Showing posts with label warisan melaka. Show all posts
Showing posts with label warisan melaka. Show all posts

Saturday, April 12, 2025

Semerah Padi: Dari Mulut Orang Lama ke Papan Tanda Rasmi

Kampung aku, Pengkalan Perigi, terletak di Tanjung Keling, Melaka. Dalam kampung ni, ada satu kawasan kecil, kurang dari 10 buah rumah yang duduknya agak ke dalam sikit. Orang kampung dan juga orang dari kampung berdekatan dah lama panggil tempat ni sebagai Semerah Padi.

Nama ni bukan nama baru, dah lebih 50 tahun orang sebut. Tapi selama ni, nama Semerah Padi cuma disebut dari mulut ke mulut je. Tak pernah ada dalam peta, tak pernah ada papan tanda, tapi tetap kekal dalam ingatan orang kampung, termasuk aku.


Akhirnya, pada 12 Februari 2025, satu perkara yang sangat bermakna berlaku. Pihak berkuasa tempatan datang dan pasang papan tanda rasmi tertulis:

“Lorong Semerah Padi, 76400 Melaka”, siap dengan tulisan Jawi sekali.

Aku rasa bangga. Nama yang dulu hanya disebut-sebut akhirnya diiktiraf secara rasmi. Papan tanda ni bukan sekadar papan tanda, tapi lambang kenangan, sejarah dan kisah kampung aku yang hidup semula.

Baca juga :

Sekarang, bila orang lalu kawasan ni, mereka dah tahu, inilah Lorong Semerah Padi, tempat aku membesar, tempat penuh dengan cerita lama yang tak pernah hilang dari ingatan.

Tuesday, April 8, 2025

Menjejak Melaka 1951: Cerita Sebuah Pelan Lama

Sila klik gambar untuk tumbesaran sempurna

Baru-baru ni, aku terjumpa satu pelan lama bandar Melaka. Dari pandangan pertama lagi, aku dah boleh agak ini bukan peta biasa. Reka bentuknya klasik, jenis yang biasa kita nampak dalam buku sejarah. Tajuk asal pelan ni ialah “Map in Malacca Town in 1951”, maksudnya pelan ni dibuat lebih 70 tahun lepas, masa Melaka masih di bawah pentadbiran British. Bila aku tengok lebih dekat, zaman Melaka dipenuhi bangunan kolonial, jalan kecil dan suasana klasik yang kita susah nak jumpa sekarang.

Sebenarnya aku jumpa pelan ni kat Google masa tengah cari bahan rujukan untuk siapkan penerangan baharu bagi salah satu pameran di muzium. Kebetulan pula peta ni muncul dan terus menarik perhatian aku. Jadi aku fikir, elok juga aku simpan dalam blog ni, boleh rujuk balik bila-bila nanti kalau nak guna dalam kerja atau sekadar nak tengok balik sejarah susun atur bandar Melaka. Kadang-kadang benda yang kita jumpa secara tak sengaja ni lah yang paling berguna untuk masa depan.

Antara benda paling menarik yang aku perasan ialah jalan-jalan utama yang ditanda dengan warna merah terang. Nampak sangat jalan-jalan ni memang penting pada waktu tu, antaranya Jalan Kubu, Jalan Bendahara, Jalan Bukit Cina, Jalan Laksamana dan Jalan Gajah Berang. Aku boleh bayangkan macam mana orang dulu guna jalan-jalan ni untuk bergerak dari satu kawasan ke kawasan lain. Sungai Melaka yang berliku tu pun dilukis dengan sangat jelas, menunjukkan betapa pentingnya sungai tu sebagai laluan utama pada masa dulu.

Pelan ni bukan sekadar tunjuk jalan tapi ia penuh dengan info tentang bangunan dan tempat penting. Aku nampak nama-nama tempat yang masih wujud sampai hari ni macam Stadthuys, Gereja St. Paul, masjid lama dekat Jalan Mosque dan kuil di kawasan Temple Street. Ada juga pejabat-pejabat kerajaan lama macam balai polis, pejabat tanah, rumah rehat dan sekolah. Menariknya, bank klasik macam Hongkong & Shanghai Banking Corporation pun ada, jelas menunjukkan Melaka memang pusat ekonomi yang penting masa tu.

Bagi aku, pelan lama ni bukan sekadar koleksi sejarah tapi dia macam sebuah kenangan masa silam. Bila aku tengok pelan ni, aku rasa lebih faham bagaimana bandar Melaka dibentuk dan dibangunkan dulu. Kalau kita jenis yang suka sejarah atau sekadar nak tahu asal-usul kawasan yang kita selalu lalu, peta macam ni memang best untuk diterokai. Ia bukan saja menarik, tapi buat kita lebih hargai bandar yang kita diami ni.