Sunday, April 7, 2024
Malam Tujuh Likur Dalam Masyarakat Melayu
Saturday, June 5, 2021
TAKDIR BANGSAKU
Wednesday, January 1, 2014
AYUH MELAYU!! JANGAN TAKUT MENIAGA
(PS : bukan bertujuan untuk mengajar, cuma ingin memotivasikan orang Melayu supaya belajar berniaga. Juga, berkongsikan sedikit pengalaman yang tidak seberapa ini)
Thursday, June 14, 2012
OH MELAYU
Wednesday, May 30, 2012
WAJARKAH SEORANG SULTAN TERPAKSA TURUT SAMA MEMBIDA (VERSI KEDUA)
Satria Neo WWW1 |
Monday, May 28, 2012
KATA SPONTAN NO. 13 : JEMPUT DATANG KENDURI LEPAS ISYA' YE...
Friday, December 23, 2011
HILANGNYA KESOPANAN BUDAK MELAYU
Assalamualaikum dan Salam Sejahtera.
Melayu oh Melayu... Kemanakah hilangnya kesopanan yang ada pada jati diri Melayu. Mana hilangnya ketatatertiban Melayu. Melayu itu unggul, penuh dengan kesopanan dan kesusilaan, tetapi kini semacam akan hilang saja semua ini. Orang Melayu ini baik, tetapi mengapa sikap baik ini semacam bakal hilang? Sekiranya hendak tahu Melayu ini baik atau tidak, boleh baca entrinya DI SINI.
Kalau dahulu Melayu penuh dengan kesopanan, tetapi kini kian hancur. Tiada segan dan silu. Anak dara orang dipeluk dan diciumnya dikhalayak orang ramai tanpa ada perasaan malu malah hanya merelakan. Yang lebih dahsyat lagi, sanggup merakamkan aksi-aksi berahi yang akhirnya tersebar luas di telefon bimbit dan internet. Memang hilang kesopanan Melayu sekarang.
Tetapi sebenarnya, bukan ini yang saya mahu ceritakan dalam entri ini. Penulisan entri ini terhasil daripada pengalaman saya ketika bersembahyang Jumaat pada tengah hari tadi. Kebetulan saya ada mesyuarat bersama Setiausaha Kerajaan Negeri (SUK) di Ayer Keroh, jadi saya berkesempatan bersembahyang Jumaat di masjid yang berdekatan dengan rumah saya.
Apa yang berlaku ini membuatkan saya berfikir, bahawa benarlah kesopanan dan kesusilaan budak Melayu sekarang sudah berkurangan. Hendak diceritakan, saya duduk bersila seperti biasa di dalam masjid untuk mendengar khutbah Jumaat. Kebetulan saya duduk 3 atau 4 baris dari saf belakang. Jadinya orang-orang lain yang mahu ke saf hadapan akan melangkah melalui lutut saya dan lutut orang di sebelah saya. Apa yang saya perhatikan, orang-orang dewasa dan berumur pasti akan membongkokkan badan semasa hendak berlalu di sebelah dan hadapan saya.
Namun begitu, apa yang sebaliknya ada 3 ke 4 orang budak-budak dalam lingkungan sekolah menengah dan pemuda yang berlalu antara lutut saya dan hadapan saya dengan "selamba" saja berlalu. Saya bukanlah minta dihormat. Saya memang tidak perlukan orang hormat saya, tetapi apa yang saya lihat, adab, kesopanan dan kesusilaan budak-budak Melayu kini kian pudar. Tak macam dulu.
Nak dijadikan cerita lagi, pada mulanya ada seorang pakcik terlanggar lutut saya. Dengan segera dia memegang lutut saya dan saya secara spontan memegang betis dia tanda memohon maaf. Tapi sebaliknya berlaku apabila seorang budak lingkungan sekolah menengah bukan hanya seperti melanggar tetapi memijak lutut saya dan terus berlalu seperti tiada apa-apa berlaku. Saya rasa, kamu dapat membayangkannya.
Kalau kita lihat filem P. Ramlee yang dulu-dulu yang memaparkan latar belakang masyarakat Melayu, sudah pastinya mengambarkan orang-orang Melayu ini tinggi tahap kesopanan dan adapnya. Orang Melayu cakapnya berlapik, setiap berbuatannya bersopan. Itulah Melayu. Namun kini, tinggal sejarah. Mungkin bakal lenyap.
Akhir kata, kembalilah anak-anak Melayu ke arah kesopanan. Jaga tatasusila kita. Jangan bersikap kurang ajar kepada orang yang lebih dewasa daripada kita. Sesungguhnya orang yang terdahulu itu lebih paham dari apa yang kita faham. Jadi, belajarlah menghormati orang tua.
Thursday, December 1, 2011
MALU JADI ORANG MELAYU
Assalamualaikum dan Salam Sejahtera.
Kita orang Melayu kaya dengan budi bahasanya, kaya dengan sopan santun dan juga bahasa yang indah melalui peribahasa dan juga bait-bait puisi seperti pantun, syair, gurindam, seloka, sajak dan sebagainya. Dalam memperkatakan tentang peribahasa dan juga puisi, pastinya ada antaranya kita tahu dan teramat tahu akan sesuatu peribahasa atau puisi mungkin kerana tahu sejak belajar di bangku sekolah mahupun ianya sering digunakan pada zaman kini.
Sebenarnya ada beberapa puisi dan peribahasa yang kononnya kita tahu dan faham perkataan dan maknanya tetapi sebenarnya kita silap. Kita silap sejak dari dahulu lagi. Baru ini kira baru tahu. Alangkah malunya. Alangkah malunya diri ini seorang yang mengaku Melayu tetapi sebenarnya tidak tahu makna perkataan-perkataan tertentu.
Apa yang hendak saya jelaskan di sini ialah berkenaan pantun ini :
YANG KURIK ITU KENDI,
YANG MERAH ITU SAGA,
YANG BAIK ITU BUDI,
YANG INDAH ITU BAHASA.
Ada siapa yang sudah biasa dengan pantun ini. Betulkah setiap perkataan tersebut atau ada kesalahannya? Mungkin ada antara yang membaca ini tidak tahu ada yang salah dan mungkin juga yang tahu ada salahnya. Tapi di mana ya?
Mengikut apa yang dijelaskan kepada saya, KENDI itu bukanlah perkataan asalnya, yang betulnya ialah KUNDI iaitu sejenis pemberat dalam timbangan emas. Anda baru tahu? Saya pun baru tahu sebenarnya.
Ada satu lagi peribahasa yang begitu popular yang kita mungkin tidak menyangkakan bahawa ianya lain daripada apa yang kita sangkakan iaitu :
SEPERTI MELEPASKAN BATUK DI TANGGA.
Erm... Apa salahnya ya? Kalau kita perhatikan betul-betul setiap perkatannya pasti kita akan menyatakan bahawa tiada silapnya. Malah ada dijelaskan di dalam buku peribahasa bergambar bagi kanak-kanak sekolah rendah yang mengambarkan peribahasa ini dengan gambaran orang sedang batuk di atas tangga. Benarkah peribahasa ini menyatakan begitu? Saya pun sebenarnya berkefahaman begitu tentang peribahasa ini sehinggalah hari ini barulah saya tahu hal yang sebenarnya.
Apa yang salah sebenarnya ialah BATUK. Perkataan yang sebenarnya ialah BATOK. Apa itu BATOK? Mengikut apa yang dijelaskan kepada saya, BATOK ialah sejenis gayung kecil yang digunakan untuk membasuh kaki sebelum naik ke atas rumah (kalau kita tengok cerita Melayu dahulu-dahulu pastinya akan perasan di rumah Melayu ada tempayan dan BATOK digunakan untuk membasuh kaki sebelum masuk ke dalam rumah)
Sekian sajalah perkongsian ilmu kita pada hari ini. Kalau rasakan anda sudahpun mengetahui hal yang ini, anggapkan ianya sebagai ulangkaji. Bagi mereka yang sama seperti saya di mana baru mengetahuinya, simpan dalam otak dan kongsikan jika perlu bagi meluaskan ilmu ini.
(Ps : Maklumat berkenaan apa yang saya ceritakan ini adalah diperolehi daripada kursus yang saya hadiri pada hari ini yang dianjurkan dengan kerjasama Dewan Bahasa dan Pustaka)
Tuesday, November 15, 2011
TELAH MARTABATKAH BAHASA MELAYU?
Assalamualaikum dan Salam Sejahtera.
Pada hari ini saya membuat tajuk ini kerana terpanggil setelah membaca kandungan cerita di dalam blog KomenSen. Pokoknya sekarang benarkah Bahasa Melayu kita telah dimartabatkan? Apakah buktinya? Rasanya kerajaan sendiri yang tidak memartabatkan Bahasa Melayu sebagai Bahasa Kebangsaan kita.
Pihak kerajaan mencanangkan cintailah Bahasa Melayu, martabatkan Bahasa Melayu sehingga setiap tahun ada disambut Bulan Bahasa Kebangsaan. Bahasa Kebangsaan itu apa? Tentulah Bahasa Melayu. Tapi mengapa tidak pula kerajaan mempertahankan Bahasa Melayu ini? Saya petik lagi contoh yang diberikan dari blog KomenSen yang memberikan contoh kerajaan membangunkan Greater KL dan Kuala Terengganu City Centre. Persoalannya mengapa perlu Bahasa Inggeris? Bahasa Melayu sudah kehabisan perkataan ke? Bukankah elok sekiranya Greater KL tu ditukarkan kepada KL Terbaik atau KL Terhebat. Salahkah? Bukahkah sedap juga bunyinya. Begitu juga dengan Kuala Terengganu City Centre bukahkah lebih elok diberikan nama Bandar Utama Kuala Terengganu ataupun seperti diberikan contoh dari KomenSen iaitu Anjung Kuala Terengganu atau Serambi Kuala Terengganu. Ini tidak, bahasa Inggeris juga yang diagungkan.
Di sini kita perlu kaji peranan Dewan Bahasa dan Pustaka. Adakah pihak ini harus berdiam diri sekiranya penggunaan Bahasa Inggeris lebih diutamakan? Bahasa Melayu juga merupakan bahasa Ilmu. Bahasa Melayu perlu diketengahkan lebih berbanding bahasa-bahasa lain. Lupakah kita yang Bahasa Melayu satu ketika dahulu telah menjadi Lingua Franca di rantau Nusantara?
Begitu juga penggunaan Bahasa di papan-papan iklan di kedai-kedai. Bermacam-macam bagai. Dari Bahasa Inggerisnya sehinggalah ke Bahasa Mandarin dan Tamil. Pada pendapat peribadi saya, semua itu perlu ditukar kepada Bahasa Melayu. Di manakah identiti kita kalau bukan dari bahasa. Saya yakin bahawa pelancong sekalipun mahu lihat tulisan bahasa Melayu kita sendiri terpampang di mana-mana dan bukannya tulisan bahasa yang berbagai-bagai.
Di sini bukanlah saya mengatakan bahawa berbahasa Inggeris itu tidak boleh. Boleh, tetapi dengan orang asing yang tidak mengetahui Bahasa Melayu. Di kalangan kita ini yang Melayu, Cina, India dan lain-lain kaum adalah lebih baik menggunakan Bahasa Melayu semasa bertutur dan dalam apa-apa acara rasmi ataupun tidak rasmi. Bukannya apa, kita di Malaysia, Bahasa Kebangsaan kita adalah Bahasa Melayu. Hormatlah sedikit Bahasa Melayu ini. Tidaklah nanti ada kaum-kaum di Malaysia ini tidak mengetahui ataupun tidak lancar berbahasa Melayu.
(Ps : Terdapat sedikit perubahan dalam gaya penulisan. Siapa yang biasa membaca blog ini, harap dapat menerimanya. Kadangkala kita harus membuat perubahan ;)
Thursday, November 10, 2011
# 05 LENSA KAMERA CABUK - SEMARAK API KEPAHLAWANAN
Thursday, July 7, 2011
TAYANG BONTOT SATU KEBANGGAAN BAGI GADIS MELAYU SEKARANG
Semasa kita memandu kenderaan, pastinya akan sekali sekala ternampak gadis Melayu yang membonceng motorsikal dengan memakai pakaian yang seksi sehingga ada kalanya menampakkan bontot dan seluar dalam dan ada yang hampir terlondeh terus seluar yang dipakainya. Tidak malukah mereka ini? Begitu murah maruah mereka ini sehinggakan sanggup memperlihatkan apa yang dimiliknya untuk tatapan umum.
Bukan saja semasa membonceng motorsikal, semasa duduk di tempat umum juga ada anak-anak gadis Melayu ini yang gemar menampakkan bontot mereka. Ada yang menyatakan bahawa ianya tidak sengaja. Kalau tak nak tidak sengaja, mengapa memakai pakaian yang pendek dan sendat? Sudah pastilah ia akan menampakan apa yang mereka patut tutupi itu.
Mungkinkah mereka ini kurang atau tidak memiliki didikan agama yang secukupnya? Atau mungkinkah ibu bapa mereka tidak kisah anak-anak mereka berpakaian sedemikian rupa. Subhanallah... Cukup-cukuplah. Bagi anak-anak gadis yang diluar sana, sama-samalah menjaga akhlak dan aurat masing-masing. Dunia ini semakin tua, dan ianya tempat yang sementara sahaja bagi kita dan akhirat jualah tempat yang kekal buat selamanya.
Sesungguhnya menjaga aurat itu wajib. Islam telah menetapkan hukuman-hukuman yang begitu berat bagi mereka yang mendedahkan aurat. Sedangkan mereka yang tidak menutup rambut (memakai tudung) begitu berat siksaannya, inikan pula menayangkan bahagian-bahagian sulit yang lain. Masyaallah, begitu berat siksaan Allah, tapi kita tetap melakukannya. Kebalkah kita? Tepuklah dada dan tanyalah iman.
Monday, June 6, 2011
KLIP VIDEO MELAYU BERUNSUR LUCAH UNTUK PASARAN AMERIKA
Kadang-kadang terfikir juga, apakah yang difikirkan oleh si pengarah sehinggakan sanggup mengeluarkan video klip sedemikian rupa. Sama juga dengan si pelakon video klip ini. Tak malukah pada ibu bapa sendiri sekiranya mereka melihat video klip ini. Bagaimana pula kalau nanti anak-anak mereka pula yang menontonnya?
Diharap pihak berkuasa meneliti video klip ini. Sekiranya ia benar-benar melanggar tatasusila dan peraturan yang ditetapkan, harap diambil tindakan sewajarnya. Sudah-sudahlah tersebarnya video-video klip lucah buatan sendiri yang dibuat oleh "pelakon-pelakon" tak terkenal, sekarang pelakon yang terkenal pun mahu terlibat sama. Sudah-sudahlah tu... Cukuplah.
Kalau perkara ini dipandang ringan, jangan tak percaya satu hari nanti banyak lagi video-video sedemikian rupa bakal berlambak di pasaran. Tak kiralah ianya untuk pasaran Amerika kah, luar negarakah, yang penting ia berasal dari Malaysia, dan ianya harus dikawal dan dibasmi.
Monday, January 31, 2011
SITUASI DI KEDAI MELAYU
SITUASI 1
Pelanggan : Bang kira.
Tuan kedai : Semua lima ringgit seposen. Lima ringgit dah la.
Pelanggan : Ok. Terima kasih bang.
SITUASI 2
Pelanggan : Pakcik kira semua.
Tuan kedai : Singgit dua, empat ringgit nam, singgit lima, tiga ringgit. Semua sekali lapan ringgit tiga posen. Kira lapan ringgit dah.
Pelanggan : Betul ni Pakcik? Ikhlas ye..
Tuan kedai : Ye.. Ikhlas.
SITUASI 3
Pelanggan : Makcik kira berapa ni?
Tuan kedai : Nasi lemak tiga, tiga ringgit. Roti canai dua, singgit dua. Semua empat ringgit dua.
Pelanggan : Nah Makcik.
Tuan kedai : Ada dua posen?
Pelanggan : Takde syiling la Makcik.
Tuan kedai : Takpelah. Empat ringgit je.
Pelanggan : Eh, takpe ke?
Tuan kedai : Takpe... Makcik ikhlas.
SITUASI 4
Pelanggan : Terima kasih Cik.
Tuan kedai : Sama-sama. Eh, jab.. Nah amik gula-gula ni, beri pada adik.
Pelanggan : Nah duitnya.
Tuan kedai : Takpelah saya sedekah.
Pelanggan : Terima kasih cik...
Sebenarnya syiling seposen dua itulah keuntungan bagi orang yang meniaga, tapi kebanyakannya kalau orang Melayu meniaga terutamanya di kawasan kampung agak gemar tidak mahukan seposen dua itu. Bukan mereka tidak mahu duit tersebut, tetapi mereka sebenarnya meniaga dengan ikhlas dan berniat untuk bersedekah dan beramal.
Ini baru duit. Kalau timbangan pula, orang Melayu biasanya akan melebihkan sedikit dari timbangan yang sebenarnya, kerana takut terkurang. Dalam Islam, adalah berdosa sekiranya peniaga mengurangkan timbangan bagi barang yang dibeli pengguna.
Bagi pengalaman aku sendiri. Kalau seorang peniaga tidak mahu seposen dua dari aku akibat tiada syiling semasa membeli, aku akan ke kereta untuk mengambil syiling dan akan memberi jumlah yang tidak cukup itu. Bukan tidak mahu menerima keikhlasan mereka, tetapi bagi aku seposen dua itulah sebenarnya keuntungan mereka sebenarnya. Bak kata orang kalau tiada seposen, tiadalah seringgit kalau tak cukup sepuluh keping. Betul tak?
Monday, January 10, 2011
ARTIS BERKELAKUAN LUCAH, APA TINDAKAN PIHAK BERKUASA?
Kalau di Indonesia, penyanyi kumpulan Peterpan, Ariel telah menghadapi tuduhan melakukan aksi ranjang dan sedang dipenjarakan, maka apa bezanya terhadap artis Malaysia yang melakukan aksi yang serupa, samaada melalui foto mahupun video.
Adakah artis Malaysia ini kebal dengan undang-undang? Atau tiada bentuk perundangan yang boleh menarik mereka ke muka pengadilan? Di sini pihak berkuasa perlu lebih adil dalam melaksanakan tugas. Memang jelas lagi bersuluh seseorang artis melakukan kesalahan berbentuk "seksual" yang turut tersebar di laman-laman web, namun mengapa mereka dilepaskan begitu sahaja. Bukankah bukti sudah terang lagi nyata?
Sekiranya tiada nas undang-undang yang boleh mengheret mereka yang bersalah ini ke muka pengadilan, apa kata digubal satu undang-undang bagi membolehkan mereka diadili dengan sewajarnya. Bukan untuk menganiaya mereka, tetapi sekadar ingin mencegah agar perbuatan terkutuk seperti ini tidak terus berleluasa dan menjadi ikutan kepada generasi ke generasi. Dan untuk memastikan setiap kesalahan perlu dihukum, samaada sengaja mahupun tidak sengaja, ia perlu dipertimbangkan oleh mahkamah dan bukannya terlepas begitu sahaja.
Berkenaan tersebarnya clip-clip video seks bangsa Melayu yang turut tersebar di laman-laman web, apakah tindakan pihak berkuasa? Takkan hanya sekadar memadamkan laman web tersebut, tetapi si pelaku tidak dikenakan apa-apa tindakan.
Harapan aku dan mungkin kebanyakan masyarakat tidak mahu aksi-aksi kelucahan ini terus berleluasa tanpa apa-apa tindakan oleh pihak berkuasa. Semoga pihak berkuasa lebih prihatin dan terus bertindak untuk memastikan penyebaran video lucah dan gambar lucah di internet dapat dibasmi dan diambil tindakan kehakiman demi untuk menjaga tatasusila dan menjaga agama kita.
Wednesday, January 5, 2011
APABILA MELAYU SUDAH DERHAKA
Kita perlu ingat, sultan merupakan payung kepada rakyat, kalau tiada sultan siapalah Melayu tanpa raja. Cubalah pertahankan institusi ini. Inilah saja warisan zaman berzaman yang tinggal dan seterusnya tempat kita berteduh.
Lihat sahaja dahulu semasa pemerintah British memperkenalkan Malayan Union di Tanah Melayu, sultan-sultan telah tidak diberikan kuasa. Dan selepas itu barulah nampak Melayu bersatu menentang Malayan Union dan akhirnya kuasa sultan-sultan kembali seperti biasa.
Kini kita lupa dan alpa. Kuasa sultan kita tidakkan. Lupakah kita akan sejarah? Lupakah kita akan wasiat-wasiat raja Melayu? Atau kita sendiri memang tak pernah tahu?
Oleh itu, jadilah Hang Tuah yang taat setia tidak belah bahagi kepada sultan, jangan jadi Hang Jebat yang derhaka. Kalau nak jadi Hang Jebat, boleh.. Tapi pastinya akan mati dibunuh Hang Tuah yang digelarnya sahabat sendiri.
Ps: Aku yang duduk di negeri yang tidak bersultan ni amat cemburu dengan negeri yang mempunyai sultan. Jadi, kalau korang yang mempunyai sultan tu, taatlah pada titah sultan.
Monday, September 27, 2010
Friday, September 17, 2010
SELAMAT HARI MALAYSIA
Kita seharusnya bersyukur kerana dapat hidup di dalam negara yang aman dan harmoni yang diwarnai dengan pelbagai lapisan masyarakat, kaum dan agama. Kita dapat hidup tanpa rasa gusar akan ancaman-ancaman perkauman, kita masih boleh duduk semeja, berborak, ketawa dan berbincang. Inilah indahnya Malaysia di mana ianya sukar dilihat di negara-negara lain.
Dalam hidup dalam keadaan masyarakat majmuk, sifat tolak ansur, saling memahami dan hormat menghormati adalah kunci kepada kejayaan perpaduan kaum. Sekiranya terdapat masalah, hendaklah segera diselesaikan melalui meja bulat. Berbincang menyelesaikan masalah adalah langkah terbaik daripada membuat keputusan sendiri, melulu dan melakukan kekacauan atau suasana yang tidak diingini. Negara ini telah mempunyai sejarahnya yang tersendiri dalam konflik perkauman, tidak usahlah diulangi, tidak usahlah cabar mencabar antara satu sama lain. Tiada apa faedahnya apabila berlaku persengketaan, sebaliknya teguhkanlah perpaduan.
Kita di Malaysia ini, sebenarnya saling memerlukan antara satu sama lain. Malaysia tidak akan maju sekiranya ada mengatakan kita tidak perlukan Melayu, Cina, India, dan etnik Sabah Sarawak. Dengan perpaduan yang sedia terjalin inilah kita membawa Malaysia ke arah negara yang dinamik dan progresif menuju wawasan negara maju 2020. Kita tidak boleh nafikan ini, kerana sekarang inipun sudah terbukti kita memerlukan Melayu, Cina, India dan etnik Sabah Sarawak untuk sama-sama memajukan negara. Melayunya yang mahir dalam pengurusan, Cinanya yang mahir perniagaan, Indianya yang mahir perundangan juga etnik Sabah Sarawak yang serba berkebolehan bersama-sama bekerja keras memacu negara.
Semoga sempena sambutan Hari Malaysia pada tahun ini, semua rakyat Malaysia tak kira warna kulit dan latar belakang dapat mengukuhkan lagi perpaduan yang sedia terjalin sekian lama.