Showing posts with label polis. Show all posts
Showing posts with label polis. Show all posts

Tuesday, September 6, 2011

SUDAH-SUDAHLAH MENGAGUNGKAN KOMUNIS

Malam-malam buta ni aku bukan berminat untuk bercerita pasal politik. Dalam blog aku ni pun rasanya tiada cerita pasal politik yang keterlaluan. Namun begitu, rasa terpanggil untuk menulis sesuatu pengalaman berkenaan cerita peristiwa Bukit Kepong yang diserang Komunis pada suatu ketika dahulu.

Seperti semua sedia maklum, Timbalan Presiden PAS, YB Mat Sabu ada mengeluarkan fakta berkenaan Komunis adalah wira sebenar negara dalam memperjuangkan Kemerdekaan negara. Benar ke? Itu aku taknak komen panjang-panjang kerana dalam pembacaan aku secara formal mahupun di blog-blog terdapat beberapa fakta / reka-rekaan yang telah diulaskan dengan panjang lebar.

Namun begitu, bagi diri aku sendiri, polis-polis Bukit Kepong juga merupakan wira sejati negara. Aku mengatakan begini kerana aku punyai pengalaman tersendiri apabila bersama rakan-rakan aku semasa belajar di UiTM menemubual bekas anggota polis Bukit Kepong yang mengalami sendiri peristiwa tersebut iaitu Allahyarham Yusof Rono. Kalau tak silap, kajian ini dilakukan pada tahun 2004 semasa kami diarahkan menyiapkan kajian Sejarah Lisan.

Pada ketika kajian dilaksanakan Allahyarham tinggal di Melaka. Nama tempatnya aku terlupa pula. Semasa aku dan rakan-rakan pergi ke rumahnya, beliau dalam keadaan kurang sihat. Mula-mula beliau tidak mampu memberikan kerjasama untuk menceritakan tentang peristiwa yang berlaku akibat keuzurannya. Beliau juga mengatakan bahawa sudah ramai pengkaji yang datang mendapatkan maklumat daripadanya dan sudah puas mengulang-ulang cerita yang sama.

Namun setelah dipujuk dan menanyatakan beberapa mukadimmah, akhirnya beliau sanggup bercerita malahan sangat bersemangat bercerita walaupun dalam keadaan yang lemah dan suara yang tenggelam timbul.

Menurut apa yang dikatakan beliau, cerita peristiwa Bukit Kepong itu adalah cerita yang sebenar yang diarahkan oleh Dato' Jins Shamsuddin melalui cerita yang disampaikan oleh beliau dan rakan-rakan lain yang masih hidup. Setiap watak dalam cerita tersebut merupakan watak sebenar anggota-anggota polis Bukit Kepong yang tewas dalam pertempuran dan yang masih hidup.

Dalam keadaan suka tak suka bercerita, masa yang diambil untuk beliau mengisahkan peristiwa Bukit Kepong telah mengambil masa beberapa jam. Sungguh bersemangat beliau bercerita dari setiap inci sepertimana cerita dalam Filem Bukit Kepong. Malahan beliau sanggup membuka baju menunjukkan kesan-kesan tembakan yang terkena di beberapa bahagian badan beliau. Ya Allah, beliau sungguh bernasib baik kerana peluru tidak kena tepat pada bahagian yang boleh membawa maut.

Persoalannya sekarang, bukankah beliau juga sebagai wira? Tidakkah mereka polis-polis Bukit Kepong itu juga sebagai wira? Mengapa Komunis yang melakukan keganasan dijulang sebagai wira negara?

Tepuk dada tanyalah selera. Tapi bagi aku yang berpeluang menemui wira Bukit Kepong ini tidak akan berganjak menyatakan bahawa mereka polis-polis yang berjuang di Bukit Kepong adalah wira sebenar. Malahan isteri-isteri polis yang membantu secara tidak langsung dalam pertempuran tersebut juga layak dijulang sebagai wira.

Takziah dan Al-fatihah kepada anggota-anggota polis yang tumbang dalam pertempuran di Bukit Kepong. Tak lupa juga kepada isteri-isteri mereka serta anak-anak yang turut terkorban. Dan tak lupa juga pada Allahyarham Yusof Rono yang sanggup berkongsi sejarah hidupnya di Bukit Kepong. Sekiranya tiada siapa anggota polis Bukit Kepong yang masih hidup selepas kejadian tersebut, mungkin sehingga kini kita tidak tahu hal sebenar yang terjadi sepertimana yang dikisahkan dalam filem Bukit Kepong.

Kepada sesiapa yang menidakkan keperwiraan anggota-anggota polis Bukit Kepong diharap dapat memikir-mikirnya semula.



Friday, April 8, 2011

KEBARANGKALIAN ITU JUGA PENTING

Teringat masa kat sekolah dulu masa belajar matematik, ada belajar teori kebarangkalian. Rupa-rupanya kebarangkalian ini juga sesuatu yang penting. Mampu menjadi benar sekiranya di selidik dengan teliti. Kebarangkalian juga perlu diaplikasikan dalam kehidupan dan pekerjaan seharian, namun janganlah sampai kebarangkalian itu menjadi isu, fitnah dan sebagainya. Setiap kebarangkalian perlu dibuktikan dengan hujah atau nas-nas tertentu.

Gambar sekadar hiasan


Kenapa aku bercerita pasal kebarangkalian? Nak tahu? Sebab otak aku sedang ligat berpusing memikirkan apakah sebenarnya yang berlaku pada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) sehinggakan sehingga kini meragut dua nyawa individu yang dalam urusan siasatan. Mungkin ada diantara kita membuat kebarangkalian dan ada juga terus menunjukan jari ke mana-mana pihak.

Sabar-sabar... Kita yang tak tahu apa-apa ni lebih baik jangan terus menuduh satu pihak dengan tanpa kita sendiri tahu. Jangan kerana mempunyai kepentingan, kita terus saja meletakkan satu kesalahan pada orang yang kita tidak gemari.

Cuba kita fikirkan kebarangkalian-kebarangkalian ini.

Situasi : Pegawai Kanan Kastam jatuh dan mati di kawasan bangunan SPRM

Kebarangkalian 1 :
Pegawai Kastam terbabit telah diugut dengan keras untuk tidak membocorkan rahsia oleh pihak yang berkepentingan dalam kes tersebut. Contoh, ugutan bunuh, ugutan kepada isteri dan anak-anak dan sebagainya.

Kebarangkalian 2 :
Pegawai Kastam terbabit amat malu akan tindakan diri sendiri lalu mengambil keputusan untuk membunuh diri daripada menanggung malu dari isteri dan anak-anak, sanak saudara dan kawan-kawan.

Kebarangkalian 3 :
Ditolak oleh Pegawai SPRM kerana kes yang disiasat berkait dengan nama-nama orang besar.

Kebarangkalian 4 :
Terjatuh juga satu kemungkinan. Mungkin semasa beliau berada di tingkap atau balkoni bangunan tersebut, beliau tergelincir lalu terjatuh.

Ini hanya teori kebarangkalian, bukan yang sebenarnya. Jadinya ia bukanlah suatu jawapan kepada persoalan yang bermain di minda rakyat Malaysia berkenaan kes ini. Biarlah pihak berkuasa menyiasat dan mendapatkan jawapannya sendiri. Kita hanya mampu membuat KEBARANGKALIAN.




Thursday, March 3, 2011

POLIS, ASKAR DAN BOMBA

Sekali teringat pula pada zaman persekolahan dulu. Semasa di sekolah rendah, pastinya tiap-tiap tahun kita akan menulis cita-cita kita di dalam suatu buku rekod di mana ianya perlu diisi sebanyak 3 cita-cita.

Dulu tak tahu apa-apa, cuma letakkan 3 cita-cita utama iaitu Polis, Askar dan Bomba. Itulah yang aku tulis setiap tahun. Ada pernah satu kali tu, aku ada menulis cita-cita aku untuk bekerja kilang. Iskhh... Apalah bengapnya aku masa tu, sehingga aku digelakkan oleh rakan aku. Bukan apa, aku ni dilahirkan bukanlah dari keluarga yang sangat berjaya dan berada, jadi aku kurang sensitif atau ambil berat terhadap cita-cita aku. Cerita pasal aku tulis cita-cita aku untuk bekerja kilang merupakan perkara yang aku tak boleh lupakan sehingga kini.




Dalam hujung-hujung tahun ke darjah enam, aku dah mula ada kesedaran, mulalah membuat cita-cita baru iaitu arkitek. Untuk jadi arkitek ni kena pandai melukis dan seni orangnya, tapi aku, minat tu ada tapi melukis dan seni tu tak pandai pula.

Lepas tamat UiTM aku dah mula mencari kerja. Tak tau nak kerja apa. Otak masih buntu. Ada juga cita-cita nak jadi guru, tapi banyak kali ambil exam, tak lepas-lepas. Sebelum ni ada juga menjadi guru sandaran, pernah mengajar di 2 buah sekolah. Ingat lagi masa tu, gaji aku sebanyak RM50 ++ sehari. Mak bapak aku pula mengharap aku jadi guru sepertimana Abang Long aku, tapi nak buat camne, jodoh aku sebagai guru tidak kesampaian.

Lepas tu macam-macam kerja jugalah aku buat, dari kedai Sushi King, Seven Eleven, kerja kilang, kerja syarikat berkaitan kerajaan (GLC) sehinggalah sekarang sudah 3 tahun lebih aku bekerja di muzium. Syukurlah.. Rezeki memang ketentuan Allah, kita hanya mampu merancang, akhirnya juga Allah yang menentukan.

Jadinya pesanan aku pada graduan-graduan universiti yang mengganggur di luar sana, jangan mudah putus asa. Terus kuatkan semangat untuk mencari kerja dan terus mencuba apa-apa kerja walaupun ianya bukanlah apa yang kita harapkan. Timbalah pengalaman walaupun sedikit upah yang diberikan. Insyaallah, ada rezeki dikemudian hari. Bersabarlah... Tapi usaha tetap perlu ada.

Wednesday, March 2, 2011

CERITA PASAL SAMAN TRAFIK

Gambar : Google

Mak ooii.. Rupa-rupanya masih ramai lagi yang gagal untuk membayar saman trafik walaupun pihak polis telah memberikan tempoh yang agak lama untuk membuat demikian. Pada akhir tempoh (tempoh diskaun) pembayaran yang ditetapkan oleh pihak polis pada 12 tengah malam 28 Februari yang lalu, dilihat hanya RM 5.5 juta saman sahaja yang dibayar sebaliknya terdapat 17.3 juta lagi yang belum dibayar.

Nak dikata tidak cukup masa, kenapa saat-saat terakhir baru nak bayar? Sedangkan masa enam bulan yang terdahulu para pesalah trafik tidak membayarnya. Kerja? Oh tidak.. Dalam jangka masa enam bulan takkanlah tak boleh ambil cuti satu hari untuk pergi membayar saman. Jangan kata ambil cuti, masa rehat bekerja pun boleh keluar sekejab untuk bayar saman. Ini tidakm bayar saat terakhir, memanglah sistem pun boleh perlahan kerana terlalu banyak hit ke atas talian tersebut.

Lepas ini kerajaan akan memperkenalkan satu lagi kaedah membayar saman. Sekiranya kita kena saman, segeralah membayarnya dalam tempoh dua bulan kerana sekiranya kita bayar dalam tempoh tersebut, kita akan mendapat pengurangan. Namun sebaliknya, jika kita bayar selepas dua bulan di saman, kita akan membayar jumlah yang tinggi dan akan disenaraihitamkan. Fuh.. Betul-betul tegaslah.

Ada suara-suara mengatakan, sekarang kerajaan tiada duit, pasal tu kerajaan kutip bayaran saman sekarang. Rasanya suara-suara yang mengatakan ini adalah silap. Kerajaan mengutip saman sekarang bukan pada waktu ini sahaja, hari-hari kerajaan kutip saman. Kerajaan siap beri diskaun 50% lagi untuk memastikan saman dibayar, hari terakhirnya ialah 28 Februari yang lepas. Kalau kerajaan betul-betul nak duit, rasanya tiada diskaun 50% diberikan kepada pesalah trafik. Kerajaan dah cukup perihatinlah macam tu. Ni tak, asyik nak salahkan kerajaan. Takkanlah kerajaan nak mansuhkan saja saman trafik tu, kalau tak mana adanya penguatkuasaan..





Tuesday, January 18, 2011

GALERI BALAI POLIS BATANG TIGA KINI DIBUKA

Ya.. Kini galeri ini di buka. Jemput datang..

Bertempat di Batang Tiga, Melaka.





Pandangan sisi

Antara bahan pameran yang terdapat dalam galeri ini.

Mannequin polis berpakaian dahulu kala

Alat pencegah kebakaran dahulu

Sedikit informasi :

Balai Polis Lama Batang Tiga dipercayai dibina pada awal tahun 1900 oleh pemerintah British. Pasukan polis telah dibentuk oleh British di Melaka pada tahun 1825 setelah setahun Perjanjian Inggeris-Belanda ditandatangani. Pada awal penubuhannya balai polis ini lebih dikenali sebagai rumah pasong oleh penduduk setempat.

Balai polis ini menempatkan seramain lebih kurang lima hingga enam orang anggota polis yang pada waktu itu dikenali sebagai "mata-mata" oleh penduduk kampung. Kebanyakan anggota adalah terdiri daripada keturunan Melayu dan Sikh.

Nak tahu informasi lebih lanjut. Jemput datang ke galeri ini. Masuk percuma.

Monday, September 20, 2010

POLIS BRUTAL

Tidak habis-habis lagi kisah kes pembunuhan Datuk Sosilawati dipaparkan di media cetak dan media elektronik pada masa kini. Namun siapa yang bersalah masih belum diketahui dengan lebih jelas lagi kerana kes ini masih lagi dalam siasatan pihak polis.

Apa yang menarik perhatian masyarakat ramai sekarang ialah tentang seorang anggota polis berbangsa India. Kalau dilihat betul-betul muka dan rupa parasnya lebih brutal dari suspek. Lihat sajalah mukanya yang bengis, berambut panjang dan berbadan sasa, kalau silap pandang orang akan kata dia yang sebenarnya suspek manakala suspek ialah polis.

Satu lagi persoalan yang bermain di minda aku sekarang ialah perlukah wajah anggota polis tersebut di paparkan secara terang-terangan oleh pihak media? Adalah kemungkinan beliau merupakan anggota dari Cawangan Khas yang memerlukan identiti beliau dirahsiakan. Sekiranya tidak, tidak mengapalah.

Media seharusnya lebih peka terhadap kes-kes yang berprofil tinggi seperti ini. Mungkin gambar anggota polis tersebut juga boleh di "blur" kan dari jelas dilihat umum. Ini bukan apa, untuk keselamatan anggota terbabit juga.

Walau apapun media massa adalah diperlukan untuk menyalurkan maklumat kepada rakyat namun dalam menyampaikan suatu maklumat, sensitiviti, dan kepekaan dalam satu-satu kes berprofil tinggi haruslah di sampaikan dengan berhemah dan profesional.





Wednesday, September 15, 2010

TAMAN PERUMAHAN AKU LOKASI PENCURI BUAT PROJEK

Dalam beberapa bulan kebelakangan ini, taman perumahan aku sering berlaku kecurian dan pecah masuk rumah. Hai, seram juga aku dengar. Mana tidaknya, jiran aku kiri dan kanan telah terkena. Alhamdulillah syukur pada Allah kerana rumah aku masih dalam keadaan selamat. Diharap tiada perkara yang tidak diingini berlaku.


Jiran di kiri rumah aku, rumahnya dipecahkan kunci mangga pagar di siang hari iaitu pada waktu orang bekerja. Mujurlah hanya bateri kereta yang terletak di hadapan rumahnya sahaja yang dicuri. Jiran di kanan rumah aku pula rumahnya dipecah masuk melalui pintu belakang. Ketika malam itu hujan lebat dan tuan rumahnya tiada di rumah kerana pulang ke kampung. Dengar cerita wang tunai dan barang kemas isterinya dibawa lari oleh penyamun tarbus.


Sebelum itu, seorang bos di tempat kerja aku yang terletak dalam satu taman perumahan aku juga telah kehilangan sebuah kereta Waja di hadapan rumahnya. Hai, macam-macamlah. Tengok, berapa profesionalnya pencuri ini.


Baru-baru ini pula, ada seorang ketua jabatan yang sama dengan taman perumahan aku juga rumahnya hampir dimasuki pencuri. Mujurlah alat pengera berbunyi semasa pencuri itu cuba mengumpil pintu masuk utama rumahnya. CCTV juga berjaya merakam wajah pencuri itu. Cerita ini ada dipaparkan di dalam akhbar baru-baru ini.


Lihatlah, dalam beberapa bulan sahaja banyak kejadian kecurian yang berlaku dalam taman perumahan yang aku duduki. Naik risau juga aku. Aku mohon pada Allah semoga rumah aku tidak menjadi sasaran dan aku berdoa juga semoga taman perumahan aku tidak menjadi lokasi strategik para pencuri untuk menjalankan aktiviti.


Aku lihat, berbagai-bagai cara penduduk taman perumahan untuk mencegah daripada berlaku kecurian. Kini di taman perumahan ini sudah ada pengawal keselamatan yang berkawal di waktu malam hingga ke pagi. Pengawal keselamatan ini dibayar, dan mereka akan melakukan rondaan pada rumah-rumah yang membayar perkhidmatan mereka. Aku tidak termasuk pada orang yang membayar perkhidmatan itu, kerana satu deretan taman perumahan yang aku duduki setahu aku tidak mendapatkan perkhidmatan tersebut.


Yang aku duduk fikirkan, pengawal keselamatan ini tiada pos pengawal, mereka duduk di bangku yang terdapat di kawasan taman permainan. Mereka akan meronda pada waktu-waktu tertentu. Yang dirungsingkan bila hari hujan di mana mereka berteduh? Kesiannya... Mereka merondakah semasa hari hujan? Entahlah...


Malam tadi pula, selepas aku pulang dari jamuan hari raya rumah abang aku, di simpang masuk di taman perumahan aku ada 3-4 orang polis dengan kereta peronda memeriksa kenderaan yang keluar masuk dari taman perumahan aku. Bagus rasanya pihak polis perihatin dengan masalah yang sedang melanda di taman ini. Dalam hati aku berfikir juga, adakah kes-kes lain yang selain dari kes-kes yang aku sebutkan di atas yang aku tidak tahu. Mungkin tahap kes kecurian di taman perumahan ini dalam keadaan yang serius.


Terfikir juga aku hendak memasang sistem pengera dan CCTV di rumah aku. Bukan apa, barang berharga memanglah tidak banyak, tapi risau juga keselamatan jiwa isteri dan anak aku serta diri aku juga. Sekarang ini nak tidurpun duduk berfikir, selamat tak rumah aku, kalau pencuri masuk apa aku nak buat? Rungsing juga. Tidak apalah, sebulan dua ini lihat dulu macam mana keadaannya.


Harapan aku taman perumahan aku tidak dilanda musibah kecurian dan pecah masuk rumah lagi. Moga Allah makbulkan. Amin...




DATUK SOSILAWATI DAN RANCANGAN AKSI GANAS DI TELEVISYEN

Takziah diucapkan kepada ahli keluarga jutawan kosmetik, Datuk Sosilawati dan tiga yang lain di atas pemergian mereka mengadap Illahi. Semoga roh mereka dicucuri rahmat dan digolong dalam orang-orang yang beriman. Tahniah pula diucapkan kepada PDRM kerana dapat menyelesaikan kes berprofil tinggi ini dalam jangka masa yang boleh dikatakan segera.

Apa yang bermain di fikiran sekarang ialah kenapa manusia kini sangat kejam? Begitu kejam. Apa salah mangsa sehingga diperlakukan sedemikian rupa? Adakah manusia sekarang telah hilang nilai-nilai kemanusiaan dan ketamadunan? Tidak sahaja didera, dibunuh bahkan dibakar sehingga menjadi abu.

Teringat ungkapan daripada Tan Sri Lee Liam Tyle yang menyatakan rancangan ganas di televisyen adalah merupakan pemangkin kepada manusia melakukan keganasan. Kenyataan ini sememangnya tidak boleh dinafikan. Lihat sajalah rancangan-rancangan televisyen terutama daripada barat memang banyak menyajikan rancangan yang bercorak keganasan. Bukan itu sahaja, malahan cerita kartun yang ditonton oleh kanak-kanak juga memaparkan aksi-aksi ganas.

Dengan penyajian aksi-aksi ganas ini dipaparkan di kaca televisyen, akan mempengaruhi minda manusia untuk melakukan keganasan. Yang merungsingkan lagi kanak-kanak yang mana memang mudah dipengaruh akan melakukan aksi yang sama. Mungkin ada pihak menafikan tentang pengaruh televisyen namun apa yang terjadi pada keganasan dan jenayah pada masa kini tidak terkecuali dari adanya pengaruh dari apa yang dipaparkan di kaca TV. Sebagai contoh; seseorang yang dikatakan seorang yang baik yang terpaksa melakukan sesuatu yang salah disisi undang-undang akan melakukan aksi tersebut dengan adanya pengalaman menyaksikan aksi keganasan di televisyen. Ini tidak boleh dinafikan lagi, kerana pengalaman merupakan ilmu yang sangat berguna.

Justeru itu, pihak kerajaan dan stesyen-stesyen televisyen perlulah peka dan mengambil iktibar tentang apa yang berlaku di dalam negara kita pada masa kini. Penonton tidak boleh dikawal, walaupun pihak stesyen televisyen ada memberi penunjuk sesuatu rancangan berunsur SX, SG dan sebagainya. Yang boleh dilakukan ialah dengan memotong atau menyunting aksi-aksi yang keterlaluan demi menjaga nilai kemanusiaan dan tamadun rakyat Malaysia.