Showing posts with label murah. Show all posts
Showing posts with label murah. Show all posts

Sunday, December 18, 2022

Lima (5) Sebab Kenapa Anda Perlu Mengunjungi Muzium

Adalah kelaziman masyarakat kita di Malaysia ini menganggap muzium adalah membosankan. Tidak mengikut zaman. Hanya mempamerkan barang-barang lama. Bangunannya pun bangunan lama dan menyeramkan. Pernyataan ini mungkin disebabkan segelintir individu telah lama tidak mengunjungi muzium sedangkan terdapat beberapa perubahan, tarikan dan lain-lain perihal yang dirasakan masyarakat perlu kembali mengunjungi muzium.

Berikut merupakan antara sebab musabab kenapa kita perlu mengunjungi muzium :

1. HARGA MURAH

Jika hendak dibandingkan dengan pusat hiburan keluarga yang lain seperti taman tema, panggung wayang dan lain-lain pusat tarikan pelancong, muzium adalah sebuah pusat di mana bayaran tiketnya adalah murah. Bukan sahaja murah, bahkan terdapat juga muzium yang tidak dikenakan bayaran. Mengambil contoh muzium-muzium yang terdapat di Melaka, harga tiketnya serendah RM3.00 dan yang tertinggi adalah RM10.00. Jika hendak dilawati seisi keluarga pun, ia tetap berbaloi.

2. BERILMU DAN BERMANFAAT

Muzium adalah gedung ilmu. Ya, sudah pastinya muzium menyajikan ilmu yang bermanfaat untuk para pelawat. Dengan mengunjungi muzium, masyarakat dapat mengetahui sejarah, warisan dan kebudayaan khususnya di sesuatu negeri atau tempat. Ia amat sesuai dikunjungi oleh pelajar sekolah bagi mempelajari segala khazanah ilmu yang terkandung di dalam muzium.

3. HIBURAN

Siapa kata muzium tidak menghiburkan? Kini, di sesetengah muzium telah mula mengetengahkan kaedah interaktif dalam pameran. Pameran interaktif ini memberi peluang bagi pelawat untuk berinteraksi secara fizikal atau maya dengan bahan yang dipamerkan. Ini dilakukan bagi menarik lebih ramai generasi muda mengunjungi muzium. Antara pameran berbentuk interaktif yang dipamerkan seperti menggunakan objek 3 dimensi (3D), realiti maya (virtual reality), tayangan 5 dimensi (5D), skrin sentuh (touch screen) dan pelbagai lagi media interaktif.

4. CARA BERKESAN UNTUK BELAJAR

Khusus buat para pelajar tidak kira dari peringkat sekolah rendah hingga ke universiti. Bagi mempelajari subjek-subjek seperti sejarah, warisan dan kebudayaan, institusi muzium merupakan tempat wajib untuk dikunjungi. Selain belajar melalui pembacaan di buku-buku, pelajar boleh merujuk silang tentang perkara yang dipelajari dengan mendapatkan fakta sampingan di muzium. Dengan melihat dan menelaah sendiri apa yang dipamerkan di muzium, membolehkan pelajar lebih memahami apa yang dipelajari.

5. OOTD MUSEUM

Contoh OOTD @ Muzium


Siapa kata dekat muzium tidak menarik? Sebenarnya di muziumlah terdapatnya ruang-ruang yang menarik untuk bergambar dan dijadikan kenangan terindah. Di muzium terdapatnya diorama-diorama yang menarik contohnya diorama nostalgia seperti warung lama, perabut lama dan lain-lain yang mengambarkan zaman dahulu (old school). Terdapat juga galeri seni lukis dan pengunjung boleh OOTD bersama karya-karya seni bagi menghasilkan gambar yang kelihatan 'mewah'. Bangunan-bangunan muzium yang kebiasaannya merupakan bangunan tinggalan penjajah juga merupakan 'angle' yang terbaik untuk OOTD.

Oleh :
Fairus bin Haji Mamat
Penolong Kurator
Bahagian Penyelidikan dan Dokumentasi
Perbadanan Muzium Melaka (PERZIM)

Thursday, December 1, 2022

T-shirt UNIQLO Murah

Tengah hari tadi, sesudah makan berlaukkan asam pedas pari dan siput sedut, aku melapangkan masa untuk ke Dataran Pahlawan Melaka Megamall yang hanya sekangkang kera dari pejabat aku. Sebenarnya, walaupun pusat membeli belah tersebut amat dekat namun aku jarang mengunjunginya. Dulu-dulu rajinlah juga.

Niat hati nak tengok-tengok saja, kalau-kalau ada yang berkenan di hati. Aku juga sudah terpengaruh dengan kata-kata bos Sumber Manusia di tempat kerja yang menjadi teman sebilik semasa lawatan kerja di Sarawak tempoh hari. Dia menyatakan bahawa dia suka memakai pakaian jenama UNIQLO kerana selesa dipakai.

Aku apa lagi, tempat yang dituju ialah butik UNIQLO. Cantik jugalah pakaian-pakaiannya. Cuma nampak sesuai untuk generasi kini. Kita yang dah 4 siri ni kalau pakai nampak macam orang mudalah. 

Jadi, aku terminat pula dengan sejenis t-shirt ni. Alaaa.., t-shirt kosong saja. Tiada sebarang cap pun. Harganya pun murah. Bolehlah pakai bawa pergi keluar rumah. Aku ni biasa pakai baju jersi je. Haha.. 



Tak pastilah, harga ini merupakan harga sebenar atau harga offer. Hanya RM19.90 sehelai. Jadi aku beli 2 helai. Satu warna oren dan 1 warna biru. 

Sunday, January 17, 2021

CARA KILATKAN LAMPU (HEADLAMP) DENGAN KOS RM10.00!!! PALING JIMAT

Kereta kita kalau sudah lama, pastinya lampu hadapan semakin pudar. Sudahlah pudar, masa malam kurang terang pula. Sekiranya hantar ke kedai, kos untuk mengilatkan kembali lampu tersebut paling kurang pun RM100.00.

Sebenarnya ada cara atau kaedah yang paling murah untuk mengatasi masalah ini, cuma memerlukan kerajinan tulang empat kerat kita saja. Kalau rasa malas, bayar sahaja di kedai untuk kilatkan semula lampu, kalau nak jimat, kenalah buat sendiri.

Nak lihat bagaimana aku buat kerja-kerja mengilatkan lampu ni, boleh layari YouTube aku di pautan ini : https://youtu.be/Pl34xEIh-JE

Di sini aku nak kongsikan bagaimana aku kilatkan lampu hadapan (headlamp) kereta aku hanya bermodalkan RM10.00 sahaja. Ya... RM10.00 sahaja!!!

Berikut bahan-bahan asas yang digunakan :

1. Sehelai kertas pasir 600cw

2. Sehelai kertas pasir 1000cw

3. Sehelai kertas pasir 2000cw

4. Setin cat semburan jernih (clear spray)

Cara-caranya :

Langkah 1

Pasang pita pelekat sekeliling lampu bagi mengelakkan terkena gosokkan kertas pasir semasa proses menggosok lampu.

Langkah 2

Gosokkan kertas pasir 600cw ke permukaan lampu. Sambil mengosok basahkan lampu dengan air sabun atau air biasa pun boleh. Gosok sehingga rasa licin pada permukaan lampu.

Langkah 3

Sepertimana langkah kedua, tapi gosok menggunakan kertas pasir 1000cw.

Langkah 4

Teruskan menggosok dengan menggunakan kertas pasir 2000cw. Masa ni sudah boleh lihat permukaan lampu semakin berkilat.

Langkah 5

Setelah habis menggosok, bilas lampu dengan air kemudian lap sehingga benar-benar kering.

Langkah 6

Tutup kawasan lampu dengan menggunakan plastik hitam (plastik sampah) meliputi kawasan lampu dan potong plastik tersebut di bahagian lampu sahaja. Ini untuk kerja-kerja menyemburkan cat jernih (clear spray) pada lampu.

Langkah 7

Sembur cat jernih pada lampu untuk lapisan pertama. Untuk lapisan pertama ini, buat selapis yang nipis sahaja. Kemudian biarkan kering dalam masa 10 minit.

Langkah 8

Buat semburan buat kali kedua. Kali ini buat tebal sedikit dari lapisan pertama tadi. Setelah siap, tunggu sehingga kering dalam 10 minit.

Langkah 9

Semburan terakhir. Buat semburan tebal lagi. Kemudian tinggalkan sehingga kering. Lampu ini disembur cat jernih bagi memastikan lampu terus cerah buat jangka masa yang lama. Sekiranya gosok guna kertas pasir saja, nanti akan pudar juga nanti.

Langkah 10

Sudahpun siap. Buka semula plastik hitam dan kemaskan semula barang-barang yang telah digunakan. Baki kertas pasir tu boleh simpan, jangan pula buang. 

Lihat gambar perbezaan antara lampu kereta aku yang telah dibuat dan yang sebelah lagi yang belum dibuat.


Ini lampu sebelah yang belum dibuat lagi

Lampu ini telah dibuat. Macam baru kan?

Nak lihat bagaimana aku buat kerja-kerja mengilatkan lampu ni, boleh layari YouTube aku di pautan ini : https://youtu.be/Pl34xEIh-JE