Showing posts with label meniaga. Show all posts
Showing posts with label meniaga. Show all posts

Wednesday, January 1, 2014

AYUH MELAYU!! JANGAN TAKUT MENIAGA


Assalamualaikum dan Salam Sejahtera.

Dengan nama ALLAH yang MAHA PEMURAH lagi MAHA MENGASIHANI. Selawat dan Salam buat nabi junjungan NABI MUHAMMAD S.A.W.

Sejak aku dan isteri mula berniaga dengan membuka Butik Chenta Creative, aku telah beberapa kali menyertai jualan-jualan di luar sama ada di karnival, pesta dan sebagainya. Walaupun kadangkala jualan yang tidak menemui sasaran, ada juga jualan yang amat memberangsangkan.

Semasa menyertai jualan-jualan luar, maka ramailah kenalan-kenalan peniaga yang aku temui dan kenali. Pelbagai tip dan pengalaman dikongsi bersama. Aku rasakan, sebenarnya peniaga-peniaga Melayu ini tidak kurang hebatnya. 

Orang Melayu sebenarnya perlu lebih berani. Berani mencuba meniaga sepertimana kaum lain berniaga. Kita perlu berani memasuki pasaraya-pasaraya walaupun sewanya sememangnya menjangkau ribuan ringgit. 

Dalam 2,3 orang peniaga yang aku kenal, benda yang sama mereka berkata tentang 'jangan takut untuk masuk meniaga di pasaraya'. Kalau ada produk yang hebat, sewalah kedai / kiosk di pasaraya, kerana di sana kuasa membeli pengguna adalah tinggi. Pengguna datang untuk berbelanja. Insha Allah, kalau kena dengan gayanya, memang akan memperoleh untung yang tinggi. 

Kalau gagal sekalipun, bukannya kita akan gagal buat selama-lamanya. Perlu kembali mengenalpasti punca kegagalan. Kalau produk merupakan puncanya, kita boleh mencari produk terbaru untuk dijual. Kalau gagal lagi, terus cuba dan terus mencuba sehingga menemui kejayaan. Sebenarnya kegagalan itu merupakan pengajaran dan ilmu yang paling penting sebelum menemui kejayaan.




Kalau memang tak mampu untuk menyewa kedai / kiosk di pasaraya sekalipun, cubalah meniaga walaupun hanya meniaga nasi lemak pagi-pagi di tepi jalan. Ketahuilah bahawa orang yang meniaga nasi lemak di tepi jalan menerima pendapatan setiap hari berbanding kita yang bekerja makan gaji. 

Namun, sekarang sebenarnya orang kita memang sudah banyak menyedari tentang beruntungnya berniaga. Kini sudah ramai orang Melayu meniaga, tak macam dulu di mana kebanyakkannya orang Cina.

Ayuhlah Melayu, terutama lepasan universiti. Jangan hanya mengharapkan pekerjaan di sektor kerajaan. Sekiranya, memang tiada rezeki dalam bidang pekerjaan, cubalah mulakan perniagaan. Bak kata pepatah, untung sabut timbul, untung batu tenggelam. Tuah ayam nampak di kaki, tuah kita siapa yang tahu? Yang penting kena sentiasa menuntut ilmu bidang perniagaan. 

Jom... Selamat berniaga.. :)

(PS : bukan bertujuan untuk mengajar, cuma ingin memotivasikan orang Melayu supaya belajar berniaga. Juga, berkongsikan sedikit pengalaman yang tidak seberapa ini)

Sunday, June 9, 2013

CHENTA CREATIVE HIJAB : SETELAH ENAM BULAN


Assalamualaikum dan Salam Sejahtera.

Dengan nama Allah yang Maha Pemurah lagi Maha Mengasihani. Selawat dan Salam buat nabi junjungan Nabi Muhammad S.A.W.

Banner facebook fanpage Chenta Creative Hijab

Alhamdulillah, sudah 6 bulan Chenta Creative Hijab beroperasi baik secara on-line dan off-line. Perniagaan isteriku ini, aku lihat perkembangannya sangat-sangat baik. Aku juga memang terasa tempiasnya. 

Kami bermula kira-kira pada bulan Januari 2013 yang lalu. Dengan bermodalkan tak seberapa, kami mula berniaga kecil-kecilan dengan mengharapkan jualan kepada rakan-rakan dan sedara-mara terdekat. Walaupun kecil-kecilan, pulangannya amat menggalakkan lebih-lebih lagi produk tudung kami mendapat pujian dari pelanggan. 

Antara corak rekaan Chenta Creative Hijab

Selepas itu kami mula mengorak langkah agak sedikit agresif. Kami mula membuat facebook fanpage Chenta Creative Hijab dan dari itu, perkembangannya terus menggalakkan.

Antara kelebihan kami ialah menerima tempahan 'custom made' di mana pelanggan boleh memilih corak dan warna yang dikehendaki, dan pihak kami akan mencari kain dan menjahitkan untuk mereka. Pada pendapat kami, konsep menerima tempahan 'custom made' merupakan salah satu kekuatan bagi Chenta Creative Hijab. Walaupun tidak menang tangan dibuatnya, tetapi ianya perlu demi memastikan kepuasan pelanggan kami.

Kini kami tidak hanya menunggu untuk menanti pelanggan datang kepada kami, kami telah keluar dari kepompong dengan menyewa tapak-tapak jualan di jabatan-jabatan kerajaan dan berkanun untuk menjual dan sekaligus mempromosikan jenama Chenta Creative Hijab. Alhamdulillah, sambutannya amat menggalakkan dan kami tidak serik untuk menyewa tapak jualan tersebut setiap bulan. Insha-Allah di hujung bulan ini kami akan menyewa tapak di suatu festival.

Antara corak rekaan Chenta Creative Hijab

Antara corak rekaan Chenta Creative Hijab

Tidak terhenti di situ, kami juga telah memperkenalkan konsep jualan borong. Alhamdulillah, kini kami telah membekalkan produk kami pada 2 buah butik, 1 di Melaka dan 1 lagi di Pahang. Selain butik, jualan borong juga diambil oleh orang-perseorangan yang berniaga secara kecil-kecilan.

Terbaru ini pihak kami mendapat tempahan dari badan korporat. Alhamdulillah, tidak putus-putus rezeki dari Allah. 

Dalam masa ini, kami saling mengingatkan bahawa, kalau kami susah, itu adalah ujian dari Allah dan sekiranya kami senang, itu juga ujian dari Allah.

Kini kami ingin menguatkan lagi jenama Chenta Creative Hijab. Dalam masa yang sama, kami telah memperkenalkan 'tagging' Chenta Creative Hijab pada semua produk keluaran kami. Kami juga dalam perancangan untuk membuat 'paper bag' untuk menguatkan jenama Chenta Creative Hijab dan sekaligus dapat mempromosikan jenama kami.

Tagging Chenta Creative Hijab

Harapan kami pada suatu hari nanti, untuk membuka butik sendiri. Insha-Allah, semoga Allah makbulkan.

Ps : Apa yang dikongsikan ini bukanlah untuk membangga-banggakan perniagaan aku ini. Sebenarnya aku lebih menggalakkan agar 'orang kita' berniaga. Memang risikonya tetap ada, namun kita perlulah terus menuntut ilmu perniagaan dan pemasaran agar terus bertahan dalam suasana persaingan yang amat besar.

Dulu telah banyak kali terjebak dalam skim-skim yang nak cepat mengambil keuntungan. Itu semua tipu, tak boleh dipercayai. Telah beribu-ribu duit aku habis dalam skim-skim tersebut. Kalau aku tahu, dari dulu lagi aku dan isteri mulakan perniagaan.

Pada sesiapa yang belum like facebook fanpage Chenta Creative Hijab, tolong-tolonglah support kami. Terima kasih. :)

Sunday, February 24, 2013

PELUANG PERNIAGAAN TUDUNG BERSAMA CHENTA CREATIVE HIJAB

Assalamualaikum dan Salam Sejahtera.
 
'Orang kita' ni, semuanya nak senang. Kalau nak berduit pun dengan cara mudah. Sebenarnya tidak mudah untuk mencari duit melainkan usaha dan terus berusaha. Ini tidak, macam-macam jenis pelaburan haram semuanya hendak diceburi, kononya cepat mendatangkan keuntungan.
 
Dari pelaburan ikan keli, top up, seramik, cicak tokek, susu lembu, pelaburan emas dan pelbagai-bagai lagi pelaburan haram yang akhirnya membawa kepada kerugian apabila syarikat-syarikat 'pelaburan' tersebut diserbu oleh Bank Negara Malaysia, bungkus atau sebagainya. Bukannya aku nak hentam sesiapa, pasal aku sendiri pernah terlibat sama benda-benda macam ni dulu. Habis beribu duit terlungkup.
 
Jadi, untuk menjadi realistik dalam dunia perniagaan, aku dan isteri telah mula berniaga tudung yang dinamakan Chenta Creative HIjab. Alhamdulillah, semakin hari semakin banyak tempahan. Syukur, rezeki kurniaan Allah S.W.T.
 
Klik di sini untuk lain-lain contoh tudung
Pihak Chenta Creative Hijab sekarang berhasrat untuk mengembangkan lagi perniagaan tudung ini, jadi kini dengan sukacitanya kami membuka peluang kepada sesiapa sahaja yang ingin memulakan perniagaan tudung secara kecil-kecilan dengan harga yang berpatutan.
 
Berikut merupakan tawaran-tawaran pakej hebat dari Chenta Creative Hijab :
 
Tudung Shiffon 3 Layer Gred AAA (Plain)
 
a) 20 helai = RM 55.00 / helai (RM 1,100.00)
 
b) 10 helai = RM 60.00 / helai (RM 600.00)
 
Tudung Shiffon 3 Layer Gred AAA (Printed)
 
a) 20 helai = RM 60.00 / helai (RM 1,200.00)
 
b) 10 helai = RM 65.00 / helai (RM 650.00)

Sekiranya berminat atau ada apa-apa pertanyaan, bolehlah terus ke Fan Page Chenta Creative Hijab untuk makluman.

Terima kasih.

Tuesday, September 18, 2012

MUDAHNYA BERNIAGA SECARA DALAM TALIAN


Assalamualaikum dan Salam Sejahtera.
 
Zaman sekarang ramai orang suka meniaga. Meniaga sama ada secara konvensional mahupun secara dalam talian. Di dalam Muka Buku Facebook misalnya, pastinya kita dapat melihat kenalan-kenalan kita berniaga dalam talian seperti menjual tudung, pakaian wanita dan pakaian lelaki, jersi bola sepak dan sebagainya.
 
Bagi saya, tidak mengapalah rakan-rakan kita di Muka Buku Facebook itu hendak menjual apapun, sepertimana kita sering mengatakan ingin melihat Melayu maju, maka kita pun kenalah sokong rakan-rakan kita berniaga kecil-kecilan. Walaupun kita tidak membeli, sekurang-kurangnya apa yang mereka iklankan turut terpapar pada Dinding Muka Buku Facebook kita. Secara tidak langsung, kita turut mempromosikan apa yang rakan-rakan kita jual.
 
Melalui pengalaman dan pengamatan saya secara peribadi, saya lihat berniaga di dalam talian ini juga membolehkan sesuatu barang terjual dengan cepat. Pada suatu masa dahulu, saya ada meletakan satu barang terpakai berupa bluetooth headset dan headphone. Saya iklanlah di Mudah.my. Apa yang menariknya, tidak sampai satu hari, sudah ada orang yang membeli barang yang saya jual.
 
Ada satu lagi pengalaman, ada satu ketika dahulu saya ada menjual sebuah tin Milo lama keluaran 1960-an yang saya iklankan juga di Mudah.my. Sama juga, saya menyiarkan di Mudah.my pada sebelah siangnya kemudian disebelah malam sudah ada yang membelinya. Nampak begitu mudahkan berurusniaga di dalam talian?
 
Dan baru ini sahaja, seorang kenalan Muka Buku Facebook ada mengiklankan 6 buah Van Mini Milo dengan harga RM 300 ++. Saya lihat tidak sampai 1 jam ia sudah terjual. Lumayan bukan? Tidak sampai sejam mengiklankan sesuatu barang, ia sudah terjual.
 
Saya bukanlah seorang peniaga secara talian yang tegar. Sekiranya ada barang sahaja saya akan mengiklankan di Muka Buku Facebook atau di Mudah.my. Bagi mereka yang sememangnya berniaga di dalam talian, teruskanlah usaha anda, jangan putus asa. Bagi rakan-rakan lain, berilah sokongan pada rakan anda yang meniaga di dalam talian. Janganlah pula kita sekat mereka di dalam Muka Buku Facebook, kerana iklannya memenuhi Dinding Muka Buku Facebook  kita. Kata sokong Melayu meniaga tetapi rakan baik kita meniaga dalam talianpun kita sudah irihati. Macam manalah Melayu mahu maju... 
 
Apa-apapun, bagi yang bekerja, sekiranya sudah meniaga secara dalam talian, jadikanlah ianya sebagai pendapatan sampingan. Janganlah sampai kerja sampingan ini menjadikan kita terlupa yang kita mempunyai kerja yang hakiki. Jangan sampai ia menganggu masa bekerja kita.

Monday, January 31, 2011

SITUASI DI KEDAI MELAYU

Pernah mengalami situasi begini semasa membeli di kedai orang Melayu :

SITUASI 1

Pelanggan : Bang kira.
Tuan kedai : Semua lima ringgit seposen. Lima ringgit dah la.
Pelanggan : Ok. Terima kasih bang.

SITUASI 2

Pelanggan : Pakcik kira semua.
Tuan kedai : Singgit dua, empat ringgit nam, singgit lima, tiga ringgit. Semua sekali lapan ringgit tiga posen. Kira lapan ringgit dah.
Pelanggan : Betul ni Pakcik? Ikhlas ye..
Tuan kedai : Ye.. Ikhlas.

SITUASI 3

Pelanggan : Makcik kira berapa ni?
Tuan kedai : Nasi lemak tiga, tiga ringgit. Roti canai dua, singgit dua. Semua empat ringgit dua.
Pelanggan : Nah Makcik.
Tuan kedai : Ada dua posen?
Pelanggan : Takde syiling la Makcik.
Tuan kedai : Takpelah. Empat ringgit je.
Pelanggan : Eh, takpe ke?
Tuan kedai : Takpe... Makcik ikhlas.

SITUASI 4

Pelanggan : Terima kasih Cik.
Tuan kedai : Sama-sama. Eh, jab.. Nah amik gula-gula ni, beri pada adik.
Pelanggan : Nah duitnya.
Tuan kedai : Takpelah saya sedekah.
Pelanggan : Terima kasih cik...





Sebenarnya syiling seposen dua itulah keuntungan bagi orang yang meniaga, tapi kebanyakannya kalau orang Melayu meniaga terutamanya di kawasan kampung agak gemar tidak mahukan seposen dua itu. Bukan mereka tidak mahu duit tersebut, tetapi mereka sebenarnya meniaga dengan ikhlas dan berniat untuk bersedekah dan beramal.

Ini baru duit. Kalau timbangan pula, orang Melayu biasanya akan melebihkan sedikit dari timbangan yang sebenarnya, kerana takut terkurang. Dalam Islam, adalah berdosa sekiranya peniaga mengurangkan timbangan bagi barang yang dibeli pengguna.

Bagi pengalaman aku sendiri. Kalau seorang peniaga tidak mahu seposen dua dari aku akibat tiada syiling semasa membeli, aku akan ke kereta untuk mengambil syiling dan akan memberi jumlah yang tidak cukup itu. Bukan tidak mahu menerima keikhlasan mereka, tetapi bagi aku seposen dua itulah sebenarnya keuntungan mereka sebenarnya. Bak kata orang kalau tiada seposen, tiadalah seringgit kalau tak cukup sepuluh keping. Betul tak?