Showing posts with label sabah. Show all posts
Showing posts with label sabah. Show all posts

Friday, June 5, 2015

GEMPA BUMI DI RANAU, SABAH : ADAKAH SEBAGAI SATU BALASAN?


Assalamualaikum dan salam sejahtera.

Dengan nama ALLAH yang MAHA PEMURAH lagi MAHA MENGASIHANI. Selawat dan salam buat nabi junjungan NABI MUHAMMAD S.A.W.

Setiap perbuatan yang salah pasti ada balasannya. Sama ada balasan itu hadir di kemudian hari mahupun balasan yang hadir dengan serta merta.


30 Mei yang lalu, Malaysia dikejutkan dengan sikap tidak tahu malu oleh beberapa pelancong asing yang dikatakan telah berbogel di Gunung Kinabalu. 

Hari ini pula, Ranau, Sabah telah mengalami gempa bumi sekuat 6.0 skala Richter yang juga merosakkan bangunan, jalan raya dan lain-lain kemudahan awam.


Dalam kepercayaan masyarakat setempat, Gunung Kinabalu merupakan tempat suci mereka. Dengan perbuatan sedemikian, mereka menganggap dengan berbogel di Gunung Kinabalu bererti pelancong tersebut tidak menghormati dan menghina tempat suci mereka.

Dalam agama Islam pula, perbuatan seperti ini memanglah dilarang sama sekali. Memperlihatkan aurat kepada orang adalah haram. Apatah lagi, dengan sengaja mendedahkan aurat untuk tujuan keseronokan.

Adakah gempa bumi ini satu balasan atau peringatan dari Yang Maha Kuasa demi untuk menyedarkan semua? 

Ya, mungkin akan ada yang berkata, mengapa orang lain yang lakukan kesalahan tetapi orang lain yang menanggung kesan yang sama perbuatannya itu? Lihat Tsunami di Acheh, beratus-ratus ribu orang yang mati. Adakah yang mati itu semua orang jahat? Pastinya tidak. Apa-apapun, hanya Allah Yang Maha Kuasa yang Maha Mengetahui.

Semoga perkara seperti ini tidak lagi berlaku di bumi Malaysia. Sama-samalah kita menambah amal ibadah dan bertaubat kepada Allah SWT. Bumi kita ini pun semakin hari semakin tua. Mungkin sudah tidak lama lagi Matahari pula terbit dari Barat.

Wallahuaklam.

Dikongsikan bersama gambar-gambar sekitar gempa bumi di Sabah yang diterima dari group Whatsapp..









Monday, March 4, 2013

APA KHABAR LAHAD DATU

Apa khabar Lahad Datu?
hati di Semenanjung berombak laju,
mata tidak dapat dilena,
dengar perkhabaran ini itu,
apakah tenang di sana?
atau terus bersengketa.

Wira-wira negara tumbang,
mempertahan kedaulatan,
dari petualang,
bertandang tanpa diundang,
dengan laras senapang.

Ingatlah wahai petualang,
Ingatlah sejarah,
Kesultanan kamu sudah lama pupus,
tanah ini tanah berdaulat,
bukan hak kamu.

Pulanglah duhai petualang,
ruang kamu pulang aman,
usah seteru yang kuasa,
kelak badan rosak binasa,
hilang zuriat,
hilang pusaka.

Fairus Haji Mamat
4 Mac 2013

Friday, September 17, 2010

SELAMAT HARI MALAYSIA


Rasanya masih belum terlewat aku mengucapkan SELAMAT HARI MALAYSIA kepada semua. Terima kasih diucapkan kepada pihak kerajaan yang menyedari kepentingan menyambut Hari Malaysia dan memberikan cuti umum pada seluruh negara untuk rakyat sama-sama menyambut hari yang bersejarah ini. Walaupun pada hari tersebut aku terpaksa hadir bertugas separuh hari kerana ada program di jalankan.

Kita seharusnya bersyukur kerana dapat hidup di dalam negara yang aman dan harmoni yang diwarnai dengan pelbagai lapisan masyarakat, kaum dan agama. Kita dapat hidup tanpa rasa gusar akan ancaman-ancaman perkauman, kita masih boleh duduk semeja, berborak, ketawa dan berbincang. Inilah indahnya Malaysia di mana ianya sukar dilihat di negara-negara lain.

Dalam hidup dalam keadaan masyarakat majmuk, sifat tolak ansur, saling memahami dan hormat menghormati adalah kunci kepada kejayaan perpaduan kaum. Sekiranya terdapat masalah, hendaklah segera diselesaikan melalui meja bulat. Berbincang menyelesaikan masalah adalah langkah terbaik daripada membuat keputusan sendiri, melulu dan melakukan kekacauan atau suasana yang tidak diingini. Negara ini telah mempunyai sejarahnya yang tersendiri dalam konflik perkauman, tidak usahlah diulangi, tidak usahlah cabar mencabar antara satu sama lain. Tiada apa faedahnya apabila berlaku persengketaan, sebaliknya teguhkanlah perpaduan.

Kita di Malaysia ini, sebenarnya saling memerlukan antara satu sama lain. Malaysia tidak akan maju sekiranya ada mengatakan kita tidak perlukan Melayu, Cina, India, dan etnik Sabah Sarawak. Dengan perpaduan yang sedia terjalin inilah kita membawa Malaysia ke arah negara yang dinamik dan progresif menuju wawasan negara maju 2020. Kita tidak boleh nafikan ini, kerana sekarang inipun sudah terbukti kita memerlukan Melayu, Cina, India dan etnik Sabah Sarawak untuk sama-sama memajukan negara. Melayunya yang mahir dalam pengurusan, Cinanya yang mahir perniagaan, Indianya yang mahir perundangan juga etnik Sabah Sarawak yang serba berkebolehan bersama-sama bekerja keras memacu negara.

Semoga sempena sambutan Hari Malaysia pada tahun ini, semua rakyat Malaysia tak kira warna kulit dan latar belakang dapat mengukuhkan lagi perpaduan yang sedia terjalin sekian lama.