Showing posts with label sarapan pagi. Show all posts
Showing posts with label sarapan pagi. Show all posts

Monday, October 28, 2024

Bersarapan di Sayyid Antique & Cafe @ Jonker Street, Melaka

Pagi ni aku mulakan hari dengan sarapan santai di sebuah kafe menarik dekat Jonker Street iaitu Sayyid Antique & Cafe. Terletak tak jauh dari Hard Rock Cafe, kafe ni penuh dengan daya tarikan uniknya tersendiri. Awal-awal lagi, dalam pukul 6.45 pagi, aku dah sampai. Orang tak ramai lagi, aku merupakan pelanggan pertama, jadi memang syok untuk menikmati suasana tenang.

Awal-awal pagi motor aku dah terpacak depan kedai

Aku order mihun goreng, tiga ketul jemput-jemput dan secawan kopi O. Simple je, tapi kena betul dengan selera pagi ni. Mihun goreng dia, walaupun nampak biasa, tapi rasa sedap dan tak terlalu berminyak. Jemput-jemput pun rangup di luar, lembut di dalam. Kopi O dia pulak pekat, memang sedap hirup panas-panas waktu pagi macam ni.

Mihun goreng

Aku panggil jemput-jemput. Korang sebut ape? 



Yang lagi menarik, kat kafe ni ada pelbagai koleksi barang antik yang dijual. Dari barangan hiasan lama, barang permainan, sampai ke perabot klasik, memang buat aku rasa macam balik ke zaman dulu. Jadi, sambil minum kopi, mata pun tak habis-habis memandang koleksi barang-barang antik di sekeliling. Nak beli atau sekadar tengok, semua terpulang. Yang penting, suasana kafe ni buat kita rasa rileks dan nyaman, sesuai sangat untuk memulakan hari.

Kalau korang suka tempat sarapan yang ada suasana unik, bolehlah cuba datang ke Sayyid Antique & Cafe ni. Pasti seronok.





Friday, April 12, 2024

Nasi Lemak Sambal Udang Buat Bekalan ke Pejabat


Hari ini orang rumah sudah siapkan bekal ke pejabat. Bekal nasi lemak. Sambalnya bukan biasa-biasa, sambal udang lagi. Tiga ekor udang bersaiz sederhana, timun tiga hiris dan telur rebus sebiji. Enak rasanya. Memang tak dinafikan bahawa orang rumah aku pandai memasak. Bukan lauk pauk sahaja, kek, roti, biskut raya semua dia pandai memasak.

Kebetulan hari ini orang rumah memasak bagi menjamu rakan-rakan di tempat kerjanya. Jadi dia turut membekalkan aku nasi lemak ini. Bagus juga, awal-awal Syawal ni, kedai tempat aku bersarapan masih tak buka lagi. Jadi tak perlulah aku keluar untuk mencari makanan. 

Aku makan bekalan nasi lemak sambal udang ni dalam jam 10.30 pagi. Lewat sedikit makan. masih kenyang lagi. Maklumlah, musim perayaan ni banyak makan. Makanan malam tadi semasa beraya di rumah Abang Long aku pun belum cukup hadam lagi. pasal tu, pagi-pagi masih belum lapar.

Tuesday, September 12, 2023

Roti Canai Roti Terbaik Dunia!!!


Syabas dan tahniah buat Roti Canai Malaysia kerana telah diiktiraf sebagai roti terbaik dunia oleh TasteAtlas bagi kedudukan terkini September 2023 dengan mata sebanyak 4.9. Kedudukan ini sedikit sebanyak mungkin dapat menaikkan nama Malaysia serata dunia melalui kulinari yang sememangnya menjadi subjek tular zaman kini.

Berikut merupakan kedudukan 10 terbaik roti dunia menurut laman sesawang TasteAtlas :

1. Roti canai, Malaysia
2. Pan de bono, Colombia
3. Butter garlic naan, India
4. Nan-e barbari, Iran
5. Pão de queijo, Brazil
6. Baguette, France
7. Naan (collectively), India
8. Piadina Romagnola, Italy
9. Marraqueta, Chile
10. Pan de yuca, Colombia

Memang tidak dinafikan bahawa roti canai amat popular di Malaysia. Bukan sahaja oleh rakyat Malaysia, malah orang asing juga gemar menikmati hidangan ini. Aku sebagai salah seorang yang berkebolehan menebar roti canai juga amat berbangga dengan pencapaian yang dikecapi oleh roti canai.

Banyak kenangan aku bersama roti canai sejak zaman sekolah menengah lagi aku telah mahir menebar roti canai. Aku membantu abang ipar aku di kedainya. Kedainya dulu pun ramai juga pelanggannya kerana terletak di lokasi perindustrian. Jadi ramai pekerja pelabuhan dan kilang menjamu selera di kedainya.

Dahulu, seingat aku roti canai kosong dijual dengan harga RM0.40 sahaja. Murah! 

Roti canai dinikmati tak kira bangsa dan agama. Semua masyarakat menyukai roti canai. Makanan yang menyatukan. Menyatukan rakyat Malaysia.

Zaman dahulu, roti canai tidak banyak pilihan, hanya roti kosong dan roti telur. Jika memesan roti telur, secara automatik akan terdapat cili dan bawang di dalamnya. Jika tidak mahu cili dan bawang, perlu maklumkan dahulu kepada peniaga. Sekarang jika memesan roti telur, hanya ada telur sahaja, jika hendak tambah cili dan bawang perlu maklumkan dan ia dicas lain harga. Seterusnya wujud pula roti sardin. 

Zaman sekarang sudah banyak variasi roti canai. Sudah pelbagai antaranya roti bawang, roti pisang, roti tisu, roti sarang burung dan pelbagai lagi sehingga terdapat menu yang pelik-pelik. Jelas kini roti canai bergerak seiring perkembangan zaman.

Cukuplah sahaja coretan aku berkaitan roti canai. Majukan roti canai untuk Malaysia!!!