Showing posts with label sultan melaka. Show all posts
Showing posts with label sultan melaka. Show all posts

Wednesday, December 22, 2010

KE MANA PERGINYA WARIS KESULTANAN MELAYU MELAKA

Agak begitu pelik sekiranya Kesultanan Melayu Melaka yang dahulunya gah dengan empayarnya yang tersendiri tidak lagi mempunyai sultan. Jika kita selidiki sejarah Melayu iaitu Sulalatus Salatin, kita dapat membaca tentang betapa hebatnya Melaka sehinggakan seluruh negeri (Semenanjung Tanah Melayu) termasuk sebahagian di Indonesia merupakan Kerajaan Melaka.

Di sini aku ingin huraikan kemana perginya waris Kesultanan Melaka setelah membuat pembacaan dari kertas kerja Prof. Dr. Abdullah Zakaria Ghazali bertajuk Raja dan Kerajaan : Tinjauan Ringkas Perspektif Sejarah yang telah beliau sampaikan dalam semasa Seminar Keris : Warisan Bangsa Melayu di Shah Alam baru-baru ini.

Mengikut Sulalatus Salatin, kerajaan Melaka telah diasaskan oleh Raja Iskandar Shah iaitu Raja Singapura yang telah berundur ke Melaka dan telah mengasaskan kerajaan Melaka pada tahun 1262. Kerajaan Melaka telah berkembang pesat pada zaman pemerintahan Sultan Muzaffar Shah, Sultan Mansur Shah dan Sultan Alauddin Riaayat Shah.

Ketika pemerintahan Sultan Mansur Shah, putera baginda, Sultan Muhammad telah dihantar ke Pahang untuk menduduki takhta kerajaan Pahang. Kemudiannya, ketika pemerintahan Sultan Ahmad (putera Sultan Mahmud) angkatan Portugis telah menyerang dan menduduki Melaka pada tahun 1511. Sultan Ahmad dan ayahandanya, Sultan Mahmud telah berundur hingga akhirnya mendirikan kerajaan Melaka di Bintan. Apabila Sultan Ahmad mangkat di Bintan, teraju pemerintahan disandang kembali oleh Sultan Mahmud.

Gambaran Istana zaman Kesultanan Melayu Melaka


Pada tahun 1526, pusat kerajaan Melaka di Bintan telah dikalahkan oleh Portugis. Kota Kara dan Kota Kopak telah dimusnahkan lalu sultan Mahmud berundur ke Kampar. Dengan itu pusat kerajaan Melaka kini adalah di Kampar.

Pada tahun 1528, sultan keturunan Melaka masih memerintah Pahang. Setelah sultan Mahmud mangkat, putera baginda, Raja Ali telah dilantik sebagai penganti. Baginda bergerak ke Pahang dan seterusnya ke Johor dan mengasaskan kerajaan Johor pada tahun 1528. Raja Ali bergelar Sultan Alauddin Riaayat Shah. Manakala kekanda baginda, Raja Muzaffar dibawa oleh Tun Shaban ke Tanah Abang, Perak dan ditabalkan sebagai Raja Perak bergelar Sultan Muzaffar Shah.

Kerajaan Johor yang diasaskan oleh Sultan Alauddin Riaayat Shah mencapai kemuncak ketika pemerintahan Sultan Abdul Jalil Shah III. Ketika dalam pemerintahan baginda, Pahang menjadi sebahagian daripada kerajaan Johor dan Pahang tidak lagi mempunyai sultan yang memerintah negeri lagi kerana Sultan Abdul Jalil Shah merupakan sultan bagi Johor dan Pahang.

Kerajaan Johor kemudiannya mengalami kemerosotan dan membawa kemunculan kerajaan Melayu baru yang terdapat sehingga kini.

Dalam pemahaman aku melalui keterangan yang diberikan jelaslah menyatakan keturunan kesultanan Melaka telah tersebar ke Perak, Pahang dan Johor. Namun mengikut ahli sejarah, keturunan kesultanan Melayu Melaka yang benar-benar adalah di Perak. Jadinya, tidak hairanlah bahawa Keris Taming Sari sekarang berada di Istana Sultan Perak. Wallahuaklam.

Kesimpulan yang boleh aku buat ialah, kesultanan Melayu Melaka tidak pernah mati walaupun Melaka tidak bersultan, kerana pewaris-pewarisnya tetap ada memerintah negeri-negeri yang dahulunya adalah empayar kerajaan Melaka juga.

Saturday, November 20, 2010

PANGGILAN TELEFON DARI SULTAN MELAKA

Sebagaimana semua orang tahu, negeri Melaka merupakan sebuah negeri yang tidak bersultan. Tetapi yang memeningkan kepala aku dalam minggu ini ialah menerima panggilan telefon dari seseorang yang mendakwa dirinya sebagai "Sultan Melaka". Dalam minggu ini sahaja lebih dari 7 kali aku menerima panggilan telefon dari "baginda".





Sebenarnya, orang tersebut dikatakan sebagai "something wrong". Dia telefon aku untuk tinggal "bersemayam" di Muzium Istana Kesultanan Melaka, tempat aku bekerja sekarang. Tak cukup dengan membuat panggilan telefon pejabat, handphone aku juga ditelefonnya. Siapalah yang memberikan nombor telefon aku padanya.

Dia minta aku bagi kebenaran untuk tinggal di dalam Muzium Istana Kesultanan Melaka. Aku yang tahu dirinya sebagai "something wrong", aku pun melayan sajalah. Aku beritahu padanya Muzium Istana Kesultanan Melaka tidak boleh tinggal kerana banyak patung-patung. Lepas itu dia suruh aku cari istana lain untuk dirinya. Aduhai... Macam-macam. Dia siap bahasa dirinya sebagai "beta". Nasib baik aku tak bahasakan diri aku sebagai "patik".

Baru lepas tadi "baginda" telefon lagi. Puas aku melayannya. Sudahlah, malas nak cerita pasal "sultan" ni lagi.