Showing posts with label rumah tradisional. Show all posts
Showing posts with label rumah tradisional. Show all posts

Tuesday, September 17, 2024

Keindahan Rumah Kayu di Melaka



Dalam salah satu aktiviti mingguan Gerobok Rezeki Masjid Al-Aminin, aku berpeluang menjelajah kariah Batang Tiga, Melaka untuk mengagihkan sumbangan barang-barang keperluan kepada penduduk setempat. Semasa perjalanan, mataku terpukau dengan sebuah rumah kayu yang terletak di tengah-tengah kehijauan alam.

Rumah itu sudah kelihatan usang dengan dinding kayu asli, menyerlahkan aura tradisional yang begitu mendamaikan. Di sekelilingnya, pokok-pokok besar menghiasi lanskap, melindungi rumah dari terik matahari. Suasana di situ amat menenangkan. Bayu lembut meniup dedaunan pokok, menambahkan kesejukan yang terasa hingga ke dalam jiwa.

Melangkah lebih dekat, aku dapat merasakan betapa aman dan tenteramnya kawasan ini. Jauh dari hiruk-pikuk bandar, rumah kampung ini seolah-olah menyimpan kenangan dan ketenangan hidup orang dulu-dulu. Udara bersih, bunyi alam yang mengiringi, semuanya mencipta suasana yang begitu harmoni.

Pengalaman ini mengingatkan aku akan pentingnya menjaga dan memelihara rumah-rumah tradisional serta nilai-nilai kehidupan di kampung. Sesungguhnya, rumah kayu seperti ini bukan sahaja mengekalkan warisan, malah menjadi lambang ketenangan yang sukar didapati di mana-mana tempat lain.

Kembara di kariah Batang Tiga tidak hanya memberi peluang untuk membantu mereka yang memerlukan, tetapi juga untuk menghargai keindahan alam dan warisan budaya yang masih terpelihara.

Saturday, October 24, 2020

RUMAH HANG KASTURI @ HANG TUAH CENTRE

 


Thursday, March 22, 2012

KATA SPONTAN NO. 7 : FALSAFAH RUMAH MELAYU

Assalamualaikum dan Salam Sejahtera. 

Terlanjur saya teringatkan sesuatu berkenaan rumah tradisional Melayu, ingin saya sampaikan dua (2) falsafah rumah Melayu Melaka.

Yang pertamanya, kebiasaan rumah Melayu Melaka mempunyai tangga batu di bahagian serambi. Dan kebiasaannya juga, tangga tersebut mempunyai anak tangga dengan bilangan yang ganjil iaitu 5 atau 7 anak tangga. Ini memberikan gambaran bahawa setiap tetamu yang bertandang biasanya akan mula melangkah ke anak tangga dengan kaki kanan dan juga akan mengakhiri langkah kakinya dengan kaki kanan. 

Keduanya ialah perihal bendul. Bendul yang menghubungkan serambi dengan bahagian tengah rumah biasanya agak tinggi sedikit. Mengapa ia tinggi? Ini adalah kerana, semasa tetamu yang hadir ke rumah ini mereka akan mengangkat kaki lalu kelihatan menundukan kepala apabila mahu melintasi bendul tersebut. Ini mengambarkan penghormatan yang diberikan daripada tetamu kepada tuan rumah dengan menundukan kepala. 

Sekian sahaja perkongsian untuk hari ini. Inipun secara spontan terlintas di kepala. Ada apa-apa ilmu yang saya perolehi berkenaan rumah tradisional Melayu Melaka, akan saya kongsikan lagi kemudian.

Tuesday, January 31, 2012

RUMAH DEMANG ABDUL GHANI @ PENGHULU MAT NATAR

Assalamualaikum dan Salam Sejahtera 

Hari ini saya mahu mempromosi dan mewar-warkan sebuah galeri terbaru yang dibangunkan oleh Perbadanan Muzium Melaka (PERZIM). Di harap kepada semua penyelidik dan pengunjung dapat sedikit maklumat seterus melawat galeri ini yang sememangnya unik dari segi seni binanya. 

Rumah tradisional ini dipercayai telah didirikan oleh Demang Abdul Ghani bin Penghulu Abdul Majid, seorang hartawan yang keturunannya berasal dari Palembang pada tahun 1831. Penghulu atau Demang merupakan 'Raja Kecil' dan amat dihormati pada waktu itu. Rumah ini merupakan pusat pentadbiran kampung dan sering digunakan sebagai teempat perjumpaan bagi membincangkan hal ehwal masyarakat.

Tiga generasi penghulu pernah mendiami rumah ini iaitu Penghulu Abdul Majid (1831-1834), Demang Abdul Ghani bin Abdul Majid (1834-1934) dan Penghulu Mat Natar bin Abdul Ghani (1931-1978).

Erm.. Cukuplah saja sedikit maklumat yang diberikan. kalau mahu maklumat lebih lanjut, bolehlah berkunjung ke Galeri Demang Abdul Ghani ini di Merlimau, Melaka dengan bayaran semurah RM 3.00 untuk dewasa dan RM 1.00 untuk kanak-kanak.

Wednesday, November 2, 2011

# 01 LENSA KAMERA CABUK - RUMAH MELAYU MELAKA




Mengempu Keris Di Bawah Rumah,
Keris Diempu Keris Pekaka,
Rumah Bukan Sebarang Rumah,
Inilah Rumah Melayu Melaka.

Tuesday, September 6, 2011

RUMAH TRADISIONAL MELAKA @ KAMPUNG ALAI

Alhamdulillah... 

Dalam beberapa hari sebelum menyambut Syawal yang lalu, sebuah lagi Rumah Tradisional Melayu Melaka telahpun siap dibaikpulih. Rumah yang dikatakan ini terletak di kampung Alai, Melaka. Walaupun lokasinya agak ke dalam sedikit, namun tidak mengapa kerana kawasan kampung tersebut merupakan penempatan inap desa (homestay) yang sememangnya kerap dikunjungi pelancong dari dalam dan luar negara. 

Semoga dengan apa yang dilaksanakan ini bakal memelihara warisan bangsa dan akan menjadi tempat rujukan kepada para pengkaji terutamanya dalam bidang senibina. 



Tingkap Rumah Melaka
Tangga Batu Yang Begitu Sinonim Dengan Rumah Melaka
Jemput Masuk...
Ukiran Asli Yang Masih Dikekalkan
Tangga Rumah Bahagian Tepi Rumah
Pandangan Sisi
Ruang Dalaman Rumah Melaka Pandangan Tebar Layar Dan Bumbung
Bahagian Hadapan Rumah

Monday, August 8, 2011

RUMAH TRADISIONAL MELAKA

Rumah tradisional Melayu yang asli di Melaka dikenali sebagai Rumah Melaka, dan bentuk bumbungnya panjang. Pada bentuk bumbungnya juga terdapat unsur-unsur senibina Bugis, Jambi, Riau dan Minangkabau, dan tangga batunya yang bersalut jubin memperlihatkan pengaruh senibina Cina. Rumah-rumah bentuk limas yang banyak terdapat di Johor pula banyak dipengaruhi oleh unsur-unsur senibina Bugis, Jawa, Banjar dan Belanda.

Berehat seketika di tangga rumah Melayu Melaka


Walaupun berbagai tafsiran diberi untuk pembinaan asasnya atau rumah tradisional Melayu, namun pembinaan asasnya atau strukturnya adalah sama. Samada jenis perabung panjang (Bumbung Panjang), Rumah Bujang, Rumah Tiang Dua Belas, Rumah Minangkabau, Rumah Limas, Rumah Baju Kurung, Rumah Bumbung Perak, Rumah Kutai, Rumah Serambi Melaka dan lain-lain lagi ciri-ciri asas dan elemen utamanya adalah sama, iaitu mempunyai tiang berlapik batu, bumbung yang curam, berloteng, dapur di bahagian belakang, tangga di bahagian hadapan dan bahan binaan yang sama.

Perbezaan yang ketara ialah pada bentuk bumbung, perabung dan jumlah tiang utamanya. Di Melaka terdapat dua jenis rumah tradisional, iaitu jenis Rumah Serambi atau Rumah Melaka atau Rumah Bumbung Melayu dan jenis Rumah Perabung Limas atau Bumbung Limas. Rumah Melaka terdiri daripada tiga jenis, yang terkecil dinamakan Rumah Bujang, iaitu struktur bangunannya terdiri daripada enam batang tiang utama. jenis sederhana dinamakan Rumah Berbandung Dua, terdiri daripada dua belas batang tiang utama, manakala jenis yang terbesar dinamakan Rumah Berbandung Tiga, terdiri daripada enam belas batang tiang utama.

Rupabentuk fizikal Rumah Melaka dapat diperjelaskan samada secara vertikal ataupun horizontal. Secara vertikal bentuk Rumah Melaka dapat dibahagikan kepada tiga perenggan atau penggalan, iaitu penggalan tiang, penggalan badan dan penggalan bumbung, manakala secara horizontal, terdiri daripada unit-unit komponen yang mengandungi unit ruang serambi dan anjung, ibu rumah dan rumah dapur. Antara ibu rumah dan dapur dipisahkan oleh selang atau pelantar. Penggalan tiang bermula daripada pangkal tiang hingga ke paras lantai. Kayu tiang dipilih daripada kayu jenis yang baik agar tidak mudah rosak oleh serangga. Biasanya tiang rumah dibuat daripada kayu kempas, cengal, merbau, damar laut dan lain-lain. Tiang dilapik dengan batu alas. Struktur penting pada penggalan tiang ialah kayu-kayu rasuk dan gelegar. Kayu rasuk dikenali sebagai rasuk panjang dan rasuk pendek. Kayu-kayu yang panjang dihubungkan dari tiang ke tiang melalui lubang-lubang pada tiang. Penggalan tiang juga mengandungi kayu-kayu gelegar disusun berbaris di atas rasuk panjang. Cara susunan adalah melintang atas rasuk pendek. Di atas rasuk pendek dan gelegar itulah disusun papan lantai.

Bendul merupakan perhiasan pada bangunan. Ia merupakan kayu kerangka yang memberi ketahanan pada struktur bangunan. Bendul terdapat pada tepi keliling bangunan rumah. Bendul juga berfungi sebagai pemisah antara komponen atau unit rumah. Ia juga berfungsi sebagai penutup hujung lantai supaya nampak kemas. Penggalan tiang yang penting ialah tangga. Tangga bagi Rumah Melaka merupakan suatu perkara yang diambil perhatian. Tangga-Tangga batunya yang bersalut jubin menunjukkkan kesan-kesan pengaruh senibina Cina.

Penggalan badan pula terdiri daripada ruang bumbung dan tiang. Penggalan badan adalah penting kerana keseluruhan struktur bangunan tertumpu kepada penggalan tersebut. Pada penggalan badan inilah terletaknya konsep rumah kerana di sinilah juga terletaknya ruang-ruang dan komponen-komponen untuk menampung berbagai fungsi. Untuk melindungi ruang daripada terdedah kepada berbagi anasir, penggalan badan diberi berdinding. Di Melaka dinding papan dipasang menegak (teknik papan berlidah) atau melintang, susunan bertindih dipaku pada kayu kambi (jerejak). Rumah Serambi Melaka yang asli tidak diberi berdinding pada muka serambi ataupun pada anjung. Sebagai ganti dinding, dipasang kisi-kisi sebagai ganti pagaran selasar agar anak-anak tidak jatuh. Serambi dan anjung yang tidak berdinding itulah yang membezakan Rumah Melaka dengan rumah tradisional yang lain.


Pintu dan tingkap menjadi sebahagian daripada dinding. Rumah Melaka menggunakan beberapa buah pintu, iaitu pintu hadapan rumah, pintu di pelantar (selang) dan pintu di belakang rumah. Tingkap merupakan sebahagian dinding yang boleh dibuka katup dan berfungsi untuk pengedaran udara dan pencahayaan. Rumah Melaka mempunyai banyak tingkap yang dibuka ke arah luar. Jika tingkap memanjang ke lantai, di bawahnya dipasang kisi-kisi. Telah menjadi tradisi di Melaka kain-kain langsir perlu dipasang pada tingkap. Ukuran tingkap Rumah Melaka biasanya lebih kurang 80 sm x 120 sm manakala ukuran pintunya pula lebih kurang 90 sm x 190 sm.

Rumah Melaka tergolong dalam jenis rumah Melayu bumbung panjang di mana tulang perabungnya lurus mendatar dan letaknya memanjang rumah. Di muka tepi dindingnya dipasang tebar layar. Tutup bumbungnya adalah dari jenis lipat kajang. Kecuraman bumbungnya adalah sederhana iaitu antara 50 darjah hingga 60 darjah dan dinamakan tara. Di bawah tutup bumbung yang berlipat kajang tersembunyi ruang khas yang dinamakan loteng. Struktur bumbung terdiri daripada kayu alang, tunjak langit, kayu kasau, tulang perabung dan juga atap yang diperbuat daripada daun nipah atau rumbia. Kesan pengaruh luar yang datang kemudian terdapat Rumah Melaka yang menggunakan genting atau zink.

Secara horizontal pula dapat diperjelaskan tentang komponen Rumah Melaka. Komponen bangunan Rumah Melaka bergantung kepada jenis atau saiz rumah, samada kecil, sederhana ataupun jenis yang besar. Bagi jenis kecil, ruang serambi terdapat di tengah rumah dan ruang makan terletak dalam sebuah unit bangunan. Rumah jenis ini dinamakan Rumah Bujang. Rumah Bujang tidak mempunyai ruang anjung, ruang selang tangah atau pelantar.

Bagi jenis yang sederhana dinamakan Berbandung Dua (Dua Sebandung) terdiri daripada dua unit bangunan, iaitu ibu rumah dan dapur, yang dipisahkan oleh selang atau pelantar dan mempunyai serambi serta beranjung. Biasanya pelantar Rumah Melaka yang asli tidak beratap, tetapi berlantai dan berdinding. Ianya terdiri daripada dua belas batang tiang utama. Jenis Rumah Melaka yang terbesar dinamakan Berbandung Tiga (Tiga Sebandung) yang terdiri daripada komponen rumah ibu, rumah tengah dan rumah dapur. Unit-unit rumah dipisahkan oleh ruang selang atau pelantar. Jumlah tiang utama ialah enam belas batang, berserambi serta beranjung.

Lihat juga : Rumah Tradisional Melaka @ Kampung Alai

Lihat juga : Rumah Tradisional Melaka @ Kampung Pengkalan Batu

Friday, June 24, 2011

RUMAH TRADISIONAL MELAKA @ KAMPUNG PENGKALAN BATU


Pagi tadi unit aku pergi ke Rumah Tradisional di Pengkalan Batu bagi membuat majlis serah tapak oleh pihak kontraktor kepada tuan rumah. Rumah ini baru sahaja disiapkan dan sedia untuk dikunjungi oleh pelancong. Untuk makluman, di kawasan kampung Pengkalan Batu ini mempunyai 4 buah rumah tradisional yang dikbaikpulih oleh Kerajaan Negeri Melaka. Pelaburan kerajaan negeri Melaka untuk membaikpulih rumah-rumah tradisional ini nampak berbaloi apabila setiap hari pasti ada berbas-bas pelancong dari luar negara berhenti untuk melihat keunikan dan keindahan senibina rumah Melayu Melaka.

Lihat juga : Rumah Tradisional Melaka @ Kampung Alai

Lihat juga : Rumah tradisional Melaka

Rumah tradisional Melaka dari pandangan sisi


Ukiran kayu di serambi

Ukiran kayu "close up"

Tingkap rumah Melaka

Senibina tangga Melaka yang sangat popular

Pintu serambi

Tangga Melaka "close up"

Bahagian serambi

Bahagian rumah ibu

Bahagian bawah rumah

Ni ntah siapa ntah... :)