Showing posts with label pandemik. Show all posts
Showing posts with label pandemik. Show all posts

Wednesday, August 11, 2021

ANDA KEMURUNGAN DI MUSIM PANDEMIK COVID-19?

Kemurungan boleh berlaku pada sesiapa sahaja. Bagaimana hendak mengatasinya, itulah yang kita perlu ketahui. Pada ketika ini, pandemik Covid-19 telah banyak menimbulkan kegelisahan di kalangan masyarakat terutama yang melibatkan kewangan. Ada yang kehilangan pekerjaan, ada yang gajinya dipotong, peniaga terpaksa menutup operasi malah ada yang bankrup. 

Hampir dua tahun masyarakat perlu menjalani perintah berkurung atau perintah kawalan pergerakan. Hendak ke sini tidak boleh, ke sana pun tidak boleh, pendek kata, pergerakkan adalah terbatas. Tidak seperti dahulu. Bayangkan jenis individu yang amat patuh, sentiasa duduk di rumah sahaja. Barangkali, apa yang berlaku di luar rumah pun tidak diketahuinya.

Mungkin akan ada sesuatu yang negatif berlaku apabila pandemik covid-19 berterusan antaranya kemurungan. Jaga-jaga, sebenarnya kemurungan ini adalah sesuatu yang begitu bahaya. Ia boleh membawa kepada kes bunuh diri.



Justeru, mari sama-sama menyaksikan sebuah program Impak Psikologi Semasa Impak Pandemik Covid-19 yang akan membincangkan tajuk Kemurungan Pembunuh Dalam Diam. Program ini akan diadakan pada 12 Ogos 2021 (Khamis) bermula jam 3.00 petang hingga 4.00 petang yang akan mengetengahkan Dr. Ahmad Rostam Md Zin, Pakar Perunding Psikiatri, Hospital Sultanah Bahiyah, Alor Setar. 

Program ini dianjurkan oleh Unit Psikologi dan Kaunseling, Jabatan Ketua Menteri Melaka dengan kerjasama Rakan Pembimbing Perkhidmatan Awam (AKRAB) negeri Melaka. Kebetulan saya merupakan ahli AKRAB dan telah dijemput untuk menjadi moderator. Rakan-rakan yang berminat boleh ikuti program ini melalui siaran langsung di Facebook rasmi Unit Psikologi & kaunseling, JKMM.

Tuesday, July 6, 2021

LAWATAN MAYA @ MUZIUM SEJARAH & ETNOGRAFI

Musim-musim PKP ini tidak banyak yang dapat dilakukan. Tidak boleh rentas daerah, negeri, malah banyak sektor yang ditutup termasuklah muzium. Muzium Melaka antara yang menerima kesan daripada pandemik covid-19.

Sebelum ini, Muzium Melaka merupakan muzium teramai pelawat berbanding muzium-muzium lain di Malaysia. Dengan jumlah pelawat menghampiri 1,000,000 pengunjung setahun, pandemik covid-19 sedikit sebanyak telah mengurangkan kedatangan pelawat ke muzium. 

Selain itu, program-program permuziuman pun tidak dapat dilakukan. Kerja-kerja cari gali yang baru saya laksanakan pun terpaksa ditangguhkan dan macam-macam lagi perancangan tahunan tidak dapat dilaksanakan.

Namun begitu, ia bukan bererti pihak kami harus berpeluk tubuh melihat sahaja pandemik ini datang dan pergi. Aktiviti dan program bersifat norma baharu khususnya melibatkan aktiviti dalam talian telah diatur bagi memastikan institusi permuziuman khususnya di negeri Melaka terus berjalan seiring dengan perkembangan semasa.

Terbaru, Muzium Melaka telah memperkenalkan program Lawatan Maya. Buat kali pertama ini akan melibatkan lawatan ke Muzium Sejarah & Etnografi. Sesi lawatan maya ini dijalankan secara dalam talian menggunakan platform Google Meet.



Muzium Sejarah & Etnografi merupakan muzium utama negeri Melaka. Memaparkan artifak dan bahan sejarah sejak dari zaman kesultanan Melayu Melaka hinggalah ke zaman penjajahan Portugis, Belanda, Jepun dan British. Jika ke Melaka, tidak sempurna lawatan sekiranya tidak ke muzium ini.

Bayaran yang dikenakan adalah sangat murah iaitu RM5.00 sahaja. Sekiranya sekeluarga nak mengikutinya di dalam satu komputer atau telefon pintar tetap dengan harga RM5.00. Murah kan? Seisi keluarga boleh tengok.

Justeru, di kesempatan ini, suka saya mempromosikan program lawatan maya ini yang akan dilaksanakan pada ketentuan yang dinyatakan di dalam poster di atas. Semoga ramai yang akan mengikuti lawatan maya ini yang tentunya akan memberikan ilmu dan maklumat yang bermanfaat.

Jika berminat, sila daftar di sini 👉🏼 KLIK

Friday, May 28, 2021

MALAYSIA TOTAL LOCKDOWN

Setelah angka demi angka kes Covid-19 baharu terus meningkat, akhirnya Kerajaan Malaysia telah mengumumkan LOCKDOWN seluruh negara bermula 1 hingga 14 Jun 2021. Ini bermakna semua sektor sosial dan ekonomi ditutup. Walaubagaimanapun, terdapat sektor-sektor penting akan dibuka.



Semoga tindakan Kerajaan Malaysia ini betul dan mampu menurunkan graf kes baharu di dalam negara ini. Diharapkan juga agar pandemik ini segera berakhir dan lenyap di muka bumi ini.

Pada para pemimpin, masa sekarang bukan masa untuk menuding jari siapa yang betul, siapa yang salah. Bukan juga masanya untuk merebut atau mempertahankan kuasa. Sekarang ini sama-sama perlu bersatu padu dan berganding bahu bagi mengatasi pandemik ini.

Dahulu kita kerap marahkan Fatah dan Hamas tidak bersatu bersama menentang pencerobohan Israel. Kita marah pasal Islam tidak bersatu. Tapi sebenarnya, di Malaysia sendiri kita boleh lihat situasi ini. Kita mempunyai ramai wakil rakyat Melayu Islam dari pelbagai parti sama ada pemerintah atau pembangkang, namun kita tidak bersatu menghadapi saat-saat sulit bagi negara. Jadi, jangan ditanya lagi kenapa Islam sukar bersatu.

Walau apapun, ini semua adalah perancangan. Ya, mungkin ada pihak yang menyatakan ini adalah perancangan pihak atau organisasi tertentu yang sedang mengawal dunia. Namun, perancangan ini berlaku dengan keizinan Allah SWT. Sebaik-baik perancang manusia, tidak sebaik perancangan dari Allah SWT.

Kita perlu tetapkan Iman kita yang keenam iaitu percaya pada qada' dan qadar Allah SWT. Semua yang berlaku di dalam dunia ini telah tertulis dan kehendak Allah SWT. Anggap ini semua ujian dan kita harus redha, perbanyakkan ibadah dan terus melaksanakan yang terbaik untuk diri, keluarga, bangsa dan negara (pesanan untuk diri sendiri).