Showing posts with label menternak. Show all posts
Showing posts with label menternak. Show all posts

Sunday, September 19, 2021

Menternak Ayam Kampung Kacuk

Harga ayam di pasaran sekarang cukup tinggi. Aku pula tidak gemar atau jarang membeli ayam di pasaraya. Biasa beli ayam di kedai atau tempat proses ayam orang Melayu kita. Sekali beli seekor ayam boleh cecah hingga RM20.00. 

Nak dijadikan cerita, aku fikir kenapa tak menternak ayam kampung sahaja. Di rumah mak memang sudah ada reban ayam yang agak besar, tetapi ayamnya saja yang kurang. Jadi, inilah peluang untuk menternak ayam dengan jumlah yang sedikit banyak.

Aku merupakan seorang yang suka bereksperimen. Suka try and error. Apabila sesuatu terlintas di fikiran terus aku ingin mencuba. Lantas aku membeli 30 ekor anak ayam kampung kacuk dengan harapan dalam dua hingga tiga bulan nanti tidak perlu lagi membeli ayam. Boleh makan ayam yang diternak sendiri sahaja.


Anak-anak ayam kampung kacuk ini aku beli dengan memesan pada rakan sekerja isteri. Dia yang tolong belikan dan hantarkan. Kebetulan pada masa yang sama dia pun hendak membeli anak ayam. Dia juga seorang penternak yang agak berjaya walaupun hanya kecil-kecilan. Aku membeli seekor anak ayam kampung kacuk dengan harga RM2.80 seekor dan aku tambahlah sedikit upah penghantaran.

Apabila balik saja ke rumah mak, dengan bantuan abang aku, dia buatkan pendawaian lampu untuk reban anak ayam. Ayam yang kecil atau baru lahir perlu ada lampu agar sentiasa berasa panas atau hangat sesuai untuk tumbesarannya.

Semoga anak-anak ayam ini membesar dengan sihat. Jika projek pertama ini berjaya, sudah boleh berkira-kira untuk menambah bilangannya pada masa akan datang. Saja suka-suka, untuk makan sendiri dan ahli keluarga yang lain.