Showing posts with label sarang burung. Show all posts
Showing posts with label sarang burung. Show all posts

Sunday, June 27, 2021

ANAK BURUNG DALAM SARANG



Ini anak burung. Ada dua ekor. Baru saja menetas. Lahirnya di dalam sarang di atas dahan pokok jambu air di belakang rumah saya. Hari-hari kedengaran kicauan anak burung ini, mungkin menunggu ibunya mencari makanan.

Ya, ibunya bertanggungjawab. Saya perhatikan memang ibunya mencari makan dan memberikan anak-anak burung ini makan. Malah sekali sekala saya ternampak ada 2 ekor burung dewasa, mungkin seekor lagi itu bapa kepada anak burung tersebut.

Ketika saya hendak mengambil gambar anak-anak burung ini, dua ekor burung dewasa menghampiri dan berkicau begitu riuh sekali. Mungkin kerana tidak mahu anak-anaknya diganggu. Saya tak pegang pun anak-anak burung tersebut, hanya mengambil gambar dan video saja.

Apabila saya melihat anak-anak burung ini, saya cuba gambarkan dengan keadaan kini. Anak-anak burung ini masih belum boleh mencari makanan kerana tidak berupaya lagi, justeru memerlukan pertolongan ibunya yang mempunyai kebolehan mencari makanan dan sememangnya tanggungjawab si ibu memberi anak-anaknya makan. 

Sebaliknya, pada ketika ini, ramai insan-insan yang terjejas akibat pandemik Covid-19 dan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang tidak berpenghujung. Ada yang kehilangan pekerjaan, peniaga yang terpaksa menutup kedai, pelanggan berkurangan, sedikit sebanyak menjejaskan mata pencarian untuk diri dan keluarga. 

Justeru, pihak berkuasa sewajarnya bertindak seperti 'ibu burung' bagi menyalurkan bantuan kepada mereka-mereka yang terjejas ini. Apa salahnya diteruskan program seperti moratorium, i-sinar dan segala macam bentuk bantuan untuk memastikan golongan ini terjaga dan diberi perhatian. Jangan jadi seperti anak burung yang tidak diberikan makanan yang akhirnya mati kekeringan di dalam sangkar buatan ibunya.