di sini saya ingin kongsikan beberapa gambar di sekitar Bukit Melaka semasa zaman penjajahan.
 
Lakaran Fortaleza De Malaca (Kota Melaka) di Zaman Portugis

Kelihatan Kota Melaka yang dibina oleh Portugis masih digunakan pada Zaman Belanda. Belanda membuat beberapa tambahan bagi mengukuhkan pertahanan kota.

Gambar Zaman British. Tembok Kota Melaka sudah tiada lagi akibat dimusnahkan oleh British. Hanya Pintu Gerbang Santiago A.K.A Porta Da Santiago A.K.A A' Famosa saja yang tinggal.

Tuesday, November 6, 2012

BAHAN BINAAN DI MELAKA PADA ZAMAN PENJAJAHAN


Assalamualaikum dan Salam Sejahtera.

Baca saja tajuk entri kali ini seperti saya mahu mengajar mata pelajaran seni bina. Niat di hati begitulah. Harapnya entri ini dapat menjadi rujukan kepada pelajar-pelajar yang ingin membuat rujukan berkaitan bahan binaan khususnya di Melaka di era penjajahan Portugis, Belanda dan British.

Sebenarnya saya telah diarahkan untuk menjaga pameran bersama Melaka World Heritage Office (WHO) di Kuala Lumpur City Centre (KLCC) bersempena Hari UNESCO 2012 pada 3 hingga 4 November yang lepas.

Dalam ruang pameran, dipamerkan maklumat-maklumat berkaitan Melaka sebagai Tapak Warisan Dunia, bahan-bahan binaan di Melaka pada zaman penjajahan, baju kebaya Nyonya, kasut manik Nyonya dan pelbagai lagi termasuk manuskrip Hikayat Hang Tuah, Sejarah Melayu dan lain-lainnya.

Pada masa yang terluang, saya telah menimba sedikit ilmu berkaitan bahan-bahan binaan di Melaka pada zaman penjajahan yang telah disediakan oleh pihak WHO. Dengan sedikit ilmu dan gambar-gambar yang ada saya kongsikan kepada mereka yang memerlukan rujukan berkaitan bahan binaan ini.

Batu Laterit
Batu Laterit juga dikenali sebagai Batu Lada atau Batu Merah. Binaan bangunan Portugis di Melaka banyak menggunakan batu jenis ini. Ini dapat dilihat pada binaan Pintu Gerbang Santiago (Porta Da Santiago) atau lebih dikenali sebagai A' Famosa. Bangunan lain milik Portugis yang menggunakan bahan ini ialah Gereja St. Paul yang terletak di atas Bukit St. Paul di Bandar Hilir Melaka.

Pintu Gerbang Santiago adalah satu-satunya sebahagian dari Kota Melaka (Fortaleza De Malaca) yang tinggal hingga kini setelah tembok-tembok yang lainnya telah dimusnahkan oleh British. Jika dilihat dari kesan runtuhan Kota Melaka, terdapat penggunaan Batu Laterit ini. Dipercayai sumber Batu Laterit ini diperolehi dari pulau-pulau yang berdekatan seperti di Pulau Upeh. Sehingga kini terdapat bukti yang menunjukan kesan batu-batu ini dipotong / dipahat di pulau tersebut bagi mendirikan Kota Melaka oleh Portugis.

Batu Bata Belanda
Binaan bangunan yang menggunakan Batu Batu Belanda memang banyak terdapat di Melaka, daripada rumah orang perseorangan sehinggalah ke pejabat dan penginapan Gabenor Belanda ada menggunakan bahan jenis ini. Sekiranya kita menyusuri Sungai Melaka, apabila sampai di kawasan Bandar Hilir, pastinya akan ternampak bangunan yang didirikan dengan menggunakan Batu Bata Belanda ini.

Tidak hairanlah mengapa bahan binaan dan bangunan Belanda banyak terdapat di Melaka kerana Belanda merupakan kuasa asing yang paling lama bertapak di negeri Melaka iaitu selama 183 tahun (1641 - 1824) berbanding Portugis dan British.

Selain Batu Bata Belanda, bahan binaan Belanda yang lainnya seperti Jubin Lantai Belanda (Terracotta) yang menjadi lantai di kebanyakan bangunan-bangunan milik Belanda seperti di Stadthuys. Dan juga terdapat Genting Belanda yang juga boleh dilihat pada bangunan Stadthuys.

Jubin Lantai Zaman Belanda (Terracotta)

Genting Belanda
Pada Zaman Inggeris juga banyak juga terdapat tinggalan bahan senibinanya. Antara bahan-bahan binaan yang digunakan pada zaman Inggeris ialah Batu Bata Inggeris, Genting Cina, Genting India dan Genting Marseilles. Namun ada juga yang mengatakan bahawa jenis Genting Cina adalah dari zaman Belanda, begitu juga Genting India, dikatakan ianya sejak di zaman Portugis.

Genting India

Genting Marseilles

Batu Bata Inggeris

Genting Cina

Diharap entri ini dapat menjadi salah satu sumber rujukan kepada mereka-mereka yang sedang menjalankan kajian / tugasan berkenaan bahan binaan di Melaka semasa zaman penjajahan.

Entri Tambahan :

:: Kata-Kata FairusMamat ::