Showing posts with label pulau. Show all posts
Showing posts with label pulau. Show all posts

Friday, May 20, 2016

TINGGALAN SEJARAH DI PULAU UPEH, MELAKA

Assalamualaikum dan salam sejahtera.

Dengan nama ALLAH yang MAHA PEMURAH lagi MAHA MENGASIHANI. Selawat dan salam buat nabi junjungan NABI MUHAMMAD S.A.W.

Ilha De Pedras.. Inilah nama yang diberikan oleh orang Portugis kepada Pulau Upeh. Ilha De Pedras adalah bermaksud Pulau Berbatu. Mungkin kerana terdapat banyak batu-batu laterit di pulau tersebut maka nama itu diberikan kepada Pulau Upeh.

Pulau Upeh (Ilha De Pedras)


Pulau Upeh tidaklah sehebat pulau-pulau lain di Malaysia seperti Pulau Langkawi, Pulau Perhentian, Pulau Pangkor dan yang lain-lainnya. Namun, pulau ini menyimpan seribu satu sejarah bagi negeri Melaka sejak lebih 500 tahun yang lalu.

Pernah suatu ketika dahulu pulau ini dimajukan dengan adanya chalet-chalet untuk penginapan para pelancong, namun kini chalet-chalet tersebut tidak lagi dibangunkan dan terbiar usang. 

Chalet yang terbiar usang

Bangunan utama chalet yang tidak lagi dimajukan

Dijemput untuk bersama-sama mengadakan lawatan kerja ke Pulau Upeh amat menerujakan kerana umurku sudah 35 tahun, tapi inilah kali pertama aku ke Pulau Upeh. Keterujuaan aku nak ke Pulau Upeh kerana aku tahu di sana terdapat tinggalan sejarah yang amat besarnya pada negeri Melaka.

Untuk ke Pulau Upeh, aku menaiki bot di Jeti Nelayan Klebang, Melaka. Laluan masuk ke jeti ini melalui jalan taman perumahan bersebelah Masjid Klebang Besar, Melaka. Aku sendiri sebenarnya tidak tahu adanya jeti di situ, mujur aku bertanya pada seorang petugas di stesyen minyak Petron, dan dia menunjukkan jalannya.

Gambar di Jeti Nelayan Klebang

Perjalanan dari jeti ke pulau tidaklah jauh sangat. Hanya memakan masa 5 minit sahaja. Aku ingatkan lama sangatlah, rupa-rupanya sekejab saja. Sempat juga aku bertanya tambangnya, hanya RM 25.00 seorang pergi dan balik ke Pulau Upeh. Kalau nak memancing di laut pula, bayaran RM 450.00 dikenakan untuk sebuah bot. 

Menuju ke Pulau Upeh

Pulau Upeh adalah tempat di mana batu-batu laterit diambil untuk membina Kota Melaka (Fortaleza De Malacca) yang didirikan oleh orang Portugis semasa penjajahannya di Melaka pada tahun 1511. Terdapat banyak kesan-kesan tinggalan pengambilan batu-batu laterit di pulau itu yang dapat dilihat. Selama ini aku hanya dapat melihatnya melalui gambar sahaja, kini aku dapat lihatnya dengan lebih dekat lagi.

Antara kesan-kesan tinggalannya adalah seperti gambar di bawah. Kalau dilihat, memang nampak cantik saja kesan ketukan / pahatan pada batu-batu laterit ini. Aku dapat gambarkan bahawa betapa jerih dan peritnya buruh-buruh paksa tempatan yang dipaksa untuk mengetuk / memahat batu-batu ini kemudian dibawa ke daratan untuk membina Kota Melaka (Fortaleza) 














Kini Kota Melaka  tiada lagi. yang tinggal hanya pintu gerbang Santiago (Porta De Santiago) akibat dimusnahkan oleh British oleh William Farquhar (residen British di Melaka) pada tahun 1807. Namun, Sir Stamford Raffles dan Lord Minto menghalang pemusnahan kota itu, malangnya ia telah berlaku, hanya pintu gerbang Santiago sahaja yang dapat diselamatkan dan dapat dilihat sehingga kini.

Sempat juga aku merayau-rayau di pulau ini. Boleh dikatakan satu pulau aku berpusing kerana pulau ini tidaklah besar. Dalam memerhati persekitaran pulau ini, aku dapat melihat dua buah kubur yang aku tidak pasti sangat sejarahnya iaitu kubur Datuk Agus dan kubur Datok Panglima Lam Ma Yong Sakti.

Batu nisan Datuk Agus

Batu nisan Datok Panglima Lam Ma Yong Sakti

Aku ke pulau Upeh ni dari pukul 9.00 pagi hingga 10.30 pagi. Kiranya banyak juga kawasan yang aku dapat terokai. Nasib baiklah ini adalah lawatan kerja, kalaulah dengan kawan-kawan, mahunya aku bawa batang pancing. Nampak macam banyak saja ikan-ikan di sana. 

Mungkin satu hari nanti aku ke sana lagi, tapi kali ini untuk memancing. Huh, sudah lama sangat tak memancing.

Thursday, April 17, 2014

ADA HARTA KARUN DI PULAU NANGKA?


Assalamualaikum dan Salam Sejahtera.

Dengan nama ALLAH yang MAHA PEMURAH lagi MAHA MENGASIHANI. Selawat dan Salam buat nabi junjungan NABI MUHAMMAD S.A.W.

Sebelum apa-apa, sila baca petikan akhbar dari editor@mstar.com.my ini:

MELAKA : Harta karun dikatakan bernilai berbilion Ringgit dipercayai ditanam di dalam sebuah gua di Pulau Nangka, sebuah pulau kecil kira-kira 17 kilometer (km) dari luar pantai di sini.

Antara barangan yang dipercayai dalam harta karun itu adalah peti yang mengandungi bar emas, takhta dan pakaian diRaja.

Ketua Menteri, Datuk Seri Idris Haron berkata, kerajaan negeri telah memberikan permit kepada dua syarikat tempatan untuk menjalankan kerja-kerja penggalian di bawah syarat-syarat ketat yang ditetapkan oleh Perbadanan Muzium Melaka (PERZIM).

"Buat masa ini, mereka hanya diberi kuasa untuk mengumpul bukti bergambar," katanya.

Idris berkata, harta karun di pulau itu dikhabarkan berusia selama berabad-abad dan terdapat banyak cubaan memburu harta berkenaan, di mana sebahagian mereka menggunakan dinamit untuk meletupkan batu bagi sampai ke gua tersebut.

"Ia tidak saintifik, tetapi penduduk tempatan percaya adanya halangan mistik yang menghalang harta itu daripada dibawa keluar," kata Ketua Menteri.

Menurut penduduk kampung, gua yang ditanam itu sama ada dilindungi oleh sumpahan atau mahkluk halus.

Satu kumpulan kecil dilaporkan dapat memasuki ke dalam gua itu kira-kira 30 tahun lalu, tetapi tidak seorang pun yang keluar dengan membawa harta karun itu walaupun hanya sekeping pun.

Mereka dilaporkan keluar dalam keadaan berkhayal apabila mendakwa melihat harta karun itu, antara lain lebih 80 peti emas.

Difahamkan bahawa wakil kedua-dua syarikat yang akan menjalankan kerja-kerja penggalian untuk kerajaan negeri telah meminta "bantuan kerohanian" sebelum melaksanakan usaha mereka.

Antara perkara-perkara yang mereka "bersetuju" adalah untuk mendapatkan persetujuan pentadbiran di negeri itu dan kekayaan daripadanya digunakan untuk manfaat dan kebaikan rakyat.

Pekerja-pekerja yang terlibat dalam projek itu setakat ini menggali beberapa lubang berdiameter 130 mm untuk ke dalam gua itu dengan menggunakan peralatan berteknologi tinggi.

Difahamkan laporan perkembangan terkini mengenai kerja yang masih berterusan itu diserahkan kepada kerajaan negeri pada minggu lepas.

Pulau Nangka terletak kira-kira 4 km dari pulau utama negeri itu iaitu Pulau Besar, destinasi tarikan pelancong yang popular.

Pulau yang berbatu itu berukuran kira-kira 20 hektar, mempunyai pantai berpasir begitu luas dengan air jernih yang mengelilinginya.

Terumbu karang berdekatan pulau tersebut turut menarik perhatian para nelayan.

*****

Beranilah datang ceroboh... Nanti kena tembak! 

Benarkah ada harta karun di Pulau Nangka? Seperti kenyataan YAB Ketua Menteri Melaka dalam akhbar tersebut, memang ada kerja-kerja mencari harta karun, tetapi sehingga kini masih belum dapat dijumpai. Aku yang sudah beberapa kali ke sana hingga bermalam di sana pun masih terfikir-fikir benarkah ada harta karun...

XPDC di Pulau Nangka. Agaknya apa yang dilihatnya tu?

Dulu beberapa kali aku membuat post bergambar dalam blog ini, tetapi tidak memberitahu apa tujuan aku ke sana kerana ianya masih di tahap rahsia. Tetapi kini tidak lagi menjadi rahsia apabila YAB Ketua Menteri telah memberikan kenyataan dan beberapa hari beritanya terpapar di dalam Awani 7.45.

Entahlah... Aku pun tak berani nak komen banyak-banyak. Kalau betullah ada harta karun dari zaman kesultanan Melaka di Pulau Nangka, memang baguslah. Dapatlah lagi merungkai sejarah kesultanan Melaka pada zaman dahulu kala. Kita tunggu dan lihat sajalah hasilnya nanti.

Pokok dikatakan berbentuk misteri. Mempunyai 2 dahan seakan tangan

Boleh baca dan tengok gambar entri blog berkaitan Pulau Nangka yang aku buat dulu >> KLIK << >> KLIK << >> KLIK << >> KLIK <<

Monday, May 27, 2013

BERKELANA DI PULAU


Assalamualaikum dan Salam Sejahtera.

Dengan nama Allah yang Maha Pemurah lagi Maha Mengasihani. Selawat dan Salam buat nabi junjungan Nabi Muhammad S.A.W.

Hari Khamis yang lalu (23 Mei 2013) aku telah ke salah sebuah pulau yang terdapat di Melaka dalam misi memantau kerja-kerja yang terdapat di sana. Kerja apa? Biarlah rahsia. Kenapa rahsia? Kerana ianya rahsialah, sebab itulah rahsia.. :)

Tak perlulah bertanya pada aku, apa misinya kerana aku memang tak akan beritahu. Di sini aku hanya memaparkan beberapa gambar pemandangan sekitar perjalanan dan semasa aku berada di pulau tersebut. Gambar yang memaparkan misi sebenar, tidak aku sertakan kerana ianya tetap rahsia.. :)

Jadi, layan saja gambar di bawah ni...



Pemandangan sebelum menaiki bot ke pulau. Ini di Jeti Umbai. Dari jeti ini boleh ke mana-mana pulau di Melaka seperti Pulau Besar, Pulau Undan, Pulau Upeh dan sebagainya.


Dalam perjalan ke pulau.. Di hadapan adalah Pulau Besar. Tapi itu bukanlah destinasi ku..


Cantik pula aku lihat awan-awan yang berarak. Sekali nampak macam kepala watak dalam Dragon Balls pun ada. Melihat awan berkepul macam ni, dalam hati aku cakap, memang ada can mahu hujan malam tu.


Inilah khemah 5 bintang yang aku akan tidur buat semalaman. Memang kelas pertama.. :)


Inilah kerja aku.. Menunggu saja. Menunggu ape? Rahsialah.., mana boleh beritahu...!


Pemandangan di 'tapak perkhemahan'


Ini jalan menuju 'tapak misi'. Dulu denai saja, tapi kini laluannya agak besar sebab jengkaut telah diangkut ke pulau ini untuk kerja-kerja 'pembersihan'




Tak dapat aku tunjukan gambar-gambar misi sebenar, hanya gambar ini sahaja yang aku dapat tunjukan setelah tibanya aku di tapak.


Ini gambar di waktu malamnya. Kalau tiada generator, mahunya gelap gelita. Tiada apa yang boleh dilakukan  waktu malam, hanya 3 orang sahaja yang bermalam pada hari tersebut. Malam Jumaat pula tu, jadinya seawal pukul 10.00 malam sudah masuk dalam khemah masing-masing. Siangnya tadi ada dengar cerita yang bukan-bukan pula, jadi berdoa sajalah supaya tiada apa-apa gangguan.

Tekaan aku semasa berada di atas bot ternyata benar, dalam pukul 5 pagi hujan lebat melanda. Guruh dan petir sabung-menyabung. rasa amat dekat di telinga bunyi petir. Ya Allah.. Terbayang yang bukan-bukan. Sebab khemah pun bertaraf '5 bintang', tempias pun masuk. Tidur berselubung tuala mandi, air hujan pula menitik-nitik di kaki. Memang agak 'selesa' tidur malam tu.