Showing posts with label penyelidikan. Show all posts
Showing posts with label penyelidikan. Show all posts

Thursday, December 5, 2024

Hari Ini di Muzium : Membantu Pelajar Membuat Penyelidikan

Hari ini, suasana di Muzium Sejarah Melaka sedikit berbeza. Bukan sahaja kerana pengunjung harian yang datang untuk melihat pameran, tetapi juga kehadiran beberapa pelajar universiti yang datang untuk melakukan penyelidikan. Sebagai seorang yang ditugaskan untuk membantu pelajar-pelajar ini, aku mengambil tanggungjawab ini.

Pelajar pertama yang tiba adalah dari Universiti Malaysia Kelantan (UMK). Dia sedang menjalankan kajian untuk tesisnya mengenai koleksi seramik di muzium ini. Seramik ini bukan sekadar barang perhiasan ia membawa kisah tentang perjalanan perdagangan, pengaruh budaya dan teknologi masyarakat dahulu. Aku menerangkan kepada dia beberapa koleksi istimewa kami, termasuk seramik yang berasal dari zaman penjajahan seperti Belanda dan Inggeris dan juga yang dibawa masuk dari luar negara seperti China. Tidak lupa juga dengan seramik-seramik tempatan.

Pelajar dari Universiti Malaysia Kelantan (UMK)

Tidak lama kemudian, dua orang lagi pelajar tiba. Mereka dari Universiti Teknologi MARA (UiTM) dan fokus penyelidikan mereka adalah tentang Curatorship and Galleries Studies. Aku kongsikan pengalaman bagaimana muzium ini menguruskan koleksi dan merancang pameran serta cabaran yang dihadapi dalam memastikan artifak sentiasa dalam keadaan baik. Perbincangan kami turut menyentuh tentang bagaimana kakitangan muzium bekerja untuk menjadikan muzium lebih menarik kepada pelawat.

Pelajar dari Universiti Teknologi MARA (UiTM) Puncak Alam, Selangor

Sepanjang hari membantu mereka, aku terfikir betapa pentingnya peranan muzium sebagai sumber ilmu. Pelajar-pelajar ini bukan sahaja datang untuk mengumpul data, tetapi mereka juga membawa semangat untuk menyelidik dan memahami subjek yang dipelajari dengan lebih mendalam. Aku kagum dengan kesungguhan mereka yang datang dari jauh dan berharap maklumat serta pengalaman yang dikongsikan tadi dapat membantu mereka menyiapkan tugasan dengan baik.

Jika anda seorang pelajar yang juga berminat untuk meneroka koleksi di Muzium Sejarah Melaka, datanglah. Kami sentiasa terbuka untuk membantu anda menjadikan penyelidikan anda lebih bermakna. Semoga usaha semua pelajar ini membawa manfaat kepada pemahaman sejarah, kebudayaan dan warisan kita.

Tuesday, August 1, 2023

Membantu Pelajar PhD dari China Membuat Penyelidikan

Walaupun aku telah bertukar dari Bahagian Penyelidikan dan Dokumentasi ke Bahagian Pengurusan Muzium namun aku masih membantu para penyelidik yang memerlukan bantuan bagi mendapatkan maklumat untuk kajian mereka. Atas tanggungjawab, aku tetap akan membantu kerana bagi aku, apabila kita memudahkan urusan orang lain, Allah SWT akan memudahkan urusan kita, Insya-Allah.

Tak berapa lama dahulu, pernah aku membantu seorang pelajar Sarjana bagi mendapatkan maklumat tentang jumpaan artifak di Pulau Melaka. Aku di temuduga dengan beberapa soalan, aku juga dengan senang hati melayannya dengan baik bahkan memberikan penerangan, memberikan laporan dan gambar-gambar berkaitan di samping mengeluarkan segala artifak yang tersimpan di dalam repositori untuk ditatapi oleh pelajar tersebut bagi tujuan penyelidikan. Apabila hendak mendapatkan informasi lanjut, beliau masih bertanya kepada aku melalui panggilan telefon ataupun aplikasi whatsapp

Apa yang membuat hati aku terharu, selepas beberapa bulan beliau whatsapp  kepada aku meminta izin untuk menamakan aku sebagai penulis bersama (co-writer) bagi penulisan jurnalnya. Alhamdulillah, kecil tapak tangan, nyiru hamba tadahkan.



Hari ini seorang lagi, iaitu pelajar PhD dari China yang belajar di universiti tempatan telah aku santuni. Juga membuat kajian berkisar kepada jumpaan artifak di Pulau Melaka. Aku telah mengeluarkan artifak-artifak dalam simpanan untuk penyelidikan beliau dan turut membawanya ke tapak ekskavasi bagi menunjukkan lokasi artifak-artifak ditemui.

Selesai lawatan ke tapak ekskavasi, beliau mempelawa aku untuk makan tengah hari, namun aku menolaknya dengan baik.

* * * * *

Sebenarnya telah agak lama aku tidak mengemaskini blog. Kehilangannya buah fikiran untuk menulis di samping tugas-tugas yang tiada penghujungnya di pejabat membuatkan aku lelah namun aku tetap suka akan pekerjaan ku.

Aku berusaha menulis semula secara harian sama ada panjang atau ringkas catatan harian ku yang boleh diabadikan untuk rujukan diri aku sendiri pada masa akan datang. 

😎🤘🏼

Thursday, September 15, 2022

Sejarah Lisan : Merungkai Kisah Penting Yang Tidak Dicanang

Bertugas di Bahagian Penyelidikan dan Dokumentasi membuatkan aku dapat belajar banyak perkara. Antara yang aku gemari ialah berjumpa dan menemuramah individu-individu yang hidup pada zaman sebelum merdeka. Banyak kisah yang boleh dirungkai dari individu-individu ini yang memberi gambaran pada zaman sebelum merdeka.

Menemuramah pakcik Rosalle, bekas Rejimen Askar Melayu Diraja dan Komando

Pakcik Dengan pernah berpengalaman menaiki keretapi lama Melaka


Sekarang ini, individu yang hidup pada era 30 hingga 40-an sudah agak berkurangan. Mereka inilah yang merasai hidup di zaman penjajahan sama ada British, Jepun bahkan semasa pemberontakan Komunis. 

Alangkah ruginya jika tidak direkod dan didokumentasikan pengalaman dan peristiwa-peristiwa penting yang pernah dialami oleh mereka. Setiap orang mempunyai ceritanya yang tersendiri dan kisah ini memungkinkan menjadi sebuah kisah sejarah yang tidak dicanang atau ditulis di mana-mana media.

Sebenarnya, aku sedang membuat kajian untuk menulis tentang kewujudan keretapi lama Melaka yang dibina pada tahun 1903 dan telah dibongkar landasannya pada zaman pendudukan Jepun. 

Dahulu Melaka pernah mempunyai sistem keretapi dari Tampin (sebenarnya Pulau Sebang) dan berakhir di Bandar Melaka. Namun kini landasannya sudah tiada lagi, hanya terdapat beberapa struktur saja yang masih kelihatan seperti tembok batu di sekitar kawasan parit atau sungai dan juga jambatan besi.

Nantikan saja kemunculan buku ini nanti. Harap-harap buku ini dapat diterbitkan pada penghujung tahun ini. 

Friday, March 25, 2022

Masa Untuk Menelaah Buku


Inilah antara tugasan aku. Ada kalanya meja kosong, tapi selalunya dipenuhi oleh buku-buku. Sekali tengok sudah seperti seorang pelajar PhD sedang menelaah buku-buku. Tapi aku bukan pelajar, hanya bekerja. Membaca untuk menyiapkan tugasan.

Membuat dan menyampaikan maklumat adalah antara tugas aku di jabatan. Ada kalanya perlu membuat tinjauan serta kajian-kajian literasi mahupun kajian di lapangan yang kebiasaannya tertumpu kepada bidang sejarah, warisan, budaya, pemuziuman dan lain-lain yang berkaitan. Membuat kajian untuk tujuan-tujuan rujukan pihak jabatan, negeri dan pihak-pihak yang memerlukan maklumat seperti pelajar sekolah, kolej dan universiti.

Itulah antara fungsi utama muzium. Bukan sekadar mempamerkan artifak dan bahan bersejarah, namun perlu menyedia dan menyampaikan maklumat, pendidikan kepada masyarakat agar memahami sejarah, warisan dan kebudayaan negara.

Tahun ini juga ada beberapa buku, buletin dan laporan yang akan diterbitkan. Harap-harap aku dapat selesaikan sebelum menjelang akhir tahun ini. Insyaallah, bulan Ramadan ini boleh terus fokus menulis.

Berseronoklah Dengan Apa Jua Pekerjaan Yang Kita Lakukan


Ada kalanya bekerja di pejabat yang dingin, sejuk bak air batu yang enak dicampurkan bersama sirap Bandung. Teringat air Bandung, tak sangka tak lama lagi Ramadan bakal muncul kembali. Alhamdulillah. Namun, ada kalanya bekerja di luar pejabat, berjemur di bawah terik matahari. Bekerja umpama buruh kasar, kerja berat, anggota badan berpeluh dan kotor.

Itu semua tak pernah menjadi satu masalah bagiku. Aku tak pernah mengeluh. Sebagai seorang yang sukakan cabaran dan boleh bertugas dan bekerja dalam apa jua keadaan, aku seronok melalui semua ini. Semakin banyak aku melakukan sesuatu, semakin banyak juga aku dapat menimba ilmu, pengetahuan dan pengalaman.

Aku sedar, hidup ini hanya sementara, jadi selagi mata belum tertutup dan badan belum dikafankan maka aku harus mencari sebanyak mana ilmu dan pengalaman untuk aku rasai. Apabila kita mempunyai ilmu dan pengalaman, kita tidak kekok untuk menyampaikan maklumat tentang apa yang kita tahu kepada sesiapa sahaja.

Gambar di atas ini merupakan kerja-kerja kajian struktur bangunan Masjid Lama Belimbing Dalam. Ini adalah bengkel kajian, jadi bagi kajian struktur yang melibatkan kerja-kerja ekskavasi arkeologi tidak dilaksanakan secara menyeluruh, hanya tiga petak ekskavasi dibuka. Namun, lain-lain kajian antaranya lukisan terukur (measured drawing) dilaksanakan sehingga selesai oleh pihak lain.