Showing posts with label novel. Show all posts
Showing posts with label novel. Show all posts

Friday, April 1, 2022

Giveaway SR X Mitch Memoir Kampung Boy

 


Hari Jumaat yang indah dan penuh barakah. Hari ini sekali lagi aku dapat meluangkan masa bagi membuat satu entri untuk menyertai giveaway yang dianjurkan oleh Syazni Rahim. Rasanya baru sahaja terima hadiah saguhati daripada beliau untuk penyertaan giveaway sebelum ini, hari ini aku sertai lagi giveaway yang ini pula. Ini semua tanda sokongan aku kepada rakan-rakan bloggers. 

Jadi, ayuh rakan-rakan bloggers, mari sama-sama memeriahkan giveaway ini. Untung sabut timbul, untung batu tenggelam, manalah tahu untung kita dapat hadiah buku. 

*****

Blurb Memoir Kampung Boy  
Ia mengisahkan tentang cerita kanak-kanak di zaman 1970 dan 1980-an di mana watak aku (Kenit) memaparkan aktiviti serta apa yang dialaminya ketika itu. Ketika zaman tiada gajet yang canggih, ‘aku’ dan rakan-rakannya bermain apa sahaja yang dapat menghiburkan hati mereka. Kisah ini bermula perpindahan dari Pekan, Pahang ke Johor Bahru (JB). Di JB, ‘aku’ mendapat sahabat karibnya bernama Rais dan Kajid yang memperkenalkan banyak permainan sewaktu zaman dulu, seperti main ‘gundu’, baling selipar, tarik upih pinang, permainan ‘cakar ayam’ dan sebagainya. Namun masa amat mencemburui persahabatan mereka.

👉 Kenali Mitch

Tuesday, May 11, 2021

TERIMA HADIAH PENGOMEN BERTUAH


Alhamdulillah... Semalam saya telah terima bungkusan pos dari syarikat J&T yang sampai di pejabat tempat saya bekerja. Telah diduga, sudah pasti ia merupakan bungkusan hadiah sebagai pengomen bertuah bagi bulan April 2021 di blog SYAZNI RAHIM BLOG.

Rasa-rasa saya, sepanjang menulis blog sejak tahun 2009, inilah kali pertama saya mendapat sesuatu dari rakan blogger. Gembira. Ya, saya gembira melalui detik ini, bukan kerana mendapat hadiah, tetapi rasa berbaloi apabila menulis blog dan mengunjungi blog rakan-rakan terasa ada yang menghargainya.

Sebenarnya saya sudah lama terhenti menulis blog. Amat lama juga kerana ketiadaan masa lantaran tugas-tugas hakiki yang banyak ditambah dengan anak-anak yang membesar. Saya banyak meluangkan masa pada tugas dan melayan karenah anak-anak hingga malas nak menulis lagi.

Kini saya kembali menulis kerana saya telah bertukar bahagian di tempat kerja yang memerlukan saya banyak menulis. Justeru, saya mengambil peluang untuk turut kembali aktif menulis blog.

Sekali lagi, berbanyak-banyak terima kasih saya rakamkan kepada SYAHZI RAHIM BLOG atas pemberian ini. Saya masih belum berkesempatan untuk membaca buku ini lagi. Namun saya amat teruja untuk membaca dan menghayati isi penulisan buku ini. 

Oh ya! Saya hampir terlupa untuk menyatakan ini. Sebenarnya saya baru tahu dan mengenali Syazni atau pun nama penanya Syaz Eym merupakan penulis buku atau lebih tepat penulis novel yang saya terima ini. Tak sangka pula ada kenalan blogger yang juga seorang novelis. Bertambah teruja saya mahu membaca novel ini nanti.

Bagi yang masih belum mengenali Syazni Eym dan ingin membaca karya-karya beliau, boleh dapatkannya di pautan INI. Mari kita beri sokongan dengan membeli karya-karya beliau. Dikesempatan ini juga, ingin saya ucapkan semoga Syaz Eym terus menulis tanpa jemu dan menghasilkan karya-karya yang bermanfaat buat pembaca. Tahniah.

Saturday, May 26, 2012

MONOLOG BUAT MIRA EDORA

Mira Edora... Sungguh cantik namanya. Secantik orangnya juga. Berkacukan Melayu dan Mat Saleh. Memang cantik, bak kata orang-orang muda sekarang, memang cuuuuunnnn. Kasihan kamu Mira Edora, ayahmu telah dahulu meninggalkan alam fana dan kamu. Mamamu saja yang menghempas pulas membesarkan kamu.

Kamu cantik, memang cantik. Ramai lelaki yang cuba mendekati kamu. Fauzi.., Fauzi yang kamu cintai. Hubungan kamu begitu erat. Habis sekolah berjumpa bersama, di rumah dijemput keluar. Begitu juga dengan Dali dan Gary. Indah sungguh kamu bercinta di zaman sekolah. Memang tidak dapat dipastikan adakah cinta kamu itu cinta monyet atau sebaliknya.

Kini, cikgu baru pula yang kamu syok. Cikgu Nordin, seorang duda. Mantan teman baik mamamu, Mira Edora. Begitu lama kamu memendamkan perasaan kepadanya. Tidak tahukah kamu bahawa dia seusia arwah ayah kamu? Begitu tinggi citarasa kamu Mira Edora.

Mamamu pula, juga sama-sama memendam perasaan terhadap kekasih lamanya, Cikgu Nordin. Bagai sirih pulang ke gagang, mamamu menyambut mesra kepulangan Cikgu Nordin kepangkuan. Kini terjadilah cinta tiga segi antara ibu dan anak.

Mira Edora, harap kamu memahami. Cikgu Nordin ialah bekas teman lelaki mamamu. Mereka sudah nyaris berkahwin pada suatu masa dahulu. Namun, oleh kerana bangkangan dari keluarga, masing-masing telah membawa diri. Biarlah mereka bersatu kembali, Mira Edora. Kamu tidak padan dengan Cikgu Nordin. Cikgu Nordin menyayangimu sebagai anak, bukan sebagai kekasih. Harap kamu mengerti.

Mira Edora... Terimalah kembali mamamu. Terimalah Cikgu Nordin sebagai ganti arwah ayahmu.

---------------------------------------------------------

Assalamualaikum dan Salam Sejahtera.

Sebenarnya saya baru selesai membaca sebuah novel yang ditulis oleh seorang novelis terkenal iaitu Khadijah Hashim bertajuk Mira Edora. Monolog yang saya hasilkan di atas adalah sebagai pemahaman yang saya perolehi daripada membaca novel tersebut dan saya terjemahkan dalam bentuk tulisan.

Khadijah Hashim... siapa tidak kenal beliau. Seorang novelis terkenal. Beberapa karya beliau telah dijadikan Filem seperti Mira Edora dan Bicara Hati. Kini, beliau juga merupakan seorang pelukis. Karya-karya lukisan beliau sedang dipamerkan di Balai Seni Lukis Melaka sehingga 31 Mei 2012.

Novel Mira Edora yang saya baca ini juga merupakan pemberian daripada beliau... :)


Novel setebal 180 muka surat


Telah ditandatangani oleh penulisnya

Thursday, January 13, 2011

NOVEL INTERLOK UNTUK DIHAYATI BUKAN UNTUK DIBAKAR

Setelah 40 tahun diterbitkan, novel Interlok karya Sasterawan Negara Datuk Abdullah Hussain telah dibakar oleh kira-kira 100 kaum India di Dewan Sentosa, Majlis Perbandaran Klang yang tidak berpuas hati berikutan ada kandungan dalam novel tersebut didakwa mempunyai perenggan yang berunsur perkauman.

Dengan isu yang kian hangat kini, aku berusaha untuk mendapatkan buku ini di kedai buku, tapi malangnya novel ini tiada dijual di kedai buku yang aku pergi. Ada juga bertanya kepada kawan-kawan samaada mempunyai buku ini, tapi seperti biasa, ianya tiada. Jadinya, aku membuat satu tinjauan peribadi mengikut sinopsis dan maklumat-maklumat yang aku perolehi daripada akhbar-akhbar tempatan.





Pada pendapat aku, novel Interlok ini seharusnya tidak punya sebarang masalah. Ianya dikarang dengan menggunakan fakta-fakta sejarah yang diperolehi oleh pengarang. Justeru itu, adalah tidak molek kiranya sejarah bangsa sendiri tidak mahu terima. Bukannya niat untuk menghina, tetapi ianya adalah realiti dan benar-benar berlaku.

Novel ini lebih kepada kita mengenali asal-usul kita, dan dari asal-usul itu kita jadikan pedoman untuk terus berjaya. Ia memperlihatkan bagaimana suatu ketika dahulu kaum-kaum Cina dan India datang ke tanah Melayu, duduk bersama orang Melayu, bekerjasama sehingga membawa kepada kemakmuran dan sebati hidup bersama.

Oleh itu, pada kaum India yang berada di Malaysia yang penuh dengan kemakmuran ini, janganlah cuba memperbesarkan isu ini. Tiada apa yang perlu dimarahkan. Fikirlah dari sudut yang positif. Aku percaya, panel-panel yang memilih novel ini sebagai teks sastera sekolah menengah telah mengkaji segala aspek sebelum membuat pilihan.

Selari dengan gagasan 1 Malaysia yang dibuat oleh YAB Perdana Menteri, aku lihat novel ini adalah satu penulisan yang benar-benar melambangkan penyatuan dan perpaduan kaum di Malaysia.

Oleh itu sekali lagi dengan ikhlas hati aku berpesan (sebagai orang biasa) terimalah buku ini. Jangan kerana kita, anak-anak yang hendak belajar menjadi mangsa keadaan. Jadilah seorang yang positif, berfikir secara positif dan buat benda yang positif.