Showing posts with label surah. Show all posts
Showing posts with label surah. Show all posts

Saturday, August 14, 2021

MENIKMATI BUAH-BUAHAN TEMPATAN



Musim buah kali sungguh puas merasai pelbagai buah-buahan tempatan. Dari buah durian, rambutan, manggis, pulasan, langsat dan pelbagai lagi. Ada yang dibeli, ada juga diperolehi daripada pemberian sedara mara. Alhamdulillah, rezeki dari Allah SWT.

Buah-buahan kini kian mendapat tempat di hati warga kita. Musim yang ditunggu-tunggukan. Mujurlah sekarang zaman covid-19, kalau tak, mesti ada saja pesta buah-buahan diadakan di mana-mana. 

Nak dijadikan cerita, hari ini ada lagi yang memberi buah-buahan. Suami anak buah sebelah isteri, bapanya ada kebun di Muar, jadi memang banyak buah-buahan. Memang selalu dia beri pada semua sedara mara. Saya pula memang suka makan buah tempatan, anak-anak pun suka. Alhamdulillah. 

*****

Antara ayat-ayat Al-Quran yang tercatat perihal buah-buahan/tumbuh-tumbuhan.

Sesungguhnya Allah jualah yang membelah (menumbuhkan) butir (tumbuh-tumbuhan) dan biji (buah-buahan). Ia mengeluarkan yang hidup dari yang mati, dan mengeluarkan yang mati dari yang hidup. Yang sedemikian itu kekuasaannya ialah Allah. Maka bagaimanakah kamu dipalingkan dari menyembahNya (oleh benda-benda yang kamu jadikan sekutuNya)?

Surah Al-An'aam : 95

Dan Dia lah yang menurunkan hujan dari langit lalu Kami tumbuhkan dengan air hujan itu segala jenis tumbuh-tumbuhan, kemudian Kami keluarkan daripadanya tanaman yang menghijau, Kami keluarkan pula dari tanaman itu butir-butir (buah) yang bergugus-gugus; dan dari pohon-pohon tamar (kurma), dari mayang-mayangnya (Kami keluarkan) tandan-tandan buah yang mudah dicapai dan dipetik; dan (Kami jadikan) kebun-kebun dari anggur dan zaiton serta buah delima, yang bersamaan (bentuk, rupa dan rasanya) dan yang tidak bersamaan. Perhatikanlah kamu kepada buahnya apabila ia berbuah, dan ketika masaknya. Sesungguhnya yang demikian itu mengandungi tanda-tanda (yang menunjukkan kekuasaan Kami) bagi orang-orang yang beriman.

Surah Al-An'aam : 99

(Dia lah Tuhan) yang telah menjadikan bumi bagi kamu sebagai hamparan, dan Ia telah mengadakan bagi kamu padanya jalan-jalan lalu-lalang; dan Ia juga telah menurunkan hujan dari langit. Maka Kami keluarkan dengannya berjenis-jenis tanaman dan buah-buahan yang berlainan keadaannya.

Surah Taa-Haa : 53

Dia mengeluarkan buahnya pada tiap-tiap masa dengan izin Tuhannya. Dan Allah mengemukakan perbandingan-perbandingan itu untuk manusia, supaya mereka beringat (mendapat pelajaran).

Surah Ibrahim : 25

Sunday, April 18, 2021

MATI SAMBIL MEMEGANG TELEFON BIMBIT

Tajuk yang saya pilih ini tidak mustahil berlaku pada insan-insan yang berada di muka bumi ini. Dan perkara ini memang telah pun berlaku tak kira di dalam negara kita mahupun di luar negara.

Ini berlaku kerana kebergantungan kita terhadap telefon bimbit adalah tinggi. Boleh dikatakan hampir setiap hari, pastinya kita akan membelek-belek telefon bimbit untuk membaca whatsapp, melihat Facebook, blog dan Instagram dan lain-lain lagi.

Bukannya seminit dua, kita boleh terus membelek-belek telefon bimbit hingga berjam-jam lamanya. Masa yang begitu berharga dihabiskan begitu sahaja tanpa membuat perkara yang lebih berfaedah.

Alangkah baiknya bagi kita yang beragama Islam ini dapat meluangkan masa untuk membaca Al-Quran, lebih-lebih lagi di bulan Ramadan al-Mubarak ini. Bukan sahaja dapat pahala, malah pahala yang berlipat kali ganda. Itulah janji Allah SWT, mana mungkin Dia dustakan.




Tidak dapat membaca satu juzuk, dua tiga helai sehari pun boleh. Andai tidak mampu juga, sehelai sehari pun sudah cukup baik. Apa yang penting, kita tidak melupakan Al-Quran yang merupakan kalam Allah SWT yang suci.

Bukan niat untuk mengajar, cuba sekadar mengingatkan kepada rakan-rakan muslim agar tidak melupakan Al-Quran. Peringatan ini juga merupakan ingatan keras untuk diri sendiri. Memang lumrah manusia selalu lupa dan perlu diperingatkan. Sepertimana isi yang terkandung di dalam surah Al-Asr.