Showing posts with label sekolah. Show all posts
Showing posts with label sekolah. Show all posts

Monday, January 15, 2024

Tidak Semua Meminati Siti Nurhaliza

Sebab masih ramai lagi yang lebih meminati P. Ramlee, Ella, Ziana Zain, Jamal Abdillah mahu pun Awie.
 
Gambar sekadar hiasan


Tidak semua minat nak jadi doktor, jurutera atau peguam. Sebab ada juga yang minat untuk menjadi mekanik, tukang kayu profesional dan juga ahli perniagaan. 

Begitu jugalah dengan anak-anak kita terutamanya yang baru mengambil Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) . Bukan semua boleh lulus cemerlang, kerana IQ masing-masing adalah berbeza dan ini akan terdapat keputusan yang kurang cemerlang. 

Akan tetapi, itu bukan bermakna mereka GAGAL atau BODOH. Mereka sekadar tidak cemerlang dalam akademik, tapi pastinya ada bidang-bidang lain yang boleh membuatkan mereka cemerlang. 

Sebagai ibu bapa, kita tidak boleh hanya memberi lebih sokongan kepada anak yang cemerlang (banyak A) tetapi kita juga harus memberikan sokongan serta lebih galakkan untuk anak yang kurang mendapat A. Ini kerana kehidupan mereka tidak terhenti selepas mendapat keputusan SPM. Perjalanan mereka masih jauh dan pelbagai kejutan yang kita sendiri tidak percaya ia boleh berlaku.

Sekiranya tidak berjaya memohon ke universiti, masih boleh menggalakkan anak memohon jurusan teknikal seperti di politeknik, kolej komuniti atau mana-mana pusat pembelajaran berkaitan teknikal. Zaman sekarang,  jurusan teknikal antara bidang yang mempunyai ruang pekerjaan yang banyak dan mudah mendapat pekerjaan berbanding bidang lain. 

Justeru, sama-samalah para ibu bapa memberi sokongan dan dokongan kepada anak tidak kira sama ada mereka cemerlang atau sebaliknya. 

Apa yang lebih penting kejayaan yang harus kita dambakan ialah kejayaan di akhirat kelak. Pupuklah anak untuk mengenali Allah dan Islam. 

Monday, May 1, 2023

Kenali Potensi Anak

Kesilapan aku ialah menganggap apa yang keluar dari mulut anak aku hanya sebagai angin lalu. Dia kata suka main bola, dia kata lariannya pantas sehingga sering mengalahkan rakan-rakan sekelasnya semasa mata pelajaran Pendidikan Jasmani. Namun, aku sekadar mendengar dan tidak mengambil serius.

Sehinggalah pada satu ketika anak aku, Muhammad Firas Faiq berusia 8 tahun menyatakan dia terpilih untuk mewakili sekolah dalam acara pertandingan bola sepak jemputan St. Michael's Soccer Association Melaka Cup (SMSA Melaka Cup 2023) bawah 8 tahun yang telah diadakan pada 11 - 12 Mac 2023 lalu yang diadakan di Stadium Hang Tuah, Melaka.

Sebagai seorang penyerang, pada hari pertama dia telah menjaringkan 3 biji gol dalam 4 perlawanan. Walaubagaimanapun, pasukannya tidak berjaya ke pusingan seterusnya. Hari berikutnya, pasukan yang tidak berjaya bertanding pula dalam Frienship Cup. Namun pasukannya sekadar menduduki tempat ke-7 secara keseluruhan. Nampak bakatnya di situ, sekiranya digilap, insyaallah boleh terus mewakili sekolah pada tahun-tahun berikutnya. 

Tiga biji gol sahaja ayah...

Besar harapan aku, agar suatu hari dia berjaya menjadi pemain bola sepak profesional seperti sepupunya Nizarruddin Jazi yang kini bermain di JDT2. Atau sekurang-kurangnya perlulah mengatasi aku sebagai ayahnya yang bermain bola sepak untuk sekolah hingga ke peringkat daerah. Hihi.


Muhammad Firas Faiq bersama pasukannya

Thursday, January 8, 2015

SEKOLAH DARJAH SATU


Assalamualaikum dan Salam Sejahtera.

Dengan nama ALLAH yang MAHA PEMURAH lagi MAHA MENGASIHANI. Selawat dan salam buat nabi junjungan NABI MUHAMMAD S.A.W.

Menulis entri ini membuatkan aku sedikit sebak. Teringat kisah-kisah lalu. Benarlah hidup ini umpama roda. Ia berputar. Kalau dahulu, abah yang menghantar aku ke sekolah, kini tiba masanya pula aku menghantar anak aku ke sekolah.

Dulu, tiada kereta. Abah hantar dengan menaiki motorsikal Honda kapcai. Sekiranya hujan, dengan plastik abah bungkus aku, untuk mengelakkan dari terkena hujan. Besar penuh pengobanan abah. Namun, anak aku kini agak bernasib baik, pergi ke sekolah dihantar dengan kereta. 

Pejam celik, pejam celik, anak sulong aku Muhammad Fahim sudahpun berusia 7 tahun dan memasuki alam persekolahan. Tiada apa yang aku harapkan, cuma dia menjadi insan yang berguna pada agama, bangsa dan negara.

Aku agak bernasib baik kerana dia minat nak pergi sekolah. Hari tu sudah pergi hari orientasi, nampak dia tak kekok. Mungkin sebab sudah terbiasa dengan sekolah tadikanya dahulu selama 3 tahun.







Thursday, October 17, 2013

PERMAINAN ZAMAN PERSEKOLAHAN


Assalamualaikum dan Salam Sejahtera.

Dengan nama ALLAH yang MAHA PEMURAH lagi MAHA MENGASIHANI. Selawat dan Salam buat nabi junjungan NABI MUHAMMAD S.A.W.



Ada siapa yang tak pernah main permainan seperti gambar di atas? Kalau tak pernah, memang tak LAGEND le.. 

Budak zaman dulu mana ada Tab, Iphone, Ipad, Play Station, jadi inilah permainan yang paling murah dengan hanya menggunakan sehelai kertas dan sebatang pensil. 

Bukan tu saja, otak mereka pun ligat berpusing memikirkan jawapan-jawapan yang perlu diisi. Kalau permainan dimulakan dengan huruf 'A', mereka perlu memikirkan NAMA, TEMPAT, BENDA, BINATANG yang bermula dengan huruf 'A'. 

Selepas habis masa ditetapkan, semak pula jawapan dengan kawan-kawan yang main bersama. Kalau dapat jawab maka dapat 10 markah. Kalau tak dapat jawab, 0 markahlah jawabnya. Tapi kalau jawapannya sama, dapatlah seorang 5 markah.

Hehe.. Ada yang pernah main permainan ni? Amat nostalgiakan?

Saturday, October 5, 2013

BENTUK HUKUMAN DI SEKOLAH : WAJAR ATAU TIDAK?


Assalamualaikum dan Salam Sejahtera.

Dengan nama Allah yang Maha Pemurah lagi Maha Mengasihani. Selawat dan Salam buat nabi junjungan Nabi Muhammad S.A.W.

Masa di sekolah rendah dan menengah dulu, denda merupakan suatu yang biasa bagi aku. Iyalah, aku ni pun bukannya baik sangat, mangkau (bahasa Melaka) jugak. Setakat kena rotan, kena gunting misai, sideburn, memang biasa dah.

Dulu, kalau nak mengadu dengan mak bapa pasal kena denda, memang tak lah. Silap-silap lagi kena tambah dengan mak bapa. 

Gambar sekadar hiasan. Rujukan gambar KLIK

Baru-baru ni, aku ada terbaca larangan kepada guru-guru sekolah mengenakan denda kepada murid-murid bagi denda-denda yang berikut :

HUKUMAN TERHADAP FIZIKAL

1. Berdiri lama di tengah panas
2. Lari keliling padang
3. Berdiri lama dalam / luar bilik darjah
4. Memukul diri sendiri / sesama sendiri
5. Berdiri di atas kerusi / meja
6. Menarik rambut / telinga
7. Belasah dengan alat seperti tali pinggang atau pembaris
8. Junjung kerusi atau buku
9. Cubit
10. Enjut / ketuk ketampi
11. Ketuk / sekel kepala

HUKUMAN TERHADAP MENTAL DAN EMOSI

1. Gunting rambut
2. Berdiri membuat latihan
3. Berleter
4. Gantung tulisan di badan
5. Memalukan dikhalayak ramai
6. Kelas tahanan pada waktu rehat
7. Memaki hamun
8. Conteng muka dengan kapur
9. Koyak buku latihan
10. Mengugut atau mengertak murid
11. Tidak menanda buku latihan
12. Tidak menghiraukan murid

Aku tak pastilah kewajaran larangan denda-denda tersebut tidak dipraktikan lagi di sekolah. Dulu ramai yang tak kisah, tapi sekarang ramai yang ambil kisah. Sama ada memanjakan anak atau memang tak mahu anak didenda oleh guru.

Pada peribadi aku sendiri, aku agak tidak kisah sekiranya anak aku didenda sedemikian rupa oleh guru. Kalau betul dia bersalah, terpulang pada cikgu untuk menghukumnya. Namun, dalam mengenakan denda, perlulah dengan niat untuk mengajar dan tidak sampai mengalami kecederaan.

Bagi aku, hukuman adalah pengajaran supaya seseorang murid tidak melakukan kesalahan yang sama sekali lagi. Apabila mengenangkan denda-denda yang pernah aku kena dahulu, sama sekali aku tidak menyimpan dendam kepada guru-guru. Malahan aku terfikir, sekiranya aku tidak didenda, mungkin aku akan jadi lebih malas dan bermasalah. 

Mengenangkan kesalahan-kesalahan yang lalu, iya, memang benar setiap denda merupakan hukuman kepada kesalahan-kesalahan yang dilakukan baik dari segi pelajaran mahupun disiplin. Jadi, tidak salahlah hukuman itu dikenakan terhadap aku kerana keingkaran yang dilakukan.

Namun, melihat pada bentuk-bentuk hukuman di atas, aku lihat ada yang masih boleh dikekalkan dan ada yang memang patut dihapuskan. Sebenarnya tak semua perlu dimansuhkan.

Pendapat korang pula macam mana?

Monday, August 19, 2013

MARI MEWARNA


Assalamualaikum dan Salam Sejahtera.

Dengan nama Allah yang Maha Pemurah lagi Maha Mengasihani. Selawat dan Salam buat nabi Muhammad S.A.W.

Esok budak-budak sekolah sudah akan kembali ke sekolah, termasuklah anak lelaki aku yang sulong ni, Muhammad Fahim. 

Dari awal sekolah bercuti, aku sudah bertanya kepada anak aku ni, ada kerja sekolah ke tidak. Dia menjawab tiada. Namun, di dalam hati aku tidak mempercayainya. Mana mungkin cuti yang agak panjang tapi cikgu tidak memberikan kerja sekolah.  

Kesilapan aku ia tidak memeriksa beg sekolah dia. Agak terlupa dek teruja berhari raya. Kebiasaannya pada hujung minggu pasti aku akan memeriksa beg sekolahnya untuk memastikan sama ada mempunyai kerja sekolah atau tidak.

Malam tadi setelah dari petang pergi berhari raya, balik saja rumah aku memeriksa beg anak aku. Rupa-rupanya ada 3 kerja sekolah yang harus disiapkan. Nasib baiklah anak aku tidak tidur lagi, terus aku menyuruhnya siapkan kerja sekolah tersebut. Seperti biasa, akulah yang selalu membantu dia dalam membuat kerja sekolahnya. 

Mari mewarna... Hehehe

Sekejab saja kerja sekolahnya siap. Tidak banyak mana pun. Tapi memang macam inilah selalunya. Kalau dia buat kerja sekolah memang kena 'mengadap', kalau tidak memang susah dia nak buat sendiri. Maklumlah, dia ni pun baru TADIKA. 

Peringatan pada diri sendiri dan para pembaca, sila periksa beg sekolah anak anda. Periksalah sama ada dia mempunyai kerja sekolah ke tidak, supaya anak kita kelak tidak tertinggal pelajarannya. Sekian terima kasih. :) 

Monday, July 29, 2013

AKU MAKAN TEPI LONGKANG PUN TAKDE NAK KECOH!


Assalamualaikum dan Salam Sejahtera.

Dengan nama Allah yang Maha Pemurah lagi Maha Mengasihani. Selawat dan Salam buat nabi junjungan Nabi Muhammad S.A.W.

Bukan niat aku untuk mengungkit kembali perkara yang sudah selesai, cuma aku terpanggil untuk menulis setelah melihat status Facebook seorang rakan aku dan juga seorang penulis blog yang menulis berkaitan isu ini.

Teringat masa zaman sekolah rendah dulu, kalau masa rehat saja berebut-rebut membeli makan di kantin sekolah. Kalau terlambat ambil makanan, kerusi di kantin sekolah pastinya akan penuh. Justeru, mana-mana murid yang lambat tu terpaksalah makan sambil duduk mencangkung mengadap longkang. Bukan taknak makan tempat lain, tapi kami semua dah biasa dan 'enjoy' makan begitu. Longkang tu taklah kotor, kalau kotor mahunya tak makan di situ.


Gambar sekadar hiasan. Rujukan gambar KLIK

Bukan sekali, tetapi memang dah lali. Memang biasa makan tepi longkang. Masa tu takdelah nak bising-bising nak lapor pada polis ke, nak masuk dalam facebook ke (dulu takde facebook), tapi sekarang ni, pihak sekolah naiktaraf bilik persalinan untuk dijadikan kantin sementara pun dah heboh satu Malaysia. Padahal kantin sementara tersebut telah lama digunakan bukan pada bulan Ramadhan ianya bermula.

Inilah namanya main 'serkap jarang'. Sengaja mahu membuat fitnah tanpa usul periksa terlebih dahulu. Tak pasal-pasal heboh satu Malaysia lepas tu dikira sebagai isu agama dan perkauman pula tu. Aduhai, lain kali berhati-hatilah dalam membuat kenyataan.

Moral dari cerita ini, jangan menyebarkan sebarang berita tanpa usul periksa. Fitnah, fitnah, dan fitnah memang sedang berleluasa, berhati-hatilah.

PS : Kalau ada yang tak terperasan isu ini, boleh rujuk >> KLIK <<

Saturday, September 15, 2012

TIPS MENJADI PENGAWAL KESELAMATAN YANG CEMERLANG


Assalamualaikum dan Salam Sejahtera.

Hari ini saya hendak berperanan sebagai Ketua Pengarah Pengawal Keselamatan, pasal itu saya mahu memberikan Tips Menjadi Pengawal Keselamatan Yang Cemerlang. Bukan apa, ada cerita di sebalik tips yang saya mahu berikan ini. Hendak tahu apa ceritanya, bacalah hingga ke akhir perenggan.

Kalau sebut saja pasal pengawal keselamatan, semua orang tahu. Mereka berperanan untuk mengawal keselamatan premis seperti pejabat kerajaan dan swasta, bank, stadium, kawasan pembinaan dan pelbagai lagi. Di kalangan orang-orang biasa ia lebih dikenali sebagai Pak Guard.

Gambar sekadar hiasan

Namun, pengawal keselamatan ini ada yang kerjanya baik dan ada yang sebaliknya. Tetapi dalam pengalaman saya berurusan atau mengenali pengawal keselamatan, kebanyakannya bermasalah. Baik dari masalah disiplin, moral, personaliti diri dan sebagainya. Jadi di sini saya sebagai pemerhati dan terlibat secara langsung bagi memantau aspek-aspek keselamatan ini ingin memberikan beberapa Tips Menjadi Pengawal Keselamatan Yang Cemerlang.

1) Hendaklah selalu berpakaian kemas dan segak.

2) Sentiasa memberikan senyuman kepada pelawat / tetamu.

3) Bertutur dengan tegas tetapi mengekalkan kesopanan dalam pertuturan.

4) Sentiasa menghormati pelawat / tetamu.

5) Tidak tidur semasa dalam bertugas.

6) Kerap melakukan rondaan untuk mengawal keselamatan.

7) Tidak meninggalkan pos kawalan sesuka hati.

8) Sentiasa patuh pada arahan ketua dan kakitangan tempat bertugas.

9) Selalu pastikan keadaan pos kawalan dan persekitarnnya bersih dan teratur.

10) Amalkan sikap memberi salam / hormat kepada pelawat / tetamu dan juga kakitangan tempat bertugas.

11) Melaksanakan segala tugasan di dalam prosedur yang telah ditetapkan.

Inilah sebahagian dari tips yang dapat saya berikan. Saya amat pasti, sekiranya mereka mengikut tips yang diberikan insyaallah profesion pengawal keselamatan akan menjadi lebih profesional dan martabat mereka sebagai pengawal keselamatan dapat diangkat tinggi.

Agaknya, sebab apakah yang membuatkan saya membuat entry mengenai Tips Menjadi Pengawal Keselamatan Yang Cemerlang ini???

Sebenarnya ada sesuatu yang berlaku pada kakak saya baru-baru ini apabila dia dalam proses menguruskan pertukaran sekolah bagi anak-anaknya. Perkara ini berlaku dalam satu hari di dua buah sekolah yang berbeza tetapi mempunyai pengawal-pengawal keselamatan yang seakan sama perangai mereka. Saya akan cerita satu persatu, dan sila gambarkan situasinya.

SEKOLAH A

Kakak dan anaknya pergi ke sebuah sekolah, kemudian dia memasuki ke kawasan sekolah untuk membuat urusan mendaftar anaknya ke sekolah tersebut. Selesai urusan lalu kakak saya keluar. Tiba di pos pengawal keluar seorang pengawal lalu berkata "kau ingat aku ni tunggul ke sesuka hati kau keluar masuk?"

Kakak saya yang awalnya memang tidak perasan adanya pengawal keselamatan di situ terus meminta maaf. Namun, permohonan maafnya dibalas dengan kata-kata yang keluar dari mulut pengawal itu, "sudah.. sudah.. berambus kau semua!!!

SEKOLAH B

Setelah selesai urusan ke sekolah A, kakak saya membawa pula anaknya seorang lagi ke sekolah B juga untuk urusan perpindahan anaknya ke sekolah itu. Kali ini dia lebih berhati-hati. Dia pergi ke pondok pengawal dan minta kebenaran untuk masuk ke pejabat sekolah. Kali ini pengawal keselamatan memberikan borang untuk diisikan dan menyuruh untuk mendapatkan tandatangan pegawai yang dia berurusan.

Hendak dijadikan cerita, setelah selesai berurusan, kakak saya pula terlupa untuk mendapatkan tandatangan pegawai yang dia berurusan bagi memulangkan semula borang yang diberikan oleh pengawal keselamatan. Semasa tiba di pos pengawal, pengawal keselamatan tersebut meminta borang yang telah diberikan pada awal tadi. Akibat terlupa, kakak saya menyuruh anaknya untuk ke pejabat semula untuk mendapatkan tandatangan. Namun, pengawal keselamatan itu berkata "dah.. dah.. tak perlu.." lalu meminta borang tersebut dan dikoyakkan di depan mata kakak saya.

Saya rasa, yang membaca ini juga berasa marah dengan perbuatan 2 orang pengawal keselamatan ini. Nasib baiklah ia berlaku pada kakak saya, sekiranya saya yang terkena begitu mahunya bertikam lidah juga rasanya atau saya terus laporkan kepada pengurusan sekolah itu.

Sunday, July 22, 2012

BAIK DAN BURUKNYA KEBENARAN MEMBAWA TELEFON BIMBIT DI SEKOLAH

Assalamualaikum dan Salam Sejahtera.

Baru-baru ini Kementerian Pelajaran Malaysia ada menyatakan hasrat untuk membenarkan para pelajara membawa telefon bimbit dan "gadget" komputer di sekolah untuk kegunaan semasa pembelajaran. Hal ini dilihat ada disokong dan ada juga yang tidak sokong untuk perkara ini dilaksanakan.

Pada pandangan peribadi saya, saya juga tidak menggalakkan para pelajar untuk membawa telefon bimbit dan "gadget" komputer di sekolah. Namun, untuk bersikap berkecuali, saya dapat himpunkan beberapa kebaikan dan keburukan penggunaan telefon bimbit dan "gadget" komputer di sekolah.


KEBAIKAN

1. Pelajar dapat melaksanakan aktiviti P & P di dalam bilik darjah dengan penggunaan teknologi terkini.

2. Pelajar boleh mendapat maklumat dengan segera dengan pencarian maklumat di Internet.

3. Pelajar boleh menghubungi ahli keluarga pada bila-bila masa bagi hal-hal tertentu.

4. Melahirkan pelajar-pelajar yang berpengetahuan dalam teknologi tinggi dan maju seiring teknologi sedia ada.

KEBURUKAN

1. Penyalahgunaan kamera telefon bimbit untuk tujuan lain seperti merakam adengan seks di sekolah, mengintip dan sebagainya.

2.  Tidak semua pelajar yang berkemampuan untuk mempuyai telefon bimbit dan "gadget" komputer yang lain. Ini akan menyebabkan keadaan berat sebelah.

3. Akan adanya aktiviti kecurian telefon bimbit dan "gadget" komputer yang lain secara berleluasa seandainya tiada tempat penyimpanan yang sempurna.

4. Komputer dan Internet mungkin akan digunakan sewenang-wenangnya sehingga laman-laman sesawang yang tidak sepatutnya dilayari dapat dicapai, lebih-lebih lagi dikongsikan bersama rakan sekelas.

Nampaknya saya dapati ada (4) kebaikan dan (4) keburukan. Dan seperti saya katakan di awal perenggan sebentar tadi, saya tidak bersetuju untuk perkara ini dilaksanakan. Kementerian seharusnya tidak tergesa-gesa untuk melaksanakan perkara ini tanpa mendapat maklumbalas dari pihak-pihak yang berkenaan.


Apatah lagi, zaman dulu-dulu, orang-orang kita belajar pandai juga. belajar sehingga menara gading juga walaupun tidak menggunakan telefon bimbit, komputer dan sebagainya. Rasanya cukuplah sekadar makmal komputer di sekolah untuk membantu para pelajar untuk mempelajari dan mendalami teknologi terkini di pasaran.


Anda semua pula apa pandangannya? Bersetuju atau sebaliknya?

Sunday, March 13, 2011

SATU JENIS SEKOLAH DEMI PERPADUAN KAUM



Sekolah merupakan institusi pembelajaran secara formal kepada anak-anak. Anak-anak dididik untuk mengenal ilmu dan erti kehidupan. Pada masa kini sekolah kerajaan terbahagi kepada Sekolah Kebangsaan, Sekolah Jenis Kebangsaan Cina dan Sekolah Jenis Kebangsaan Tamil.

Apa yang hendak dibincangkan ialah tentang kepelbagaian jenis sekolah. Kepelbagaian jenis sekolah ini dilihat seperti mengasing-asingkan pelajar mengikut kaum tertentu, padahal kerajaan menitikberatkan soal perpaduan. Memang tidak dinafikan bahawa pelajar-pelajar sekolah ini akan bertemu bersama di sekolah menengah, tetapi pelajar-pelajar ini seharusnya dicampur dan disebatikan sejak di bangku sekolah rendah lagi. Mengapa kerajaan tidak mengutamakan satu sekolah sahaja iaitu Sekolah Kebangsaan dan memansuhkan Sekolah Jenis Kebangsaan Cina dan Tamil?

Kita sekarang di Malaysia, Bahasa Malaysia mestilah diutamakan. Bukankah ia merupakan salah satu dari perlembagaan Malaysia. Bukan tidak boleh belajar Bahasa Cina atau Tamil tetapi bukankah elok sekiranya kita satukan Bahasa Malaysia di mana ia merupakan Bahasa Rasmi negara? Sekiranya pelajar-pelajar ini dilatih dalam Bahasa Malaysia sejak dari kecil lagi dan bersekolah dalam satu aliran sahaja, adalah berkemungkinan besar pelajar-pelajar selain dari pelajar Melayu akan fasih bertutur dalam Bahasa Malaysia kerana adanya pembelajaran dalam Bahasa Melayu dan interaksi antara kaum. Tidak seperti sekarang, ada kaum selain Melayu masih lagi sukar untuk berbahasa Malaysia. 

Dengan adanya sekolah yang sejenis ini pastinya akan dapat memupuk perpaduan antara kaum. Iyalah, mereka sudah bergaul dan saling mengenali sejak kecil sehingga ke sekolah menengah sudah pasti mereka akan erat dan saling memahami. Bagi kaum lain, sikap memandang ke hadapan adalah perlu. Jangan jadikan alasan sekiranya kerajaan memansuhkan Sekolah Jenis Kebangsaan. Sayangilah anak-anak kita. Kita perlu berikan mereka kebebasan untuk berkawan dengan kaum-kaum lain. Jangan biarkan mereka hanya berkawan dengan kaum sejenis tanpa memberi peluang untuk berkawan dengan kaum lain. Sekiranya begini, sampai bilapun perpaduan diantara kaum tidak tercapai 100%. 

Tidakkah kita mahu melihat Melayu, Cina, India dan kaum-kaum lain hidup aman damai tanpa sebarang syak wasangka dan iri hati. Kita sama-sama duduk dalam satu negara dalam keadaan damai dan harmoni, mana-mana pergi pun boleh hidup. Jangan ada dengki, jangan ada sombong. Rezeki ada di mana-mana, carilah tiada siapa yang halang selagi tertakluk kepada peraturan dan undang-undang.

Thursday, March 3, 2011

POLIS, ASKAR DAN BOMBA

Sekali teringat pula pada zaman persekolahan dulu. Semasa di sekolah rendah, pastinya tiap-tiap tahun kita akan menulis cita-cita kita di dalam suatu buku rekod di mana ianya perlu diisi sebanyak 3 cita-cita.

Dulu tak tahu apa-apa, cuma letakkan 3 cita-cita utama iaitu Polis, Askar dan Bomba. Itulah yang aku tulis setiap tahun. Ada pernah satu kali tu, aku ada menulis cita-cita aku untuk bekerja kilang. Iskhh... Apalah bengapnya aku masa tu, sehingga aku digelakkan oleh rakan aku. Bukan apa, aku ni dilahirkan bukanlah dari keluarga yang sangat berjaya dan berada, jadi aku kurang sensitif atau ambil berat terhadap cita-cita aku. Cerita pasal aku tulis cita-cita aku untuk bekerja kilang merupakan perkara yang aku tak boleh lupakan sehingga kini.




Dalam hujung-hujung tahun ke darjah enam, aku dah mula ada kesedaran, mulalah membuat cita-cita baru iaitu arkitek. Untuk jadi arkitek ni kena pandai melukis dan seni orangnya, tapi aku, minat tu ada tapi melukis dan seni tu tak pandai pula.

Lepas tamat UiTM aku dah mula mencari kerja. Tak tau nak kerja apa. Otak masih buntu. Ada juga cita-cita nak jadi guru, tapi banyak kali ambil exam, tak lepas-lepas. Sebelum ni ada juga menjadi guru sandaran, pernah mengajar di 2 buah sekolah. Ingat lagi masa tu, gaji aku sebanyak RM50 ++ sehari. Mak bapak aku pula mengharap aku jadi guru sepertimana Abang Long aku, tapi nak buat camne, jodoh aku sebagai guru tidak kesampaian.

Lepas tu macam-macam kerja jugalah aku buat, dari kedai Sushi King, Seven Eleven, kerja kilang, kerja syarikat berkaitan kerajaan (GLC) sehinggalah sekarang sudah 3 tahun lebih aku bekerja di muzium. Syukurlah.. Rezeki memang ketentuan Allah, kita hanya mampu merancang, akhirnya juga Allah yang menentukan.

Jadinya pesanan aku pada graduan-graduan universiti yang mengganggur di luar sana, jangan mudah putus asa. Terus kuatkan semangat untuk mencari kerja dan terus mencuba apa-apa kerja walaupun ianya bukanlah apa yang kita harapkan. Timbalah pengalaman walaupun sedikit upah yang diberikan. Insyaallah, ada rezeki dikemudian hari. Bersabarlah... Tapi usaha tetap perlu ada.

Thursday, January 27, 2011

KARANGAN BUDAK-BUDAK SEKOLAH YANG MELUCUKAN

Hantu itu gembira jugakah? Jumpa cikgu! Huh, baik punya warning...

Ini lagi satu.. Karangan Bahasa Melayu, dibantainya campur-campur bahasa Cina dan Inggeris... Inilah 1 Malaysia kan..? :)

Kedua-dua ini ehsan daripada Buku Muka.



Thursday, January 13, 2011

KEMBALIKAN SEKOLAH ALIRAN VOKASIONAL

Sekolah merupakan institusi pembelajaran bagi kanak-kanak di peringkat rendah dan menengah. Kalau dahulunya di sekolah menengah ada aliran vokasional, tetapi ia telah dimansuhkan. Kini, ada angin kuat mengatakan bahawa sekolah aliran vokasional akan diwujudkan semula.

Pada pendapat aku, baguslah kalau sekolah aliran vokasional ini diwujudkan semula kerana tidak semua pelajar mahu menjadi doktor, lawyer, guru dan lain-lain pekerjaan profesional. Kalau semua nak jadi golongan pekerja yang dinyatakan tadi, jadi siapa yang bakal bekerja sebagai tenaga mahir dalam sektor teknikal seperti mekanik, tukang mahir dan lain-lain pekerjaan melibatkan kemahiran teknikal.





Oleh yang demikian, kerajaan memang patut mewujudkan kembali sekolah aliran vokasional kerana ianya memang memberikan manfaat kepada perkembangan tenaga kerja mahir di masa hadapan.

Satu lagi, kita memang tak boleh paksa pelajar untuk belajar sesuatu yang mereka tidak gemar, berilah dia peluang untuk belajar tentang apa yang mereka cenderung.

Friday, September 24, 2010

KAMI PERIHATIN

Kini, dilihat semakin kita mempromosikan kempen Kami Prihatin makin banyak pula kes-kes pembuangan bayi yang melanda negara. Apa sudah jadi? Adakah kempen ini tidak berkesan atau sebenarnya ia tidak memberi apa-apa kesan kepada pembuang-pembuang bayi ini.


Agak sukar kita hendak memahami hati dan naluri si pembuang-pembuang bayi ini. Mana perginya nilai kemanusiaan pada diri mereka. Tidak tahukah mereka bahawa perbuatan itu merupakan tindakan yang kejam dan berdosa besar? Mana perginya sifat keperimanusiaan?


Mereka agak tidak tergamak membuang bayi merata-rata tempat. Ada dibuang di tong sampah, dalam tandas, dalam masjid, di perhentian bas dan lain-lain tempat yang tidak sepatutnya. Mana perginya rasa ihsan dan belas kasihan? Bayi itu masih kecil, masih belum mengerti apa-apa, tapi mengapa mereka dibuang begitu saja? Tak kesiankah?


Janganlah hanya mahu berseronok tidak tentu pasal. Keseronokan hanyalah sementara sahaja, hasilnya tidak mahu pula bertanggungjawab. Mana perginya bapa yang begitu berani menghasilkan benih itu? Adakah dia benar-benar melafaskan cinta atau pembohongan semata-mata. Sudah sahlah dirimu ditipu. Kau begitu bodoh menyerahkan diri pada orang dengan hanya bermodalkan kata-kata sayang, dengan bermodalkan RM10, dengan bermodalkan top up prepaid. Sudah puas kau bermadu cinta, hasilnya kau buang merata-rata. Apa kau pikir bayi itu sampah ke?


Kalaulah sudah terlanjur sekalipun, cepat-cepatlah bertaubat. Berkahwin dengan pasangan terbabit. Sekalipun bayi yang dilahirkan tidak diperlukan, berilah kepada mereka yang memerlukan.




Friday, September 17, 2010

SEKOLAH PELAJAR HAMIL

Kerajaan Negeri Melaka akan membuka sebuah sekolah khas untuk wanita-wanita hamil pada 17 Oktober 2010. Sekolah ini dikhaskan untuk memberikan pendidikan kepada pelajar-pelajar sekolah yang terlanjur untuk terus belajar dan meneruskan kehidupan sepertimana pelajar-pelajar biasa.


Dengan memperkenalkan sekolah kepada pelajar yang hamil ini dilihat ada mendapat tentangan dari pelbagai pihak. Namun mengapa kerajaan negeri Melaka mahu terus membuka sekolah ini? Walau apapun tentangan yang diberikan dilihat kerajaan negeri Melaka tetap dengan pendirian untuk melaksanakan program sekolah hamil ini dan ianya tetap akan beroperasi.


Pada pandangan aku sebagai rakyat biasa dan pemerhati, sekolah ini ada baiknya. Kebiasaanya pelajar yang hamil akan terus hanyut dan terbiar tanpa pembelaan dan perhatian yang sewajarnya. Memang benar mereka telah melakukan kesilapan yang besar dalam diri mereka kerana terlanjur, namun adakah kita sanggup menghukum mereka begitu sahaja tanpa ada rasa tanggungjawab untuk membina kembali kehidupan mereka. Adakah kita akan memulaukan mereka walaupun mungkin pada hakikatnya mereka telah bertaubat.


Orang kita memang gemar dan suka membuat andaian yang begitu cepat dan sempit tanpa memikirkan jangka masa yang panjang. Ada pihak yang menyatakan bahawa dengan adanya sekolah pelajar hamil ini akan menggalakan lagi maksiat. Maksiat akan berleluasa. Apa sekarang tidak banyak maksiat? Apa sekarang maksiat tidak berleluasa? Dengan banyaknya maksiat inilah yang mendorong sekolah pelajar hamil ditubuhkan, demi mengembalikan kesedaran kepada pelajar terbabit, demi mengelakan berlakunya pembuangan bayi, demi mengelakan pembunuhan bayi dalam kandungan. Adakah kita mahu lihat generasi kita jadi pembunuh?


Selain itu, ada juga pelajar yang berkemungkinan berkahwin awal akan mengandung dan berasa malu mahu ke sekolah biasa. Adakah mereka inipun bersalah? Tidak jawapannya. Pelajar tingkatan 6 adalah peringkat umur yang boleh berkahwin, dan mereka mungkin telah mengandung dan segan untuk ke sekolah, jadi, sekolah pelajar hamil ini boleh memberikan mereka meneruskan pelajaran seperti biasa tanpa rasa malu kerana ianya memang sekolah yang khas untuk orang seperti mereka.


Tindakan kerajaan negeri memang tepat pada waktunya selari dengan kehendak Melaka Maju 2010, rakyat Melaka diperlukan untuk mendapat pelajaran yang secukupnya bagi memastikan tahap pendidikan dan keintelektualan rakyat Melaka adalah tinggi. Dengan adanya ilmu pengetahuan dan daya intelek yang tinggi pastinya akan memacu negeri Melaka terus maju ke hadapan. Rasullullah S.A.W pun ada bersabda, tuntutlah ilmu sampai ke negeri China. Ini menunjukan mencari ilmu itu adalah penting dan wajib bagi setiap umat.