Showing posts with label motivasi. Show all posts
Showing posts with label motivasi. Show all posts

Monday, January 15, 2024

Tidak Semua Meminati Siti Nurhaliza

Sebab masih ramai lagi yang lebih meminati P. Ramlee, Ella, Ziana Zain, Jamal Abdillah mahu pun Awie.
 
Gambar sekadar hiasan


Tidak semua minat nak jadi doktor, jurutera atau peguam. Sebab ada juga yang minat untuk menjadi mekanik, tukang kayu profesional dan juga ahli perniagaan. 

Begitu jugalah dengan anak-anak kita terutamanya yang baru mengambil Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) . Bukan semua boleh lulus cemerlang, kerana IQ masing-masing adalah berbeza dan ini akan terdapat keputusan yang kurang cemerlang. 

Akan tetapi, itu bukan bermakna mereka GAGAL atau BODOH. Mereka sekadar tidak cemerlang dalam akademik, tapi pastinya ada bidang-bidang lain yang boleh membuatkan mereka cemerlang. 

Sebagai ibu bapa, kita tidak boleh hanya memberi lebih sokongan kepada anak yang cemerlang (banyak A) tetapi kita juga harus memberikan sokongan serta lebih galakkan untuk anak yang kurang mendapat A. Ini kerana kehidupan mereka tidak terhenti selepas mendapat keputusan SPM. Perjalanan mereka masih jauh dan pelbagai kejutan yang kita sendiri tidak percaya ia boleh berlaku.

Sekiranya tidak berjaya memohon ke universiti, masih boleh menggalakkan anak memohon jurusan teknikal seperti di politeknik, kolej komuniti atau mana-mana pusat pembelajaran berkaitan teknikal. Zaman sekarang,  jurusan teknikal antara bidang yang mempunyai ruang pekerjaan yang banyak dan mudah mendapat pekerjaan berbanding bidang lain. 

Justeru, sama-samalah para ibu bapa memberi sokongan dan dokongan kepada anak tidak kira sama ada mereka cemerlang atau sebaliknya. 

Apa yang lebih penting kejayaan yang harus kita dambakan ialah kejayaan di akhirat kelak. Pupuklah anak untuk mengenali Allah dan Islam. 

Monday, November 16, 2015

JANGAN KERJA SEKADAR KERJA!

Assalamualaikum dan slaam sejahtera.

Dengan nama ALLAH yang MAHA PEMURAH lagi MAHA MENGASIHANI. Selawat dan salam buat nabi junjungan NABI MUHAMMAD S.A.W.



Jangan kita mengutuk, memaki mahu pun bergosip yang buruk-buruk tentang majikan atau organisasi tempat kita bekerja. Di situ adalah tempat kita mencari rezeki. Rezeki yang Allah SWT berikan kepada kita.

Dari rezeki itu, kita memperolehi gaji yang banyak membantu kita bermula gaji yang pertama hingga kini. Gaji itulah kita belanjakan untuk membina keluarga, menyara hidup isteri dan anak-anak, membeli rumah, membeli kenderaan dan berbagai-bagai lagi.

Fikirkanlah... Majikan atau organisasi cuma memberikan peluang kepada kita untuk mendapatkan pekerjaan. Kita sendiri sebenarnya yang memohon pekerjaan itu. Mereka tidak minta pun kita bekerja dengan mereka. Kita yang minta!

Jadi, mengapa harus kita tidak suka dengan majikan atau organisasi tempat kita bekerja? Sekiranya memang tidak mampu bekerja lagi di sesuatu majikan atau organisasi, kita boleh angkat kaki dan carilah pekerjaan lain yang boleh memberikan kegembiraan dan kebahagiaan kepada diri kita.

Dan jangan kita jadikan kerja hanya sekadar kerja. Kerjalah dengan penuh kerelaan dan keikhlasan hati. Sekiranya kerja adalah sekadar kerja, beruk pun boleh bekerja dengan menurut arahan tuannya dengan memanjat pokok kelapa. 

Apa kita telah lupa dengan kata-kata indah yang pernah dijawab semasa temuduga dahulu? Semuanya pasti 'ya' dan 'boleh'. tetapi kini, mengapa kita berubah? Disuruh itu, tidak boleh, disuruh ini, banyak alasannya...!

Rasullullah pernah bersabda, "bekerjalah seperti kamu akan hidup 1000 tahun lagi, beribadahlah seperti kamu akan mati esok hari."

Jadi, marilah sama-sama kita fikirkan sama ada pekerjaan kita ini adalah tempat kita beribadah ataupun sebagai tempat kita membuat dosa?

Pesanan untuk diri sendiri dan sahabat-sahabat.

Tuesday, September 8, 2015

IMPIAN

Assalamualaikum dan salam sejahtera.

Dengan nama ALLAH yang MAHA PEMURAH lagi MAHA MENGASIHANI. Selawat dan salam buat nabi junjungan NABI MUHAMMAD S.A.W.


Kata-kata indah ini aku ambil dari buku motivasi bertajuk Menerobos Sempadan Diri yang ditulis oleh Dato' Dr. Haji Mohd Fadzilah Kamsah bersama-sama Haji Muhammad Zakaria dan Zizi Azlinda Mohd Yusof.

Mengikut pemahaman aku, kata-kata ini membawa erti supaya kita harus meletakkan impian kita di tempat yang paling tinggi. Letakkan impian di tempat yang agak sukar dicapai. Setelah itu, perlu ada usaha untuk mencapai impian tersebut. Dengan segenap usaha yang telah dilakukan, pastinya akan peroleh impian tersebut atau sekurang-kurangnya dapat mencapai impian yang hampir dengan impian yang paling utama.

Apa impian anda?

Friday, March 27, 2015

BILA HATI PERLU DIRAWAT


Assalamualaikum dan Salam Sejahtera.

Dengan nama ALLAH yang MAHA PEMURAH lagi MAHA MENGASIHANI. Selawat dan salam buat nabi junjungan NABI MUHAMMAD S.A.W.

Masalah 'orang kita' adalah berasa SUSAH apabila melihat orang lain SENANG dan berasa SENANG apabila melihat orang lain SUSAH.

Contoh 1 : Seseorang telah mengecapi kejayaan dalam bidang yang diceburi. Maka, rakan yang lainnya agak berasa iri hati atas kejayaannya. Kalau boleh, nak sangat melihat orang tersebut jatuh.

Contoh 2 : Seseorang yang pernah mengecapi kejayaan tiba-tiba tersungkur dalam bidang yang diceburinya. Maka rakan yang lainnya berasa gembira dengan kejatuhannya itu.

Sekiranya kita ada sifat sedemikian, nyatalah kita mempunyai masalah hati. Dengan hal yang itu, perlulah kita rawat hati kita dengan menempatkan satu pemikiran yang positif di dalam diri kita ini. 

Selain itu, dekatkan diri dengan ALLAH S.W.T. dan banyakkan beristighfar.

Wallahuaklam.

Wednesday, December 3, 2014

FOKUS


Assalamualaikum dan Salam Sejahtera.

Dengan nama ALLAH yang MAHA PEMURAH lagi MAHA MENGASIHANI. Selawat dan Salam buat nabi junjungan NABI MUHAMMAD S.A.W

Tidak kira apa saja pekerjaan yang kita lakukan, fokus dan terus fokus. Dah... Tu je nak beritahu. :)


Tuesday, October 7, 2014

JADIKAN HARI INI LEBIH BAIK DARI SEMALAM

 

Assalamualaikum dan Salam Sejahtera.

Dengan nama ALLAH yang MAHA PEMURAH lagi MAHA MENGASIHANI. Selawat dan Salam buat nabi junjungan NABI MUHAMMAD S.A.W.

Sama ada berkeluarga, bersaudara, berkawan, bekerja dan berhubung sesama insan dunia serta mahkluk lain di muka bumi ini, alangkah baiknya sekiranya kita jadi sebegini :

v
v
v
v
v
v
v
v
v
v
v
v
v
v
v
v
v
v
v


Wednesday, October 1, 2014

RIGHT THEN ALRIGHT


Assalamualaikum dan Salam Sejahtera.

Dengan nama ALLAH yang MAHA PEMURAH lagi MAHA MENGASIHANI. Selawat dan Salam buat nabi junjungan NABI MUHAMMAD S.A.W.

Tak nak menulis apa, cuma mahu kongsikan petikan ini.. Semoga kita dapat sesuatu darinya.


Friday, May 30, 2014

SIBUK TAPI PUAS


Assalamualaikum dan salam sejahtera.

Dengan nama ALLAH yang MAHA PEMURAH lagi MAHA MENGASIHANI. Selawat dan salam buat nabi junjungan NABI MUHAMMAD S.A.W.

Dari awal bulan April hingga ke hari ini, tugasan di pejabat memang teramat sibuk. Kerja yang benar-benar kerja sehingga merasakan tidak cukup masa untuk menyiapkan kerja. Terpaksa datang bertugas walaupun pada hujung minggu.

Urusan kerja yang sibuk ini akan berterusan sehingga ke bulan Jun ini. Selepas itu, aku merasakan akan dapat bernafas seperti biasa.

Kerja seperti pengurus acara. Pelbagai program perlu dilaksanakan. Dari satu ke satu. Dari kos hanya beribu hingga ke berpuluh ribu. Kadangkala stress. Selagi program belum dilaksanakan, selagi itu perasan risau hadir. Bos pula jenis yang mahukan kesempurnaan yang tertinggi. Silap sedikit memang kena hambur.



Namun, aku puas. Puas dengan hasil kerja keras sendiri bersama teman-teman lain. Salah silap boleh diperbaiki. Kena marah, biasalah, bos memang dah perangainya suka marah. 

Ok.. Itu saja luahan.. Jemput like page ni  >> KLIK <<

Saturday, April 12, 2014

ANTARA BAIK DAN TIDAK BAIK


Assalamualaikum dan Salam Sejahtera.

Dengan nama ALLAH yang MAHA PEMURAH lagi MAHA MENGASIHANI. Selawat dan Salam buat nabi junjungan NABI MUHAMMAD S.A.W.


Bak kata PCL, luar nampak cantik, tapi di dalam ada penunggu. Begitulah yang kerap kita dapati pada sebiji buah kuini. Kulitnya nampak baik dan cantik namun di dalamnya ada ulat. Begitulah juga dengan sebiji telur. Mungkin ia cantik, bersih dan menarik dari luaran, namun siapa tahu, di dalamnya tembelang.

Termasuk jugalah pada manusia. Mungkin kita nampak orang tersebut baik sahaja. Nampak alim. Nampak seperti seorang yang tak mungkin melakukan sesuatu keburukan. Namun, apakan daya di dalam jasadnya ada sesuatu nafsu, hasad, perangai yang kita sendiri tak terfikir yang si dia boleh melakukan sesuatu perbuatan, perkara buruk lagi terkeji.

Bagaimana pula dengan tidak baik? Sesuatu yang tidak baik bukanlah bermakna ia tidak baik. Mungkin yang tidak baik itu membawa kepada kebaikan. Contoh : Misalannya ada seorang penumpang yang terlepas dari menaiki sebuah bas. Keesokannya diberitakan bas yang dia terlepas itu terlibat dalam satu kemalangan dan yang malangnya semua penumpang terkorban. Walaupun ia merupakan suatu yang malang, namun ia adalah satu kebaikan bagi penumpang yang terlepas untuk menaiki bas berkenaan.

Sebagai kesimpulan :


YANG BAIK ITU TAK SEMESTINYA BAIK
YANG TAK BAIK ITU TAK SEMESTINYA TAK BAIK

Boleh juga baca entri ini >> KLIK <<  yang seakan saling tak tumpah dengan entri yang baru ditulis ini.

* Entri ini tiada kaitan dengan mana-mana individu sama ada yang masih hidup ataupun yang telah meninggal dunia. Entri ini ditulis setelah aku menimba ilmu dari kursus 3 hari bertajuk Pembimbing Rakan Sekerja.

Monday, September 30, 2013

KUTIP SAMPAH PUN BOLEH DAPAT DUIT


Assalamualaikum dan Salam Sejahtera.

Dengan nama Allah yang Maha Pemurah lagi Maha Mengasihani. Selawat dan Salam buat nabi junjungan Nabi Muhammad S.A.W.

Kita mesti pernah mendengar, "ulat dalam batu pun boleh hidup, inikan pula kita manusia". Ha, biasa dengarkan? Sebenarnya aku ingin merungkai sedikit tentang hal orang kita yang kerap memilih pekerjaan sehingga tidak bekerja dan seolah-olah mahu menunggu kerja yang datang kepadanya.

Satu hari aku terlihat satu status di dalam Facebook di mana sebuah majikan melalui wakilnya mahu mengambil pekerja dengan bayaran gajinya sekian-sekian. Namun, ramai orang kita yang seakan-akan menolak pelawaan itu dengan menyatakan bayarannya murah, kerja berat, gajinya rendah dan bermacam-macam lagi. Pendek cerita, orang kita ni nak kerja ringan tapi bergaji mahal. 

Pernah satu hari aku berborak dengan seorang kenalan yang juga seorang pengumpul dan penjual barangan lama dan barangan yang boleh dikumpul (collectible item). Kami berborak mengenai sikap sesetengah remaja-remaja yang baru tamat persekolahan yang malas untuk mencari kerja. Masih bergantung pada ibu bapa dan amat memilih kerja. Sudah tu, bila tiada duit, asyik merungut tiada duit tetapi pada hakikatnya, dia malas mencari kerja.

Sebenarnya aku amat kagum dengan rakan aku tu. Bermula dari mencari barangan di dalam tong-tong sampah, kini telah berupaya untuk membuka kedai sendiri bagi menjual barang-barang yang boleh dikumpul (collectible item) atau lebih tepat aku gelarkan sebagai barangan hobi. Kalau dilihat di Facebooknya, boleh dikatakan setiap hari ada saja orang membeli barangan yang dijualnya. Sekiranya 1 hari boleh untung RM100.00, satu bulan sudah berapa boleh dapat? Kiralah sendiri.. Kerja pun enjoy saja. Kerja sendiri, sendiri bos sendiri kuli.

Sebenarnya aku memang menggalakkan sekiranya para remaja agak sukar mencari kerja, cubalah menceburi bidang ini. Tidak kisahlah kalau perlu bermula dari bawah walaupun terpaksa mengutip sampah (barang-barang kitar semula) untuk dijual. Yang penting, ada duit untuk berbelanja dan tidak menyusahkan ibu bapa.

Tak semua orang ditakdirkan untuk berjaya di dunia. Tak semua orang ditakdirkan untuk menjadi pegawai, ahli perniagaan atau lain-lain kerja yang mewah. Kalau sudah dapat pekerjaan yang sudah boleh menyara diri dan keluarga, itu sudah cukup baik. Namun, perlu juga terus berusaha untuk memajukan diri.  


Kagum dengan Orang Kelainan Upaya (OKU) yang ada motivasi diri.. Rujukan gambar KLIK

Tuesday, September 20, 2011

TIPS JALANI HIDUP BAHAGIA

Bukan ke seronok kalau hidup kita ini sentiasa bahagia. Tiada masalah. Tiada tekanan. Ada ke orang macam ni? Mungkin ada dan mungkin tiada ataupun mungkin terpaksa menerima ketidakbahagiaan. Namun begitu, kita sendiri boleh wujudkan suasana bahagia ini untuk diri kita sendiri.

Contohnya :

1. Sekiranya kena marah dengan bos dan rasa tertekan, cubalah tenangkan diri. Perbaiki kesalahan dan melakukan kerja dengan sempurna pada masa-masa akan datang.

2. Masa memandu jangan tension-tension dan marah-marah. Cubalah bawa kereta dengan tenang. Memandu dengan berhemah dan nikmati keindahan alam sekeliling. Kalau nak best lagi layan lagu di radio sambil menyanyi.

3. Kalau ada masalah sesama suami isteri, cubalah bawa berbincang dan atasi segala masalah dengan penuh berhemah. Rilekskan pemikiran dan anggaplah ia adalah asam garam berkeluarga.

4. Sekiranya anak-anak kecil nakal, janganlah dimarah-marah dengan teruk sekali. Dia masih budak, tidak tahu apa-apa. Cubalah dekati dia, kalau boleh bermain, bermainlah dengan dia. Usap-usap dia. Katakan dengan perkataan-perkataan yang baik.

5. Apabila sakit atau uzur, janganlah membawa-bawa diri ke arah kita benar-benar sakit / uzur. Cuba cergas-cergaskan diri dan membuat perkara-perkara yang diminati dan menghiburkan.

6. Jangan cuba-cuba menyusahkan orang lain kerana ia pastinya akan dibalas kembali kepada kita. Cubalah lebih mesra, suka berkawan dan anggap semua orang adalah kawan yang boleh membahagiakan kita. Anggaplah semua orang baik-baik belaka walaupun hakikatnya dia tidak menyukai kita. Dan cubalah jadi orang yang baik-baik.

7. Sekiranya terdapat masalah kewangan, cubalah mula berjimat cermat. Kalau ada yang tak perlu jangan beli, beli yang sangat perlu sahaja. Di rumah tu, jimat-jimatlah gunakan elektrik dan air. Jika kita berjimat, duitpun banyak ditangan, boleh disimpan dan boleh berbelanjkan untuk kecemasan. Hati tak runsing dan hidup pasti bahagia.

Bukanlah pakar motivasi,
Hanya sekadar mahu berkongsi,
Kalau elok bolehlah perolehi,
Kata tak tolong jauhi.



Friday, April 1, 2011

SALAHKAN TINDAKAN JANGAN SALAHKAN KEADAAN

Ramai diantara kita gemar atau suka salahkan keadaan apabila menimpa satu bencana, kemalangan atau apa-apa musibah samada dirancang atau tidak. Benarkah keadaan puncanya? Atau tidakkah kita berfikir bahawa tindakanlah yang menyebabkan sesuatu keadaan berlaku dan tindakan boleh dibuat secara positif atau sebaliknya.

Di sini disertakan beberapa contoh untuk kita fikirkan samaada benar sesuatu berlaku kerana kesalahan disebabkan keadaan ataupun disebabkan tindakan.

i) Ahmad hendak keluar dari pejabat, tetapi diluar hujan turun degan lebat. Namun dia mengambil keputusan untuk keluar juga dan akhirnya bajunya basah lencun.

Keadaan : Hujan lebat

Tindakan : Meredah juga hujan dan baju basah (salah sendiri)

Moral : Pakailah payung, barulah tak basah (tindakan positif)

ii) Seorang pencuri hendak merompak kedai emas. Tetapi dia lihat ada beberapa pengawal keselamatan ada menjaga dengan rapi kedai emas tersebut. Namun dia tetap berkeras untuk merompak kedai emas tersebut dan nasibnya malang apabila dia tertangkap.

Tindakan : Dah tahu ada pengawal keselamatan yang pergi rompak juga kenapa? (salah sendiri)

Moral : Kalau dah tahu ada pengawal, tak perlulah pergi merompak. Mungkin lain kali (tindakan positif)

iii) Ali sedang memandu kereta, minyak keretanya telah berada di tahap "E". Dia berfikir untuk mengisi minyak di stesyen minyak yang berhampiran dengan tempat kerjanya dan tidak mengisi di stesyen-stesyen minyak yang baru saja dia lalui. Akhirnya kereta dia kehabisan minyak dan tersadai di tepi jalan.

Tindakan : Tak mengisi minyak segera walaupun sebenarnya dia sudah melalui stesyen minyak. (salah sendiri)

Moral : Dah tahu minyak tiada, teruslah isi minyak tanpa melengah lagi. (tindakan positif)

Rasanya anda semua faham tak apa sebenarnya maksud-maksud contoh yang diberikan? Kalau tak faham, bacalah dengan lebih teliti.

Semoga kita tak salahkan keadaan, kita salahkanlah tindakan diri kita sendiri sekiranya gagal dalam sesuatu perkara.




Monday, January 10, 2011

TUKARKAN MASALAH KEPADA SESUATU YANG POSITIF

Semua orang ada masalah. Masalah merupakan sesuatu yang perlu dihindari, kerana masalah itu boleh membawa kepada stress (tekanan), punca kemarahan, emosi dan akan membawa kepada penyakit dalaman seperti sakit jantung, hati dan sebagainya.

Oleh itu, kita kenalah pandai mengubah sesuatu masalah kepada sesuatu yang positif. Di mana ia akan membuatkan kita tenang dan sentiasa bersemangat.

Dalam pemerhatian peribadi aku, bolehlah kiranya kalau kita tukarkan masalah berikut kepada sesuatu yang positif:

Masalah kewangan
- Cuba berjimat cermat. Jangan menambahkan hutang dan merancang kewangan.

Masalah kesesakan jalan
- Cuba mendekati keluarga dengan berbual mesra dengan isteri dan anak ketika didalam kereta.





Masalah kerja
- Mendapatkan tunjuk nasihat daripada mereka yang pakar dan membuat kerja dengan tertib dan teratur mengikut bolehan diri sendiri.

Masalah keluarga
- Cuba tenangkan fikiran dan kenang kembali detik dan saat bahagia bersama.

Masalah emosi marah
- Cuba tarik nafas dalam-dalam dan kerap beristighfar.

Masalah belajar
- Cuba duduk dan dengar ajaran guru / pensyarah dengan tekun, rasakan keseronokan belajar dan tanamkan semangat ingin berjaya.

Masalah dengan ibu bapa
- Cuba kenangkan kembali bagaimana susah payahnya ibu bapa membesarkan kita dan kerap membayangkan wajah ibu bapa.

Memang terdapat banyak masalah, tetapi hanya ini saja yang dapat aku gariskan melalui pengalaman, pembacaan, pemerhatian dan sebagainya. Semoga kita sama-sama dapat mengatasi masalah dan membawa masalah itu kepada sesuatu yang lebih baik.

Monday, October 25, 2010

ELAK DIRI DINODAI

Sabtu lalu (23 Oktober 2010) jabatan tempat aku bekerja telah mengadakan satu kursus motivasi. Banyak informasi dan kesedaran dapat diperolehi sehinggakan anak-anak dan ibu bapa yang menghadiri kursus tersebut mengalirkan air mata.


Satu topik yang mahu aku kongsikan dari kursus tersebut ialah perihal anak-anak perempuan yang sedang meningkat umur. Mereka ini sering terdedah dengan pelbagai pergaulan, ingin bercinta dan menyintai, sifat ingin mencuba, beremosi dan sebagainya.


Yang ingin aku terangkan ialah tentang pergaulan bebas anak-anak perempuan masa kini dengan lelaki yang layak digelar "jantan". Anak-anak perempuan seharusnya mengelak dari dirinya dinodai oleh si "jantan" kerana lelaki yang ikhlas pastinya tidak akan menyentuh atau mengambil kesempatan kepada anak-anak perempuan yang sedang meningkat umur.


Bagi anak-anak perempuan, jadikanlah dirimu seperti buah durian, di mana isinya memang enak dimakan tetapi kulit yang berduri menyukarkan ianya dibuka. Maksudnya di sini ialah anak-anak perempuan haruslah berkeras dengan pujuk rayu si "jantan" agar dirinya tidak dinodai. Haruslah diingat wahai anak-anak perempuan sekalian, keseronokannya hanyalah sekejab semata-mata tetapi akibat daripada keseronokan itu amatlah berat ditanggung.


Ibubapa juga harus tegas dalam menjaga dan mendidik anak-anak. Bak kata penceramah motivasi tersebut, biarlah anak kita menangis sekarang supaya kita menangis di kemudian hari.


Sekali lagi ingin ditegaskan, jagalah diri wahai anak-anak perempuan, jangan biarkan dirimu dinodai sewenang-wenangnya. Jangan biarkan teman lelakimu menyentuh tubuhmu walau memegang tangan sekalipun. Ingat! Jadilah diri seperti buah durian.




* Video sekadar hiasan




Thursday, September 23, 2010

BERI MEREKA JORAN ITU

Sebenarnya aku bukan nak ajak kamu semua memancing ikan, tapi aku teringat kata-kata kawan aku dahulu yang menyatakan bahawa sekiranya kita mahu tengok orang berjaya, jangan beri dia ikan, tapi beri dia joran. Faham tak apa maksud dia? Kalau tak faham, dengar sini aku nak huraikan.


Ikan... Ikan merupakan sumber makanan pada manusia. Ikan boleh menjadikan seseorang yang lapar menjadi kenyang apabila memakannya. Oleh itu, ikan merupakan makanan yang penting juga kepada manusia. Bagi orang yang tidak berkemampuan, kita sebenarnya jangan mengajar mereka dengan selalu memberi ikan kepadanya, ini adalah kerana ikan kalau dimakan, akan habis dan akan tinggalkan tulang. Kalau kita mampu, kita boleh memberi ikan kepadanya setiap hari. Tapi sampai bila?


Justeru itu kita perlulah beralih kepada pendekatan yang baru. Jangan beri mereka ikan dan cuba bagi mereka joran pula. Kalau mereka tidak tahu menggunakan joran, kita ajar mereka sampai pandai. Kita ajar sampai mereka mahir menangkap ikan. Apabila mereka sudah pandai, mereka tidak perlu berharap kepada kita lagi. Tapi sekali-sekala kita perlu datang melawat dia bagi memastikan dia akan terus menangkap ikan dan tidak alpa lagi dengan pemberian ikan oleh orang lain.


Apabila mereka telah mahir menangkap ikan. Mereka boleh dapat ikan dengan banyak. Mereka dapat makan sebanyak mana ikan yang berjaya ditangkap. Tidak perlu lagi menunggu orang lain memberikan ikan. Dan sekiranya ikan yang ditangkap terlalu banyak, sehingga mereka tidak mampu untuk memakannya sendiri, maka mereka boleh menjual pula hasil tangkapan ikan tersebut.


Dengan hasil jualan ikan, mereka dapat duit. Duit yang membolehkan mereka membeli apa sahaja yang mereka mahukan mengikut hasil yang diperolehi. Mungkin satu hari nanti mereka mampu membeli kemewahan dengan hanya menangkap ikan dengan joran yang diberikan. Dengan adanya usaha berterusan menangkap ikan, mereka pastinya tidak lagi menunggu orang memberi ikan kepadanya.


Nampaknya dengan sebatang joran, kita dapat membentuk seseorang yang hanya menunggu ikan kepada seseorang yang rajin menunggu joran disentap oleh ikan. Dengan joran, seseorang mampu hidup selesa sekiranya berusaha lebih untuk menangkap ikan.


Adakah kita hendak menjadi penerima ikan atau penerima joran?


Namun begitu kadangkala kita kena meneliti juga mereka yang menerima ikan itu. Sekiranya mereka ini benar-benar tidak mampu untuk menangkap ikan dengan joran, maka teruskanlah memberi ikan kepada mereka. Jangan pula dibiarkan mereka kelaparan.