Showing posts with label tali air. Show all posts
Showing posts with label tali air. Show all posts

Friday, September 3, 2021

Oh! Teratai Bunga Indah


Aku bukanlah orang bandar. Orang kampung. Walaupun orang kampung, masa aku kecil-kecil tidak pernah ke sawah padi. Mungkin kerana tiada ahli keluarga yang terlibat secara langsung dengan kerja-kerja di sawah. Lantaran itu, aku tidak pernah masuk ke sawah untuk bermain lumpur dan selut.

Walaupun begitu, bukan bererti aku tidak pernah langsung pergi ke bendang di masa kecil. Ya pernah, tapi cuma berlalu saja. Memancing di sawah pun tidak pernah. Dulu lebih suka memancing di pantai, kerana rumah mak pun berhampiran pantai. Cuma sekarang ini sahaja apabila berpindah di kawasan perumahan yang begitu hampir dengan sawah padi, aktiviti memancing di tali air telah menjadi kebiasaan aku.

Baru-baru ini aku berbasikal. Kayuh berseorangan melalui laluan kampung, tali air dan sawah padi yang terbentang luas. Ya Allah! Dalam hati aku kenapa aku tak pernah merasakan perasaan dan pemandangan yang begitu indah sekali sebelum ini. Kawasan ini dekat sahaja di kawasan perumahan aku, namun ia kelihatan asing bagiku kerana memang aku tak pernah melalui kawasan tersebut.

Beberapa kali dalam hati ini terdetik perasaan malang bagiku. Umur sudah melepasi 4 siri tetapi baru tahu ada tempat yang aman damai seperti ini. Kayuh basikal petang-petang walaupun berseorangan tidak merasa penat dan lelah. Ramai orang memancing di situ. Barangkali orang-orang kampung berdekatan. Sesekali berhenti mengayuh menyapa orang-orang yang sedang memancing. Ada yang muda, ada yang berusia.

Mungkin ini saja catatan aku pada kali ini. Benarlah kata orang-orang terdahulu, jauh perjalanan luas pemandangan. Maaf jika ada sedikit perubahan pada kata ganti nama diri. Awalnya dulu, memang menggunakan 'aku', kemudian tukar kepada 'saya'. Kini kembali menggunakan AKU kerana aku rasa ia lebih selesa bagiku menulis demikian.