Showing posts with label penipu. Show all posts
Showing posts with label penipu. Show all posts

Saturday, September 7, 2013

ADUH.. KENA KENCING HARI NI!!


Assalamualaikum dan Salam Sejahtera.

Dengan nama Allah yang Maha Pemurah lagi Maha Mengasihani. Selawat dan Salam buat nabi junjungan Nabi Muhammad S.A.W.

Di rumah aku ni memang ada menggunakan penapis air Elken. Sudah 2 tahun aku menggunakannya. Dalam 2 tahun ni, baru satu kali orang Elken datang untuk servis penapis air tersebut.




Pagi tadi apabila aku baru pulang dari rumah mak aku, isteri aku beritahu bahawa orang Elken ada telefon nak datang untuk servis penapis air. Aku pun berfikir juga, rasanya baru-baru juga servis, tapi kenapa nak servis lagi. Erm.. Aku pun tak kisah sangat.

Dalam tengah hari orang Elken yang nak servis penapis air aku pun datang. Masa tu aku baru lepas mandi. Kemudian, dia pun mulalah servis penapis air aku tu. Tukar ini, tukar itu. Aku pun ok saja. Bayaran yang dikenakan untuk menukar 2 biji penapis ialah RM 100.00. Aku pun bayar tanpa banyak tanya.

Masa nak balik, aku pun hantarlah dia sampai ke muka pintu. Pelik pula aku bila lihat dia parkir agak jauh dan keretanya tiada logo Elken. Seingat aku, Elken hanya membenarkan tukang servis mereka sendiri dan mempunyai kenderaan mempunyai logo Elken sahaja. Dalam hati aku dah rasa lain macam.

Aku lihat bil yang diberikan, memang bukan dari Elken sebaliknya dari syarikat lain. Kemudian aku lihat semula penapis yang ditukar, erm... betullah kena kencing. Lain capnya. Bukan cap Elken seperti biasa.

Isteri akupun menelefon pihak Elken, dan ternyata itu bukanlah orang dari Elken. Erm.. Nasib baiklah RM 100.00 saja yang kena. Itupun mula-mula dia suruh tukar penapis utama berharga RM 300.00 ++, nasib baiklah aku tak tukar. Kalau tukar juga, sudah semestinya penapis 'cap ayam' yang dia beri.

Persoalannya sekarang, siapa yang membocorkan maklumat? Bagaimana orang tu boleh tahu nombor telefon isteri aku dan bagaimana dia boleh tahu rumah aku menggunakan penapis air Elken? Nampak sangat penglibatan orang dalam. Orang dalam yang menjual maklumat kepada tauke-tauke yang menjual penapis 'cap ayam' untuk keuntungan sendiri. Huh, memang %&$### lah!!

Dulupun hampir kena kencing, boleh lihat di >> SINI <<

Sunday, November 11, 2012

TIPU MAKAN DIRI


Assalamualaikum dan Salam Sejahtera.
 
Allah itu Maha Adil, dalam sekelip mata sahaja orang yang menipu boleh terkantoi kepada orang yang ditipu.
 
Nak dijadikan cerita, malam semalam saya memberi mesej kepada seorang kakitangan supaya hadir ke suatu program yang perlu dihadiri pada pagi ini. Dia menjawab ringkas dengan menaip "tidak sihat". Itu saja mesejnya. Saya pun tidak peduli sangat, dah memang pun tahu ada saja alasannya.
 
Keesokan harinya saya sendiri yang pergi bersama kakitangan lain yang dapat bersama. Bertolak dari rumah pukul 7.00 pagi, setelah selesai, selepas Maghrib baru tiba di rumah. 
 
Kebetulan pula isteri mengajak saya ke sebuah hotel di mana saudaranya melangsungkan perkahwinan, walaupun penat namun saya tetap pergi juga. Setelah solat Maghrib saya terus bersiap hendak ke kenduri kahwin tersebut. Jarak hotel dengan rumah saya tidaklah jauh, lebih kurang 5 kilometer sahaja.
 
Masuk saja ke dalam dewan hotel, meja-meja sudah dipenuhi para tetamu. Nasib baiklah juga masih ada tempat duduk yang kosong, jadi dapatlah saya sekeluarga duduk.
 
Dalam memerhati tetamu-tetamu di sekeliling, saya terpandanglah seorang kakitangan yang telah memberitahu saya yang dia "tidak sihat" malam kelmarin. Tak pastilah sama ada dia pun perasan saya atau tidak.
 
Saya nampak dia sihat-sihat saja. Makan pun elok saja. Tak nampak langsung macam orang tidak sihat. Dalam hati saya berkata "peghh.. berani lu kencing wa hidup-hidup...". Lepas ini, apa alasan yang dia beri memang saya sukar mahu percaya lagi. Cukuplah saya ditipu.

Entri Tambahan :

:: Kata-Kata FairusMamat ::

 

Wednesday, October 31, 2012

WAJIB BACA : PENIPUAN WANG ALAF BARU


Assalamualaikum dan Salam Sejahtera.
 
Sebelum saya bercerita agak panjang lebar, terlebih dahulu saya berpendapat mungkin ada antara kalangan yang membaca entri ini pernah terkena sepertimana yang saya mahu ceritakan ini. Saya berkongsi cerita ini supaya kita semua mendapat makluman seterusnya tidak tertipu dalam apa-apa bentuk penipuan yang menyuruh kita menyerahkan wang. Wallahuaklam.
 
Hendak dijadikan cerita, pagi tadi (30 Oktober 2012) saya ada mendapat satu panggilan bernombor misteri iaitu 1300888*** yang mendakwa panggilan dibuat dari TM (Telekom Malaysia). Semasa menjawab panggilan tersebut, operatornya memberitahu saya mempunyai bayaran tertunggak bil bulanan UNIFI sejak April 2012 sebanyak RM 3,000 ++. Selepas itu, operator menyuruh saya menekan nombor sekian-sekian untuk terus disambungkan kepada pegawai mereka.
 
Saya agak terperanjat kerana saya tidak pernah melanggan pakej tersebut, ditambah lagi keraguan bahawa kawasan penginapan saya memang masih belum ada servis UNIFI. Saya agak sedikit bingung.
 
Pegawai yang disambungkan kepada saya mendakwa beliau dari pejabat TM di Kuala Lumpur. Saya memberitahu perkara sebenar yang saya memang tidak melanggan UNIFI. Seterusnya dia memberitahu kepada saya mungkin ada seseorang yang telah menggunakan nama dan nombor kad pengenalan saya untuk melanggan UNIFI.
 
Apa yang membuatkan saya berasa janggal sangat, orang yang didakwa menggunakan nama saya itu juga membuka akaun RHB BANK sebagai agensi pemotongan bulanan terus dari akaun untuk membayar bil bulanan UNIFI. Keadaan saya semakin tertanya-tanya.
 
Lantas, pegawai tadi menyatakan mungkin nama dan nombor kad pengenalan saya telah disalahguna oleh pihak tertentu dan menyarankan saya membuat laporan ke BANK NEGARA kerana ia melibatkan penipuan akaun bank. Sebelum itu sempat juga dia memberikan maklumat-maklumat berkaitan seperti alamat dan nombor telefon rumah orang yang menggunakan nama saya, nombor akaun UNIFI serta nombor akaun RHB BANK yang semuanya menggunakan nama saya.
 
Pegawai tersebut menyuruh saya menulis segala maklumat yang diberikan supaya mudah disampaikan kepada pegawai di BANK NEGARA semasa saya membuat laporan. Sebelum menamatkan panggilan, pegawai tersebut telah memberikan nombor telefon Unit Aduan BANK NEGARA dan menyarankan agar saya segera menghubunginya.
 
Saya tanpa berfikir panjang terus menghubungi BANK NEGARA melalui nombor telefon yang telah diberikan. Tiada jawapan. Saya dail sekali lagi, masih tiada jawapan seperti talian sedang sibuk. Dalam hati saya berfikir, tentu mereka sedang sibuk menerima aduan pelanggan yang ramai.
 
Semasa menunggu talian tidak sibuk saya sempat mengemaskini status di Facebook dengan menyatakan masalah yang sedang saya hadapi. Ada pula seorang yang menekan butang "like" iaitu MADAM LALA. Saya juga sempat menghantar mesej kepada isteri saya untuk menyatakan perihal ini.
 
Dalam beberapa minit selepas itu, saya dapat menembusi talian Unit Aduan BANK NEGARA. Apabila panggilan diangkat dengan pantas orang yang menjawab panggilan tersebut bertanya "BANK NEGARA, BOLEH SAYA BANTU?" Saya pun menceritakan masalah yang saya hadapi sepertimana yang diberitahu oleh pegawai TM sebelum tadi.
 
Selepas selesai menceritakan masalah saya secara ringkas, pegawai yang mendakwa dirinya dari BANK NEGARA tersebut menyatakan dia akan menelefon saya semula untuk proses rakaman suara pula untuk merekod aduan. Dia meminta saya meninggalkan nombor telefon supaya dia boleh menelefon saya semula. Dalam hati saya bertanya, mengapa dia tidak memasang terus sistem rakaman suara?
 
Dalam beberapa minit selepas itu, pihak yang mendakwa dirinya dari BANK NEGARA telah menghubungi saya semula. Kali ini dia meminta banyak maklumat dari saya. Dari kad kredit (saya tidak ada), bank-bank yang saya menyimpan duit, jumlah-jumlah duit yang ada dalam setiap akaun dan pelbagai soalan seperti lagak orang sedang menjalankan siasatan.
 
Saya mula risau apabila pegawai terbabit berkata mungkin akaun-akaun bank saya boleh dikeluarkan wang oleh orang yang menggunakan nama saya untuk melanggan UNIFI tersebut. Soal jawab antara dia dan saya agak lama juga sehinggalah talian terputus. Perkataan terakhir yang saya ingat sebelum talian terputus ialah "bagaimana pula dengan akaun ASB saya?".
 
Dan dan selepas talian terputus orang tersebut tidak menghubungi saya lagi. Pada sesi soal jawab tersebut, pegawai itu sempat meberitahu agar tidak menghebah-hebahkan perkara ini kepada sesiapa pun kerana ia dalam siasatan dan akan membuat tangkapan dan dalam jangka masa 3 hari, saya dilarang untuk membuat apa-apa transaksi di bank.  Lalu saya teringat saya ada mengemaskini status di Facebook. Dengan pantas saya log masuk ke Facebook dan memadam status saya. Begitu juga dengan mesej yang saya berikan pada isteri, saya menghantar mesej kepadanya semula agar tidak memberitahu kepada sesiapa kerana ia masih dalam siasatan pihak BANK NEGARA
 
Selepas itu saja bekerja seperti biasa, masih mengharap juga panggilan dari BANK NEGARA yang terputus dan tidak ditelefon semula. Dalam pukul 4.00 petang, isteri saya membuat panggilan, dia menyatakan bahawa panggilan dari TM yang saya terima itu adalah panggilan tipu. Nombor telefon BANK NEGARA yang diberikan juga itu adalah tipu. Rupa-rupanya ini adalah satu perancangan rapi dari mereka sendiri untuk menipu wang mangsa. Pada masa ini saya adalah mangsanya.
 
Namun saya bersyukur kerana saya tidak terus tertipu. Pada hemat saya, saya hanya memberitahu akaun-akaun bank (tanpa nombor akaun) dan nilai wang yang ada di setiap akaun bank yang saya ada. Saya harap tiada maklumat penting yang terlepas kepada si penipu itu.
 
Saya yang berasa tidak puas hati terus membuat carian nombor telefon sebenar BANK NEGARA. Setelah berjaya membuat panggilan, saya menceritakan hal yang terjadi pada saya. Pegawai yang menjawab panggilan saya itu seperti sudah tahu kes seperti saya, beliau menyuruh saya membiarkan sahaja kerana telah banyak aduan yang sama mengenainya.
 
Beginilah serba sedikit pengalaman saya yang hampir tertipu. Mujurlah saya memang tiada menggunakan perkhidmatan UNIFI, kalau tidak mungkin juga saya terhasut untuk membayar tunggakkan yang perlu saya jelaskan.
 
Macam-macam cara orang penipu untuk mendapatkan wang, jadi saya berharap apa yang saya tulis ini sedikit sebanyak memberi makluman dan pengetahuan kepada semua agar tidak tertipu dengan penipuan yang mempunyai modes operandi sedemikian rupa. Harapnya dapatlah juga dikongsikan kepada adik beradik, sedara mara dan sahabat handai yang lain untuk makluman bersama.

Thursday, February 16, 2012

BUKAN SEMUA YANG PROFESIONAL ITU BAIK





Assalamualaikum dan Salam Sejahtera.

Sudah namanya manusia. Kita manusia bukannya malaikat. Manusia ada yang baik dan ada juga yang melakukan keburukan dan kejahatan. Allah, sekiranya memerintahkan malaikat supaya berzikir kepada-Nya, sudah pasti malaikat akan menurutinya tanpa ada bantahan. Tetapi kita manusia yang beragama Islam, apa yang diperintah oleh Allah, ada yang kita turuti dan ada juga yang kita mungkiri. Jadinya, memang benar manusia ini ada yang sentiasa berlaku baik atau sebaliknya.

Golongan profesional... Tak kira doktor, arkitek, guru, peguam, pensyarah dan sebagainya sering dikatakan sebagai golongan yang baik-baik sahaja. Merekalah yang berilmu, merekalah yang mempunyai pendidikan tinggi, merekalah yang profesional, merekalah yang harus dihormati dan sebagainya yang baik-baik belaka. Tetapi benarkah? Sehinggakan ada yang bersuara, eh, mereka ini semua profesional, kita harus dengar cakap dia. (walaupun kita sendiri tidak tahu sama ada mereka berkata benar atau tidak)

Pernah dengar berita-berita yang terpampang di akhbar dan kaca televisyen mengenai GURU MENCABUL MURID, GURU MELIWAT MURID, PEGUAM DISYAKI MEMBUNUH, ARKITEK MENIPU PROJEK, DOKTOR MENJUAL UBATAN PALSU, PENSYARAH PECAH AMANAH dan lain-lain kes yang membabitkan golongan profesional? Jadinya, tidaklah semestinya golongan profesional ini baik-baik belaka. Malahan kesalahan yang dibuat lagi besar berbanding rakyat biasa. Sekejam manapun yang rakyat biasa lakukan kesalahan, sekiranya golongan profesioanl yang melakukan, ia adalah berganda-ganda kesalahannya dipandang masyarakat.

Saya di sini bukanlah membenci golongan profesional ini. Saya cuma ingin menyatakan bahawa kita manusia sama sahaja. Dalam pemikiran ada yang berfikiran baik dan ada berfikiran buruk. Lainlah kepada golongan ahli agama. Ops.. Ustaz dan ustazah juga ada yang berkhalwat. Jadinya, siapa yang kita mahu mempercayai?

Apa yang penting, kita kembali kepada agama. iaitu agama Islam. Islam telah tunjukan jalan-jalan yang lurus dan benar. Kita hanya perlu mengikutinya sahaja.