Showing posts with label sajak gaza. Show all posts
Showing posts with label sajak gaza. Show all posts

Tuesday, May 11, 2021

IMPIAN GAZA

Terpekik terlolong minta perhatian
tiada sesiapa pun jiran peduli
jiranku hanya menutup mata dan telinga.

Anak bangsa seagamaku berlumuran darah
darah mengalir membasahi bumi
jiranku hanya menutup mata dan telinga.

Peluru menghujani jasad yang tak berdosa
kediaman diumpamakan lapang sasar
jiranku cuma menutup mata dan telinga.

Apa aku ada?
cuma ketulan batuan menjadi senjata
hanya sekujur tubuh menjadi pendinding
dengan laungan kalimah Allahuakbar 
ku rejam batuan menjadi peluru
ku tegapkan tubuh menjadi perisai syahid.

Impianku agar Allah menghulur bantuan
bagaikan Ababil menghapuskan tentera bergajah.

Fairus Mamat
9 Februari 2009


*****

"Dan khabarkan kepada Bani Israel dalam kitab itu : Sesungguhnya kamu akan melakukan kerosakan di bumi (Palestin) dua kali dan sesungguhnya kamu berlaku sombong angkuh dengan melampau."

(Al-Isra' 17 : 4)

Sajak ini telah saya nukilkan pada tahun 2009. Pada ketika itu, kejadian sama seperti sekarang iaitu pengeboman Gaza oleh laknatullah Israel.

Kita sebenarnya telah banyak terhutang budi dengan rakyat Palestin. Mereka berjuang mempertahankan Al-Aqsa, masjid yang begitu suci dan merupakan kiblat pertama umat Islam.

Mereka sanggup mati untuk mempertahankan kesucian agama Islam dan masjid Al-Aqsa, sedangkan kita di sini hanya mampu melihat dan mendengar dari jauh hal kesulitan dan penderitaan yang mereka alami.

Doa saja yang mampu dipanjatkan kepada Allah SWT agar perjuangan Palestin mempertahankan tanah air memperoleh kejayaan. Dengan izin Allah SWT, Insyaallah, suatu hari nanti dengan apa yang tercatat dalam Al-Quran, kejayaan pasti memihak kepada Islam.



Friday, November 16, 2012

TAHUN BARU GAZA


Assalamualaikum dan Salam Sejahtera.
 
Gaza diserang lagi!!! Begitulah "headline" pada awal Muharam 1434 yang diterima pada saudara kita di Palestin. Di kala umat Islam seluruh dunia menyambut kedatangan tahun baru dengan gembira, bercuti bersama keluarga atau berehat saja di rumah, tetapi bukan di Gaza. Mereka dalam ketakutan akibat menerima serangan dari Israel.
 
Ya, memang bukan sekali Gaza diserang, sudah banyak kali, namun serangan ini merupakan serangan yang terancang dan maha hebat dengan menggugurkan banyak nyawa sama ada pemimpin mahupun rakyat jelata.
 
Dari jauh, hanya doa dapat kuiringkan kepada semua saudara-saudara di Gaza, semoga mala petaka yang menimpa mereka sekarang ditukarkan kepada sesuatu yang lebih baik bagi mereka. Amin.
 
Teringat kembali puisi yang saya tulis pada tahun 2009 berkenaan Gaza. Masa itu, Gaza juga diserang.
 
IMPIAN GAZA ... PALESTIN
 
Terpekik Terlolong Pinta Perhatian
Tiada Siapa Jiran Peduli
Jiranku Hanya Memejam Mata Memekak Telinga

Anak Bangsa Seagamaku Berlumuran Darah
Darah Mengalir Membasahi Bumi
Jiranku Hanya Memejam Mata Memekak Telinga

Peluru Menghujani Tubuh Yang Tak Berdosa
Bom Bom Meledak Bangunan
Sekolah, Masjid, Hospital Menjadi Lapang Sasar
Jiranku Hanya Memejam Mata Memekak Telinga

Apa Yang Ku Ada
Tiada Senjata, Tiada Perisai
Hanya Ketulan Batuan Menjadi Senjata
Hanya Sekujur Tubuh Menjadi Perisai
Dengan Kalimah Allahuakbar Kulempar Batuan Menjadi Peluru
Dengan kalimah Allahuakbar Kutahan Tubuh Menjadi Perisai Syahid

Impianku Allah Menghulur Bantuan
Seperti Ababil Menghapus Latnatullah

F.B. Mamat
9 Februari 2009 (2.55 Petang)
Bandar Hilir, Melaka


LIHAT JUGA >>> Impian Gaza ... Palestin