Showing posts with label membaca. Show all posts
Showing posts with label membaca. Show all posts

Monday, September 10, 2012

BACA DAN FAHAMKAN


Assalamualaikum dan Salam Sejahtera.
 
Apabila kita ingin mengetahui sesuatu maklumat atau berita, kita seharusnya membacanya hingga ke perenggan yang terakhir untuk memastikan kita benar-benar faham akan sesuatu maklumat yang cuba disampaikan oleh penulis.
 
Begitu juga dengan penulis blog. Kadang kala tajuk entri yang ditulis mungkin berlawanan dengan  isi yang disampaikan atau penulis menulis isi penting yang hendak disampaikan di satu-satu perenggan. Justeru, kita sebagai pembaca perlulah membaca dengan teliti bermula daripada tajuk hinggalah ke perenggan akhir sesuatu entri atau maklumat.
 
Kita selaku pembaca perlulah membaca dan fahami apa sebenarnya yang hendak disampaikan oleh penulis. Jangan hanya membaca tajuk dan sebahagian sahaja isi lalu kita membuat penilaian sendiri dan memberi komen yang berlawanan tentang apa yang disampaikan sebenarnya.
 
Sememangnya sifat maklumat itu suka ditambah dan dikurangkan, sebab itulah sesuatu maklumat tidak dapat disampaikan dengan sempurna. Samalah dengan pepatah Mat Saleh yang menyatakan Don't Judge A Book By Its Cover, kita seharunya kena membaca keseluruhan buku tersebut, barulah tahu akan isi sebenarnya.
 
Di dalam arena blogging, kita kenalah membaca dan fahami betul-betul apa yang kita baca dan barulah kita dapat memberikan komen yang sepadan dengan apa yang dijelaskan dalam entri. Kita sendiri sebagai penulis blog akan mengetahui sama ada seseorang itu membaca entri kita secara keseluruhan atau tidak melalui komen yang telah ditinggalkan. Lalu kita akan membalas "bacalah sampai habis, barulah tahu apa yang hendak disampaikan..."
 
Justeru itu, satu sahaja yang saya ingin katakan "DON'T JUDGE AN ENTRY BY ITS TITLE"

 
 
 

Saturday, May 26, 2012

MONOLOG BUAT MIRA EDORA

Mira Edora... Sungguh cantik namanya. Secantik orangnya juga. Berkacukan Melayu dan Mat Saleh. Memang cantik, bak kata orang-orang muda sekarang, memang cuuuuunnnn. Kasihan kamu Mira Edora, ayahmu telah dahulu meninggalkan alam fana dan kamu. Mamamu saja yang menghempas pulas membesarkan kamu.

Kamu cantik, memang cantik. Ramai lelaki yang cuba mendekati kamu. Fauzi.., Fauzi yang kamu cintai. Hubungan kamu begitu erat. Habis sekolah berjumpa bersama, di rumah dijemput keluar. Begitu juga dengan Dali dan Gary. Indah sungguh kamu bercinta di zaman sekolah. Memang tidak dapat dipastikan adakah cinta kamu itu cinta monyet atau sebaliknya.

Kini, cikgu baru pula yang kamu syok. Cikgu Nordin, seorang duda. Mantan teman baik mamamu, Mira Edora. Begitu lama kamu memendamkan perasaan kepadanya. Tidak tahukah kamu bahawa dia seusia arwah ayah kamu? Begitu tinggi citarasa kamu Mira Edora.

Mamamu pula, juga sama-sama memendam perasaan terhadap kekasih lamanya, Cikgu Nordin. Bagai sirih pulang ke gagang, mamamu menyambut mesra kepulangan Cikgu Nordin kepangkuan. Kini terjadilah cinta tiga segi antara ibu dan anak.

Mira Edora, harap kamu memahami. Cikgu Nordin ialah bekas teman lelaki mamamu. Mereka sudah nyaris berkahwin pada suatu masa dahulu. Namun, oleh kerana bangkangan dari keluarga, masing-masing telah membawa diri. Biarlah mereka bersatu kembali, Mira Edora. Kamu tidak padan dengan Cikgu Nordin. Cikgu Nordin menyayangimu sebagai anak, bukan sebagai kekasih. Harap kamu mengerti.

Mira Edora... Terimalah kembali mamamu. Terimalah Cikgu Nordin sebagai ganti arwah ayahmu.

---------------------------------------------------------

Assalamualaikum dan Salam Sejahtera.

Sebenarnya saya baru selesai membaca sebuah novel yang ditulis oleh seorang novelis terkenal iaitu Khadijah Hashim bertajuk Mira Edora. Monolog yang saya hasilkan di atas adalah sebagai pemahaman yang saya perolehi daripada membaca novel tersebut dan saya terjemahkan dalam bentuk tulisan.

Khadijah Hashim... siapa tidak kenal beliau. Seorang novelis terkenal. Beberapa karya beliau telah dijadikan Filem seperti Mira Edora dan Bicara Hati. Kini, beliau juga merupakan seorang pelukis. Karya-karya lukisan beliau sedang dipamerkan di Balai Seni Lukis Melaka sehingga 31 Mei 2012.

Novel Mira Edora yang saya baca ini juga merupakan pemberian daripada beliau... :)


Novel setebal 180 muka surat


Telah ditandatangani oleh penulisnya