Showing posts with label rumah terbakar. Show all posts
Showing posts with label rumah terbakar. Show all posts

Monday, October 2, 2023

Rindu Nak Duduki Semula Rumah



Dalam beberapa hari lagi sudah menghampiri dua bulan musibah kebakaran rumah terjadi kepada aku. Aku redha akan ketentuan Allah SWT. Hampir dua bulan juga aku duduk menyewa rumah yang terletak di dalam kawasan perumahan aku.

Tidak pasti bilakah episod tuntutan insurans kebakaran akan berakhir. Kini, hal tuntutan berada di fasa akhir. Sebenarnya pihak insurans telah pun menawarkan sejumlah bayaran, tetapi harga yang ditawarkan agak rendah berbanding sebut harga membaikpulih yang telah diberikan oleh beberapa kontraktor yang aku berikan. Aku dan isteri sedang berusaha untuk mendapatkan bayaran yang setimpal.

Sekarang ini, kerja-kerja membaikpulih rumah sedang berjalan. Aku mengeluarkan tabungan dan menggunakan sumbangan yang diterima. Ini tidak menganggu proses tuntutan insurans kerana laporan dari pihak bomba dan adjuster insurans telah pun selesai. Lagipun apabila lulus tuntutan insurans nanti, pihak insurans akan terus transfer wang ke akaun aku.

Sebenarnya banyak ingin aku kongsikan hal tuntutan insurans kebakaran. Tapi mungkin bukan sekarang. Apabila semuanya sudah selesai, akan aku kongsikan pengalaman aku perihal menuntut insurans kebakaran rumah.

Saturday, September 9, 2023

Terima Kasih Semua



Bagi yang pernah terbaca post aku bulan lalu pasti perasan tentang kebakaran yang berlaku pada rumah aku yang terjadi pada 6 Ogos 2023. Satu musibah dan ujian daripada Allah SWT yang tidak mungkin dapat aku lupakan sepanjang hidup.

Selepas kejadian itu berlaku, pelbagai pihak tampil membantu termasuk orang perseorangan. Bantuan dari segi kewangan boleh dikatakan banyak juga yang aku perolehi . Aku sangat terharu dengan hati budi dan keikhlasan orang-orang yang membantu. Antara sumbangan dalam bentuk kewangan yang diterima ialah dari :

1. Adik beradik
2. Saudara mara 
3. Jiran tetangga 
4. Persatuan Penduduk Taman Pasir Emas 
5. Penduduk Kampung & Khariah Batang Tiga 
6. Masjid Al-Aminin, Klebang 
7. Sekolah, guru, ibu dan bapa murid (sekolah kebangsaan dan sekolah agama) 
8. Rakan-rakan sekerja dan rakan sekerja isteri 
9. Majlis Agama Islam Melaka (MAIM) 
10. Kerajaan Negeri Melaka melalui JAPERUN 
11. Ahli Parlimen Tangga Batu
12. Rakan-rakan AKRAB MELAKA 
13. Kelab Sukan dan Kebajikan PERZIM 
14. Lain-lain lagi termasuk orang perseorangan. 

Mungkin ada lagi yang aku terlepas pandang. Sengaja aku catatkan penyumbang-penyumbang ini agar suatu hari nanti akan aku balas kembali kebaikan yang telah mereka dilakukan terhadap diri aku dan keluarga. 

Bukan sahaja bantuan dari aspek kewangan, jiran tetangga dah ahli keluarga turut bergotong-royong mengangkat barang-barang yang masih boleh digunakan untuk ditempatkan di rumah sebelah yang aku sewa untuk meletakkan barang-barang. 

Kebetulan di kiri dan kanan aku rumah masih belum dihuni oleh pemiliknya. Jadi, aku sewa untuk meletakkan barang-barang. Untuk menginap pula, aku menyewa sebuah lagi rumah di dalam taman perumahan aku. Sebenarnya rumah itu dibuat homestay, tapi pemiliknya berbesar hati menyewakannya kepada aku dengan harga sewaan bulanan dengan harga 'mampu bayar'.

Terima kasih semua! Sangat besar pengorbanan kalian dalam memberi sumbangan kepada aku dan keluarga. Semoga Allah SWT sahaja yang dapat membalas jasa dan kebaikan yang telah kalian curahkan. Insya-Allah, setelah selesai semuanya, aku berhasrat untuk membuat kenduri doa selamat.

TERIMA KASIH SEMUA... 

Tuesday, August 8, 2023

Rumah Terbakar : Aku Redha dengan Ujian Allah SWT






Tanggal 6 Ogos 2023 (Ahad) merupakan hari sejarah pahit bagiku, namun aku redha dengan ketentuan dan ujian daripada Allah SWT. Kira-kira jam 10.30 pagi, rumah yang aku duduki baru kira-kira 4 tahun telah mengalami kebakaran. Tarikh ini juga merupakan hari lahir anakku yang ketiga yang kini berusia 8 tahun. 

Kebakaran berpunca dari bilik nombor 4, namun pada ketika ini, siasatan masih berjalan dan laporan penyiasatan masih belum aku perolehi dari pihak bomba. Mungkin esok atau lusa baru mendapat laporannya. 

Aku bersyukur kerana anak-anak dan anak-anak buah yang aku tinggalkan sempat keluar menyelamatkan diri. Ketika itu aku tinggalkan mereka untuk pergi  bersarapan di kedai tidak jauh dari rumah. Pada awalnya, aku mengajak mereka, tetapi mereka tidak mahu ikut. Jadi aku dan isteri dan anak bongsu sahaja yang pergi keluar bersarapan.

Baru sahaja air yang aku pesan sampai, tiba-tiba mendapat panggilan telefon daripada anak buah menyatakan rumah terbakar. Lantas aku mendapatkan kereta untuk pulang. Sempat aku melihat cctv di dalam telefon bimbit dan kelihatan asap hitam berkepul-kepul keluar dari dalam rumah. Isteri pula segera menelefon bomba. Dalam masa yang sama, jiran aku turut menghubungi aku menyatakan hal yang sama iaitu rumahku terbakar dan beliau juga telah menghubungi pihak bomba. 

Sampai sahaja di rumah, aku melihat asap hitam keluar di segenap ruang yang terbuka. Ketika ini jentera bomba belum tiba lagi. Ingin aku masuk untuk menyelamatkan apa yang perlu, tapi asap hitam membantutkan hasrat aku. Aku cuma dapat mencapai kunci kereta dan motor yang terletak di tepi pintu untuk mengeluarkannya dari dalam halaman rumah. 

Dari luar kedengaran bunyi kaca-kaca berderai. Aku hanya mampu melihatnya sahaja. Jentera bomba tiba dalam pukul 10.55 pagi dan segera memadamkan kebakaran. Sebentar sahaja pihak bomba berjaya memadamkan kebakaran. 

Walaupun kebakaran hanya melibatkan bilik nombor 4, namun akibat daripada itu hampir seluruh rumah dipenuhi jelaga hitam di lantai, dinding dan syiling. Kesan teruk nyata kelihatan di bilik nombor 4 di mana dinding merekah dan pecah, lantai seramik pecah, struktur bumbung meleding hingga atap hampir roboh. 

Di ruang tamu dan ruang makan juga menerima tahap kepanasan hingga pendingin udara, kipas syiling dan alatan dari plastik hampir cair. Lantai seramik di bahagian dapur juga terbongkar dan pecah.

Tiada apa yang dapat aku katakan. Aku redha dengan ujian yang Allah SWT berikan ini dan aku amat bersyukur kerana ahli keluargaku semuanya selamat dari bencana ini. 

Sehinggalah kini aku masih belum mengusik apa-apa barang dari rumah. Hanya mengambil pakaian, dokumen penting dan barang-barang persekolahan anak-anak. Aku telah berurusan dengan pihak insurans bagi mentafsir kerugian. Pada ketika ini aku menumpang di rumah mak aku. 

Ya Allah, ampunilah dosa-dosaku dan sekalian ahli keluargaku. 

Sunday, August 28, 2011

RUMAH RAKAN SEKERJA TERBAKAR

Kaum Muslimin di Malaysia akan mula menyambut Hari Raya Aidilfitri dalam 2 hari lagi, namun nasib seorang rakan sekerja aku tidak begitu indah nampaknya kerana rumahnya baru saja terbakar dalam pukul 11.00 pagi sebentar tadi.

Pagi tadi aku pergi menghadiri gotong royong di Masjid An-Nur, Peringgit. Selepas pulang terus tertidur dan disedarkan oleh satu mesej yang menyatakan bahawa rumah salah seorang dari kakitangan sekerja telah terbakar. Aku segera ke rumah beliau dan didapati bahagian hadapan rumah (serambi dan rumah ibu) telah hangus terbakar (lihat gambar).

Dalam keadaan yang masih ramai orang terlihatlah pelbagai bantuan telah sampai dari pihak kerajaan mahupun pihak pembangkang. Jabatan-jabatan kerajaan dan jabatan teknikal lain pun masih sibuk menyerahkan bantuan Hari Raya dan bantuan teknikal.

Aku di pihak Kelab Sukan dan Kebajikan jabatan aku turut menyumbangkan serba sedikit bantuan bagi meringankan beban rakan sekerja yang ditimpa musibah tatkala menjelang Aidilfitri. Moga beliau tabah menghadapi dugaan dari Allah dan dapat berhari raya dengan seadanya.