Tahun baharu, azam baharu dan tempat bertugas yang baharu. Ya, tempat baharu. Tahun 2023 ini aku akan meninggalkan pejabat di Seksyen Penyelidikan dan akan bertukar ke Seksyen Operasi Muzium.
Sebenarnya, pertukaran di dalam jabatan aku bukanlah suatu yang menghairankan kerana memang kerap juga bertukaran atau penggiliran dilakukan di dalam jabatan. Iyalah, kami ini hanya perbadanan negeri yang tidak boleh berpindah-randah ke jabatan yang lain. Justeru pertukaran kakitangan antara bahagian-bahagian di dalam jabatan ini merupakan perkara yang biasa.
Sudah lebih 15 tahun aku berada di jabatan ini dan pelbagai bahagian/ seksyen/ unit pernah aku bertugas antaranya Unit Pendaftaran, Unit Konservasi dan Unit-unit Muzium. Tahun 2020 merupakan pertama kali jabatan aku menyemak semula perjawatan dan mewujudkan bahagian-bahagian baharu, jadi aku ditempatkan di Seksyen Penyelidikan di bawah Bahagian Penyelidikan dan Dokumentasi.
Bahagian Penyelidikan dan Dokumentasi merupakan bahagian yang baru ditubuhkan. Aku adalah kakitangan pertama yang mengetuai Seksyen Penyelidikan. Alhamdulillah, aku masih boleh berbangga kerana banyak penerbitan yang berjaya aku laksanakan walaupun usia bahagian tersebut baru 2 tahun ditambah lagi pandemik covid-19 yang melanda pada tahun 2020.
Tahun 2023 aku akan kembali ke muzium. Pejabat baharu aku nanti adalah di Bangunan Stadthuys di mana ia merupakan pejabat lama aku sebelum aku ke Seksyen Penyelidikan. Ia bukan sesuatu yang asing bagi aku kerana sebelum ini aku pernah bertugas di operasi muzium. Insyaallah, aku akan cuba membuat yang terbaik di mana sahaja aku diarahkan bertugas.
Hadiah-hadiah tanda perpisahan dari rakan-rakan di Bahagian Penyelidikan dan Dokumentasi |