Showing posts with label merdeka. Show all posts
Showing posts with label merdeka. Show all posts

Wednesday, August 7, 2024

WW : Surat Khabar Keluaran Kemerdekaan Persekutuan Tanah Melayu




Logo dan Tema hari Kebangsaan 2024

Pada 5 Jun 2024, Rabu, Putrajaya menyaksikan satu majlis yang penuh gemilang dengan pelancaran tema dan logo Hari Kebangsaan dan Hari Malaysia 2024. Majlis ini menjadi tumpuan ramai apabila Menteri Komunikasi, Fahmi Fadzil, membuat pengumuman penting mengenai simbol kebanggaan negara.

Dengan penuh semangat patriotik, Fahmi Fadzil mengumumkan bahawa logo Malaysia Madani akan sekali lagi menggalas tanggungjawab sebagai lambang rasmi untuk Hari Kebangsaan dan Hari Malaysia (HKHM) 2024. Keputusan ini dicapai hasil mesyuarat Jemaah Menteri yang diadakan pada hari yang sama, menandakan sokongan padu terhadap simbol yang membawa makna mendalam kepada rakyat Malaysia.

Dalam suasana yang penuh dengan semangat kebangsaan, Fahmi Fadzil turut melahirkan harapan agar logo dan tema HKHM 2024 ini dapat disebarluaskan dengan lebih meluas. Beliau menginginkan agar semangat perpaduan dan kecintaan kepada negara dapat dirasai oleh setiap lapisan masyarakat, menggelorakan sambutan hari bermakna ini dengan penuh kebanggaan dan kegembiraan.

Majlis ini bukan sekadar pelancaran biasa, tetapi adalah lambang kesatuan dan semangat yang membara dalam setiap jiwa rakyat Malaysia, bersedia menyambut Hari Kebangsaan dan Hari Malaysia 2024 dengan penuh kegemilangan.



Tema Hari Kebangsaan dan Hari Malaysia 2024
“Malaysia Madani: Jiwa Merdeka” telah dipilih untuk tema Hari Kebangsaan dan Hari Malaysia 2024

Penjelasan Logo
Logo Malaysia MADANI dijadikan sebagai logo rasmi HKHM pada tahun ini kerana reka bentuk logo ini yang berteraskan Malaysia Madani dan Menghailkan corak simbolik tangan yang sedang diangkat, untuk melafazkan ikar Rukun Negara’.

Logo ini mengandungi warna-warna asas Jalur Gemilang yang bertepatan dengan maksud tema yang dipilih pada tahun ini.
Penjelasan Tema

Malaysia Madani merupakan tunjang kepada kemakmuran dan kemajuan negara Malaysia melalui dukungan 6 nilai teras utama.

Jiwa Merdeka adalah penzahiran kepada kebebasan rakyat Malaysia daripada sebarang elemen negatif dalam menginterpretasikan semangat patriotisme dan cinta negara melalui pelbagai cara meliputi aspek pemikiran, integrasi sosial dan ekonomi seterusnya membentuk satu kesatuan rakyat yang kukuh, harmoni dan progresif.

Malaysia Madani: Jiwa Merdeka merupakan perlambangan kesepaduan secara holistik negara yang maju dan progresif menaungi rakyat yang berbilang kaum, bersatu hati dan teguh jati dirinya.

Rasional Tema
Perlambangan kesepaduan secara holistik negara maju dan progresif menaungi rakyat berbilang kaum, bersatu hati serta teguh jati diri.

Rujukan : Kementerian Penerangan Malaysia

Tuesday, August 6, 2024

Kemerdekaan Persekutuan Tanah Melayu

Kisah kemerdekaan Persekutuan Tanah Melayu adalah sebuah naratif yang penuh dengan perjuangan, pengorbanan dan ketekunan rakyat untuk mendapatkan kebebasan daripada penjajahan yang telah berlangsung selama lebih daripada 400 tahun.

Penjajahan Portugis (1511-1641)
Pada tahun 1511, Melaka, sebuah pelabuhan perdagangan yang penting di rantau ini, jatuh ke tangan Portugis di bawah pimpinan Afonso de Albuquerque. Penjajahan ini menandakan permulaan era kolonial di Tanah Melayu. Portugis menguasai Melaka selama lebih daripada satu abad, mengendalikan perdagangan rempah dan memperkuat pertahanan mereka di sepanjang Selat Melaka.

Penjajahan Belanda (1641-1824)
Pada tahun 1641, Belanda mengambil alih Melaka daripada Portugis dengan bantuan dari Kesultanan Johor. Penjajahan Belanda berlangsung selama hampir dua abad. Meskipun Belanda tidak memberi fokus yang besar kepada Melaka sebagai pusat perdagangan utama seperti Portugis, mereka tetap memastikan kawalan terhadap pelabuhan penting ini untuk mengukuhkan dominasi mereka dalam perdagangan di Asia Tenggara.

Penjajahan British (1824-1957)
Penjajahan British di Tanah Melayu bermula dengan Perjanjian Inggeris-Belanda pada tahun 1824 yang memecahkan dunia Melayu kepada dua pengaruh kolonial iaitu Belanda menguasai Indonesia, manakala British menguasai Tanah Melayu. British memperkenalkan pelbagai perubahan dalam pentadbiran, ekonomi dan infrastruktur. Mereka memanfaatkan kekayaan sumber alam Tanah Melayu seperti bijih timah dan getah untuk kepentingan ekonomi mereka.

Pentadbiran British membawa kepada pembangunan pesat di bandar-bandar dan memperkenalkan sistem pendidikan Barat, namun ia juga membawa kepada ketegangan etnik akibat dasar pecah dan perintah yang diamalkan oleh mereka. Kehadiran imigran dari China dan India sebagai pekerja di lombong dan ladang telah menambah kepelbagaian demografi di Tanah Melayu.

Pendudukan Jepun (1942-1945)
Pada tahun 1942, Jepun menduduki Tanah Melayu semasa Perang Dunia Kedua. Pendudukan Jepun adalah satu tempoh yang sukar bagi penduduk tempatan, dengan banyak kes penderitaan dan kekejaman dilaporkan. Namun, tempoh ini juga menyemarakkan semangat nasionalisme di kalangan penduduk Tanah Melayu yang semakin jelas melihat keperluan untuk bebas daripada penjajahan asing.

Perjuangan Kemerdekaan
Selepas Perang Dunia Kedua, sentimen anti-kolonial semakin menguat. Rakyat Tanah Melayu mula menyuarakan keinginan mereka untuk merdeka. Pada tahun 1946, penubuhan Malayan Union oleh British mendapat tentangan hebat daripada orang Melayu kerana ia dianggap mengancam kedudukan Raja-Raja Melayu dan hak istimewa orang Melayu.

Tindak balas terhadap Malayan Union membawa kepada penubuhan Pertubuhan Kebangsaan Melayu Bersatu (UMNO) yang dipimpin oleh Dato' Onn Jaafar. Perjuangan untuk kemerdekaan terus mendapat momentum dan akhirnya British bersetuju untuk memberikan kemerdekaan kepada Persekutuan Tanah Melayu.

Kemerdekaan (1957)
Pada 31 Ogos 1957, Persekutuan Tanah Melayu mencapai kemerdekaan dengan Tunku Abdul Rahman sebagai Perdana Menteri yang pertama. Peristiwa bersejarah ini disambut dengan penuh kegembiraan oleh rakyat yang telah lama berjuang untuk kebebasan. Upacara pengisytiharan kemerdekaan diadakan di Stadium Merdeka, Kuala Lumpur, dengan laungan "Merdeka" yang bergema sebagai simbol kebebasan dan permulaan era baharu untuk negara.



Kemerdekaan Persekutuan Tanah Melayu adalah hasil daripada usaha gigih dan pengorbanan generasi terdahulu yang berjuang menentang penjajahan dalam pelbagai bentuk. Ia menandakan bermulanya sebuah perjalanan baharu dalam usaha membina sebuah negara yang berdaulat dan makmur.

Thursday, August 24, 2023

Poster | Tema | Logo Sambutan Hari Kebangsaan 2023 | Sambutan Hari Merdeka Ke-66 Tahun

Sempena hendak menyambut Hari Kebangsaan kali ke-66 tahun 2023 yang bakal menjelma, aku meluangkan sedikit masa untuk mereka bentuk beberapa poster ucapan Selamat Hari Kebangsaan dengan menggunakan laman sesawang postermywall

Bagi sesiapa yang ingin membuat poster ucapan Selamat Hari Kebangsaan bolehlah mencuba dengan menggunakan lama sesawang tersebut. Atau boleh sahaja menggunakan mana-mana poster di bawah ini dengan hanya memasukkan nama kalian sendiri.






Bagi tahun 2023 ini, tema bagi sambutan Hari Kebangsaan ke-66 ialah Malaysia Madani : Tekad Perpaduan Penuhi Harapan. Manakala logo rasmi sambutan Hari Kebangsaan 2023 adalah seperti di bawah ini.




Thursday, September 29, 2022

Cadangan Reka Bentuk Bendera Persekutuan Tanah Melayu


Dua helaian lakaran ini merupakan reka bentuk alternatif bendera Persekutuan Tanah Melayu yang dikemukakan oleh Duli Yang Maha Mulia, Sultan Johor, Sultan Sir Ibrahim Al-Masyhur Ibni Almarhum Sultan Abu Bakar Al-Khalil Ibrahim Shah.

Reka bentuk bendera ini telah dihantar melalui surat kepada Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan bertarikh 6 Disember 1947 oleh Setiausaha Selangor. Surat ini ditulis di dalam bahasa Inggeris iaitu :

"I forward herewith designs in the alternative for the Federation Flag received from His Highness the Sultan of Johore. 

Please submit them for His Highness to comment".

Untuk mengetahui lebih lanjut berkaitan artifak ini, boleh melawat ke Muzium Sejarah Melaka. Pameran ini akan berlangsung sehingga 12 Disember 2022.

Tuesday, August 30, 2022

Merdeka : Darah, Keringat dan Air Mata

Generasi kini hanya menyambut Hari Kebangsaan atau Hari Kemerdekaan dengan unsur-unsur hiburan. Persembahan artis, pertunjukan bunga api, apa yang lebih malang lagi apabila berlumba haram di jalan raya. Tidak kisahlah, walau apa cara sekalipun, yang penting mereka tahu akan erti kemerdekaan.

Namun, jika diselami peristiwa-peristiwa hitam zaman sebelum kemerdekaan, ternyata bukan mudah negara kita mencapai kemerdekaan. Ya, bukan mudah. Ia disulami dengan darah, keringat dan air mata oleh pejuang-pejuang terdahulu yang sanggup berkorban, bergadai nyawa demi kita generasi sekarang iaitu generasi selepas merdeka untuk terus hidup dengan aman.

Hampir 500 tahun negara kita dijajah dimulai dengan Portugis, Belanda, British, Jepun kemudiannya British kembali dan barulah kita mencapai kemerdekaan. Orang-orang terdahulu hidup diuji dalam kemiskinan, kesusahan, ditindas, didera dan pelbagai lagi ujian dalam kehidupan seharian mereka. Berat sungguh ujian masyarakat pra-kemerdekaan, namun mereka terus hidup berjuang untuk kesenangan cucu cicit di kemudian hari.

Semoga roh para pejuang dan nenek moyang yang telah bertumpah darah, membasahi keringat dan berendam air mata dirahmati oleh Allah SWT dan ditempatkan bersama para syuhada. 


Salam kemerdekaan dari saya... 

MERDEKA!
MERDEKA!
MERDEKA!

Monday, August 30, 2021

Selamat Hari Kebangsaan Ke - 64

 

Selamat Hari Kebangsaan ke - 64 tahun buat semua rakyat Malaysia tidak kira kaum dan agama. Semoga negara kita yang tercinta ini kekal merdeka buat selama-lamanya.

Merdeka!

Merdeka!

Merdeka!

Merdeka!


Sunday, August 29, 2021

Baju Bendera Malaysia

 

Muhammad Firas Faiq


Dulu-dulu suka sangat pakai baju berjenama. Kalau tiada jenama tak nak beli. Lebih baik lagi bila dapat pakai baju berjenama luar negara. Ada gaya, nampak mahal. Tapi itu semua dululah. Cerita lama.

Sekarang sudah banyak usahawan-usahawan kita menghasilkan baju terutamanya t-shirt dengan corak-corak yang menarik dan kreatif. Kualiti baju pun setanding juga dengan yang berjenama. Harganya pun amat berpatutan. Alah, baju saja kot. Nak beli mahal-mahal pun nak buat apa. Janji dapat pakai sudahlah. 

Nak dijadikan cerita, isteri saya telah membeli t-shirt bertemakan bendera Malaysia untuk anak-anak saya. Keempat-empat dapat seorang sepasang. Warna merah satu dan warna kelabu satu. Baju murah-murah saja. Seronoklah mereka dapat pakai baju sedondon di bulan kemerdekaan ini. Sempena bulan kemerdekaan ni, kenalah pakai baju bertemakan bendera Malaysia ye tak? Nak ambil feel sedikit...

Gambar di atas tu, memperkenalkan Muhammad Firas Faiq, anak ketiga saya selaku model baju t-shirt Malaysia.. Dia seorang ni lain sedikit dari adik beradik lain, bisa ngomong bahasa Indonesia kerana suka tengok gamer YouTuber dari Indonesia. Hehe..

Friday, August 27, 2021

Ayuh Kibarkan Jalur Gemilang

 

Sambutan ulang tahun kemerdekaan negara yang ke-64 tidak berapa hari saja lagi. Sana sini meriah dengan pemasangan bendera Jalur Gemilang. Walaupun masih dalam situasi covid-19, namun Jalur Gemilang terus berkibar di mana-mana termasuk di sekolah, pejabat-pejabat kerajaan, di taman-taman perumahan dan tak lupa juga di kampung-kampung. Di taman perumahan saya juga banyak rumah yang kibarkan Jalur Gemilang. Ditambah lagi dengan bendera-bendera yang dipasang oleh persatuan penduduk, bertambah-tambah meriah dengan bendera.

Petang tadi saja ajak anak perempuan saya Ainnur Afiah untuk buat sesi fotografi merdeka. Takde masuk pertandingan mana-mana pun. Saja suka-suka sambil menerapkan semangat patriotik pada anak-anak. Tak dapat buat banyak aksi, kerana bateri telefon bimbit dah tinggal sedikit. Benda buat tak dirancang, kebetulan saja. Bateri habis pun tak perasan. 

Ayuh! Penuhkan Facebook, Blog, Instagram dan lain-lain media sosial dengan gambar-gambar bertemakan Jalur Gemilang tanda sokongan kita di bulan kemerdekaan. 

Saturday, September 5, 2020

DIRGAHAYU MALAYSIAKU




Tuesday, September 22, 2015

GAMBAR-GAMBAR LAMA TENTANG KEMERDEKAAN

Assalamualaikum dan salam sejahtera.

Dengan nama ALLAH yang MAHA PEMURAH lagi MAHA MENGASIHANI. Selawat dan salam buat nabi junjungan NABI MUHAMMAD S.A.W.

Sambutan Hari Kebangsaan sudah berlalu. Sambutan Hari Malaysia pun sudah berlalu. Namun, tetap aku nak kongsikan beberapa gambar berkisarkan kemerdekaan negara kita yang tercinta ini.

Gambar-gambar ini aku ambil dari Pameran Gambar-Gambar Kemerdekaan yang berlangsung di Bastion House, Melaka yang telah pun berakhir pada 20 September 2015 yang lalu.

Keratan akhbar The Straits Times tentang perbincangan penubuhan Malaysia

Perarakan Hari Kebangsaan di Melaka 

Perarakan Hari Kebangsaan di Melaka 

Perarakan Hari Kebangsaan di Melaka 

Perarakan Hari Kebangsaan di Melaka. Lihat bendera itu, ia bukanlah dibawa secara terbalik. Memang protokolnya dibawa begitu

Tunku Abdul Rahman berucap

Tunku Abdul Rahman berarak menaiki kereta disambut oleh orang ramai di Melaka

Tuesday, September 2, 2014

MERDEKA 57 - DI SINI LAHIRNYA SEBUAH CINTA


Assalamualaikum dan Salam Sejahtera.

Dengan nama ALLAH yang MAHA PEMURAH lagi MAHA MENGASIHANI. Selawat dan Salam buat nabi junjungan NABI MUHAMMAD S.A.W.



Tiap-tiap tahun masuk perarakan kemerdekaan. Memang seronok. Bersemangatpun ada. Berkawad bagai anggota berunifom. Kiri kanan kiri... Kiri kanan kiri... 

Di Melaka tidak kurang meriahnya.. Lebih 100 jabatan / agensi swasta yang menyertai perbarisan. Nasib baik jabatan aku di nombor 23, tiadalah lama mahu menunggu untuk berbaris. 

Mari lihat beberapa keping gambar yang telah diambil oleh juru gambar jabatan aku. 














Ok.. Yang akhir sekali ni sila abaikan rupa paras yang mula mengembang selepas Hari Raya.. Nampaknya selepas ini kena turun bersenam.. 

Sumber gambar : >> KLIK << Tolong LIKE sekali ye. T. kasih.

Tuesday, August 19, 2014

PERANAN KUTIPAN DERMA DALAM KEMERDEKAAN TANAH MELAYU


Assalamualaikum dan Salam Sejahtera.

Dengan nama ALLAH yang MAHA PEMURAH lagi MAHA MENGASIHANI. Selawat dan Salam buat nabi junjungan NABI MUHAMMAD S.A.W.

Di dewan Meng Seng, Melaka itu terdapat lebih kurang 300 orang yang hadir untuk mendengar ucapan daripada Tunku Abdul Rahman dalam mesyuarat tergempar UMNO Malaya setelah kegagalan Tanah Melayu dalam rundingan untuk mendapatkan persetujuan Inggeris bagi mengadakan pilihanraya pada tahun 1955.

Dengan tekad untuk mengecap kemerdekaan, Tunku Abdul Rahman terus berusaha untuk berunding dengan Inggeris di London. Namun apakan daya, dana yang diperlukan untuk Tunku ke London tidak mencukupi.

Bersaksikan dewan Meng Seng, seorang wanita dalam lingkungan usia 22 - 23 tahun, seorang ustazah dari Rembau, Negeri Sembilan yang juga bersuamikan seorang ustaz telah membuka gelang emas perkahwinan yang baru setahun dipakainya untuk didermakan bagi memberi dana untuk Tunku Abdul Rahman ke London. Beliau adalah Datuk Siti Rahmah binti Kassim yang juga dikenali sebagai Tokoh Gelang Kemerdekaan.

Dewan Meng Seng di Jalan Bendahara masih kekal sehingga kini

Bertitik tolak dari itu, ramai yang berada di dalam dewan itu turut mendermakan barang kemas, wang dan jam tangan untuk mencukupkan dana untuk Tunku ke London untuk mengadakan perundingan kemerdekaan. 

Kutipan derma tidak terhenti di situ, mereka telah pergi ke seluruh pelusuk negeri untuk mendapatkan dana. Derma yang disebut 'Derma Merdeka' ini mendapat sokongan rakyat jelata.

Walaupun rakyat Tanah Melayu pada ketika itu hidup dalam kemiskinan kerana cengkaman penjajah, namun mereka tetap memberikan sumbangan dalam menjayakan misi rundingan kemerdekaan Tunku Abdul Rahman. Antara bentuk sumbangan yang diberikan ialah padi, buah-buahan, pakaian dan getah keping yang kemudiannya dijual untuk didermakan ke tabung Derma Merdeka.

Pada 27 Julai 1955, setelah mendapat persetujuan dari Inggeris, pilihanraya pertama telah diadakan di Tanah Melayu. Parti Perikatan telah memenangi 51 daripada 52 kerusi.

Lantaran itu, pada Januari 1956 satu rombongan disebut 'Rombongan Kemerdekaan' yang diketuai oleh Tunku telah berangkat ke London bagi memulakan rundingan bagi mendapatkan kemerdekaan Tanah Melayu. Rundingan tersebut telah berjaya dan Inggeris bersetuju untuk memerdekakan Tanah Melayu.

20 Februari 1956, sekembali dari London, Tunku dan para Rombongan Kemerdekaan telah singgah ke Melaka. Mereka disambut oleh lebih 100,000 orang dari seluruh pelusuk tanah air bagi mendengar pengisytiharan kemerdekaan oleh Tunku. 


Perarakan Tunku semasa pulang dari London

Bersaksikan Padang Pahlawan, Bandar Hilir dan ratusan ribu rakyat, Tunku telah mengisytiharkan tarikh kemerdekaan Tanah Melayu iaitu pada 31 Ogos 1957. 

Saturday, August 9, 2014

WARISAN - DI SINI LAHIRNYA SEBUAH CINTA


Assalamualaikum dan salam sejahtera.

Dengan nama ALLAH yang MAHA PEMURAH lagi MAHA MENGASIHANI. Selawat dan salam buat nabi junjungan NABI MUHAMMAD S.A.W.

Lebih 500 tahun negara kita Tanah Melayu dijajah. Bermula dengan Melaka yang dijajah oleh Portugis pada 1511, kemudian diikuti Belanda, British dan juga Jepun. Bukan senang sebenarnya negara kita ini hendak mengecap kemerdekaan.

Tahun ini merupakan tahun ke-57 negara kita merdeka daripada British. Telah banyak wira-wira negara terkorban menentang penjajah, kini kita generasi selepas merdeka haruslah mempertahankan kemerdekaan yang sedia dikecapi.


Ayuh! hayati bait-bait lagu Warisan nyanyian Allahyarham Sudirman Hj. Arsyad. Kitalah warisan negara yang tidak terhingga yang perlu terus mempertahankan kemerdekaan negara.

Di sini lahirnya sebuah cinta,
yang murni, abadi, sejati.
di sini tersemai cita-cita,
bercambah menjadi warisan.

Andai ku terbuang tak diterima,
andai aku disingkirkan,
ke mana harusku bawakan,
ke mana harusku semaikan,
cinta ini.

Betapa di bumi ini ku melangkah,
ke utara, selatan, timur dan barat ku jejaki.

Aku bukanlah seorang perwira,
gagah menghunus senjata,
namun hati rela berjuang,
walau dengan cara sendiri,
demi cinta ini.

Ku ingin kotakan seribu janji,
sepanjang kedewasaan ini,
ku ingin sampaikan pesanan,
akulah penyambung warisan.

Sunday, September 1, 2013

SUDAH 56 TAHUN MERDEKA TAPI RAKYAT MALAYSIA MASIH SUSAH!!!


Assalamualaikum dan Salam Sejahtera.

Dengan nama Allah yang Maha Pemurah lagi Maha Mengasihani. Selawat dan Salam buat nabi junjungan Nabi Muhammad S.A.W.

Betulkah hidup di Malaysia ni susah / sukar? Cuba kita fikirkan...

1. Susah-susah orang dahulu, beranak juga dengan bantuan Mak Bidan. Susah-susah orang sekarang, beranak di hospital.

2. Susah-susah orang dahulu, dapat juga makan ubi kayu. Susah-susah orang sekarang mak lambat masak nasi, dibelinya Pizza Hut, Mc Donald atau KFC siap orang hantar sampai depan rumah.

3. Susah-susah orang dahulu, nak mandi kena pergi sungai. Susah-susah orang sekarang, kalau ada gangguan bekalan air, lori datang hantar air, boleh pergi taman tema air, kolam renang atau siap mandi kolam air panas.

4. Susah-susah orang dahulu, paling tidakpun ada sebuah basikal. Susah-susah orang sekarang, ada juga sebuah motorsikal.

5. Susah-susah orang dahulu, berhari-hari berjalan / berakit untuk bertanya khabar. Susah-susah sekarang sudah boleh bertanya khabar melalui telefon, email, facebook dan sebagainya.

6. Susah-susah orang dahulu, tiub tayar motor bocor, ditampal sahaja. Susah-susah orang sekarang, tiub bocor diganti tiub yang baru.

Huh.. Kalau nak cerita, memang tak habis. Dahulu dan sekarang memang mempunyai kesusahan / kesukaran yang tersendiri. Masing-masing merasa sedikit kesusahan untuk terus berjaya dalam kehidupan. 

Tuesday, April 7, 2009

MERDEKAKAH KITA

Merdekakah Kita
Bayi Yang Dikandung 9 Bulan 10 Hari
Dilahirkan dan Dijaga Oleh
Neneknya
Rumah Asuhan
Jiran Tetangga
Kita Memang Merdeka
Tetapi Bayi Tidak

Merdekakah Kita
Anak Kecil Tidak Merasa
Kasih Sayang Ditinggal Di Rumah
Dan Kita Sibuk Bekerja Siang Malam
Kita Memang Merdeka
Tetapi Anak Kecil Tidak

Merdekakah Kita
Anak Muda Dibiarkan
Berdiri, Berbaring Atas Motorsikal
Tanpa Rasa Gerun Tetapi Angkuh Di Atas Jalan
Kita Memang Merdeka
Tetapi Anak Muda Tidak

Merdekakah Kita
Anak Mudi Ditunggang Ke Sana Sini
Badan Dewasa Berpakaian Bayi
Alur Bontot Ditayang Sesuka Hati
Tanpa Malu Tetapi Bangga Diri
Kita Memang Merdeka
Tetapi Mudi Tidak

Merdekakah Kita
Hutang Piutang Keliling Pinggang
Kemewahan Hidup Tetap Ditayang
Hidup Tidak Pernah Mengalah
Orang Ada Kita Mesti Ada
Kita Memang Merdeka
Tetapi Hutang Tetap Ada


Merdekakah Kita
Di Kala Tua Dihantar Ke Rumah
Rakan-Rakan Sebaya Usia
Batang Hidung Anak Tiada Jumpa
Menangis, Teresak, Meraung
Hidup Tanpa Makna

Merdekakah Kita
Dikala Nafas Di Hujung Nyawa
Tiada Amal Dan Ibadat Direka
Hanya Pengalaman Berpesta Penuh Di Dada
Siapa Sangka
Syurga Atau Neraka?
Merdekalah Kita Untuk Merdeka
Selama-Lamanya

F.B. Mamat
11 Ogos 2008 (11.38 Malam)
Bachang, Melaka