Showing posts with label terima kasih. Show all posts
Showing posts with label terima kasih. Show all posts

Saturday, September 9, 2023

Terima Kasih Semua



Bagi yang pernah terbaca post aku bulan lalu pasti perasan tentang kebakaran yang berlaku pada rumah aku yang terjadi pada 6 Ogos 2023. Satu musibah dan ujian daripada Allah SWT yang tidak mungkin dapat aku lupakan sepanjang hidup.

Selepas kejadian itu berlaku, pelbagai pihak tampil membantu termasuk orang perseorangan. Bantuan dari segi kewangan boleh dikatakan banyak juga yang aku perolehi . Aku sangat terharu dengan hati budi dan keikhlasan orang-orang yang membantu. Antara sumbangan dalam bentuk kewangan yang diterima ialah dari :

1. Adik beradik
2. Saudara mara 
3. Jiran tetangga 
4. Persatuan Penduduk Taman Pasir Emas 
5. Penduduk Kampung & Khariah Batang Tiga 
6. Masjid Al-Aminin, Klebang 
7. Sekolah, guru, ibu dan bapa murid (sekolah kebangsaan dan sekolah agama) 
8. Rakan-rakan sekerja dan rakan sekerja isteri 
9. Majlis Agama Islam Melaka (MAIM) 
10. Kerajaan Negeri Melaka melalui JAPERUN 
11. Ahli Parlimen Tangga Batu
12. Rakan-rakan AKRAB MELAKA 
13. Kelab Sukan dan Kebajikan PERZIM 
14. Lain-lain lagi termasuk orang perseorangan. 

Mungkin ada lagi yang aku terlepas pandang. Sengaja aku catatkan penyumbang-penyumbang ini agar suatu hari nanti akan aku balas kembali kebaikan yang telah mereka dilakukan terhadap diri aku dan keluarga. 

Bukan sahaja bantuan dari aspek kewangan, jiran tetangga dah ahli keluarga turut bergotong-royong mengangkat barang-barang yang masih boleh digunakan untuk ditempatkan di rumah sebelah yang aku sewa untuk meletakkan barang-barang. 

Kebetulan di kiri dan kanan aku rumah masih belum dihuni oleh pemiliknya. Jadi, aku sewa untuk meletakkan barang-barang. Untuk menginap pula, aku menyewa sebuah lagi rumah di dalam taman perumahan aku. Sebenarnya rumah itu dibuat homestay, tapi pemiliknya berbesar hati menyewakannya kepada aku dengan harga sewaan bulanan dengan harga 'mampu bayar'.

Terima kasih semua! Sangat besar pengorbanan kalian dalam memberi sumbangan kepada aku dan keluarga. Semoga Allah SWT sahaja yang dapat membalas jasa dan kebaikan yang telah kalian curahkan. Insya-Allah, setelah selesai semuanya, aku berhasrat untuk membuat kenduri doa selamat.

TERIMA KASIH SEMUA... 

Friday, March 22, 2013

TERIMA KASIH AMRY'S BLOG


Assalamualaikum dan Salam Sejahtera.
 
Dengan nama Allah yang Maha Pemurah lagi Maha Mengasihani. Selawat dan Salam buat nabi junjungan Nabi Muhammad S.A.W.
 
Perniagaan masa kini bukan hanya terhad kepada kaedah tradisional iaitu dengan hanya membuka kedai dan hanya menanti pelanggan datang ke kedai kita. Kini, dunia tanpa sempadan yang menggunakan Internet sedikit sebanyak membantu para peniaga menjalankan jualan dan pemasaran sesuatu produk.
 
Facebook juga merupakan satu-satu medium yang amat berkesan dalam aspek pemasaran. Dengan hanya satu klik, keterangan / gambar sesuatu produk dapat dibaca dan dilihat oleh puluhan, ratusan malahan ribuan pengguna Facebook. Dalam ratusan yang melihat, takkanlah tiada satupun yang membeli, ye tak?
 
Berbalik kepada tajuk entri iaitu Terima Kasih Amry's Blog... Kenapa aku nak berterima kasih kepadanya? Emm... iyalah, mestilah kena berterima kasih kepadanya kerana dengan tanpa diminta, dia telah mempromosikan CHENTA CREATIVE HIJAB diblognya.
 
Banner Chenta Creative @ Amry's Blog
 
 
Walaupun tidak dapat dipastikan berapa besarnya impak promosi tersebut, namun sekurang-kurangnya dapatlah juga nama CHENTA CREATIVE HIJAB disiarkan di sana sini dalam alam maya ini. Terima kasih bro...
 
Kini, perjalanan perniagaan CHENTA CREATIVE HIJAB agak lancar. Jualannya cukup memberangsangkan sama ada secara runcit-runcit mahupun borong. Alhamdulillah, Allah yang memberikan rezeki, kita hanya mampu merancang.

Thursday, September 27, 2012

TERIMA KASIH TENAGA NASIONAL BERHAD


Assalamualaikum dan Salam Sejahtera.
 
Kadangkala, sesuatu yang dibuat dengan baik itu seharusnya diberikan pujian. Janganlah kita menafikan sesuatu kebaikan yang telah dilakukan. Ucaplah terima kasih, ia tidak sesukar mana pun.
 
Sebenarnya, saya ingin mengucapkan ribuan terima kasih kepada anggota Tenaga Nasional Berhad negeri Melaka kerana dengan pantas mengambil tindakan untuk membaiki bekalan elektrik yang telah terputus di beberapa kawasan terutamanya di taman perumahan tempat saya tinggal.
 
Nak dijadikan cerita, pada pukul 1 lebih pagi semalam saya tersedar dari tidur kerana terasa bahang akibat kipas tidak dapat berfungsi. Isteri dan anak-anak saya turut bangun kerana masalah yang sama. Akibat tidak mahu menanggung kepanasan dan sukar untuk tidur, saya telah mengambil telefon bimbit dan membuat aduan kepada Tenaga nasional Berhad (TNB) dengan hanya menaip mesej tentang masalah bekalan elektrik di taman perumahan saya dan terus menghantarnya pada nombor 15454.
 
Lebih kurang 15 minit selepas saya menghantar mesej tersebut, telefon bimbit saya berdering dan yang menghubungi saya ialah operator TNB yang mahu membuat pengesahan apakah masalah yang berlaku. Saya telah menjelaskan semuanya pada beliau dan beliau mengatakan bahawa pasukan mereka akan tiba dalam masa terdekat untuk mengenalpasti dan mengatasi masalah tersebut.
 
Saya terus menanti dengan sabar, saja mahu mengetahui sama ada pihak TNB mengambil tindakan atau tidak akan aduan saya itu. Dalam jangkamasa 20 ke 30 minit setelah pihak TNB menghubungi saya, didapati bekalan elektrik di taman perumahan tempat saya tinggal kembali sempurna. Alhamdulillah, selepas itu kami sekeluarga dapat melelapkan mata dengan lenanya hingga ke pagi.
 
Apa yang saya cuba sampaikan ini ialah tentang kekaguman saya terhadap perkhidmatan TNB yang kian baik dan terus cemerlang. Dulu pernah sekali lampu jalan di hadapan rumah saya tidak menyala, dengan kadar segera saya lihat lori TNB datang dan membaikinya. Begitu pantas, saya amat gembira dengan perkhidmatan yang diberikan.
 
Kini pula, mereka membuktikan keprofesionalan dan kecemerlangan mereka dengan melayan aduan dengan pantas. Sebenarnya saya tidak berapa pasti sama ada saya merupakan pengadu tunggal pada hari tersebut namun kepantasan mereka bertindak atas aduan adalah teramat baik sekali. Mereka terus bertindak membaiki kerosakan walaupun ketika itu cuaca masih hujan dan kilat saling sabung menyabung.  Tahniah dan terima kasih saya ucapkan.
 
Terbaiklah TNB...
 

Friday, March 16, 2012

KATA SPONTAN NO. 6 : TERIMA KASIH





Assalamualaikum dan Salam Sejahtera.

Terima kasih... Sukarkah untuk mengucapkan perkataan ini? Mengapa kita mesti ego dan sukar untuk mengucapkan terima kasih kepada seseorang sedangkan mereka telah memberikan segala yang terbaik untuk kita?

Misalannya, para pekerja telah melaksanakan kerja sehabis baik untuk menaikkan nama organisasi sehinggakan organisasi tersebut mendapat kedudukan yang tinggi. Sebagai majikan, haruslah mengucapkan terima kasih kepada pekerja, kerana merekalah organisasi tersebut mendapat nama. Ini tidak, kerana ego yang besar dalam diri sendiri, majikan menganggap segala apa yang dikecapi adalah atas usaha beliau seorang diri yang pandai menguruskan segalanya.

Sudah-sudahlah tu... Ketepikan ego. Berilah sedikit ruang penghargaan kepada mereka yang layak. Jangan biarkan mereka terus tidak dihargai selama bertahun-tahun.

Ucaplah... Terima kasih.. Terima kasih dan Terima kasih. Bukan susahpun.