Showing posts with label taubat. Show all posts
Showing posts with label taubat. Show all posts

Saturday, March 3, 2012

MATI ITU BENAR





Assalamualaikum dan Salam Sejahtera.

Mati... Siapa yang tidak takut mati? Lazimnya semua orang takut mati. Akan tetapi, dalam perasaan takut mati yang ada dalam diri masing-masing namun masih ada yang tidak mahu memikirkan yang kita akan mati. Mungkin kerana kita tidak tahu tarikh kematian kita, sebab itulah kita tidak mahu memikirkannya sangat.

Dalam memperkatakan tentang kematian, adakah kita sudah bersedia dengan amalan-amalan sebagai bekalan di alam kubur dan di akhirat kelak? Kita masing-masingpun tidak mengetahui, sama ada amalan yang kita sangkakan kita buat baik, tetapi mana tahu ianya tidak diterima oleh Allah. Betapa ruginya...

Mati... Allah itu Maha Mengetahui. Mengapa agaknya Allah merahsiakan tarikh kematian kita? Sekiranya kita tahu akan tarikh kematian kita, rasa-rasanya kita tidak tidur 24 jam kerana terus beribadat kepada Allah. Sebenarnya kita hidup di dunia ini hanyalah sementara dan Allah sengaja mahu menguji keimanan kita terhadap-Nya.

Sekiranya kita lihat kembali pada cerita-cerita mengenai banduan akhir iaitu banduan yang akan dikenakan hukuman gantung sampai mati. Mereka lagilah pula, sudah tahu akan tarikh kematiannya iaitu tarikh dia akan digantung. Agak-agaknya apakah perasaan dia? Dia tahu dia akan mati dan pasti mati. Apakah perasaan dia? Kalau kita lihat drama yang memainkan semula perihal banduan akhir yang hendak digantung, mereka bersungguh-sungguh bertaubat kepada Allah. Solat mereka tidak tinggal dan sentiasa memohon ampun kepada Allah. Apatah lagi semasa mahu melangkah ke bilik gantung, kakinya tidak mampu melangkah, diampu oleh pegawai penjara. Agak-agak apakah perasan dia? Dia tahu dia pasti akan mati dalam beberapa tika sahaja. Elok rasanya tidak tahu tarikh kematian sendiri daripada kita tahu. Sesungguhnya Allah Maha Mengetahui apa yang Dia rancang.

Berbalik pula kepada persiapan kita untuk menghadapi mati. Adakah kita tahu tentang hidup kita di alam kubur kelak selepas mati? Adakah kita di alam kubur akan berasa sama seperti hidup di dunia? Semasa di dunia contohnya kita masuk di dalam terowong pelindung serangan udara (ada terdapat di negeri Perak), muat-muat badan untuk berlalu di dalam terowong hanya bertemankan cahaya lampu kecil yang malap. Itu di dunia, masuk terowong kecilpun kita sudah berasa seram dan nak sesak nafas dibuatnya. Bagaimana pula kita di dalam kubur kelak? Sedar-sedar badan sudah dipocongkan dan muat-muat badan sahaja. Kiri, kanan, atas dan bawah cuma tanah sahaja. Kalau amalan kita buruk lalu disoal Malaikat Mungkar dan Nangkir, mana kita mahu lari? Nak minta tolongpun tiada siapa yang boleh membantu. Yang boleh membantu hanyalah amalan kita di dunia.

Lain pula kisahnya pada hari akhirat dan hari pembalasan. Wallahuaklam, bagaimanalah keadaannya nanti. KIta telah digambarkan oleh Allah melalui Al-Quran perihal itu semua, kita memahami tetapi hanya memahami tidak sama dengan mengalami.

Saya dengan rendah diri, berasa insaf. Sedar diri ini serba kekurangan dan masih tercari-cari jalan yang lurus dan benar. Bukan niat untuk mengajar, cuma mahu berkongsikan apa yang bermain di minda. Kerap juga berfikir semasa hendak tidur, sekiranya esok bangun tiba-tiba hidung berbau tanah, badan disaluti kain putih, apakah nasibnya kelak...

Allahu Akbar...