Showing posts with label tanah melayu. Show all posts
Showing posts with label tanah melayu. Show all posts

Thursday, February 20, 2025

Di Atas Runtuhan Kota Melaka Kita Dirikan Negara Baru


Tarikh 20 Februari mungkin tidak begitu dikenali oleh ramai rakyat Malaysia. Namun, hakikatnya, ia merupakan satu tarikh yang amat penting dalam sejarah negara kita. Pada tanggal ini pada tahun 1956, Tunku Abdul Rahman Putra Al-Haj bersama delegasi rundingan kemerdekaan telah pulang dari London setelah mencapai kata sepakat mengenai kemerdekaan Persekutuan Tanah Melayu.

Setibanya di tanah air, Tunku dan rombongan disambut dengan penuh semangat di Lapangan Terbang Batu Berendam, Melaka. Dari situ, mereka berarak menuju ke Padang Bandar Hilir, di mana ribuan rakyat telah berkumpul dengan penuh harapan.

Di padang bersejarah itu, Tunku Abdul Rahman dengan lantang dan penuh semangat mengisytiharkan tarikh kemerdekaan Persekutuan Tanah Melayu iaitu pada 31 Ogos 1957. Pengumuman ini disambut dengan laungan "Merdeka!" yang menggema di seluruh kawasan, menandakan detik permulaan kepada sebuah negara yang bakal bebas daripada cengkaman penjajahan British.

Peristiwa ini bukan sekadar satu pengumuman, tetapi ia melambangkan usaha gigih dan perpaduan pemimpin serta rakyat dalam memperjuangkan kemerdekaan. Melaka dipilih sebagai lokasi pengisytiharan kerana negeri ini memainkan peranan penting dalam sejarah tanah air, bermula dari zaman Kesultanan Melaka hingga ke era perjuangan kemerdekaan.

Sehingga ke hari ini, tarikh 20 Februari 1956 tetap dikenang sebagai detik bersejarah yang membawa negara kita selangkah lebih dekat kepada kebebasan. Ia merupakan simbol keberanian, kebijaksanaan dan ketabahan pemimpin serta rakyat dalam merealisasikan impian sebuah negara merdeka.

Justeru, marilah kita menghargai pengorbanan generasi terdahulu dan terus memperkukuhkan semangat patriotisme dalam diri kita demi kemakmuran Malaysia yang tercinta.

Thursday, August 7, 2014

PEREMPUAN KABARET


Assalamualaikum dan Salam Sejahtera.

Dengan nama ALLAH yang MAHA PEMURAH lagi MAHA MENGASIHANI. Selawat dan Salam buat nabi junjungan NABI MUHAMMAD S.A.W.


++++++++++++++++++++++++++++++++++++
Entri ini bersifat ilmiah. Sudi-sudilah membacanya.
++++++++++++++++++++++++++++++++++++

Kerana keraguan ibu bapa zaman dahulu terhadap sistem pendidikan di Tanah Melayu, anak-anak perempuan tidak diberikan pelajaran yang sepatutnya. Ibu bapa lebih suka memberi pelajaran ilmu agama berbanding pelajaran sekular.

Oleh kerana kebimbangan anak-anak perempuan mereka bergaul bebas dengan kaum lelaki di sekolah dan kerisauan terhadap sekolah Inggeris yang diajar oleh para Mubaligh Kristian maka ibu bapa lebih gemar untuk tidak 'menyekolahkan' anak mereka. 

Hal ini menyebabkan anak-anak perempuan Melayu kurang berilmu, tidak berpelajaran lalu menyukarkan mereka untuk mendapat tempat dalam pekerjaan di sektor kerajaan. Bagi ibu bapa, adalah sudah cukup untuk anak-anak perempuan mereka dapat menjadi isteri yang baik kepada bakal suaminya.

Anak-anak perempuan dahulu kebiasaannya berkahwin di awal usia dengan menurut kehendak ibu bapa. Ada juga yang dipaksa berkahwin oleh ibu bapa, tanpa kerelaan dirinya. Juga tabiat ibu bapa dulu-dulu yang gemar menjodohkan anak-anak perempuan mereka walaupun masih kecil.

Kemelesetan ekonomi dunia pada tahun-tahun 1930-an turut dirasai di Tanah Melayu. Harga getah juga jatuh dengan begitu mendadak. Keadaan ini menyebabkan perempuan-perempuan Melayu mula hendak mencari kerja untuk menampung keluarga. Namun apakah pekerjaan yang boleh dilakukan kerana ketiadaan kelulusan untuk bekerja.

Pada waktu yang sama, kelab-kelab seperti kabaret dan ronggeng banyak dibuka seperti cendawan tumbuh selepas hujan terutamanya di Negeri-negeri Selat. Peluang untuk perempuan-perempuan cantik bekerja terbentang luas.

Perempuan-perempuan Melayu mula pergi ke pekan dan bandar untuk mencari pekerjaan. Mereka yang mempunyai wajah rupawan dan pandai menari mula menceburkan diri dalam dunia kabaret. Mendapat upah dengan melayan lelaki-lelaki menari sambil menghiburkan diri. 


Gambar sekadar hiasan. Sumber >> KLIK <<


Namun, ia tidak terhenti setakat melayan kaum lelaki menari sahaja, ada sebilangannya mula melayan hawa nafsu lelaki dengan menjadi pelacur. Statistik bagi Negeri-negeri Selat ada menunjukan terdapat beberapa orang perempuan Melayu yang menjadi pelacur pada tahun-tahun tersebut. 

Kesimpulannya, walaupun taraf pendidikan mungkin menjadi penyebab mengapa perempuan-perempuan dahulu mula bertugas di kabaret, tetapi ia sepatutnya tidak menjadi penyebab utama. Orang-orang dahulu mempunyai adab dan kesopanan yang tinggi, mendidik anak-anak dengan didikan agama dan sepatutnya bertugas di kabaret bukanlah penyelesaian untuk membaiki ekonomi rumah tangga.