Showing posts with label seluar rosak. Show all posts
Showing posts with label seluar rosak. Show all posts

Friday, January 3, 2025

Sekelip Mata Kau Berubah

Ini bukan soal cinta. Bukan juga berkaitan dengan lagu kumpulan Lestari. Ini semua pasal seterika. Ya, seterika!

Nak dijadikan cerita, malam tadi aku seterika seluar kerja untuk dipakai hari ini. Dalam syok menggosok seluar, anak pula datang bertanya sesuatu. Aku toleh ke arah anak sambil seterika di tangan melekap di seluar. Sekali tengok semula, angkat seterika, tu dia... bercap di seluar. Huk aloh! Sekelip mata kau berubah. 


Memang dah tak boleh pakai lagilah seluar ni untuk ke pejabat. Buat seluar basahan lah jawabnya. Pakai untuk berkebun belakang rumah. 

Yang menyedihkan lagi, seluar ni baru saja aku beli. Beli 2 helai seluar dan 2 helai baju untuk dipakai semasa bekerja bagi memulakan tahun baharu. Jadi, sekarang tinggal sehelai sahaja seluar baharu.

Seluar ni selesa dipakai. Kainnya lembut dan licin. Sayangnya sudah rosak. Takpelah, mungkin rezeki nak memakaikan sampai di sini sahaja. Nanti ada masa, aku belilah semula.

Kain seluar pun melekat sedikit di permukaan seterika. Apa aku buat? Aku membuat carian di YouTube bagi mendapatkan cara untuk membersihkan permukaan seterika. Ok jumpa. 

Senang saja, guna ubat gigi. Aku sapukan ubat gigi di permukaan seterika, tinggalkan dalam beberapa minit kemudian lap. Siap! Seterika kembali licin seperti sedia kala.

Pengajarannya, jangan alpa semasa menggosok pakaian, buruk padahnya. Hehe. Dapat sesuatu?