Showing posts with label sedekah. Show all posts
Showing posts with label sedekah. Show all posts

Monday, April 26, 2021

SUDAH ADA YANG BAYAR!

Kali kedua saya singgah di gerai tepi jalan untuk membeli juadah tetapi peniaga tidak mahu menerima wang kerana ia telah dibayar. Kali pertama dahulu, sebelum bulan Ramadan, masa membeli nasi lemak, namun ia telah dibayar oleh seseorang. Alhamdulillah, rezeki Allah SWT yang tentukan.

Kuih seri muka dan koci yang dibeli petang tadi telah dibayar orang


Menurut peniaga, memang biasa jualannya diborong oleh seseorang, kemudian disedekahkan kepada pembeli-pembeli yang mengunjungi gerainya.

Saya hanya mampu mengucapkan terima kasih dan berdoa agar si pemberi terus dilimpahi rezeki yang berlipat kali ganda. Insyaallah... 

Sebenarnya, bukan gerai itu saja, di tempat kerja pun sama. Sebelum Ramadan dahulu ada saja insan-insan berhati mulia sedekah (belanja makan) dengan memberikan sejumlah amaun ke sebuah kedai, dan apabila kakitangan jabatan kami makan, dikira telah dibayar makanannya. Ini sangat memotivasikan saya untuk membuat perkara yang sama. 

Dalam keadaan kesulitan yang dihadapi oleh kebanyakan orang sekarang, masih banyak lagi jiwa-jiwa berhati mulia. Mereka begitu pemurah dalam membantu meringankan sedikit beban bagi mereka dalam kesukaran. 

Kita tak sehebat Ustaz Ebit Liew, namun sekiranya ada sedikit kelebihan, bantulah orang yang sangat memerlukan. Dalam wang yang kita miliki, ada hak orang-orang lain juga. Kita bantu orang untuk bantu diri sendiri di akhirat.

Friday, November 9, 2012

BILA ANAK KECIL PUN BERSEDEKAH


Assalamualaikum dan Salam Sejahtera.

Semasa mendengar khutbah solat Jumaat sebentar tadi, saya ada memerhatikan seorang kanak-kanak berusia lingkungan 8 ke 9 tahun berjalan ke arah pintu masuk masjid. 

Sambil berjalan dia membuka dompetnya dan mengeluarkan wang kertas lalu dimasukkan ke dalam tabung masjid yang terletak di muka pintu masjid tersebut.

Mari bersama kita amalkan sikap suka bersedekah

Di dalam hati terdetik betapa mulianya anak kecil itu dan terus menginsafi diri yang kadangkala agak lalai untuk mengeluarkan duit untuk menderma ke tabung masjid. Sedangkan sudah termaktub bahawasanya sedekah amal jariah merupakan amalan yang tidak terputus apabila seorang Muslim meninggal dunia.

Dari Abu Hurairah R. A bahawa Nabi Muhammad S.A.W bersabda "apabila seorang manusia mati, putuslah (tulisan pahala) amalan (setakat itu) kecuali tiga perkara (yang akan berlanjutan tulisan pahalanya) iaitu sedekah jariah atau ilmu memberi kepada yang faedah orang lain atau anak yang soleh yang berdoa untuknya"

Mudahnya :

1) Bersedekah ke jalan Allah S.W.T
2) Memberi ilmu yang bermanfaat
3) Doa dari anak yang soleh

(Ps : Andaikata apa yang saya kongsikan ini juga tergolong dari "memberi ilmu yang bermanfaat",  alangkah syukurnya)

Wednesday, August 24, 2011

BERSEDEKAHLAH KERANA ALLAH S.W.T

Alhamdulillah, apabila tiba bulan Ramadhan ramai anak-anak yatim, ibu tunggal, orang kurang upaya dan juga golongan gelandangan tidak henti-henti menerima sumbangan berupa barangan dan juga wang daripada orang ramai. Ramai yang bermurah hati seperti orang-orang besar, ahli perniagaan dan orang perseorangan yang bermurah hati untuk bersedekah pada bulan yang mulia ini.

Syukurlah kerana masih ramai yang menyayangi golongan-golongan penerima sedekah ini bagi memastikan mereka juga berhak mengecapi keseronokan Hari Raya Aidilfitri yang akan disambut tidak lama lagi.

Namun begitu, benarkah kita ikhlas untuk menderma? Adakah kita menderma ini kerana Allah Ta'ala ataupun ada sesuatu yang diinginkan?

Memang tidak dinafikan bahawa janji Allah Ta'ala akan memberikan kebaikan berganda kepada sesiapa yang mengamalkan bersedekah pada bulan Ramadhan, tetapi setiap derma yang disumbangkan hendaklah dari hati yang ikhlas dan suci.

Jangan ada kita bersedekah untuk mendapat nama. Jangan ada kita bersedekah untuk menunjuk-nunjuk. Jangan ada kita bersedekah sekadar untuk terpapar di dada akhbar. Bukan apa, takut lari niatnya kerana Allah Ta'ala. Seeloknya niatlah kita bersedekah kerana Allah Ta'ala. Insyaalah, sehingga mati amal sedekah jariah menyelamatkan kita di akhirat kelak. Wallahuaklam.




Monday, January 31, 2011

SITUASI DI KEDAI MELAYU

Pernah mengalami situasi begini semasa membeli di kedai orang Melayu :

SITUASI 1

Pelanggan : Bang kira.
Tuan kedai : Semua lima ringgit seposen. Lima ringgit dah la.
Pelanggan : Ok. Terima kasih bang.

SITUASI 2

Pelanggan : Pakcik kira semua.
Tuan kedai : Singgit dua, empat ringgit nam, singgit lima, tiga ringgit. Semua sekali lapan ringgit tiga posen. Kira lapan ringgit dah.
Pelanggan : Betul ni Pakcik? Ikhlas ye..
Tuan kedai : Ye.. Ikhlas.

SITUASI 3

Pelanggan : Makcik kira berapa ni?
Tuan kedai : Nasi lemak tiga, tiga ringgit. Roti canai dua, singgit dua. Semua empat ringgit dua.
Pelanggan : Nah Makcik.
Tuan kedai : Ada dua posen?
Pelanggan : Takde syiling la Makcik.
Tuan kedai : Takpelah. Empat ringgit je.
Pelanggan : Eh, takpe ke?
Tuan kedai : Takpe... Makcik ikhlas.

SITUASI 4

Pelanggan : Terima kasih Cik.
Tuan kedai : Sama-sama. Eh, jab.. Nah amik gula-gula ni, beri pada adik.
Pelanggan : Nah duitnya.
Tuan kedai : Takpelah saya sedekah.
Pelanggan : Terima kasih cik...





Sebenarnya syiling seposen dua itulah keuntungan bagi orang yang meniaga, tapi kebanyakannya kalau orang Melayu meniaga terutamanya di kawasan kampung agak gemar tidak mahukan seposen dua itu. Bukan mereka tidak mahu duit tersebut, tetapi mereka sebenarnya meniaga dengan ikhlas dan berniat untuk bersedekah dan beramal.

Ini baru duit. Kalau timbangan pula, orang Melayu biasanya akan melebihkan sedikit dari timbangan yang sebenarnya, kerana takut terkurang. Dalam Islam, adalah berdosa sekiranya peniaga mengurangkan timbangan bagi barang yang dibeli pengguna.

Bagi pengalaman aku sendiri. Kalau seorang peniaga tidak mahu seposen dua dari aku akibat tiada syiling semasa membeli, aku akan ke kereta untuk mengambil syiling dan akan memberi jumlah yang tidak cukup itu. Bukan tidak mahu menerima keikhlasan mereka, tetapi bagi aku seposen dua itulah sebenarnya keuntungan mereka sebenarnya. Bak kata orang kalau tiada seposen, tiadalah seringgit kalau tak cukup sepuluh keping. Betul tak?