Showing posts with label ubi kayu. Show all posts
Showing posts with label ubi kayu. Show all posts

Sunday, April 7, 2024

Ubi Kayu Pengganti Nasi



Memang tak dinafikan bahawa ubi kayu sedap dimakan. Ubi kayu jika direbus dicicah dengan sambal tumis atau kelapa parut memang lazat. Makanan tradisi ini memang disukai oleh generasi terdahulu dan juga generasi kini.
Jika diimbau kembali di zaman pemerintahan Jepun di Tanah Melayu, orang-orang dahulu memang kekurangan beras dan terpaksa memakan ubi kayu untuk kelangsungan hidup. Itu dahulu, masa zaman sukar. 

Kini, beras ada di sana sini. Cuma harganya yang berbeza. Ada yang mahal, ada yang murah ikut gred dan jenis beras seperti beras tempatan, beras import, basmati dan lain-lain.

Nasi sudah menjadi makanan ruji rakyat Malaysia. Jika hendak ditukarkan kepada makan ubi kayu untuk mendapatkan karbohidrat agak sukar kerana ia sudah lama sebati dalam diri masyarakat. Bukan sahaja orang Melayu, kaum Cina dan India juga memakan nasi.

Aku secara peribadi, suka juga memakan ubi kayu rebus. Tapi bukan sebagai makanan utama, sekadar makanan minum petang. Bolehlah menjamah 2,3 ketul. Tak boleh lebih-lebih, nanti angin satu badan. Asyik sendawa saja nanti. Nasib tak baik boleh tangkap di kepala. Berat saja kepala.

Jadi, bukan semua orang boleh makan ubi kayu. Lebih-lebih lagi jika nak dijadikan makanan ruji. Kalian bagaimana? 

Friday, June 11, 2021

UBI REBUS DAN BOKO UBI

Pokok ubi kayu di belakang rumah pokoknya telah meninggi. Tak ingat pula bila ditanam, tapi saya agak pokoknya sudah berusia lebih lima bulan. Ada beberapa batang pokok ubi kayu saya tanam.

Pagi tadi, merajinkan diri mengemas dan membersihkan bahagian belakang rumah. Pokok daun kari dan pokok kunyit yang dibeli dari minggu lepas baru sempat hari meluangkan masa untuk dipindahkan ke dalam pasu. Semoga hidup dengan segar agar dapat digunakan di kemudian hari.

Kemudian, saya mencabut dua batang pokok ubi kayu di telah meninggi. Alhamdulillah, ada ubinya. Dalam fikiran telah terbayang ubi rebus cicah sambal dan boko ubi. Isteri saya memang pandai buat boko ubi. Kalau ubi rebus tu, biasa saja, semua orang boleh membuatnya.

Selepas mencabut sebatang pokok, lumayan juga ubinya


Petang menjelma, isteri membuatkan ubi rebus. Lembut dan empuk ubinya. Sedap. Makan pula dengan mencicah Sambal Bilis Pedas d' SAMBAL licious, bertambah sedap jadinya. Gambar ubi rebus di bawah ni lupa pula disertakan dengan sambalnya. 

Gambar diambil selepas makan, tinggal tiga ketul saja untuk sesi fotografi. Hehe


Malam pula isteri buat boko ubi. Buat makan sedikit sahaja, selebihnya akan disedekahkan kepada kakitangan tempat isteri bekerja di salah sebuah klinik kesihatan di Melaka.

Benda ini dibuat tidak dirancang pun, benda dah ada, elok juga dapat berkongsi rezeki dengan orang lain. 

Awalnya ingatkan sudah siap pasal tu ambil gambar begini

Ini selepas diletakkan santan di atasnya. Ha, ni barulah dah siap dan sedia untuk dimakan

Inilah saja tanaman yang boleh hidup di belakang rumah saya. Tanam pisang tak menjadi, pokok tak membesar, tapi anak pokok pisang banyak pula yang tumbuh, akhirnya pokok-pokok pisang saya tebang. Saya tinggalkan 2, 3 batang. Bertahun-tahun tanam tak membesar, mungkin tanah tak sesuai.

Thursday, April 15, 2021

UBI KAYU SUDAH JADI BOKO UBI

Alkisah semalam menuai sebatang pokok ubi kayu di belakang rumah. Dapatlah beberapa biji ubi kayu yang comel-comel saiznya.

Hasil daripada tuaian semalam terus isteri saya merebus ubi untuk dibuat boko ubi. Sememangnya dahulu saya pernah beritahu isteri, apabila ubi kayu telah mengeluarkan hasil, saya nak minta dia buatkan boko ubi. Sebelum ini pun dia pernah buat dan rasanya pun sedap.


Ha.. inilah rupa boko ubi yang isteri saya buatkan tu. Betul-betul sudah nak masuk waktu berbuka, boko ubi ini siap dihidangkan.  Dapat juga memberikan pada jiran berdekatan. Alhamdulillah, dapat juga jiran merasa.

Entri ini dibuat sebab ada seorang uncle ni bertanya di ruang komen menanyakan dia mahu melihat apa hidangan daripada ubi kayu yang dicabut tu. Jadi uncle, inilah hasilnya... BOKO UBI. 😃😃😃

Selain ubi kayu di belakang rumah yang tanahnya sekangkang kera tu saya turut menanam pokok mulberi, kelapa pandan, cili, nona, serai, daun pandan, durian belanda, jambu air dan nangka namun belum banyak yang keluarkan hasil. Cuma yang sudah mengeluarkan hasil ialah nona, mulberi dan ubi kayu sahaja.

MENUAI UBI KAYU

Hari ini negeri Melaka bercuti sempena ulang tahun ke-18 Bandaraya Melaka Bersejarah. Jadi, kami sekeluarga tinggal saja di rumah berehat tanpa ke mana-mana sambil mengemas apa yang patut.

Saya mengemas kawasan belakang rumah. Sangkar kucing yang memuatkan 8 ekor kucing dibersihkan dari segala kotoran. Sambil itu, buat juga penyelenggaraan kecil dengan menambah jaring di bahagian atas sangkar kerana anak-anak kucing yang kecil dah pandai meloloskan diri dari ruang antara bumbung sangkar.

Kemudian, terperasan pula pokok ubi kayu yang telah ditanam tidak lama dahulu. Tinggi pokoknya. Kelihatan subur daun-daunnya. Pokok ubi ini merupakan pokok seumpamanya yang ditanam di belakang rumah. Jadi, saya amat teruja untuk melihat hasilnya.



Inilah hasilnya. Lumayan juga. Comel-comel saja buahnya. Mungkin terlalu awal dituai. Seeloknya pokok ubi kayu ini dituai selepas 9 bulan ditanam. Hasil yang ini, mungkin baru 3, 4 bulan ditanam.

Tak mengapa, ada beberapa batang pokok lagi masih belum dituai. Saya akan tunggu sehingga lebih 9 bulan untuk mendapatkan ubi yang lebih besar. 

Sementara, batang-batang ubi kayu yang telah saya cabut tadi, telah saya semai semula. Sudah tumbuh sedikit pucuk nanti, bolehlah ditanam kembali.

Alhamdulillah, ada juga hasil berbudi pada tanah yang sekangkang kera di belakang rumah. 😌😌😌