Showing posts with label stadthuys. Show all posts
Showing posts with label stadthuys. Show all posts

Monday, November 18, 2024

Kopi dan Kek


Melangkah masuk ke Stadthuys Cafe, yang terletak di dalam bangunan Muzium Sejarah Melaka iaitu di bangunan Stadthuys membawa aku ke suasana yang penuh nostalgia. Ruangannya yang klasik dengan sentuhan kolonial membuatkan aku terasa seperti berada di zaman lampau, namun tetap selesa dan mesra. Bau harum kopi menyapa deria sebaik sahaja aku melangkah masuk. Suasana kafe ini memang tenang, sesuai untuk bersantai sambil menikmati hidangan ringan.

Kafe ni sebenarnya berada dekat saja dengan pejabat aku. Kalau aku toleh ke tingkap, kelihatan kafe ini di aras bawah pejabat aku.

Aku memesan secawan hazelnut coffee dan sepotong kek. Kopinya enak dengan aroma yang memikat, cukup untuk membuatkan aku menikmati keenakan di setiap hirupan. Manakala keknya, dengan gabungan rasa manis coklat yang lembut, benar-benar melengkapi situasi santai ini. Memang terasa seperti satu kombinasi sempurna untuk melupakan sejenak kesibukan bekerja.

Sambil menikmati kopi dan kek, dapat melihat para pelancong dari dalam dan luar negara turut melepak di kafe ini. Orang ramai boleh berkunjung ke kafe ini, bukan sekadar menikmati makanan dan minuman, tetapi juga menyerap suasana bersejarah Melaka. Bagi aku, ini adalah salah satu cara terbaik untuk menghargai keindahan dan warisan kita.

Tapi gambar ini bukan gambar hari ini. Ia berlaku pada beberapa minggu yang lalu. Cuma hari ni baru berkesempatan untuk membuat post di blog. 

Kalau sesiapa yang berkunjung ke Melaka, singgahlah ke kafe ini dan jangan lupa juga untuk melawat ke Muzium Sejarah Melaka. 

Tuesday, October 8, 2024

Stadthuys : Muzium Sejarah & Etnografi

Pada zaman pemerintahan Belanda di Melaka, bangunan ini dikenali dengan beberapa nama seperti Gouvernement, Governeurs Huy, Wohnung des Gouverneurs atau Gouverneurs Woonink. Pada zaman pemerintahan British pula, bangunan ini terus digunakan oleh pihak British dan dikenali sebagai Government House, Stadthouse atau Stadthaus. Di zaman Melaka moden, bangunan ini dikenali sebagai Pejabat Kerajaan dan Bangunan Merah dan sehingga kini disebut sebagai Stadthuys.



Bangunan Stadthuys dibina sekitar tahun 1650-an, setelah Belanda mengambil alih Melaka dari Portugis pada tahun 1641. Ia berfungsi sebagai kediaman rasmi dan pejabat Gabenor Belanda. Bangunan ini mempunyai keluasan 49,200 kaki persegi dengan ketinggian empat tingkat mengikut teres Bukit Melaka (Bukit St. Paul). Pada asalnya, bangunan ini berwarna putih, namun dicat merah sekitar tahun 1910-an.

Semasa pemerintahan Belanda, selain berfungsi sebagai kediaman Gabenor, bangunan ini juga menempatkan pejabat setiausaha, pejabat perdagangan, bilik sembahyang, ruang makan, rumah tetamu, kuarters pekerja, rumah ketua pedagang, penjara, gudang, halaman dan kedai roti.

Apabila British mengambil alih Melaka pada tahun 1825, bangunan ini dijadikan sebagai pusat pentadbiran kerajaan British di Melaka. Selepas kemerdekaan Persekutuan Tanah Melayu, Kerajaan Negeri Melaka terus menggunakannya sebagai pejabat Ketua Menteri dan pejabat kerajaan sehingga tahun 1979.

Idea untuk menjadikan bangunan ini sebagai muzium bermula pada 17 Disember 1982, apabila batu asas Muzium Negeri Melaka didirikan menandakan permulaan transformasi Stadthuys sebagai Muzium Sejarah Negeri Melaka. Upacara perletakan batu asas ini disempurnakan oleh mantan Perdana Menteri Malaysia, Tun Dr. Mahathir Mohamad. Sebahagian ruang di dalam Stadthuys mula berfungsi sebagai Muzium Sejarah Melaka sehingga tahun 1986.

Bangunan ini telah mengalami banyak perubahan sejak zaman British dan era moden Melaka dengan tambahan beberapa ruang, tetapi kerja-kerja konservasi pada tahun 1986 oleh Jabatan Kerja Raya (JKR) berusaha mengembalikan bangunan ini kepada bentuk asalnya. Objektif utama kerja konservasi ini adalah untuk menjadikan seluruh bangunan Stadthuys sebagai muzium.

Pada 16 April 1992, Muzium Sejarah dan Etnografi yang terletak di dalam bangunan Stadthuys telah dirasmikan oleh mantan Perdana Menteri Malaysia, Tun Dr. Mahathir Mohamad dan ia kekal berfungsi hingga ke hari ini. Muzium ini menampilkan pameran dan bahan sejarah bermula dari zaman Kesultanan Melayu Melaka, penjajahan Portugis, Belanda, Inggeris sehinggalah kepada kemerdekaan Persekutuan Tanah Melayu.

Sumber rujukan :

Dennis De Witt. History of the Dutch in Malaysia : In Commemoration of Malaysia’s 50 Years as an independent nation and over four centuries of friendship and diplomatic ties between Malaysia and the Netherlands. Malaysia : Nutmeg Publishing, 2011.

Laurens Vis. The Stadthuys of Malacca : Restoration Proposal. Kuala Lumpur, Malaysia : Muzium Negara, 1982.

65 Tahun Muzium Melaka : Sejarah, Cabaran dan Pencapaian 1954 – 2018. Melaka : Perbadanan Muzium Melaka. 2018.

Plan van alle de bolwerken ofte punten, oock alle andere principale platesen en Packhuysen binnen de stadt en fortresse Malacca enz. 1656.

Plan van Malaccas Grondteyckeningh, waarop twee projecten ter verkleining der vestingwerken. 1663.

Heydt, Johann Wolfgang. Plan oder Grund Riss der Stadt u. Vest. Malacca. 1735.

Artikel ini dibuat bagi penambahbaikan artikel yang INI.

Tuesday, August 22, 2023

Bakal ke Kaca Televisyen Sekali Lagi?

Pada hari ini, aku berpeluang membantu menjayakan pengambaran rancangan televisyen bertajuk "Mercu". Rancangan ini dijadualkan untuk ditayangkan di saluran RTM menjelang penghujung tahun 2023 atau awal tahun 2024. 

Mercu merupakan sebuah rancangan santai 13 episod yang memaparkan bangunan-bangunan yang menjadi mercu tanda bagi negeri-negeri di Malaysia. Di Melaka, bangunan Stadthuys yang menempatkan Muzium Sejarah dan Etnografi menjadi salah satu episod bagi rancangan ini. Justeru, bos telah mengarahkan aku untuk membantu menjayakan pengambaran ini.

Dalam pengambaran ini, aku telah ditemubual oleh Anas Ridzuan yang memainkan peranannya sebagai pengacara rancangan. Banyak jugalah soalan-soalan yang ditanyakan, namun aku rasa macam tak puas bercakap. Banyak lagi yang aku boleh terang dan jelaskan tapi mungkin kerana masa tayangannya tak lama, jadi hanya babak-babak yang pendek sahaja temubual dijalankan.

Pengalaman membantu menjayakan pengambaran rancangan Mercu adalah satu perjalanan yang berharga bagi diri aku walaupun pengambarannya hanya seketika iaitu kira-kira 2 jam. Kepentingan ilmu pengetahuan merupakan tunjang utama dalam menjayakan satu-satu hal dalam memastikan masyarakat dapat turut mendapat maklumat yang betul lagi tepat.



Bersama Anas Ridzuan, pengacara Mercu

Bersama kru pengambaran

Sunday, September 6, 2020

MENARA JAM BERDEKATAN STADTHUYS


 

Wednesday, May 27, 2020

EVOLUSI BANGUNAN STADTHUYS


1650-an 
Bangunan Stadthuys telah dibina oleh pemerintah Belanda bagi menempatkan pusat pentadbiran pemerintah dan kediaman gabenor Belanda di Melaka. 

1820-an 
Apabila British menjajah Tanah Melayu, bangunan Stadthuys terus digunakan oleh pihak British sebagai pusat pemerintahan. Semasa zaman ini, bangunan Stadthuys telah ditokok tambah bangunannya selari kehendak dan keperluan semasa. 

1933 
Persatuan Sejarah Melaka telah menubuhkan Muzium Sejarah Melaka (Melaka Historical Museum) di dalam salah sebuah bilik yang terdapat di dalam bangunan Stadthuys. 

1957 
Setelah negara mencapai kemerdekaan, bangunan Stadthuys terus digunakan sebagai pusat pentadbiran menempatkan pejabat-pejabat kerajaan negeri dan persekutuan. Antara pejabat kerajaan yang terdapat di bangunan ini ialah pejabat Ketua Menteri Melaka, Jabatan Pentadbiran Negeri, Pejabat Tanah dan Daerah, Jabatan Buruh, Jabatan Pendaftaran dan lain-lain. 


1980 
Apabila pejabat-pejabat kerajaan negeri dan persekutuan berpindah ke Jalan Hang Tuah. Bangunan ini tidak dibiarkan kosong, ia kemudian menempatkan pejabat-pejabat badan berkanun negeri Melaka. Selain itu, pejabat Antikuiti Wilayah Selatan juga telah ditempatkan di dalam bangunan ini. 

1982 
Pada akhir tahun 1982, ruang utama bangunan Stadthuys telah dijadikan sebagai muzium sejarah sementara bagi mengantikan Muzium Melaka yang terletak di Jalan Kota. Dalam masa yang sama, kerajaan negeri merancang untuk memulihara keseluruhan bangunan Stadthuys untuk dijadikan sebuah muzium yang besar bagi negeri Melaka. Pada 17 Disember 1982, YAB. Datuk Seri Dr. Mahathir Mohamad, Perdana Menteri Malaysia telah merasmikan batu asas Muzium Sejarah Melaka. Perletakkan batu asas ini kemudiannya menjadi titik permulaan bermulanya peranan bangunan Stadthuys sebagai Muzium Sejarah Negeri Melaka. 

1986 
Kerajaan negeri Melaka melalui Jabatan Kerja Raya (JKR) telah memulakan kerja-kerja restorasi keseluruhan bangunan Stadthuys. Kerja-kerja restorasi dibahagikan kepada dua fasa iaitu fasa pertama melibatkan bahagian atas dan luar bangunan. Manakala fasa dua pula merangkumi bahagian dalam dan kekuat bangunan. Kerja-kerja ini telah siap sepenuhnya pada tahun 1990. 

1991 
Bermulanya kerja-kerja susun atur pameran di dalam bangunan ini. Pada awalnya dicadangkan muzium ini dinamakan Muzium Sejarah Melaka, namun disebabkan ruangnya yang luas yang boleh menempatkan pelbagai pameran lain berkaitan negeri Melaka, ia dinamakan Muzium Sejarah dan Etnografi. 

1992 
Muzium Sejarah dan Etnografi telah dirasmikan oleh YAB. Datuk Seri Dr. Mahathir Mohamad. 

2009 
Bangunan Stadthuys telah didaftarkan sebagai Warisan Kebangsaan di bawah Akta Warisan Kebangsaan 2005 (Akta 645) oleh Jabatan Warisan Negara.

Friday, December 5, 2014

PAMERAN STADTHUYS : WARISAN SEJARAH


Assalamualaikum dan Salam Sejahtera.

Dengan nama ALLAH yang MAHA PEMURAH lagi MAHA MENGASIHANI. Selawat dan Salam buat nabi junjungan NABI MUHAMMAD S.A.W.

Bagi peminat-peminat seni visual, bolehlah berkunjung ke Pameran Stadthuys : Warisan Sejarah yang diadakan di Balai Seni Lukis Melaka. 

Para pelukisnya terdiri daripada para pensyarah dari Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) yang telah bermula 5 November yang lalu dan akan berakhir pada 28 Disember 2014.

Apa lagi, jomlah beramai-ramai hadir untuk melawat ke pameran ini.


Ini bukan peserta Pencetus Ummah


Seputar di majlis perasmian


Riben menunggu untuk dipotong


Dirasmikan oleh YBhg. Datuk Wira Haji Hamdin Abdollah





Berikut beberapa sudut pameran dan lukisan-lukisan / arca yang dipamerkan.









Saturday, September 15, 2012

BANGUNAN STADTHUYS

Assalamualaikum dan Salam Sejahtera.

Terlebih dahulu saya ingin menyatakan bahawa, entri ini ditulis sebagai sedikit rujukan dan panduan kepada para pengkaji dan pelajar-pelajar yang memerlukan maklumat berkaitan Stadthuys. Saya juga mendapat maklumat ini melalui rujukan dan pembacaan. Jadinya, sama-samalah kita saling berkongsi ilmu.

------------------------------------------

Apabila ke negeri Melaka, pastinya ada teringatkan Bangunan Merah di Bandar Hilir, Melaka. Bangunan Merah ini sebenarnya ialah sebuah bangunan muzium di mana ia dikenali sebagai Muzium Sejarah dan Ethnografi.

Pada awalnya, ia merupakan sebuah Dewan Bandaran semasa pemerintahan Belanda di Melaka. Nama asal bangunan ini ialah Stadthuys. Bangunan ini telah dibina sekitar tahun 1650-an setelah Belanda mengambil alih Melaka daripada tangan Portugis pada tahun 1641.

Dengan mengikut teres Bukit St. Paul, bangunan Stadthuys ini mempunyai 4 tingkat. Keluasan bangunan ini pula adalah 49,200 kaki persegi.



Bangunan Stadthuys ini pernah menjadi tempat kediaman Gabenor Belanda sehingga awal kurun ke-18. Selain itu, ia juga merupakan pusat pentadbiran Belanda sehingga tahun 1824.

Pada zaman pemerintahan Inggeris, bangunan Stadthuys ini terus digunakan oleh pihak British sebagai pusat pentadbirannya. Terdapat juga penambahan struktur bangunan yang dilakukan oleh pentadbiran British, namun ia tetap mengekalkan seni bina Belanda seperti dinding batu yang tebal serta pintu-pintu dan tingkap-tingkap yang besar. Fungsi pintu-pintu dan tingkap-tingkap yang besar ini adalah untuk memberikan pengudaraan yang lebih kepada bangunan yang besar ini.

Selepas zaman kolonial, bangunan Stadthuys terus dijadikan pusat pentadbiran oleh kerajaan negeri Melaka sehinggalah ke tahun 1979. Warna asal bangunan ini ialah warna putih namun ia telah dicat warna merah sehinggalah kini bangunan ini dikenali sebagai Bangunan Merah. Adalah dipercayai bahawa bangunan ini mula dicat dengan warna merah pada tahun 1920-an.

Semasa kerja-kerja konservasi dijalankan di bangunan Stadthuys pada tahun 1985 yang mengambil masa 4 tahun, terdapat beberapa komponen dan jumpaan baru telah ditemui. Antaranya ialah sistem perparitan zaman Belanda di mana ia terletak di dalam bawah bangunan ini. Sekiranya dahulu, hanya dapat dilihat sistem perparitan zaman British di luar bangunan ini, setelah kerja-kerja konservasi dijalankan, barulah dijumpai sistem perparitan Belanda. Ia dipercayai berlingkaran di bawah bangunan ini hingga ke penghujung bangunan dan air terus disalurkan ke Sungai Melaka.

Terdapat juga jumpaan 2 buah perigi Portugis dan Perigi Belanda yang terletak di bahagian halaman bahagian dalam. Ia mungkin telah dikambus oleh pihak Belanda/British semasa kerja-kerja membina bangunan Stadthuys dan proses pengubahsuaian bangunan.Perigi ini dibina dengan menggunakan batu laterit yang sememangnya sinonim dengan binaan Portugis sepertimana mereka mendirikan Fortaleza De Malaca (Kota Melaka). Kini perigi ini dapat dilihat setelah kerja-kerja konservasi tersebut dijalankan. Namun, perigi ini telah kering dan tidak digunakan lagi.

Untuk memasuki kompleks Stadthuys ini para pelawat dikenakan bayaran sebanyak RM20.00 untuk dewasa manakala RM10.00 untuk kanak-kanak. Pelawat yang mempunyai Mykad (pelawat Malaysia) diberikan diskaun 50% menjadikan bayaran tiket hanya RM10.00 untuk dewasa dan RM5.00 untuk kanak-kanak. Bayaran tiket ke kompleks ini bersekali dengan kemasukan ke Muzium Sastera, Muzium Pendidikan, Muzium Pemerintahan Demokrasi, Muzium Tuan Yang Terutama dan juga Galeri Laksamana Cheng Ho.

Like Facebook ini untuk maklumat lanjut >> KLIK <<