Showing posts with label puisi. Show all posts
Showing posts with label puisi. Show all posts

Monday, June 10, 2024

Satira Politikus



Yang dijanji turun telah pun naik,
Yang berguling di jalan raya, telah pun naik,
jadi menteri!
Yang berkhemah di dataran pun telah naik,
juga jadi menteri!
Yang berbaju kuning bak bunga matahari telah pun menjadi bunga tahi ayam,
macam taik!
busuk!

10 Jun 2024
Ayer Keroh, Melaka 

Wednesday, June 5, 2024

Koleksi Buku Antologi Puisi



Dalam diam tak diam, sudah empat buah buku antologi puisi telah diterbitkan, hasil kolaborasi dengan penulis-penulis dari Melaka dan luar Melaka. Terbitan terkini bertajuk Meracik Mentari, memperlihatkan dedikasi dan minat aku yang mendalam terhadap seni penulisan.

Mungkin ada yang menganggap, "Ala... setakat buku puisi sahaja..." 

Namun, apabila kita membaca puisi-puisi lama, kita dapat menangkap gambaran keadaan pada masa lalu. Kita mengenali budaya, sejarah dan warisan. Memahami perasaan individu pada zamannya, serta memahami kritikan dan pandangan yang pelbagai mengenai kehidupan masa silam.

Jika kita tidak menulis sekarang pada masa akan datang, generasi anak cucu mungkin akan berkata bahawa orang Melayu tidak menulis, tiada dokumentasi. Situasi ini mengingatkan kita betapa sukarnya mencari dokumen-dokumen dari zaman Kesultanan Melayu Melaka dahulu. Kepada siapa kita hendak menyalahkan apabila tiada rujukan? Mengharapkan Sulalatus Salatin, Hikayat Hang Tuah, Tuhfat Al-Nafis dan lain-lain yang terhad tidak mencukupi.

Oleh itu, kita perlu menulis dan menerbitkan karya kita. Sekurang-kurangnya, usaha ini akan menambah koleksi untuk diri sendiri dan mewariskan dokumentasi kepada generasi akan datang. Jika ia hanya untuk kepuasan sendiri sekalipun, kita tidak mengganggu kehidupan orang lain.

Insyaallah, buku antologi puisi yang ke-5 bakal menyusul. 

Monday, January 29, 2024

Menukil Pantun Untuk Muzium

Gambar sekadar hiasan

Alkisahnya pagi tadi terima pesanan whatsapp dari bos. Beliau meminta aku untuk mencipta pantun untuk muzium. Pantun-pantun yang diminta dibuat ini adalah untuk dipaparkan di pintu masuk muzium-muzium. Pantun-pantun yang perlu dibuat adalah bertemakan muzium tersebut dan mengalu-alukan kehadiran pelawat.

Jadi, disebabkan tiada kerja-kerja yang terlalu segera yang perlu dilaksanakan, aku meluangkan sedikit masa untuk menukil beberapa pantun seperti yang terdapat di bawah ini :

Pantun untuk Muzium Samudera (replika Kapal Flor De La Mar)

Mari dimakan sirih puan,
sirih dipetik si anak mami;
selamat datang tuan puan,
menjadi tetamu muzium kami.

Burung camar di pohon mangga,
datang helang menjadi teman;
Flor De La Mar bukan dibangga,
sekadar menginsafi dijadi pedoman.

Pantun untuk Muzium Istana Kesultanan Melaka

Menguntum manis senyuman si dara,
datang teruna ingin bersua;
jemput masuk saudari saudara,
salam hormat untuk semua.

Nun di sana dusun buah-buahan,
pohon nangka dinaiki dedalu;
Muzium Istana simbol kemegahan,
Empayar Melaka di masa lalu.

Pantun untuk Muzium Sejarah Melaka

Anak muda turun ke bendang,
menuai padi bersama petani;
hadir kalian dijemput diundang,
penyeri muzium kami ini.

Mari ziarah teratak bonda,
tinggalkan duka biar berlalu;
bangunan Stadthuys tinggalan Belanda,
rekonstruksi Melaka masa dahulu.

Saturday, January 27, 2024

Antologi Puisi Merenung Bulan

Alhamdulillah... Ini adalah kali ketiga dapat berkolaborasi dengan penulis-penulis berpengalaman dalam penerbitan sebuah buku Antologi Puisi berjudul Merenung Bulan. Sebelum ini, pernah juga berkolaborasi bagi penerbitan buku Antologi Pantun Gunung Daik Bercabang Tiga dan Antologi Puisi Tiupan Nafiri.

Inilah rupanya muka hadapan buku

Di dalam buku ini terkandung puisi bergenre sajak yang mengumpulkan seramai 60 orang penukil dari Malaysia dan Indonesia. Aku harus berterima kasih kepada penerbit yang turut memberi peluang untuk aku menyumbangkan puisi ciptaanku.

Di dalam buku ini dimuatkan dua buah puisi bagi setiap penukil dengan jumlah keseluruhan terdapat 120 puisi. Di dalam antologi puisi ini semuanya berkisarkan tentang BULAN. Puisi yang aku tulis bertajuk Bulan oh Bulan! dan Kalam Illahi Tentang Bulan.

Salah satu daripada puisi aku yang termuat di dalam buku ini 


Semoga dengan terhasilnya buku ini dapat menambah khazanah negara khususnya dalam bidang penulisan puisi agar bidang yang 'sepi' ini tidak hilang ditelan zaman.

Rasanya nak buat pemberian percuma (giveaway) buku ni, ada sesiapa yang berminat untuk sertai? 

Tuesday, September 7, 2021

Antologi Puisi : Tiupan Nafiri



Alhamdulillah.. Sekali lagi aku diberi ruang dan peluang untuk berkolaborasi bersama 23 orang penukil puisi. Jika hendak dibandingkan, ramai penukil puisi yang turut menyumbangkan karya merupakan mereka yang hebat-hebat kerana kebanyakan mereka dari Persatuan Penulis Negeri Melaka namun aku hanyalah sekadar peminat puisi. 

Di dalam buku ini, setiap penukil menyumbangkan 4 buah karya berupa puisi sajak. Jadi, keseluruhan sajak yang terkandung di dalam buku ini ialah sebanyak 92 buah karya. 

Berikut merupakan tajuk-tajuk sajak aku dan tahun ia ditulis :

1. Impian Gaza (9 Februari 2009)
2. Kitakah Manusia Itu (11 Oktober 2013)
3. Siapa Sudi Teman (21 April 2012)
4. Terukir Lukisan Alam (8 Mei 2012)

Sebenarnya aku telah memiliki lebih 50 buah puisi sajak yang dikumpul sejak tahun 2008, namun aku bukanlah penulis sajak yang tegar. Impian aku, ingin menerbitkan buku-buku antologi sajak secara berkumpulan dan kemudiannya teringin juga menerbitkannya secara solo. Insyaallah, mungkin suatu hari nanti, bila? Masih belum diketahui. 

Bukan.. Bukan nak mencipta nama. Aku menulis hanya untuk kepuasan diri dan berharap apabila aku meninggal dunia nanti, karya-karya ini boleh ditatapi oleh anak cucu dan generasi-generasi akan datang agar mereka memperoleh manfaat darinya.

Bagi genre puisi, sebenarnya ini merupakan buku kedua aku menyumbangkan karya, sebelum ini aku turut menyumbang 15 rangkap pantun ke dalam buku Antologi Pantun : Gunung Daik Bercabang Tiga yang telah diterbitkan pada tahun 2020.

* Insyaallah, aku akan buat "segmen hadiah percuma" buku ini nanti. Tunggu ye.

Thursday, August 5, 2021

PANTUN KATAK



Lompat si katak lompat,
lompat di pinggir kota;
apa si katak dapat,
wang ringgit juta-juta.

Lompat si katak lompat,
lompat ke atas bangunan;
apa si katak dapat,
wang hingga tujuh keturunan.

Lompat si katak lompat,
lompat tinggi di angkasa;
apa si katak dapat,
merasa juga mengenggam kuasa.

Lompat si katak lompat,
lompat bawah sinar mentari;
apa si katak dapat,
untung-untung jadi menteri.

Lompat si katak lompat.
lompat tinggi-tinggi;
apa si katak dapat,
berpeluang tambah bini lagi.

Lompat si katak lompat.
lompat ke depan kedai;
apa si katak dapat,
harta berjuta maruah tergadai.

Lompat si katak lompat,
lompat ke tong sampah;
apa si katak dapat,
berak merata kencing bersepah.

Ps : Saya sedang berimiginasi dengan beberapa ekor binatang yang dipanggil katak. Tidak ada kena mengena dengan katak-katak yang lain yang terdapat di muka bumi. Juga tiada kena mengena dengan katak yang masih hidup ataupun katak yang telah mati katak.

Tuesday, July 20, 2021

SYAIR RAYA KECUNDANG

Dinihari ini takbir berkumandang,
hajat di hati ingin bertandang,
namun hampa tidak diundang,
di rumah saja sejadah dibentang.

Dinihari ini takbir ku dendang,
berteman keluarga dua tiga orang,
berdayu-dayu namun lantang,
itu tandanya kita dah menang.

Dinihari ini rendang dihidang,
berlawan dengan ketupat dan lemang,
suami isteri mata bertentang,
mengenang kampung mata berlinang.

Dinihari ini masih mengenang,
entah bila pandemik kan hilang,
buat semua anak-anak dagang,
bersabarlah, kemenangan pasti menjelang.

Dinihari ini berdoa dengan tenang,
agar covid segera pulang,
moga sinar gilang gemilang,
di masa depan kian mendatang.

Nukilan : FaiMamat
10 Zulhijjah 1442 / 20 Julai 2021





Saturday, June 5, 2021

TAKDIR BANGSAKU

Inikah takdir bangsaku?
riwayatnya hilang totok
sebesar-besar fasal
sekecil-kecil perihal
sang bermaharajalela tak kenal kekhuatiran
pacal terus kebingungan
antagonis mencucuk diiringi sorak sorai
arakian hilanglah jati diri
identiti dimamah usia kepesatan kosmopolitan
tidak diacuhkan insan-insan
sebermula jangan ada sesalan
anak di rumah mati kelaparan.

Fairus Mamat
20 April 2020

Friday, May 14, 2021

PANTUN HARI RAYA

Apabila tibanya sambutan Hari Raya Aidilfitri, ramai yang gemar memberi ucapan kepada adik beradik, saudara mara dan rakan taulan sama ada melalui kad atau media sosial. Ucapan-ucapan ini adalah lebih sedap disampaikan dengan adanya pantun-pantun sebagai penyeri. Apatah lagi kita ini adalah Melayu yang sememangnya begitu rapat dan sinonim dengan pantun.

Andai dahulu kita sering mengutus kad raya, tapi kini di zaman serba moden dan serba pantas ucapan melalui media sosial lebih menjadi pilihan. Semasa penggunaan kad raya dahulu, pantun yang sering digunakan sudah pastinya :

Pecah kaca pecah gelas,
sudah baca harap balas.

Atau;

Pecah kaca pecah tong,
sudah baca harap gantung.

Hah! Itulah pantun dua kerat yang boleh dianggap pantun tradisi yang sehingga kini digunakan dan tersemat di dalam hati bagi setiap insan yang hidup di zaman lewat 70, 80 dan awal 90-an.

Namun kini, pelbagai pantun bertemakan hari raya telah banyak dicipta oleh kebanyakan orang. Saya juga antara tidak mahu ketinggalan untuk mencipta pantun bertemakan hari raya, antaranya :

Berseri-seri si rama-rama,
mari hinggap di dahan berangan;
subuh pagi takbir bergema,
itu tandanya satu kemenangan.

Burung pipit burung kedidi,
terbang tinggi di atas paya;
mari adik marilah mandi,
persiap diri menyambut raya.

Manis-manis buah kepaya,
manis lagi buah pulasan;
ziarah menziarahi tradisi budaya,
erat hubungan sesama insan.

Daun pandan tumbuh melata,
pohon serai hidup merimbun;
jari disusun maaf dipinta,
salah dan silap mohon diampun.

Bunga melati bunga melur,
harum baunya dibuat hiasan;
lapangkan hati salam dihulur,
bermaaf-maaflah sesama insan.

Jadi, bagaimana dengan pantun ciptaan saya ni? Andai ada ruang penambahbaikan bagi pantun-pantun ini, sila maklum pada saya di ruangan komen untuk sama-sama saya pelajari untuk menghasilkan pantun yang baik.

Ps : Raya kan sebulan, kita pantunlah sampai sebulan. 😆😆😆

Ps : PANTUN telah diiktiraf sebagai WARISAN DUNIA bagi kategori Warisan Budaya Tidak Ketara Kemanusiaan oleh UNESCO pada 17 Disember 2020.

Tuesday, May 11, 2021

IMPIAN GAZA

Terpekik terlolong minta perhatian
tiada sesiapa pun jiran peduli
jiranku hanya menutup mata dan telinga.

Anak bangsa seagamaku berlumuran darah
darah mengalir membasahi bumi
jiranku hanya menutup mata dan telinga.

Peluru menghujani jasad yang tak berdosa
kediaman diumpamakan lapang sasar
jiranku cuma menutup mata dan telinga.

Apa aku ada?
cuma ketulan batuan menjadi senjata
hanya sekujur tubuh menjadi pendinding
dengan laungan kalimah Allahuakbar 
ku rejam batuan menjadi peluru
ku tegapkan tubuh menjadi perisai syahid.

Impianku agar Allah menghulur bantuan
bagaikan Ababil menghapuskan tentera bergajah.

Fairus Mamat
9 Februari 2009


*****

"Dan khabarkan kepada Bani Israel dalam kitab itu : Sesungguhnya kamu akan melakukan kerosakan di bumi (Palestin) dua kali dan sesungguhnya kamu berlaku sombong angkuh dengan melampau."

(Al-Isra' 17 : 4)

Sajak ini telah saya nukilkan pada tahun 2009. Pada ketika itu, kejadian sama seperti sekarang iaitu pengeboman Gaza oleh laknatullah Israel.

Kita sebenarnya telah banyak terhutang budi dengan rakyat Palestin. Mereka berjuang mempertahankan Al-Aqsa, masjid yang begitu suci dan merupakan kiblat pertama umat Islam.

Mereka sanggup mati untuk mempertahankan kesucian agama Islam dan masjid Al-Aqsa, sedangkan kita di sini hanya mampu melihat dan mendengar dari jauh hal kesulitan dan penderitaan yang mereka alami.

Doa saja yang mampu dipanjatkan kepada Allah SWT agar perjuangan Palestin mempertahankan tanah air memperoleh kejayaan. Dengan izin Allah SWT, Insyaallah, suatu hari nanti dengan apa yang tercatat dalam Al-Quran, kejayaan pasti memihak kepada Islam.



Friday, May 7, 2021

WIRA PAPAN KEKUNCI

Apa yang kau tahu

apa pula kami tak tahu

atau kami tak tahu apa yang kau tahu

dan kau pun tak tahu apa yang kami tahu

jari jemari kau menekan satu-persatu huruf yang

banyaknya tanda-tanda soal dari koma dan noktah

andai kau lebih mengerti lagi arif

jelaskan pada kami yang fakir

bukannya meninggalkan tanda tanya yang tidak

berpenghujung.


Fairus bin Haji Mamat

24 November 2020

Friday, April 30, 2021

JALAN YANG LURUS DAN BENAR

Malam tidak sunyi

sayup-sayup kedengaran

bunyi-bunyian alam saling bertingkah

menghasilkan irama mendayu syahdu

pepohon hijau tak melambai

tegak berdiri kaku

tiada angin

embun mulai menitik

lantas kedinginan menyelubungi malam gelap pekat yang hanya ditemani lampu neon yang samar.


Menyendiri belajar mensyukuri

meneliti dan menaakul

alam ciptaan Allah yang Maha Agong

agar tidak menyimpang

dari landasan yang lurus lagi benar.


Fairus bin Haji Mamat

26-11-2020

Monday, November 2, 2020

Antologi Pantun : Gunung Daik Bercabang Tiga



Alhamdulillah... Kali pertama dapat menyumbangkan pantun di dalam buku Antologi Pantun Gunung Daik Bercabang Tiga yang terdiri daripada Gabungan Penulis Negeri Melaka.

Berikut merupakan sebanyak 15 pantun yang aku nukilkan untuk dimuatkan di dalam buku ini.

Kuih bingka, kuih keria,
sila diboko di sisi kolam;
negeri Melaka warisan dunia,
masyur seantero pelusuk alam.

Bunga raya dambaan dara,
mari dibuat hiasi taman;
warisan budaya terpelihara,
tatapan umat zaman-berzaman.

Gadis berkebaya berjalan ke pekan,
bertudung litup berona biru;
adat budaya kekal-kekalkan,
acuan hidup keturunan baharu.

Bunga telang dihembus bayu,
dipungut nyonya sambil berpantun;
mana hilang adat Melayu,
dulu bangsanya bersopan santun.

Bukan candat sebarang candat,
candat sotong di hujung tanjung;
bukan adat sebarang adat,
adat dijunjung, agama disanjung.

Kucing belang bermain raga,
raga dibeli di Pantai Puteri;
warisan hilang tidak dijaga,
usah kesali kerakusan sendiri.

Padi segemal bawa ke tanjung,
pohon pulasan mati berangan;
tradisi diamal adat dijunjung,
mekarlah warisan lahir kenangan.

Duri semalu di antara lalang,
daun keladi di pinggir hutan;
adat dahulu mana menghilang,
kini menjadi rindu-rinduan.

Keria disira di Pokok Mangga,
semerbak aroma resepi moyang;
hati gembira tiada terhingga,
melamun irama dondang sayang.

Lurah bukan sebarang lurah,
tempat hijrah kawanan ungka;
sejarah bukan sebarang sejarah,
tanda maruah bangsa merdeka.

Nikmati nasi berlauk lokan,
tinggalkan sisa di sisi gantang;
santapan tradisi usah dilupakan,
bagi dirasa generasi mendatang.

Keluar melukah ke Seri Mersing,
berbekal nasi mudik ke hulu;
gasing pangkah ligat berpusing,
mainan tradisi waktu dahulu.

Bersama teman turun ke lembah,
mengharung paya sesat bertanya;
meskipun zaman makin berubah,
adat budaya abadi selamanya.

Siti Hawa rajin berdandan,
rambutnya ikal ditatap lawa;
selagi nyawa dikandung badan,
tradisi kekal tersemat di jiwa.

Keris bengkok tiada berhulu,
perca kasa berbalut cindai;
jangan ditokok sejarah lalu,
rosak bangsa maruah tergadai.

Nukilan :
Fairus Mamat

Rujukan :
Ahmad Zauawi, AC Jaffrie & Yusof Yatim (pngr.). (2020). Antologi Pantun Gunung Daik Bercabang Tiga. Melaka : Pena Padu Press.

Monday, April 18, 2016

DI SENJA MAGHRIB

I
Di suatu senja seketika dahulu,
anak-anak pulang ke rumah sebelum Maghrib berkumandang,
tapi ada kalanya terlalai, terlupa akan waktunya,
takut dan resah mula menyelubungi,
cuba menutup salah, lalu menyelinap masuk laluan belakang,
tanpa suara, tanpa bunyi,
namun, ibu bapa lebih mengerti,
mulalah episod bersejarah,
tiada rotan, tali pinggang, segenggam daun kelapa menjadi penyedap tubuh badan,
berbirat, melelas, itu biasa,
rutin bagi yang tak dengar kata,
tak pula melawan,
sendiri redha akan kesilapan.

II
Di suatu senja seketika ini,
azan Maghrib berkumandang,
anak-anak tidak lagi pulang,
masih berkeliaran entah di mana,
ada yang masih terpekik, terlolong, gembira bermain,
tiada ada perasaan peduli,
ibu bapa turut alpa,
mengumpamakan anak sebagai si Luncai,
biarkan... biarkan...
Solat ke mana? mengaji ke mana? belajar ke mana?
biarkan... biarkan...

III
Di suatu senja di seketika kini,
tiada siapa lagi yang ambil pusing,
tiada siapa lagi yang ambil peduli,
Maghrib bukan lagi waktu mendidik, mendisiplin,
masing-masing punya agenda tersendiri,
Maghrib itulah masa menjamu di restoran,
Maghrib itulah masa membeli belah,
Maghrib itulah masa bermain atas nama riadah keluarga,
Maghrib itulah segalanya untuk leka.
Sayang sekali... Mungkin inilah seiring kemajuan. 
Budaya Maghrib kian dilupakan.

Fairus Mamat
10 April 2016
Bukit Katil, Melaka

Saturday, May 17, 2014

MAKAN BERSUAP


Makan, makan, makan,
nafsu makan meluap-luap,
makan, makan makan bersuap,
menyuap mulut si pelahap,
habis sesuap mohon lagi disuap,
makan, makan, makan,
ikan bilis, ikan jerung habis disantap,
berbilas oren bukannya sirap,
darah daging menjadi kurap.

Makan, makan, makan,
nafsu makan meluap-luap,
tubuh keding menjadi tegap,
halal haram jadi penyedap, 
anak, bini juga santap.

Makan, makan, makan,
nafsu makan meluap-luap,
esok lusa jangan tersentap,
menyepi diri dalam lokap.

F. B. Mamat
17 Mei 2014
Bukit Katil, Melaka

Monday, April 21, 2014

TURUNNYA RAHMAT ILLAHI


Di pagi ini,
turunnya Rahmat sebalik awan nan tinggi,
mencuci dosa insan di bumi,
saban hari terus berdaki.

Ada jiwa mengangkat jemari,
menadah tangan tanda syukuri,
syukur pada yang Maha Tinggi.

Tumbuh-tumbuhan senyum berseri,
ternakan bermandi lalu menari,
merasa nikmat limpah kurnia Illahi.

F.B. Mamat
24 April 2014
Bandar Hilir, Melaka

Thursday, March 20, 2014

TERKENANG PUISI YANG LALU


Assalamualaikum dan Salam Sejahtera.

Dengan nama ALLAH yang MAHA PEMURAH lagi MAHA MENGASIHANI. Selawat dan Salam buat nabi junjungan NABI MUHAMMAD S.A.W.

Kadang-kadang bila berada di tempat kerja, teringat anak-anak di rumah penjaga. Macam manalah dengan keadaan mereka. Tidur ke, bermain-main ke, rindu kat ayah dan mama ke, hanya mereka saja yang tahu.

Tapi, mereka perlu tahu, ayah dia ni pun rindu juga dengan anak-anak. Kalau tak bekerja, nak saja duduk dengan anak seharian di rumah. Membawa mereka bersiar-siar, makan-makan bersama. 

Teringat anak-anak, teringatlah juga puisi-puisi yang telah aku cipta buat mereka, semasa mereka selamat dilahirkan di muka bumi.








Coretan ikhlas dari ayahmu

|
|
V


Moga kelak mereka dapat membaca puisi yang telah aku coretkan ini khas untuk mereka.

Tuesday, March 11, 2014

PUISI BUAT MH370


8 Mac 2014,
dinihari ini,
bulan bintang jadi saksi,
lenyapnya pesawat penuh misteri,
dihuni insan-insani,
dalam juga luar negeri.


Seantero dunia memandang ini,
bantuan dihulur tanda kasihi,
Namun, 
hari-hari terus meniti,
tiada bayang tiada temui,
tiada bukti tiada erti,
pesawat terbang kian dirindui.

Duhai insan-insani,
asal kejadian kehendak Illahi,
Qada' Qadar harus diimani,
Sabar, redha semat di hati,
Allah Ta'ala ingin menguji,
Keimanan insan dunia kini.

Duhai MH370 pesawat misteri,
saban hari dicari-cari,
muncullah kamu munculkan diri,
jangan lagi mengaburi diri,
kasihanilah yang merindui.

Mengharap keajaiban dari Illahi,
selamat kamu mendarat di bumi,
hanya itu pinta kami,
hentikanlah kerinduan ini.

F.B. Mamat
11 Mac 2014
Bukit Katil, Melaka

Tuesday, February 18, 2014

OH! LAYANG-LAYANG


Layang-layang menongkah arus,
terbangnya tinggi,
mengapai awan nan putih kapas,
langit membiru idaman kalbu,
berkawan sang beburung maha hebat.

Sayup-sayup menoleh ke tanah,
namun tetap meninggikan diri,
apa perlu dilihat ke bawah,
sedang diri sudah jauh di atas,
mari terus menongkah arus,
agar jelas langit nan biru.

Layang-layang menongkah arus,
terbangnya terus jauh meninggi,
andai ada yang melawan,
terus dicantas,
benang kaca rahsia sulit,
didatang lawan terus membelit,
nah! rasakanlah...

Terus menongkah arus,
langit biru hampir digapai,
namun sayang benangnya terputus,
dihembus angin datang melintang,
layang-layang melayang tanpa haluan,
ke kiri ke kanan,
hilang lenyap dari pandangan.

F.B. Mamat
18 Februari 2014
Bukit Katil, Melaka

Saturday, January 4, 2014

BUNGA DAN TAHI


Duhai insan-insani,
andai dilemparkanku tahi,
nescaya akanku balas dengan bunga,
bunga-bungaan nan mekar segar dari taman,
semekar bungaan di taman larangan.

Ahh... Itu hanyalah tahi,
dicuci kelak, kembali suci.

Andai terus dilempar tahi,
usah lupa membalas bunga,
bunga-bungaan tetap diberi.

Dulunya sejambak,
kini cukuplah sekuntum dua,
dulunya si putih melati,
kini sekadar mawar berduri,
dulunya harum semerbak,
kini tengik bak bunga tahi ayam,
Nah! pilihan di tangan sendiri.

Kita tidak seteguh nabi Allah Muhammad,
dilempar batu,
berdarah kaki,
tetap berdiri,
medan dakwah terus didaki,
menegak Islam hingga kini.

Ya Allah.. 
teguhkan hati ini,
seteguh akhlak mulia nabi Allah Muhammad,
agar dapatku meniti,
hari-hari saban menguji.

F.B. Mamat
4 Januari 2014
Bukit Katil, Melaka