Showing posts with label sejarah. Show all posts
Showing posts with label sejarah. Show all posts

Tuesday, December 3, 2024

Fish and Chip atau Asam Pedas



Malaysia merupakan salah sebuah negara yang aktif dan konsisten dalam mempromosikan negara dalam sektor pelancongan. Ini bagi menarik lebih ramai pelancong dari luar negara ke negara ini. Terdapat pelbagai usaha dijalankan antaranya di peringkat negeri sebagai contoh pada tahun 2017 merupakan Tahun Melawat Perak, 2019 adalah Tahun Melawat Melaka manakala di peringkat pusat pula pada tahun 2020 merupakan Tahun Melawat Malaysia. Walau bagaimanapun, akibat daripada pandemik Covid-19 yang mula menular di dalam negara bermula Mac 2020, Tahun Melawat Malaysia terpaksa dibatalkan.

Pada tahun 2018, sektor pelancongan Malaysia telah menyumbang RM84.1 billion kepada pertumbuhan ekonomi negara dengan jumlah kehadiran pelancong antarabangsa seramai 25.8 juta orang. Walau bagaimanapun, pada tahun 2019 Malaysia hanya menerima 20.1 juta orang pelancong antarabangsa dengan pendapatan pelancongan sebanyak RM66.14 billion.

Namun, zaman terus berubah. Industri-industri tertentu yang berkait rapat dengan kehendak perubahan masa dan zaman perlu berubah dalam memastikan kelangsungan dalam industri berkekalan dan terus relevan termasuk industri pelancongan.

Meskipun perbelanjaan pelancong tertumpu kepada segmen membeli belah, penginapan dan makan minum, namun perlu diketahui apakah faktor utama yang mendorong pelancong antarabangsa mengunjungi Malaysia. Faktor tersebut tidak lain dan tidak bukan adalah kebudayaan dan warisan. Pada tahun 2019 pendapatan sektor kebudayaan mencatatkan sebanyak RM423 juta.

Tidak boleh dinafikan bahawa faktor budaya dan warisan merupakan salah satu faktor yang mendorong pelancong antarabangsa mengunjungi negara ini. Justeru, apabila membangunkan satu-satu produk pelancongan, elemen kebudayaan dan warisan wajib dititikberatkan dan diambil perhatian yang serius.

Sebagai seorang pelancong yang ingin melawat ke negara luar, apakah faktor yang menarik minat kita hendak ke sana? Pastinya kita tidak mahu melihat apa yang terdapat di sana, sama sahaja di Malaysia. Sudah pasti kita mahu melihat bangunan-bangunan bersejarah, tapak-tapak warisan, makanan dan pakaian tradisi serta kebudayaan mereka.

Begitu juga di Malaysia, elemen kebudayaan dan warisan perlu ditonjolkan. Tidak perlu malu untuk memperlihatkan kebudayaan dan warisan yang kita miliki. Lebih menyedihkan apabila terdapat pihak yang tergamak untuk menutupi dan melenyapkan warisan yang dimiliki atas nama pembangunan dan keuntungan semata-mata.

Adalah suatu kelaziman sebagai pelancong inginkan sesuatu yang baharu selain apa yang terdapat di negara mereka. Selalunya kita beranggapan mereka gemar untuk menikmati beefsteak atau fish and chip walhal mereka sangat teruja ingin mencuba dan merasai asam pedas, nasi lemak, sambal belacan, roti canai dan lain-lain menu tradisi Malaysia.

Kita juga sering menganggap mereka suka berhibur di kelab malam sambil minum minuman beralkohol, sebaliknya mereka berkeinginan untuk menyaksikan kebudayaan dan persembahan tradisional sambil dihidangkan dengan minuman citarasa tempatan seperti air kelapa muda, air nira, sirap selasih, cendol dan sebagainya.

Di Jepun misalnya, terdapat sebuah perkampungan budaya dinamakan Iyashi No Sato yang masih mengekalkan struktur bangunan-bangunan lama yang turut menyediakan perkhidmatan menyewa pakaian untuk pelancong bergambar. Biarpun harga sewaannya menjangkau 1,000.00 Yen (RM38.00) bagi setiap pakaian yang dikenakan namun ramai pelancong yang mencuba kerana keinginan yang tinggi untuk mengenali pakaian tradisi masyarakat di sana.

Di Malaysia, kita juga seharusnya menonjolkan pakaian tradisi kita seperti baju Melayu, kurung, kebaya, busana tradisional dan sebagainya untuk dicuba dan dipakai oleh pelancong asing bagi memperkenalkan tradisi kita. Ini secara tidak langsung dapat mempromosikan tradisi dan kebudayaan Malaysia di serata dunia.

Tapak-tapak sejarah dan warisan juga perlu dijaga rapi. Adalah tidak lagi relevan untuk membangunkan sesebuah kompleks yang besar dan moden seperti pusat membeli belah atau perumahan di suatu lokasi yang telah diketahui status warisannya. Kita seharusnya akur, jika hendak dibandingkan dengan pusat membeli belah di negara Eropah, sudah pasti kita masih belum mampu menyaingi mereka kerana mereka telah melangkah jauh ke hadapan. Jangan biarkan tapak-tapak warisan ini terus tersepit dan lenyap di tengah-tengah pembangunan.

Andainya perlu juga membina kompleks seperti ini, hendaklah ia dibina di luar kawasan warisan agar tapak-tapak bersejarah ini terjaga seterusnya dapat disaksikan dan dirasai oleh generasi kini dan generasi akan datang, juga para pelancong dari dalam dan luar negara. Usahlah pelabur memperoleh keuntungan daripada warisan yang kita ada, namun kita menangis di kemudian hari akibat kehilangan tapak warisan yang sangat berharga yang telah diwarisi dari zaman berzaman. Pada ketika itu, menangis air mata darah pun tidak berguna lagi.

Justeru, apabila membangunkan sesuatu produk pelancongan, usah diabaikan aspek-aspek kebudayaan dan warisan. Produk pelancongan perlu dibina dengan acuan kita sendiri dan digarapkan bersama unsur-unsur tempatan yang sememangnya mempunyai nilai serta harga yang tinggi. Kita harus yakin dan percaya bahawa pelancong asing akan berasa lebih gembira apabila disajikan dengan sesuatu yang asli dari negara ini.

* Artikel yang aku tulis ini telah dimuatkan ke dalam buletin jabatan aku iaitu TINTA edisi 2/2022 yang lalu.

Thursday, November 28, 2024

Melaka Lama : Gambaran Orang Melaka dan Sumatera


Gambar ini diambil dari peta Eropah, Afrika dan Asia yang dilakarkan oleh seseorang yang tidak dikenali (anonymous) pada sekitar tahun 1614.



Di penjuru kanan atas peta ini memaparkan gambar seorang Ethiopia, Ghana, Parsi, Turki, Molukus, Jawa, penduduk Sumatera dan Melaka dan Cina.

Di bahagian bawah tengah terdapat tulisan: Tabula Geograph. in qua Europae, Africae Asiaeq et circulacentium insularum orae maritime accuratè describuntur et ad intelligentia navigationum Indicaru accommodantur.


Incolae Sumatra et Malacca bermaksud penduduk atau penghuni Sumatera dan Melaka. Aku tak pasti, adakah ini gambaran sebenar oleh pelukis peta ini? Sebab jika diamati dari aspek pakaian dan hiasan kepala, tidak sama seperti zaman sekarang mahupun zaman dahulu. Atau mungkin ini sekadar imiginasi pelukis.

Berkisar kepada mengapa penduduk Sumatera dan Melaka diletakkan bersama, mungkin kerana lokasi yang berdekatan. Atau mungkin juga kerana penulis masih menganggap Sumatera merupakan sebahagian daripada Melaka, kerana semasa zaman Kesultanan Melayu Melaka, Empayar Melaka merangkumi sebahagian wilayah di utara Sumatera.

Gambaran penduduk Melaka ini tak ubah seperti Gambaran orang Melaka oleh Jan Huygen van Linschoten. Namun, gambaran ini menimbulkan keraguan, kerana ia amat berbeza daripada gambaran yang telah dibuat oleh De Eredia (1613) yang mengambarkan orang Melaka memakai "head-band, vest, sarong and kris and hold a long spear" iaitu pengikat kepala, pakaian tanpa lengan, kain sarung dan keris dan memegang lembing.


Kenali De Eredia di sini > KLIK <

Sunday, December 24, 2023

Kota A Famosa Telah Dirobohkan

Rasanya sudah beberapa kali telah aku jelaskan di dalam penulisan blog ini berkenaan A' Famosa. Aku harap ada penyelidik, penggemar atau peminat sejarah Melaka mengambil berat akan apa yang hendak aku jelaskan ini.

Sebenarnya A' Famosa sudah tiada! Ya, sudah tiada! Yang kalian lihat di Jalan Kota, Banda Hilir, Melaka itu bukan A' Famosa. Itu adalah Pintu Gerbang Santiago atau Porta de Santiago. A' Famosa pula adalah "Kota Termasyur" dan ia telah lama musnah. Klik sini untuk lihat lakaran A' Famosa.

Kesilapan menamakan Pintu Gerbang Santiago (Porta de Santiago) sebagai A' Famosa sebenarnya dikesan bermula sejak zaman British lagi, apabila entah siapalah orang Bristish yang 'bijak pandai' telah meletakkan sebuah plak yang kekal sehingga kini di bahagian belakang pintu gerbang ini dengan pernyataan berikut :

“The only remaining part of the ancient fortress of Malacca
built by Alfonso d’Alboquerque and by him named: Famosa. 1511.”

Berkemungkinan besar, disebabkan plak inilah masyarakat sehingga kini mengenali Pintu Gerbang Santiago (Porta de Santiago) sebagai A' Famosa. Sebenarnya telah terdapat beberapa papan penerangan baharu diletakkan berdekatan yang memaparkan fakta dan nama sebenar pintu gerbang ini, namun barangkali tiada orang membacanya, lantas terus menerus sehingga kini ia disebut A' Famosa.

Jika sekadar untuk dikenali sebagai A' Famosa bagi pintu gerbang ini tiada masalah. Namun jika mahu dikaitkan dengan fakta sejarah sebenar, penggunaan nama tersebut adalah salah. Salah dari aspek ciri bangunan, salah dari aspek lokasi, salah dari aspek fungsi bangunan. Justeru, jika hendak bercerita untuk tujuan sejarah, perlu menggunakan nama sebenar dengan fakta yang sebenar iaitu dengan menyebut Pintu Gebang Santiago (Porta de Santiago).

Jadi, apakah A' Famosa???

Para sejarawan awal Portugis pernah menyebut bahawa A' Famosa adalah sebuah istana. Ia dibina oleh Alfonso de Albuquerque pada tahun 1511 setelah menawan Kota Melaka dari Sultan Mahmud Syah yang berundur.

A' Famosa didirikan berdekatan laut dan sungai. Ia merupakan tempat tinggal bagi kapten-kapten Portugis. Reka bentuknya segi empat dengan panjang sisi kira-kira 50 meter dan mempunyai menara kecil di setiap sudut. Salah satu sudut A' Famosa terdapat sebuah menara berketinggian 5 tingkat di mana ketinggiannya ialah kira-kira 40 meter. Terdapat juga penjara atau tempat kurungan di dalamnya. 

Namun begitu, seabad kemudian, tiada lagi mana-mana sumber Portugis menyebutnya sebagai A' Famosa sebaliknya ia dikenali sebagai "Fortaleza Velha" atau kota lama.

Pada tahun 1641, semasa peperangan antara Belanda dan Portugis dalam perebutan untuk menguasai Kota Melaka menyebabkan sebahagian bangunan A' Famosa telah musnah. Pihak Belanda membaikpulih bangunan tersebut dan menara sebagai tempat kurungan yang dahulunya berketinggian 40 meter telah direndahkan menjadi hanya 15 meter. Pihak Belanda telah menamakannya sebagai "Slavenburgh" yang digunakan sebagai tempat penginapan hamba.

Bangunan A' Famosa + Slavenburgh akhirnya telah musnah dalam tahun 1811 apabila William Farquhar mengarahkan agar Kota Melaka (Fortaleza) dimusnahkan. Hanya yang tinggal kini hanyalah Pintu Gerbang Santiago (Porta de Santiago).

Apa pula Fortaleza (Kota Melaka)???

Selepas 20 tahun kematian Alfonso de Albuquerque, orang Portugis mula membina tembok sepanjang 1.3 kilometer di sekitar Bukit Melaka (Bukit St. Paul). Ia diperbuat daripada batu dan terdapat juga binaan kayu. Tembok ini berbentuk pentagon dan dilengkapi dengan 5 buah kubu atau benteng (bastion). Di dalam Fortaleza terdapat banyak bangunan yang terdiri daripada hospital, rumah-rumah, gereja, biara dan lain-lain termasuk A' Famosa.

Lakaran pelan Fortaleza de Malaca

Dalam aku menulis ini, terbaca pula berkemungkinan Pintu Gerbang Santiago (Porta de Santiago) yang ada sekarang di Jalan Kota, Banda Hilir, Melaka mempunyai nama lain dan bukanlah binaan Portugis. Huh, lagi pening. Nantikan penulisannya, kalau aku rajin nak menelaah sumber yang baru aku perolehi iaitu Report of Governor Balthasar Bort on Malacca 1678 di Journal of Malayan Branch of the Royal Asiatic Society.

Baca juga :




Wednesday, August 23, 2023

Masuk Majalah 3 Pulak!

Baru sahaja semalam terlibat dengan penggambaran untuk rancangan di RTM, hari ini pun ada penggambaran lagi, kali ini untuk TV3 pula. Penggambaran ini adalah untuk rancangan Majalah 3 yang akan ditayangkan tidak lama lagi sempena sambutan Hari Kebangsaan 2023.

Bergambar kenangan bersama penerbit Majalah 3, Asyraf Naqiuddin

Macam biasa. Apabila bos sudah arahkan untuk membantu, aku patuh pada arahan. Barangkali bos-bos semua sibuk, jadi aku yang bukan bos ni perlu menghadapi situasi ini iaitu di temuramah oleh stesen televisyen. 

Temuramah kali ini melibatkan hal-hal berkaitan perpaduan antara kaum di Melaka khususnya Melayu, Cina dan India dengan menelusuri kembali keeratan perpaduan di zaman Kesultanan Melayu Melaka, migrasi kaum sehingga berlaku asimilasi budaya dan warisan bersama penduduk asal semenanjung Tanah Melayu dan lain-lainnya. 

Nanti, jangan lupa menonton rancangan Majalah 3 yang akan ditayangkan tidak lama lagi bersempena Sambutan Hari Kebangsaan negara tahun 2023 ini. 

Lihat juga :




Gembira dapat berkenalan dengan individu dari berlainan disiplin pekerjaan

Saturday, June 10, 2023

Siapakah Hang Kasturi?

Terdapat beberapa gelaran ‘perhangan’ di zaman Kesultanan Melayu Melaka iaitu Hang Jebat, Hang Kasturi, Hang Lekir, Hang Lekiu, Hang Nadim, Hang Ali, Hang Iskandar, Hang Hassan, Hang Hussin dan Hang Tuah. Walaupun terdapat di dalam catatan karya lama, watak-perwatakan yang banyak dicatatkan adalah Hang Tuah dan Hang Jebat.

Tidak seperti Hang Tuah yang diketahui nama asalnya iaitu Daeng Mempawah, namun tiada pula diketahui nama asal Hang Kasturi. Jika dirujuk kepada istilah bahasa, Kasturi membawa maksud haruman yang wangi.

Hang Kasturi digambarkan sebagai seorang sahabat dan hulubalang Melaka bersama-sama Hang Tuah, Hang Jebat, Hang Lekir dan Hang Lekiu. Mereka berlima belajar ilmu mempertahankan diri di Gunung Ledang bersama seorang guru yang dikenali sebagai Adiputra. Selain daripada berperanan sebagai hulubalang istana, peranan lain Hang Kasturi tidak diketahui. Justeru, apa yang boleh digambarkan kepada watak Hang Kasturi ialah seorang yang memiliki watak yang serius, kurang bercakap namun cekap dalam menumpaskan ancaman musuh-musuh serta termasuk dalam senarai pahlawan terbilang di zaman Kesultanan Melayu Melaka.

Walaubagaimana pun, terdapat sedikit perbezaan yang tercatat pada dua karya agung Melayu iaitu di dalam catatan Hikayat Hang Tuah, yang menderhaka kepada sultan adalah Hang Jebat manakala di dalam karya Sulalatus Salatin (Sejarah Melayu) pula, individu yang menderhaka kepada Sultan adalah Hang Kasturi. Sekiranya hendak diambil watak-perwatakan Hang Kasturi seperti yang tertera di dalam Sulalatus Salatin (Sejarah Melayu), maka Hang Kasturi adalah seorang pahlawan yang terbilang yang mempunyai keberanian, namun suka berfoya-foya, pendendam serta seorang penuntut keadilan.

Hang Kasturi dipercayai dimakamkan di Jalan Hang Jebat yang dahulunya dikenali sebagai Jalan Gelanggang. Makam ini merupakan makam yang bersaiz sederhana besar terletak di dalam kawasan batu bertembok dikelilingi pagar besi. Bahagian hadapan makam terdapat sebuah pintu gerbang. Sebahagian tembok kawasan makam berbentuk suku bulatan yang turut bercantum dengan rumah kedai disebelahnya. Makamnya pula dibina berbentuk segi empat bujur bertingkat-tingkat. Daripada corak batu nisannya dipercayai berasal dari kurun ke-18. Pada bahagian tembok makam pula turut dibina sebuah lubang berbentuk segi tiga yang digunakan sebagai tempat meletak lilin atau pelita. Berdasarkan dari corak binaan sedia ada makam ini telah diperbaiki dari semasa ke semasa.



Makam Hang Kasturi telah diwartakan sebagai Zon Penempatan di bawah Enakmen Pemuliharaan dan Pemugaran Warisan Budaya 1988 pada 28 Disember 2006.

Trivia Makam Hang Kasturi

Pada sekitar tahun 1930-an makam Hang Kasturi telah dijaga oleh seorang Cina peranakan yang bernama Bibik Gee Neo. Beliau tinggal bersebelahan dengan makam Hang Kasturi. Pada ketika itu, tidak ramai yang datang mengunjungi makan tersebut. Bibik Gee Neo tanpa mendapat mana-mana arahan, telah sendiri mejaga makam tersebut dengan membersihkan dan menanam pokok bunga bagi mencantikan kawasan tersebut. Beliau turut mengunci pagar makam Hang Kasturi kerana bimbang akan kerosakan dan vandalisme yang sering berlaku di makam tersebut.

Menurut Bibik Gee Neo, dahulu terdapat seorang tua yang kerap berulang-alik ke makam tersebut untuk membaca doa di situ. Beliau juga pernah berjumpa dengan lembaga berpakaian berwarna kuning sering keluar dan masuk ke kawasan makam Hang Kasturi di waktu malam. Semenjak dari itu, Bibik Gee Neo menghormati makam tersebut dan tidak membenarkan orang membuat perkara yang tidak baik di makam Hang Kasturi.

Sumber trivia : Berita Harian bertarikh 12 Oktober 1969

Sunday, December 18, 2022

Lima (5) Sebab Kenapa Anda Perlu Mengunjungi Muzium

Adalah kelaziman masyarakat kita di Malaysia ini menganggap muzium adalah membosankan. Tidak mengikut zaman. Hanya mempamerkan barang-barang lama. Bangunannya pun bangunan lama dan menyeramkan. Pernyataan ini mungkin disebabkan segelintir individu telah lama tidak mengunjungi muzium sedangkan terdapat beberapa perubahan, tarikan dan lain-lain perihal yang dirasakan masyarakat perlu kembali mengunjungi muzium.

Berikut merupakan antara sebab musabab kenapa kita perlu mengunjungi muzium :

1. HARGA MURAH

Jika hendak dibandingkan dengan pusat hiburan keluarga yang lain seperti taman tema, panggung wayang dan lain-lain pusat tarikan pelancong, muzium adalah sebuah pusat di mana bayaran tiketnya adalah murah. Bukan sahaja murah, bahkan terdapat juga muzium yang tidak dikenakan bayaran. Mengambil contoh muzium-muzium yang terdapat di Melaka, harga tiketnya serendah RM3.00 dan yang tertinggi adalah RM10.00. Jika hendak dilawati seisi keluarga pun, ia tetap berbaloi.

2. BERILMU DAN BERMANFAAT

Muzium adalah gedung ilmu. Ya, sudah pastinya muzium menyajikan ilmu yang bermanfaat untuk para pelawat. Dengan mengunjungi muzium, masyarakat dapat mengetahui sejarah, warisan dan kebudayaan khususnya di sesuatu negeri atau tempat. Ia amat sesuai dikunjungi oleh pelajar sekolah bagi mempelajari segala khazanah ilmu yang terkandung di dalam muzium.

3. HIBURAN

Siapa kata muzium tidak menghiburkan? Kini, di sesetengah muzium telah mula mengetengahkan kaedah interaktif dalam pameran. Pameran interaktif ini memberi peluang bagi pelawat untuk berinteraksi secara fizikal atau maya dengan bahan yang dipamerkan. Ini dilakukan bagi menarik lebih ramai generasi muda mengunjungi muzium. Antara pameran berbentuk interaktif yang dipamerkan seperti menggunakan objek 3 dimensi (3D), realiti maya (virtual reality), tayangan 5 dimensi (5D), skrin sentuh (touch screen) dan pelbagai lagi media interaktif.

4. CARA BERKESAN UNTUK BELAJAR

Khusus buat para pelajar tidak kira dari peringkat sekolah rendah hingga ke universiti. Bagi mempelajari subjek-subjek seperti sejarah, warisan dan kebudayaan, institusi muzium merupakan tempat wajib untuk dikunjungi. Selain belajar melalui pembacaan di buku-buku, pelajar boleh merujuk silang tentang perkara yang dipelajari dengan mendapatkan fakta sampingan di muzium. Dengan melihat dan menelaah sendiri apa yang dipamerkan di muzium, membolehkan pelajar lebih memahami apa yang dipelajari.

5. OOTD MUSEUM

Contoh OOTD @ Muzium


Siapa kata dekat muzium tidak menarik? Sebenarnya di muziumlah terdapatnya ruang-ruang yang menarik untuk bergambar dan dijadikan kenangan terindah. Di muzium terdapatnya diorama-diorama yang menarik contohnya diorama nostalgia seperti warung lama, perabut lama dan lain-lain yang mengambarkan zaman dahulu (old school). Terdapat juga galeri seni lukis dan pengunjung boleh OOTD bersama karya-karya seni bagi menghasilkan gambar yang kelihatan 'mewah'. Bangunan-bangunan muzium yang kebiasaannya merupakan bangunan tinggalan penjajah juga merupakan 'angle' yang terbaik untuk OOTD.

Oleh :
Fairus bin Haji Mamat
Penolong Kurator
Bahagian Penyelidikan dan Dokumentasi
Perbadanan Muzium Melaka (PERZIM)

Saturday, December 17, 2022

Empat (4) Fungsi Utama Muzium

Bermesra bersama artifak


APA ITU MUZIUM?

Saban tahun Majlis Muzium Antarabangsa atau lebih dikenali sebagai International Council of Museum (ICOM) mengkaji dan mengemaskini definisi muzium selari dengan fungsi muzium yang kini dilihat bukan lagi sebuah organisasi yang statik, tetapi ia merupakan organisasi serta bidang yang dinamik. Ini adalah selaras dengan fungsi permuziuman itu sendiri yang memiliki bidang-bidang kepakaran yang tertentu, bukan sahaja sekadar mempamerkan artifak dan bahan-bahan lama yang bersejarah, malah lebih daripada itu.

Menurut definisi yang sering digunakan oleh mana-mana organisasi permuziuman di dunia, muzium didefinisikan sebagai "institusi bersifat tetap, tidak berorientasikan keuntungan, terbuka kepada umum dengan peranannya memperoleh, memulihara, menyelidik dan mempamerkan bukti-bukti peninggalan manusia dan persekitarannya untuk tujuan pendidikan dan hiburan."

APA TUGAS KAKITANGAN MUZIUM?

Kecuali tugasan pentadbiran dan kewangan, tugas-tugas kakitangan muzium adalah berbeza dengan jabatan-jabatan lain. Terdapat tiga (3) jawatan di muzium yang tiada di jabatan lain iaitu Kurator (S41), Penolong Kurator (S29) dan Pembantu Muzium (S19). Sekiranya disamakan dengan jawatan pentadbiran, jawatan-jawatan ini adalah mempunyai tingkatan pangkat seperti Pegawai Tadbir (N41), Penolong Pegawai Tadbir (N29) dan Pembantu Tadbir (N19).

Di sini ingin diperjelaskan perihal empat (4) tugas-tugas kakitangan muzium iaitu bersamaan dengan fungsi muzium itu sendiri iaitu memperoleh, memulihara, menyelidik dan mempamer. Berikut adalah huraiannya :

A. MEMPEROLEH

Bahan utama yang menyebabkan kewujudan sesebuah muzium ialah ARTIFAK dan bahan bersejarah. Apa itu artifak? Menurut definisi yang digunapakai oleh Jabatan Muzium Malaysia (JMM), artifak adalah peralatan atau barang-barang buatan manusia peninggalan pada zaman dahulu. Usia bahan yang ditakrifkan sebagai artifak adalah antara 50 tahun dan ke atas. Selain artifak, fosil dan lain-lain bahan bersejarah turut dipamerkan di dalam muzium.

Di dalam dunia pemuziuman, terdapat beberapa kaedah dalam memperoleh atau mengumpul artifak. Kelazimannya bahagian atau unit yang terlibat di dalam perolehan artifak adalah sama ada Bahagian Pengurusan Koleksi, Bahagian Pengurusan Artifak atau lain-lain istilah yang bersesuaian. Kaedah-kaedah perolehan yang biasa digunapakai oleh institusi muzium ialah :

i. SUMBANGAN

Masyarakat yang mempunyai artifak dan bahan-bahan bersejarah adalah digalakkan untuk menyumbangkannya kepada pihak muzium. Ini adalah bertujuan, artifak tersebut dapat dipamerkan seterusnya memberikan manfaat dalam bentuk pendidikan dan pemahaman kepada masyarakat. 

Masyarakat yang menyumbangkan artifak atau bahan bersejarah kepada muzium merupakan satu langkah yang sewajarnya diberi kepujian. Ini adalah kerana kesanggupan dan kepercayaan yang diberikan kepada pihak muzium untuk menjaga seterusnya mempamerkan bahan tersebut bakal memberikan suatu sudut pandang yang berbeza dari aspek sejarah, kebudayaan atau warisan berdasarkan bahan yang disumbangkan. 

Adalah berkemungkinan bahan tersebut tiada dalam simpanan atau pameran di muzium, justeru ia amat bermakna jika masyarakat dapat menyumbangkan bahan, lebih-lebih lagi ia merupakan bahan yang bersejarah dan unik.

Kelazimannya, apabila seseorang telah menyumbangkan artifak kepada pihak muzium, sebagai galang gantinya mereka akan menerima beberapa manfaat. Manfaat ini bergantung kepada pihak pengurusan muzium masing-masing. Sebagai contoh manfaat yang diberi ialah memberikan pas masuk percuma ke muzium kepada penyumbang, memberi imbuhan secara 'one off', memberi sijil penghargaan, pengecualian cukai dan lain-lain yang difikirkan perlu.

ii. PEMBELIAN

Bagi meningkatkan koleksi artifak dan bahan bersejarah di muzium adalah dengan kaedah pembelian. Kebiasaannya organisasi muzium telah menetapkan belanjawan tahunan bagi pembelian artifak dan bahan bersejarah. Lazimnya harga artifak tidaklah murah, justeru institusi muzium menetapkan belanjawan pembelian artifak menjangkau ratusan ribu ringgit setahun, malah bagi muzium-muzium yang besar, menetapkan perolehan melalui pembelian artifak melepasi jutaan ringgit. 

Pembelian seperti ini harus dilakukan bagi menambah koleksi artifak di muzium agar ia dapat dipamerkan bagi manfaat orang ramai khususnya bagi tujuan pendidikan seterusnya memperkayakan ilmu-ilmu berkaitan sejarah, kebudayaan dan warisan untuk tatapan generasi kini dan akan datang.

iii. JUMPAAN

Artifak jumpaan adalah berkait rapat dengan disiplin arkeologi. Kerja-kerja pengorekan, cari gali atau istilahnya ekskavasi arkeologi merupakan salah satu sub-bidang dalam dunia permuziuman. Apabila kerja-kerja ekskavasi dijalankan, kebiasaannya akan menemui bahan-bahan bersejarah seperti artifak atau fosil. 

Jumpaan-jumpaan ini adalah penting bagi pembuktian sejarah, budaya dan warisan di sesebuah tapak yang digali. Seterusnya ia disimpan atau pamerkan di muzium bagi tujuan pendidikan, penyelidikan serta apa-apa tujuan lain dalam mengetengahkan khazanah warisan negara.

B. MEMULIHARA

Apabila memperoleh sesuatu artifak atau bahan bersejarah, proses seterusnya adalah memulihara. Di dalam dunia permuziuman, memulihara disebut sebagai konservasi artifak. Artifak yang baru diperoleh perlu menjalani proses konservasi bergantung kepada keadaan artifak tersebut. Sekiranya arifak tersebut sekadar kotor dan berhabuk, pembersihan secara fizikal perlu dilakukan bagi menghilangkan segala kotoran yang terlekat pada artifak tersebut. 

Sekiranya terdapat kerosakan-kerosakan dan kekotoran tertentu yang sukar dibersihkan secara fizikal, proses pembaikan secara penggunaan bahan kimia atau lain-lain kaedah yang difikirkan perlu diambil bagi menyelamatkan jangka hayat artifak tersebut. Tidak hanya pada artifak yang baru diperoleh, artifak yang terdapat di ruang pameran dan kawasan repositori juga perlu melalui proses konservasi.

Konservasi artifak terbahagi kepada dua iaitu konservasi preventif dan konservasi kuratif. Konservasi preventif adalah bertindak untuk mencegah atau menghalang artifak supaya tidak mudah rosak akibat persekitaran seperti suhu, cahaya, kelembapan dan serangga perosak seperti fungus, serangga serta pencemaran udara.

Konservasi kuratif pula merupakan tindakan secara terus yang diambil terhadap artifak yang telah mengalami deteriorasi. Tindakan ini diambil bagi memberhenti atau merencatkan proses deteriorasi terus berlaku terhadap artifak.

Di dalam bidang pemuziuman, kakitangan yang melaksanakan kerja-kerja konservasi dikenali sebagai konsevator yang mempunyai kemahiran menggunakan bahan-bahan mekanikal dan kimia bagi proses konservasi. Setiap muzium kebiasaannya mempunyai Bahagian Konservasi bagi menempatkan kakitangan di sebuah lap untuk melaksanakan kerja-kerja tersebut.

Bagi artifak dan bahan bersejarah yang telah rosak yang perlu dibaiki, kaedah restorasi boleh digunapakai. Restorasi merupakan kaedah di mana artifak dirawat bagi mengembalikan artifak seperti sediakala dengan menggunakan material yang sama atau hampir sama dengan bahan asal artifak tersebut.

C. MENYELIDIK

Menyelidik merupakan salah satu aspek penting dalam bidang permuziuman. Setiap muzium yang mempamerkan artifak harus mempunyai keterangan atau maklumat yang perlu disampaikan. Bagi menyampaikan maklumat tersebut, penyelidikan dibuat bagi mengetahui sesuatu artifak atau bahan bersejarah. 

Penyelidikan berkaitan artifak ini lazimnya dilaksanakan oleh kurator yang mempunyai disiplin ilmu tertentu sama ada artifak tersebut berkait dengan sejarah, kebudayaan, warisan atau sebagainya. Justeru, kurator memainkan peranan yang penting untuk membuat penyelidikan bagi memastikan maklumat yang bakal disampaikan adalah benar dan tepat. 

Selain kurator yang menjalankan penyelidikan, pihak muzium turut mendapatkan bantuan daripada para penyelidik khususnya daripada instituti pengajian yang mempunyai kepakaran dalam bidang-bidang tertentu. Boleh juga mendapatkan bantuan daripada penyelidik-penyelidik persendirian atau individu-individu yang mempunyai kemahiran dalam satu-satu bidang yang hendak diselidiki.

D. MEMPAMERKAN

Seterusnya, artifak dan bahan bersejarah perlu dipamerkan. Ia adalah bertujuan agar ia boleh dilihat atau disaksikan oleh orang ramai yang mengunjungi muzium. Ini adalah salah satu proses pendidikan muzium di mana para pelawat memperoleh ilmu, maklumat dan hiburan dari artifak yang dilihat seterusnya memberi manfaat khususnya dalam mengenali sejarah, budaya dan warisan negara. 

Dahulu, artifak dan bahan bersejarah dipamerkan secara konvensional di mana hanya dipamerkan di dalam peti pameran dan terdapat penerangan berkaitan bahan tersebut. Namun kini, penggunaan teknologi moden sering digunakan dalam aspek mempamerkan artifak sama ada dalam bentuk 3D, Virtual Reality (VR), Audio Tour dan lain-lain kaedah bersifat interaktif yang mana antara lainnya bagi menarik golongan muda untuk mengunjungi muzium.

Tuntasnya, itulah antara empat (4) fungsi utama muzium yang menggerakkan institusi permuziuman khususnya di negara kita ini bagi menyebarluaskan pendidikan muzium kepada masyarakat. Walaubagaimanapun terdapat juga lain-lain tugas, peranan atau fungsi tertakluk kepada sesuatu muzium seperti zoologi yang berperanan menjalankan penyelidikan dan kerja-kerja berkaitan hidupan haiwan meliputi taksidermi iaitu pengawetan haiwan dan sebagainya. 

Turut terpakai dalam alam permuziuman ialah konservasi bangunan. Muzium kelazimannya menggunakan bangunan-bangunan lama era kolonial. Oleh itu, penjagaan bangunan muzium adalah amat berbeza berbanding penjagaan bangunan baharu. Bangunan muzium dibaikpulih mengikut kaedah konservasi dengan diawasi oleh konservator bertauliah. Ini dilakukan agar fasad bangunan dan lain-lain hiasan luaran serta dalaman dibaikpulih dengan sempurna dengan mengekalkan seni bina asalnya. Sepertimana kaedah konservasi, pengekalan bahan asal adalah penting dalam membaiki sesuatu kerosakan, sekiranya tiada, bahan hampir sama perlu digunakan bagi mengekalkan rupa asal bangunan tersebut.

Justeru, masyarakat perlu memahami fungsi kewujudan muzium dan peranannya kepada masyarakat. Muzium perlu dijadikan destinasi utama apabila melancong ke sesebuah negeri atau negara kerana ia bukan hanya memberikan hiburan malah terdapat banyak khazanah ilmu yang bermanfaat terdapat di dalamnya. Bukan sahaja berkaitan sejarah, terdapat banyak disiplin ilmu yang terdapat di muzium antaranya kebudayaan, warisan, seni bina, permuziuman dan lain-lain lagi.

Oleh :
Fairus bin Haji Mamat
Penolong Kurator
Bahagian Penyelidikan dan Dokumentasi
Perbadanan Muzium Melaka (PERZIM)

Thursday, September 15, 2022

Sejarah Lisan : Merungkai Kisah Penting Yang Tidak Dicanang

Bertugas di Bahagian Penyelidikan dan Dokumentasi membuatkan aku dapat belajar banyak perkara. Antara yang aku gemari ialah berjumpa dan menemuramah individu-individu yang hidup pada zaman sebelum merdeka. Banyak kisah yang boleh dirungkai dari individu-individu ini yang memberi gambaran pada zaman sebelum merdeka.

Menemuramah pakcik Rosalle, bekas Rejimen Askar Melayu Diraja dan Komando

Pakcik Dengan pernah berpengalaman menaiki keretapi lama Melaka


Sekarang ini, individu yang hidup pada era 30 hingga 40-an sudah agak berkurangan. Mereka inilah yang merasai hidup di zaman penjajahan sama ada British, Jepun bahkan semasa pemberontakan Komunis. 

Alangkah ruginya jika tidak direkod dan didokumentasikan pengalaman dan peristiwa-peristiwa penting yang pernah dialami oleh mereka. Setiap orang mempunyai ceritanya yang tersendiri dan kisah ini memungkinkan menjadi sebuah kisah sejarah yang tidak dicanang atau ditulis di mana-mana media.

Sebenarnya, aku sedang membuat kajian untuk menulis tentang kewujudan keretapi lama Melaka yang dibina pada tahun 1903 dan telah dibongkar landasannya pada zaman pendudukan Jepun. 

Dahulu Melaka pernah mempunyai sistem keretapi dari Tampin (sebenarnya Pulau Sebang) dan berakhir di Bandar Melaka. Namun kini landasannya sudah tiada lagi, hanya terdapat beberapa struktur saja yang masih kelihatan seperti tembok batu di sekitar kawasan parit atau sungai dan juga jambatan besi.

Nantikan saja kemunculan buku ini nanti. Harap-harap buku ini dapat diterbitkan pada penghujung tahun ini. 

Thursday, October 7, 2021

Gereja St. Paul Asalnya Adalah Sebuah Masjid?


Gereja St. Paul di Bukit Melaka.... Beberapa penyelidik menyatakan bahawa dahulunya ia merupakan sebuah masjid di zaman Kesultanan Melayu Melaka. Berkemungkinan juga! Posisinya juga menghadap ke arah kiblat. Adakah itu suratan atau kebetulan?

Umum mengetahui, sebelum Portugis menakluk Melaka, Melaka merupakan antara sebuah empayar yang telah masyhur, mempunyai pelabuhan dagangan Timur dan Barat. Mempunyai perundangan tersendiri (Hukum Kanun Melaka & Undang-undang Laut Melaka) dan ditadbir dengan sistem kesultanan yang bersistematik dibantu oleh pembesar-pembesar seperti Bendahara, Temenggong, Laksamana dan lain-lainnya yang mempunyai peranan dan tugasan ditetapkan.

Melaka telah mempunyai kota yang hebat. Catatan Portugis sendiri menyatakan beberapa gambaran tentang kota Melaka yang dibina dari kayu dan batu. Ada juga dibina dengan batu semata dan ada juga kayu sahaja. Terdapat juga masjid-masjid di sekitar kawasan istana dan kota.

Kota Melaka setelah ditakluki Portugis, mereka membina A' Famosa seterusnya membina Fortaleza De Malaca (Kota Melaka). Apabila Belanda berjaya menakluki Melaka, kota ini tidak dimusnahkan malah dinaiktaraf dan dipertingkatkan pertahanannya. Cuma semasa pemerintahan Inggeris, mereka telah memusnahkan keseluruhan kota dan yang tinggal hanya pintu gerbang Santiago (Porta Da Santiago).

Sedikit persoalan, adakah pihak Portugis benar-benar membina tembok kubu kota yang mengelilingi Bukit Melaka atau sekadar menaiktaraf tembok sedia ada? Penggunaan batu laterit (juga dikenali sebagai batu merah, batu lada atau batu besi) yang sering dikaitkan sebagai bahan binaan utama bangunan Portugis sebenarnya telah lama digunakan oleh masyarakat Melaka.

Batu laterit dan masyarakat Melaka sebenarnya sudah lebih dahulu dari Portugis mengenal batu laterit kerana di Melaka memang terdapat banyak batu ini sama ada di daratan, pantai dan pulau-pulau. Penggunaan batu laterit di Melaka boleh dilihat pada asas/tembok rumah, perigi malah batu nisan dan tembok kubur.

Berbalik pada gereja St. Paul yang dikaitkan sebagai sebuah masjid. Berkemungkinan asalnya ia merupakan sebuah masjid yang dikatakan telah bertapak sejak zaman kesultanan Melayu Melaka kemudian dijadikan sebagai gereja oleh Portugis dan Belanda dengan pemusnahan dan penambahan pada struktur-struktur tertentu.

Walaubagaimanapun dapatkan-dapatan mengenai masjid ini merupakan hipotesis dari para penyelidik dan masih belum dapat kesahihan yang sebenar, namun kemungkinan tetap ada. Semoga suatu hari nanti ada penyelidik yang berjaya menghasilkan satu penyelidikan yang dapat menjawab segala persoalan ini.

Sunday, August 22, 2021

Ada Terowong Rahsia Di Bukit Melaka?

Bukit Melaka atau kini dikenali sebagai Bukit St. Paul merupakan pusat pentadbiran kerajaan kesultanan Melayu Melaka pada ratusan tahun dahulu. Kawasan yang amat strategik kerana menghadap ke arah laut. Sesuai untuk aspek pertahanan dan pentadbiran khususnya perdagangan, perkapalan dan pelabuhan.

Masa silih berganti, kesultanan Melayu Melaka akhirnya jatuh ke tangan Portugis dan mereka mentadbir Melaka juga dari kawasan sekitar Bukit Melaka. Kemudian, Belanda dan British juga turut mentadbir di kawasan yang sama. Kuasa-kuasa barat ini cuma membaiki apa yang sedia ada dan memperkuatkan pertahanan di sini.

Ratusan tahun lamanya Bukit Melaka ini menjadi saksi bisu atas penguasaan kerajaan-kerajaan yang pernah bertakhta di situ. Pasti ada misteri yang masih belum terungkai di bukit ini antaranya terowong rahsia! Benarkah ada terowong rahsia di sekitar Bukit Melaka? 

Secara peribadi, saya sudah melihat hampir 10 ruang, lubang, laluan yang 'boleh dianggap' sebagai terowong atau laluan rahsia di sekitar Bukit Melaka. Namun, untuk mengesahkan ia sebagai terowong masih belum benar-benar dapat dipastikan. Namun, secara hipotesis pihak kami berpendapat ia adalah terowong dan perlu diteruskan penyelidikan ini secara kajian ekskavasi dan menggunakan alatan berteknologi tinggi seperti Ground Penetrating Radar (GPR), LIDAR Sensor Technology atau sebagainya bagi mengesan ruang atau rongga-rongga yang terdapat di bawah tanah atau di bawah bangunan.

Saya tidak mahu bercerita panjang tentang dapatan-dapatan secara kasar yang kami perolehi, cuma jika ingin mengetahui lebih lanjut dan jika berminat, sila ikuti program di bawah ini. 


Semoga ia memberi manfaat kepada semua khususnya para pencinta sejarah tanah air. Simpan tarikhnya dan selamat menonton.

Ps : saya pernah menulis sedikit mengenai kisah terowong ini, boleh baca di SINI

Thursday, July 29, 2021

MELAKA MELALUI CATATAN PORTUGIS

Buku Portuguese Documents On Malacca terbitan Arkib Negara Malaysia dan Suma Oriental yang ditulis oleh Tome Pires merupakan salah satu bahan bacaan yang saya anggap sebagai kitab rujukan bagi menyelami dan mendapatkan fakta-fakta yang menarik perihal Melaka berdasarkan pandangan penulis Portugis. Walaupun ada yang beranggapan kemungkinan fakta-fakta tersebut berpihak kepada mereka yang menang iaitu Portugis, namun inilah antara dokumen bertulis yang ada bagi menyatakan perihal Melaka pada zaman penjajahan Portugis. 

Saya mentelaah buku ini bagi mencari fakta-fakta yang menyatakan Melaka sebagai sebuah kuasa yang besar lagi hebat. Ya ada, walaupun dokumen-dokumen ini dicatat penjajah, namun masih terdapat fakta yang membuktikan Melaka merupakan sebuah empayar yang hebat pada suatu masa dahulu.

Buku-buku ini mengandungi catatan dan dokumen yang ditulis oleh penulis-penulis Portugis seperti Joao De Barros, Damiao De Goes, Diogo Do Couto, Fernao Lopes De Castanheda, Gaspar Correia dan beberapa nama lagi. Terlalu banyak fakta-fakta yang menarik mengenai Melaka, dan ini antara yang saya mahu kongsikan :

"Barang siapa yang dapat menguasai Melaka, maka dia sedang mencekik leher Venice."

Tome Pires

"Kota Melaka dihuni oleh pedagang-pedagang yang sangat kaya-raya yang menerima manfaat daripada aktiviti perdagangan."

Fernao Lopes De Castanheda

"Kota Melaka mempunyai pelabuhan yang terkaya dengan jumlah dagangan terbesar dengan kehadiran kapal-kapal dan perdagangan dari seluruh dunia." 

Duarte Barbosa

"Melaka dikenali sebagai kota yang terkaya di dunia kerana para pedagang di sana adalah terdiri daripada orang-orang kaya. Kekayaan mereka diukur dalam bahar emas. Satu bahar emas bersamaan empat quintal. Sebahagian pedagang memiliki kekayaan mencecah sepuluh atau dua belas bahar."
 
Damiao De Goes

"Sultan dan penduduk asal Melaka adalah beragama Islam. Terdapat istana-istana yang indah di Melaka. Warna kulit orang-orang Melayu adalah coklat gelap. Bahasa mereka menyenangkan dan mudah dipelajari. Mereka sopan, gagah dan mempunyai penampilan diri yang rapi. Mereka juga sangat sukakan muzik dan mereka hidup dalam keadaan gembira. Tentera Melaka merupakan tentera yang berani dan sanggup mengorbankan diri dalam peperangan."

Damiao De Goes 

"Orang-orang Melayu berpegang pada Al-Quran daripada ajaran Muhammad dan mereka begitu taat. Mereka mempunyai masjid-masjid. Mereka tinggal di rumah yang besar di luar kota yang mempunyai kebun, taman-taman serta tangki-tangki air dan kehidupan mereka sungguh menyenangkan."

Duarte Barbosa 

"Di dalam kota mereka menemui lebih daripada tiga ribu pucuk meriam besar dan kecil yang diperbuat daripada besi dan tembaga. Salah satu daripadanya adalah sebuah meriam yang sangat berat yang diberikan oleh Raja Calicut kepada Sultan Melaka."

Damiao De Goes

"Sebaik saja jong (Portugis) itu melintasi beting pasir dan berlabuh berhampiran jambatan. meriam-meriam tentera Islam mula menembak ke arahnya. Sebahagian daripada peluru-peluru meriam yang diperbuat daripada bijih timah menembusi di kedua-dua belah jong tersebutyang menyebabkan berlakunya korban jiwa yang besar di kalangan tentera-tentera Portugis."

Joao De Barros

"Dalam gudang-gudang milik Sultan dijumpai sejumlah besar tembaga, keluli, besi, bijih timah, belerang, ubat bedil, serbuk peluru, senjata-senjata, dan peluru-peluru yang lain serta selimut-selimut kapal (kain penutup kapal) dalam jumlah yang banyak. Segala-galanya telah diambil untuk raja kita (Raja Portugal) berserta hasil-hasil rampasan barang-barang yang diambil dari kota berjumlah lebih dua ribu cruzado."

Damiao De Goes

"Disebabkan tentera Portugis telah mendapat risikan awal, mereka dapat mengelak daripada perangkap-perangkap sehinga dapat sampai di kubu-kubu ketika pertempuran sedang hebat berlangsung. Tentera-tentera Islam sangat ramai dan mereka lengkap bersenjata dengan senapang-senapang, anak-anak panah beracun, meriam-meriam logam yang kecil, busur bersilang, lembing dan tobak-tombak yang panjang yang diperbuat daripada buluh dengan mata besi yang kelihatan seperti nyalaan api."

Gaspar Correira

"Sultan memiliki dua puluh ribu orang tentera yang lengkap disediakan bekalan makanan, peluru dan senjata api serta anak-anak panah beracun yang dilepaskan melalui sumpit. Di luar kubu-kubu dan persisiran pantai terdapat lubang-lubang yang diisi serbuk api dan ranjau-ranjau yang tersembunyi ditutupi jerami. Di situ juga terdapat dua puluh ekor gajah yang berperanan sebagai kubu dan sememang dilatih untuk berperang."

Gaspar Correira

Demikianlah beberapa fakta yang dapat saya perolehi daripada catatan-catatan Portugis. Namun, sebenarnya banyak lagi. Tidak dapat dijelaskan satu-persatu. Di sini sahaja sudah pastinya dapat dirasai betapa hebatnya empayar Melaka pada suatu masa dahulu. Sayangnya ia dimusnahkan oleh penjajah yang silih berganti dimulai Portugal, Belanda, Inggeris, Jepun dan Inggeris semula sehinggalah negara mengecapi kemerdekaan. 

Sunday, May 2, 2021

MURAL DI STADIUM HANG JEBAT, MELAKA

Malam Sabtu lepas, saya ke Stadium Hang Jebat untuk menyaksikan perlawanan bola sepak antara Melaka United dan Kedah FC. Perlawanan berakhir dengan keputusan Melaka United kalah 1 - 3.

Saya memang minat bola sepak. Boleh dikatakan setiap perlawanan bola sepak melibatkan Melaka United, saya akan pergi menonton. Dahulu, sebelum covid-19 melanda, perlawanan di tempat lawan (away) saya turut pergi jika berdekatan dan berkesempatan.

Sambil-sambil berjalan menuju tempat duduk untuk menyaksikan perlawanan bola sepak, sempat saya rakamkan beberapa mural yang dilukis di tembok atau dinding stadium Hang Jebat. Seingat saya, lukisan mural tersebut dilukis pada zaman yang boleh dikatakan zaman kegemilangan bola sepak Melaka, walaupun pada dasarnya tak gemilang mana pun.

Saya rakamkan untuk dijadikan kenangan kerana terdapat lukisan-lukisan yang mengambarkan pemain-pemain lama Melaka United. Mungkin suatu hari nanti, mural ini akan lusuh dan terpadam di makan usia, justeru sebelum ia lenyap, elok rasanya saya simpan di blog ini sebagai kenangan dan sejarah. Sejarah yang tiada rekod dan catatan akan sukar dibuktikan sebagai sejarah.

Berikut antara lukisan mural yang sempat dirakam gambarnya. 

Syamil merupakan satu watak yang menaikkan Melaka dari Liga FAM ke Liga Perdana dan Liga Super


Perkataan Malacca sudah tidak digunakan lagi, guna Melaka

Kancil atau pelanduk amat sinonim dengan Melaka

Spaso antara pemain import yang pernah bersama Melaka

Yassir Pinto warga Palestin kerakyatan Chile juga pernah bersama Melaka

Frasa Gegau diambil dari perkataan Gegar

Kini Melaka United FC telah mempunyai logo baharu




Saturday, March 27, 2021

BATU NISAN BELIMBING KAMPUNG CHOHONG









Dalam beberapa tahun yang lalu gempar apabila penduduk kampung menjumpai perkuburan lama di kampung Chohong, Jasin, Melaka yang memaparkan ciri-ciri yang unik.

Apa yang uniknya ialah di kawasan perkuburan tersebut semua batu nisan di situ adalah diperbuat daripada batu laterit. Batu ini juga dikenali dengan batu merah atau batu lada. Batu-batu jenis ini banyak didapati di pulau-pulau dan juga boleh didapati di kawasan darat.

Apa yang menariknya perihal batu nisan ini, ia diukir atau dipahat dengan sempurna dan cantik berbentuk seperti belimbing buluh, lantas ia disebut batu nisan belimbing.

Terdapat lebih 30 buah kubur di kawasan perkuburan di situ di mana semua nisannya diperbuat daripada batu laterit dan kebanyakan berbentuk belimbing dan ada juga beberapa bentuk yang lain.

Tidak banyak sumber diperolehi untuk memastikan milik siapa kubur-kubur ini walaupun beberapa kajian cuba dijalankan namun belum menemui sebarang klu untuk mengesahkan penemuan perkuburan ini.

Maka, beberapa pengkaji telah membuat hipotesis yang menyatakan kebarangkalian ini merupakan antara perkuburan terawal sezaman dengan era kesultanan Melayu Melaka. Malah ada yang berpendapat kemungkinan ia lebih awal daripada itu dengan mengaitkan dengan sebelum kedatangan Parameswara dan pembukaan Melaka.

Pelbagai andaian ini membuka ruang untuk pengkajian lanjut dilakukan. Satu kajian komprehensif yang dipelopori oleh pakar dan ahli sejarah perlu dilaksanakan untuk merungkai persoalan mengenai batu nisan ini.

Walaupun bagaimanapun, keunikan batu nisan ini harus juga dibincangkan dari aspek teknologi. Penemuan batu nisan ini memberi gambaran bahawa teknologi masyarakat Melayu Islam pada masa dahulu sudah kehadapan. Mereka sudah mampu dan berkemahiran mengukir atau memahat batu laterit dengan sempurna dan cantik. Ini jelas menunjukkan bahawa tamadun Melayu Islam di Melaka telah mempunyai tahap yang amat maju.

Untuk menghasilkan batu nisan yang diperbuat daripada batu laterit dengan ukiran atau pahatan yang sempurna adalah tidak masuk akal jika tidak mempunyai teknologi dan kemahiran tertentu. Walaubagaimanapun, penggunaan batu laterit dalam pembuatan batu nisan adalah sesuatu yang biasa ditemui di perkuburan-perkuburan lama sekitar negeri Melaka, cuma batu nisan belimbing ini sahaja yang unik.

Satu persoalan yang bermain di fikiran berkenaan penggunaan batu laterit. Batu laterit sering dikaitkan sebagai bahan binaan utama zaman penjajahan Portugis.  Kota Melaka (Fortaleza de Malaca) yang dahulu mengelilingi Bukit Melaka (Bukit St. Paul) dibangunkan dengan bahan batu laterit. Apakah benar kota tersebut adalah teknologi Portugis atau sebenarnya teknologi penggunaan batu laterit sebenarnya telah digunakan awal oleh masyarakat Melayu Melaka? 

Apabila merujuk kepada catatan Portugis, ada menyatakan bahawa terdapat bangunan-bangunan di Melaka diperbuat daripada batu seperti kota, masjid malah istana. Dari bahan runtuhan masjid dan istana ini didirikan Fortaleza de Malaca. Justeru, besar kemungkinan di zaman kesultanan Melayu Melaka telah awal menggunakan bahan binaan daripada batu iaitu batu laterit. 

Batu laterit juga banyak digunakan dalam pembinaan rumah Melayu lama dimana tembok-tembok dikuatkan dengan batu laterit dan disimen. Alas-alas tiang juga menggunakan batu laterit. Justeru, penggunaan batu laterit bagi masyarakat Melayu Melaka pada suatu ketika dahulu bukanlah suatu yang luar biasa, malah penggunaan ia adalah berleluasa.

Apa yang dapat disimpulkan bahawa batu laterit merupakan antara bahan binaan utama yang digunakan oleh masyarakat Melayu Melaka pada zaman dahulu.  Masyarakat Melayu Melaka juga mempunyai kemahiran dan teknologi untuk memotong, memahat dan mengukir batu yang amat baik setanding dengan teknologi tamadun-tamadun lain.