Showing posts with label pendidikan muzium. Show all posts
Showing posts with label pendidikan muzium. Show all posts

Thursday, December 5, 2024

Hari Ini di Muzium : Membantu Pelajar Membuat Penyelidikan

Hari ini, suasana di Muzium Sejarah Melaka sedikit berbeza. Bukan sahaja kerana pengunjung harian yang datang untuk melihat pameran, tetapi juga kehadiran beberapa pelajar universiti yang datang untuk melakukan penyelidikan. Sebagai seorang yang ditugaskan untuk membantu pelajar-pelajar ini, aku mengambil tanggungjawab ini.

Pelajar pertama yang tiba adalah dari Universiti Malaysia Kelantan (UMK). Dia sedang menjalankan kajian untuk tesisnya mengenai koleksi seramik di muzium ini. Seramik ini bukan sekadar barang perhiasan ia membawa kisah tentang perjalanan perdagangan, pengaruh budaya dan teknologi masyarakat dahulu. Aku menerangkan kepada dia beberapa koleksi istimewa kami, termasuk seramik yang berasal dari zaman penjajahan seperti Belanda dan Inggeris dan juga yang dibawa masuk dari luar negara seperti China. Tidak lupa juga dengan seramik-seramik tempatan.

Pelajar dari Universiti Malaysia Kelantan (UMK)

Tidak lama kemudian, dua orang lagi pelajar tiba. Mereka dari Universiti Teknologi MARA (UiTM) dan fokus penyelidikan mereka adalah tentang Curatorship and Galleries Studies. Aku kongsikan pengalaman bagaimana muzium ini menguruskan koleksi dan merancang pameran serta cabaran yang dihadapi dalam memastikan artifak sentiasa dalam keadaan baik. Perbincangan kami turut menyentuh tentang bagaimana kakitangan muzium bekerja untuk menjadikan muzium lebih menarik kepada pelawat.

Pelajar dari Universiti Teknologi MARA (UiTM) Puncak Alam, Selangor

Sepanjang hari membantu mereka, aku terfikir betapa pentingnya peranan muzium sebagai sumber ilmu. Pelajar-pelajar ini bukan sahaja datang untuk mengumpul data, tetapi mereka juga membawa semangat untuk menyelidik dan memahami subjek yang dipelajari dengan lebih mendalam. Aku kagum dengan kesungguhan mereka yang datang dari jauh dan berharap maklumat serta pengalaman yang dikongsikan tadi dapat membantu mereka menyiapkan tugasan dengan baik.

Jika anda seorang pelajar yang juga berminat untuk meneroka koleksi di Muzium Sejarah Melaka, datanglah. Kami sentiasa terbuka untuk membantu anda menjadikan penyelidikan anda lebih bermakna. Semoga usaha semua pelajar ini membawa manfaat kepada pemahaman sejarah, kebudayaan dan warisan kita.