Showing posts with label perkara menarik. Show all posts
Showing posts with label perkara menarik. Show all posts

Wednesday, May 17, 2023

Lima Perkara Menarik Yang Terdapat di Muzium

Balai Seni Lukis Melaka mempamerkan karya seni artis dari dalam dan luar negara

Terdapat banyak perkara menarik yang terdapat di muzium. Berikut adalah lima perkara menarik yang anda boleh jumpai di muzium :

ARTIFAK BERSEJARAH

Muzium sering kali mempamerkan artifak bersejarah yang memberi gambaran tentang masa lalu. Anda mungkin akan menjumpai senjata dan perkakas kuno, pakaian tradisional dan lain-lain. Melalui artifak-artifak ini, anda dapat menghayati dan mempelajari tentang budaya, peradaban, dan peristiwa penting dalam sejarah. Contoh muzium yang boleh dikunjungi ialah Muzium Sejarah Melaka, Muzium Istana Kesultanan Melaka.

LUKISAN DAN UKIRAN

Muzium seni seringkali mepamerkan koleksi lukisan dan ukiran yang mengagumkan. Anda dapat menikmati keindahan seni dari pelukis-pelukis ternama atau pengukir-pengukir terkenal. Muzium seni juga sering mengadakan pameran sementara yang menampilkan seniman-seniman kontemporari. Contoh muzium yang boleh dikunjungi ialah Balai Seni Lukis Melaka dan Galeri Seni Rakyat.

FOSIL DAN TULANG-TULANG

Jika anda mengunjungi muzium yang maempamerkan sejarah alam semulajadi atau paleontologi, anda akan menjumpai fosil dan tulang-tulang dari haiwan purba dari spesis yang sudah pupus. Melalui pameran ini, anda dapat mempelajari tentang evolusi dan aneka kehidupan di muka bumi. Contoh muzium yang boleh dikunjungi ialah Muzium Negara, Muzium Budaya Borneo.

ARTIFAK BUDAYA

Muzium berkaitan budaya seringkali mempamerkan artifak yang berkaitan dengan kehidupan sehari-hari masyarakat tertentu. Contohnya, muzium berkaitan etnografi mungkin mempamerkan pakaian tradisional, alat muzik, senjata tradisional, dan objek-objek budaya yang lain. Melalui pameran ini, anda dapat mengeksplorasi kebudayaan yang berbeza dan menghargai kepelbagaian manusia melalui etnik dan kaum. Contoh muzium yang boleh dikunjungi ialah Muzium Istana Kesultanan Melaka, Muzium Etnografi dan Muzium Dunia Melayu Dunia Islam.

SAINS DAN TEKNOLOGI

Muzium bertemakan sains dan teknologi biasanya menampilkan penemuan-penemuan dan inovasi yang mempengaruhi dunia. Anda mungkin dapat melihat model-model mesin, prototaip, alat-alat ilmiah, dan interaktif yang memperlihatkan prinsip-prinsip sains. Ini adalah tempat yang baik untuk belajar tentang perkembangan teknologi dan bagaimana ia telah membentuk kehidupan kita. Contoh muzium yang boleh dikunjungi ialah Muzium Automobil Nasional dan Muzium Budaya Borneo.

Namun perlu diingat, setiap muzium memiliki koleksi yang unik dan tersendiri. Justeru perkara menarik yang dapat ditemui dapat bervariasi dari satu muzium ke muzium yang lain.

Tuesday, February 21, 2023

Sehari di Pekan Baru, Riau, Indonesia

Kali ini sudah kali ketiga aku menjejakkan kaki ke Pekan Baru, Riau, Indonesia. 13-14 Februari 2023 lalu, sekali lagi aku telah ke sana. Bukan pergi semata-mata untuk melancong, tetapi ada urusan kerja yang perlu dilaksanakan. Aku ke sana kerana ingin meninjau ruang promosi bagi menempatkan jabatan dan agensi Kerajaan Negeri Melaka berkaitan pelancongan di Lapangan Terbang Sultan Syarif Kasim II di Pekan Baru.

Pelancongan kesihatan bukan asing bagi negeri Melaka. Ramai pesakit dari Indonesia khususnya di sebelah Sumatera mendapatkan rawatan kesihatan di hospital-hospital swasta di Melaka seperti Hospital Putra dan Hospital Mahkota. Walau bagaimanapun di Hospital Pantai dan Hospital Oriental masih kelihatan kurang pesakit dari sana.

Maka tidak hairanlah syarikat penerbangan berani membuka operasi di Lapangan Terbang Antarabangsa Batu Berendam, Melaka. Setahu aku, hanya terdapat 2 penerbangan di lapangan terbang sini iaitu Batik Air ke Pekan Baru dan Air Asia ke Pulau Pinang.

Malindo Air dijenamakan semula menjadi Batik Air

Tiada apa yang menarik yang dapat dikongsikan kerana kedatangan aku ke Pekan Baru sangat terhad iaitu hanya satu hari. Namun sempat juga aku menikmati masakan nasi padang yang mempunyai lauk pauk yang enak-enak di Restoran Garuda. Makanan di Indonesia ni banyak yang pedas-pedas, tapi aku masih lagi boleh menikmatinya kerana aku pun suka yang pedas-pedas. 


Masa ni pelayan belum habis hantar lauk lagi, yang sebetulnya bertingkat-tingkat lauknya 


Aku menginap di Hotel Jatra. Hotel lama. Seingat aku pernah menginap di hotel ini pada kali pertama aku ke sini pada tahun 2008. Bagi aku, hotel ini biasa saja. Kalau nak beri markah persepuluh, aku beri 6/10. Cuma semasa aku daftar masuk, bilik berbau rokok. Di bilik air kelihatan sedikit kurang bersih kerana ada sedikit kotoran di belakang mangkuk tandas. 

Namun, jika datang bersama keluarga, mungkin aku tidak menyarankan hotel ini kerana terdapat kelab malam dan karaoke di dalam hotel ini. Bayangkan, di lobi pun masih boleh kedengaran orang melalak menyanyi sama ada lunak atau sumbang. Hotel ni pun memang promosikan kelab malam mereka, buka saja televisyen ada iklan kelab. Semasa daftar masuk juga dapat kupon masuk kelab ini secara percuma. Namun aku tak masuklah, bukan gaya hidup aku pun. 

Lobi hotel

Pemandangan dari jendela 

Pemandangan dari jendela 

Ruang bilik yang besar tapi tidur seorang 

Masuk-masuk dah ada iklan kelab malam di televisyen 

Ruangan di dalam bilik air 


Di sana aku turut berpeluang berjumpa dengan kenalan. Seorang memang tinggal di Pekan Baru dan dua orang lagi dari Siak. Sekiranya aku ke Pekan Baru, pasti aku aku ketemu dengan mereka. Yang buat aku terharu ialah mereka yang datang dari Siak. Bagi aku jaraknya agak jauh juga untuk datang semata-mata untuk bertemu. Siak ke Pekan Baru kira-kira dua jam. 

Kenalan dari Pekan Baru ialah Pak Yoserizal Zen. Masa kenal dahulu beliau adalah Kepala Muzium di Pekan Baru, kini beliau sebagai Kepala Dinas Kebudayaan Provinsi Riau. Beliau biasa juga ke Melaka, dan kebiasaannya aku akan menyantuni beliau di sini. 

Rakan-rakan dari Siak pula yang membawa aku makan malam di sana. Kami lepak hingga jam 12.00 malam. Makan malam di Restoran Tepi Sungai, kemudiannya mengopi di kedai kopi Galore.

Pemandangan di Restoran Tepi Sungai 

Masak lemak 

Lain rasa asam pedas di sini

Sempat angkat signboard kedai kopi je


Keesokan harinya setelah selesai sarapan aku sendirian berjalan mengelilingi bandar Pekan Baru. Dapatlah buat 5000++ langkah. Bak kata orang, jauh perjalanan luas pemandangan. Dapat juga mengenali tempat orang walaupun hanya seketika pemergian aku ke Pekan Baru.