Showing posts with label melaka. Show all posts
Showing posts with label melaka. Show all posts

Friday, January 3, 2025

Makan Burger dan Kentang Goreng di Qassim Bistro Seusai Solat Jumaat

Hari ini masih lagi tidak pulang ke rumah untuk solat Jumaat di dalam kariah. Tengok langit mendung berarak kelabu, memang ada harapan hujan. Jadi, aku tak balik. Aku set alarm di telefon bimbit dan melelapkan mata sebentar di bilik solat di pejabat sementara menunggu waktu solat Jumaat tiba.

Alarm berbunyi lalu aku bangkit. Sekali keluar tengok sudah hujan. Lebat juga. Aduh! Macam mana nak pergi solat ni. Aku biasa pergi solat dengan berjalan kaki saja ke Masjid Kampung Keling yang tak berapa jauh dari pejabat aku. Takpe, rileks sekejab tunggu hujan reda.

Alhamdulillah, dalam beberapa minit hujan pun reda, renyai sedikit sahaja. Bila keluar nampak pula ada payung di tepi pintu, bolehlah pakai sekejab untuk elak terkena hujan. Sampai masjid ngam-ngam khatib nak mula baca khutbah.

Balik dari solat Jumaat, berjalan dengan seorang kakitangan aku. Aku pun pelawa dia makan. Dia kata tak bawa beg duit. Aku cakap, takpe.., aku pun takde duit, cuma ada QR. Hehe.. Akhirnya kami singgah di Qassim Bistro yang letaknya di tepi Sungai Melaka.

Baca juga :

Aku pesan burger daging dan kentang goreng, manakala rakan aku tu pesan nasi goreng telur mata. Pesanan tiba tidaklah terlalu lama. Rasanya oklah.. Rasa burger dan kentang goreng macam biasa kita makan. Hehe.


Aku taknak cerita pasal harga. Pasal harganya ialah harga pelancong. Tapi juru wang (mungkin tokey kedai) bagi aku diskaun sikit. Kalau hari-hari makan di sini, mahu botak kepala aku. Haha. Sempat aku bertanya pada juru wang tu, berapa sewa di sini? Dia berikan satu angka, cukuplah sekadar aku maklumkan, sewanya melebihi RM5k dan menghampiri RM10k sebulan.

Eh..! Nak sambung cerita sikit pasal payung yang aku gunakan masa nak pergi solat Jumaat tadi. Punyalah aku tak perasan, dah nak sampai masjid baru perasan yang payung tu mempunyai cap Tiger Beer. Huk aloh. Memang tak perasan langsung. Ya Allah, ampunkanlah aku.. Balik dari solat, aku tak guna payung pun walaupun hujan sedikit renyai. Aku rela dibasahi hujan dari mempromosikan barang yang dilarang Allah SWT.

Tuesday, December 31, 2024

Popia Goreng @ Mi Sup Tengkera

Balik kerja petang tadi terus ambil anak dara aku yang seorang tu di sekolah yang selesai berlatih kriket. Dah bonceng motor, dia cakap, "ayah, jom makan mi sup, lapar lah". Aku jawab "ok".

Mi Sup Tengkera memang dekat sangat dengan sekolah anak aku. Dalam 100 meter aje kot. Dia pun penggemar Mi Sup Tengkera.

Sampai saja anak aku pesan mihun sup. Aku pula, kerana sudah kenyang hanya memesan 2 keping popia goreng. Huh, kenyang pun pesan 2 keping. Haha. 

Inilah kejadiannya popia goreng tu... 

Bagi aku, popia goreng di sini kena dengan tekak aku. Nasib baik masih ada lagi. Biasanya popia awal habis.

Kedai ni sebenarnya memang lagend. Bukan sejak aku kecil, tapi sejak abang-abang aku bersekolah lagi. Taknak cerita panjang pasal kedai ni, baca saja post aku yang lalu di SINI

Dah tu je nak cerita. 😊✌🏼

Friday, December 27, 2024

Cendol Jam Besar, Melaka

Tengah hari tadi pergi solat Jumaat di Masjid Kg. Keling. Tak jauh dari tempat kerja aku. Jalan kaki sendirian sahaja dengan melalui di celah-celah bangunan berdekatan Jonker Street. Hari ni tak balik rumah bersolat di dalam kariah.

Dalam perjalanan balik dari solat Jumaat, terserempak dengan seorang kakitangan aku. Kami berjalan seiringan sambil aku mempelawanya pekena Cendol Jam Besar. Dia bersetuju, jadi kami pun ke gerai tersebut. 

Sampai saja, ramai yang sudah beratur untuk memesan cendol atau ABC. Meja pun penuh. Aku minta dia standby untuk memerhati sekiranya terdapat meja kosong sambil aku beratur untuk memesan cendol. Konsepnya beratur, pesan, bayar dan duduk. Ala, layan dirilah tu. 

Aku order 2 mangkuk cendol campur yang berharga RM5.00 semangkuk. Dalam mangkuk tu, macam biasa ada santan dan cendol dicampur dengan kacang merah, jagung, cincau dan agar-agar.


Sedap? Ya sedap. Mana-mana kedai aku pergi jarang jumpa cendol tak sedap. Bagi aku, makan cendol ni biasa je. Takde jumpa lagi cendol yang amat sedap. Rasa semuanya hampir sama je.

Kalau berkunjung ke Bandar Hilir, Melaka jangan lupa singgah untuk menikmati Cendol Jam Besar. Dekat dengan Rumah Merah (Stadthuys). Seberang jalan pejabat/muzium aku je. 

Tuesday, December 3, 2024

Fish and Chip atau Asam Pedas



Malaysia merupakan salah sebuah negara yang aktif dan konsisten dalam mempromosikan negara dalam sektor pelancongan. Ini bagi menarik lebih ramai pelancong dari luar negara ke negara ini. Terdapat pelbagai usaha dijalankan antaranya di peringkat negeri sebagai contoh pada tahun 2017 merupakan Tahun Melawat Perak, 2019 adalah Tahun Melawat Melaka manakala di peringkat pusat pula pada tahun 2020 merupakan Tahun Melawat Malaysia. Walau bagaimanapun, akibat daripada pandemik Covid-19 yang mula menular di dalam negara bermula Mac 2020, Tahun Melawat Malaysia terpaksa dibatalkan.

Pada tahun 2018, sektor pelancongan Malaysia telah menyumbang RM84.1 billion kepada pertumbuhan ekonomi negara dengan jumlah kehadiran pelancong antarabangsa seramai 25.8 juta orang. Walau bagaimanapun, pada tahun 2019 Malaysia hanya menerima 20.1 juta orang pelancong antarabangsa dengan pendapatan pelancongan sebanyak RM66.14 billion.

Namun, zaman terus berubah. Industri-industri tertentu yang berkait rapat dengan kehendak perubahan masa dan zaman perlu berubah dalam memastikan kelangsungan dalam industri berkekalan dan terus relevan termasuk industri pelancongan.

Meskipun perbelanjaan pelancong tertumpu kepada segmen membeli belah, penginapan dan makan minum, namun perlu diketahui apakah faktor utama yang mendorong pelancong antarabangsa mengunjungi Malaysia. Faktor tersebut tidak lain dan tidak bukan adalah kebudayaan dan warisan. Pada tahun 2019 pendapatan sektor kebudayaan mencatatkan sebanyak RM423 juta.

Tidak boleh dinafikan bahawa faktor budaya dan warisan merupakan salah satu faktor yang mendorong pelancong antarabangsa mengunjungi negara ini. Justeru, apabila membangunkan satu-satu produk pelancongan, elemen kebudayaan dan warisan wajib dititikberatkan dan diambil perhatian yang serius.

Sebagai seorang pelancong yang ingin melawat ke negara luar, apakah faktor yang menarik minat kita hendak ke sana? Pastinya kita tidak mahu melihat apa yang terdapat di sana, sama sahaja di Malaysia. Sudah pasti kita mahu melihat bangunan-bangunan bersejarah, tapak-tapak warisan, makanan dan pakaian tradisi serta kebudayaan mereka.

Begitu juga di Malaysia, elemen kebudayaan dan warisan perlu ditonjolkan. Tidak perlu malu untuk memperlihatkan kebudayaan dan warisan yang kita miliki. Lebih menyedihkan apabila terdapat pihak yang tergamak untuk menutupi dan melenyapkan warisan yang dimiliki atas nama pembangunan dan keuntungan semata-mata.

Adalah suatu kelaziman sebagai pelancong inginkan sesuatu yang baharu selain apa yang terdapat di negara mereka. Selalunya kita beranggapan mereka gemar untuk menikmati beefsteak atau fish and chip walhal mereka sangat teruja ingin mencuba dan merasai asam pedas, nasi lemak, sambal belacan, roti canai dan lain-lain menu tradisi Malaysia.

Kita juga sering menganggap mereka suka berhibur di kelab malam sambil minum minuman beralkohol, sebaliknya mereka berkeinginan untuk menyaksikan kebudayaan dan persembahan tradisional sambil dihidangkan dengan minuman citarasa tempatan seperti air kelapa muda, air nira, sirap selasih, cendol dan sebagainya.

Di Jepun misalnya, terdapat sebuah perkampungan budaya dinamakan Iyashi No Sato yang masih mengekalkan struktur bangunan-bangunan lama yang turut menyediakan perkhidmatan menyewa pakaian untuk pelancong bergambar. Biarpun harga sewaannya menjangkau 1,000.00 Yen (RM38.00) bagi setiap pakaian yang dikenakan namun ramai pelancong yang mencuba kerana keinginan yang tinggi untuk mengenali pakaian tradisi masyarakat di sana.

Di Malaysia, kita juga seharusnya menonjolkan pakaian tradisi kita seperti baju Melayu, kurung, kebaya, busana tradisional dan sebagainya untuk dicuba dan dipakai oleh pelancong asing bagi memperkenalkan tradisi kita. Ini secara tidak langsung dapat mempromosikan tradisi dan kebudayaan Malaysia di serata dunia.

Tapak-tapak sejarah dan warisan juga perlu dijaga rapi. Adalah tidak lagi relevan untuk membangunkan sesebuah kompleks yang besar dan moden seperti pusat membeli belah atau perumahan di suatu lokasi yang telah diketahui status warisannya. Kita seharusnya akur, jika hendak dibandingkan dengan pusat membeli belah di negara Eropah, sudah pasti kita masih belum mampu menyaingi mereka kerana mereka telah melangkah jauh ke hadapan. Jangan biarkan tapak-tapak warisan ini terus tersepit dan lenyap di tengah-tengah pembangunan.

Andainya perlu juga membina kompleks seperti ini, hendaklah ia dibina di luar kawasan warisan agar tapak-tapak bersejarah ini terjaga seterusnya dapat disaksikan dan dirasai oleh generasi kini dan generasi akan datang, juga para pelancong dari dalam dan luar negara. Usahlah pelabur memperoleh keuntungan daripada warisan yang kita ada, namun kita menangis di kemudian hari akibat kehilangan tapak warisan yang sangat berharga yang telah diwarisi dari zaman berzaman. Pada ketika itu, menangis air mata darah pun tidak berguna lagi.

Justeru, apabila membangunkan sesuatu produk pelancongan, usah diabaikan aspek-aspek kebudayaan dan warisan. Produk pelancongan perlu dibina dengan acuan kita sendiri dan digarapkan bersama unsur-unsur tempatan yang sememangnya mempunyai nilai serta harga yang tinggi. Kita harus yakin dan percaya bahawa pelancong asing akan berasa lebih gembira apabila disajikan dengan sesuatu yang asli dari negara ini.

* Artikel yang aku tulis ini telah dimuatkan ke dalam buletin jabatan aku iaitu TINTA edisi 2/2022 yang lalu.

Sunday, December 1, 2024

Makan Jemput-jemput Bawah Pokok Kayu Manis

Nasib baik isteri layankan ambil gambar

Petang yang nyaman di kampung memang tak ada tandingan. Petang semalam aku balik kampung di Pengkalan Perigi, Melaka, tempat aku membesar dengan seribu satu kenangan. Hehe, macam jauh sangat kampung, tak sampai 10 kilometer pun dari rumah aku. Di hadapan rumah emak, ada sebatang pokok kayu manis yang berdiri megah, tempat teduhan yang sempurna untuk menikmati suasana petang.

Sambil duduk atas kerusi, aku menggigit jemput-jemput yang emak goreng tadi. Orang lain panggil cucur bawang atau cekodok bawang, tapi aku suka sebut jemput-jemput. Dalam jemput-jemput ni, ada bawang dan ikan bilis yang sebati rasanya. Bila makan panas-panas, pergh, terus rasa nikmat dunia. Ditambah pula dengan secawan kopi O panas, cukup melengkapkan suasana.

Angin sepoi-sepoi meniup lembut, daun pokok kayu manis melambai-lambai macam nak turut serta menikmati petang ni. Bau tanah kampung yang basah lepas hujan pagi tadi memang buat hati rasa tenang. Sesekali terdengar bunyi burung berkicau dan riuh anak-anak bermain di halaman rumah. Rasa macam dunia ni berhenti sekejap, membiarkan aku menikmati saat ini sepenuhnya.

Jemput-jemput ni sebenarnya resipi yang luar biasa. Kalau aku buat sendiri pasti tak sama dengan yang mak aku masak. Bila makan di kampung, bawah pokok dengan angin kampung dan bau nostalgia, rasa dia jadi bertambah luar biasa. Memang betullah orang kata, makanan sedap tu bukan sebab bahan saja, tapi suasana dan kenangan yang datang sekali dengan setiap gigitan.

Kalau ada masa, aku cadangkan korang cuba makan Jemput-jemput bawah pokok macam ni. Simple, tapi mendamaikan jiwa. Bak kata orang, kecil-kecil hidup di kampung, besar-besar nak balik kampung juga. Memang rindu tak pernah habis. 

Thursday, November 28, 2024

Melaka Lama : Gambaran Orang Melaka dan Sumatera


Gambar ini diambil dari peta Eropah, Afrika dan Asia yang dilakarkan oleh seseorang yang tidak dikenali (anonymous) pada sekitar tahun 1614.



Di penjuru kanan atas peta ini memaparkan gambar seorang Ethiopia, Ghana, Parsi, Turki, Molukus, Jawa, penduduk Sumatera dan Melaka dan Cina.

Di bahagian bawah tengah terdapat tulisan: Tabula Geograph. in qua Europae, Africae Asiaeq et circulacentium insularum orae maritime accuratè describuntur et ad intelligentia navigationum Indicaru accommodantur.


Incolae Sumatra et Malacca bermaksud penduduk atau penghuni Sumatera dan Melaka. Aku tak pasti, adakah ini gambaran sebenar oleh pelukis peta ini? Sebab jika diamati dari aspek pakaian dan hiasan kepala, tidak sama seperti zaman sekarang mahupun zaman dahulu. Atau mungkin ini sekadar imiginasi pelukis.

Berkisar kepada mengapa penduduk Sumatera dan Melaka diletakkan bersama, mungkin kerana lokasi yang berdekatan. Atau mungkin juga kerana penulis masih menganggap Sumatera merupakan sebahagian daripada Melaka, kerana semasa zaman Kesultanan Melayu Melaka, Empayar Melaka merangkumi sebahagian wilayah di utara Sumatera.

Gambaran penduduk Melaka ini tak ubah seperti Gambaran orang Melaka oleh Jan Huygen van Linschoten. Namun, gambaran ini menimbulkan keraguan, kerana ia amat berbeza daripada gambaran yang telah dibuat oleh De Eredia (1613) yang mengambarkan orang Melaka memakai "head-band, vest, sarong and kris and hold a long spear" iaitu pengikat kepala, pakaian tanpa lengan, kain sarung dan keris dan memegang lembing.


Kenali De Eredia di sini > KLIK <

Monday, November 18, 2024

Kopi dan Kek


Melangkah masuk ke Stadthuys Cafe, yang terletak di dalam bangunan Muzium Sejarah Melaka iaitu di bangunan Stadthuys membawa aku ke suasana yang penuh nostalgia. Ruangannya yang klasik dengan sentuhan kolonial membuatkan aku terasa seperti berada di zaman lampau, namun tetap selesa dan mesra. Bau harum kopi menyapa deria sebaik sahaja aku melangkah masuk. Suasana kafe ini memang tenang, sesuai untuk bersantai sambil menikmati hidangan ringan.

Kafe ni sebenarnya berada dekat saja dengan pejabat aku. Kalau aku toleh ke tingkap, kelihatan kafe ini di aras bawah pejabat aku.

Aku memesan secawan hazelnut coffee dan sepotong kek. Kopinya enak dengan aroma yang memikat, cukup untuk membuatkan aku menikmati keenakan di setiap hirupan. Manakala keknya, dengan gabungan rasa manis coklat yang lembut, benar-benar melengkapi situasi santai ini. Memang terasa seperti satu kombinasi sempurna untuk melupakan sejenak kesibukan bekerja.

Sambil menikmati kopi dan kek, dapat melihat para pelancong dari dalam dan luar negara turut melepak di kafe ini. Orang ramai boleh berkunjung ke kafe ini, bukan sekadar menikmati makanan dan minuman, tetapi juga menyerap suasana bersejarah Melaka. Bagi aku, ini adalah salah satu cara terbaik untuk menghargai keindahan dan warisan kita.

Tapi gambar ini bukan gambar hari ini. Ia berlaku pada beberapa minggu yang lalu. Cuma hari ni baru berkesempatan untuk membuat post di blog. 

Kalau sesiapa yang berkunjung ke Melaka, singgahlah ke kafe ini dan jangan lupa juga untuk melawat ke Muzium Sejarah Melaka. 

Thursday, November 7, 2024

Melaka Lama : Pemandangan Melaka Dari Laut (Gezicht op Malakka vanaf zee)


Pernahkah korang terbayang pemandangan Melaka pada tahun 1764, dari tengah laut? Menariknya, seorang pelukis Belanda bernama Jan Keldermans atau nama sebenarnya, Jan van Mansdale telah mengambarkan dalam satu lukisan yang bersejarah. Lukisan ini bertajuk Gezicht op Malakka vanaf zee dalam bahasa Belanda atau Pemandangan Melaka dari Laut. Lukisan ini membawa kembali ke zaman di mana Melaka berada di bawah pengaruh Belanda.

Lukisan ini menggambarkan suasana bandar pelabuhan yang tenang dengan deretan rumah, pokok-pokok hijau hijau dan pokok kelapa. Di tengah lukisan, ada sebuah perahu kecil berlayar dengan bendera Belanda berkibar, seolah-olah sedang dalam perjalanan ke kota yang megah ini. Di sebelah kanan, kelihatan sebuah kubu yang kukuh, juga dihiasi bendera Belanda yang berkibar tinggi yang menunjukan simbol kekuasaan pada masa itu.

Karya yang dihasilkan pada tahun 1764 ini bukan sekadar lakaran biasa. Ia dilukis di atas kertas menggunakan warna air dengan sapuan berus. Sentuhan warna air ini memberikan gambaran dan nostalgia, seolah-olah kita sendiri sedang berdiri di tepi kapal sambil mengintai kota Melaka dari jauh.

Lukisan ini bukan hanya karya seni tetapi juga sejarah visual yang penuh makna.

Sunday, October 27, 2024

Pengalaman Sertai Taming Sari Urban Hunt : Mencabar dan Menghiburkan

Semalam, 26 Oktober 2024, aku dan tiga rakan sepasukan berpeluang menyertai Taming Sari Urban Hunt. Satu pertandingan mencari harta karun yang cukup menarik dan mencabar. Pertandingan ni dijalankan dalam dua peringkat, yang pertama dengan kenderaan dan yang kedua berjalan kaki. Jabatan aku menghantar dua pasukan, jadi jumlah kami ada lapan orang dengan dua buah kenderaan yang siap sedia menjelajah Melaka.

Di peringkat pertama, kami perlu mengunjungi tiga lokasi menarik iaitu Pusat Konservasi Penyu di Pengkalan Balak, Melaka Premium Outlet di Simpang Ampat, dan Perigi Hang Tuah di Duyong. Sepanjang perjalanan, kami kena peka dengan petunjuk dan soalan yang diberikan. Menariknya, setiap lokasi ada keunikan tersendiri, daripada maklumat tentang penyu yang jarang diketahui kepada membeli-belah dan sejarah tempatan. Seronok juga bila dapat kenal tempat-tempat ni dengan lebih mendalam.

Peringkat kedua pula, kami perlu tinggalkan kenderaan dan mulakan berjalan-jalan di sekitar Stadthuys, Bukit Melaka dan Jonker Street. Dengan berjalan kaki, cabaran semakin mencabar, tapi ini bahagian yang paling menyeronokkan sebab kawasan ni penuh dengan sejarah dan warisan. Mana yang ada petunjuk kena fikir cepat-cepat sebab lawan kami semua on fire nak cari jawapan juga.

Walaupun semangat pasukan kami tak pernah luntur, nampaknya rezeki belum menyebelahi kami kali ni. Hanya mampu menduduki tempat kesepuluh, manakala satu kumpulan lagi mendapat kedudukan keenam. Tapi, pengalaman dan kenangan yang kami dapat memang tak ternilai. Dapat jalan-jalan sambil berlumba, lebih-lebih lagi dengan rakan-rakan sekerja yang sporting. Terima kasih Taming Sari Urban Hunt, memang satu pengalaman yang takkan dilupakan.

Ok.. Menang gaya je. 

Masa ni berada di kedai Samsung. Kena jawab soalan dengan menggunakan handphone Samsung

Bersungguh-sungguh menjawab soalan

Kawan seorang ni memang suka buat lawak

Tempat kesepuluh, hadiah hamper kecil saja. 






Monday, October 14, 2024

Persinggahan di Laman Tiga Budaya, Asahan, Melaka

Pagi tadi, sementara menunggu Ainnur Afiah yang tengah duduki Ujian Kecenderungan Kemasukan MRSM di MRSM Tun Ghafar Baba, aku sempat singgah di Laman Tiga Budaya, Asahan. Tempat ni memang istimewa sebab ia jadi titik pertemuan tiga negeri iaitu Melaka, Negeri Sembilan dan Johor. Jarak dari MRSM ke sini lebih kurang 20 kilometer je, jadi eloklah singgah sementara menunggu.

Laman Tiga Budaya, kelihatan Gunung Ledang di belakangnya

Suasana kat situ tenang dan aku dapat rehat sekejap sambil menikmati udara kampung di samping menikmati pemandangan kehijauan alam sekitar. Rasa macam lari kejap dari hiruk-pikuk. Laman Tiga Budaya ni mungkin tak terkenal sangat, tapi bagi aku, ia tempat yang sesuai untuk mendapatkan pengetahuan tentang geografi. 

Titik tengah antara tiga negeri 

Melaka, Negeri Sembilan dan Johor

Sambil duduk situ, fikiran aku melayang juga, teringat Ainnur yang tengah berjuang kat dewan ujian. Harap-harap ada rezeki dia untuk masuk MRSM nanti. Sebagai ayah, mestilah aku doakan yang terbaik untuk dia.

Kalau korang lalu Asahan, tak rugi singgah sini sekejap. Tempatnya tak besar, tapi cukup untuk rasa tenang sebelum sambung perjalanan. Satu lagi, bonusnya kat sini ialah dapat ambil gambar dekat tanda sempadan tiga negeri tu. 

Tuesday, July 16, 2024

Bendera/ Panji Kesultanan Melayu Melaka dan Riau Ketika Menentang Belanda?

Kajian ini oleh penyelidik dari Belanda, Hans van de Bunte MA

Pada 18 Jun 1784, satu serangan Belanda telah dilaksanakan di bawah pimpinan J.P. Van Braam. Beberapa ratus tentera dan angkatan laut dari armada Belanda mendarat di Teluk Ketapang, berhampiran kota Melaka untuk pertempuran terakhir melawan kebangkitan yang dipimpin oleh Kesultanan Melaka dan Riau yang telah menguasai pelabuhan Melaka. 

Selepas pertempuran yang dimenangi oleh pihak Belanda, bendera-bendera dan panji-panji diambil dari benteng pertahanan dan dibawa ke atas kapal. Ketika ini, 15 daripada bendera tersebut dikenal pasti sebagai sebahagian daripada koleksi yang diambil pada hari tersebut berhampiran Melaka iaitu hampir 240 tahun yang lalu. Koleksi bendera ini disimpan di National Military Museum di Belanda.

Dalam jurnal J.P. Van Braam yang disimpan di Arkib Nasional Belanda, yang ditulis tangan oleh beliau sendiri dalam bahasa Belanda lama pada tahun 1784, teks tersebut turut menggambarkan tentang 21 bendera yang diambil selepas pertempuran di Teluk Ketapang, berhampiran Melaka. 

Di bawah ini merupakan antara teks tulisan tangan yang ditulis sendiri oleh Komander J.P. Braam dalam diarinya pada 18 Jun 1784:

"Semasa musuh mengundurkan diri dengan tergesa-gesa, mereka meninggalkan semua bendera dan panji di kubu pertahanan. Tentera kami membawa kepada saya 21 bendera, termasuk juga panji peribadi Sultan."

****

Namun, kajian ini masih boleh dipertikaikan. Ini adalah kerana, pada tahun 1784, Kesultanan Melayu Melaka tidak lagi wujud. Peperangan di Teluk Ketapang, Melaka ini lebih kepada peperangan antara tentera Bugis dari Riau diketuai oleh Raja Haji Fisabilillah dengan pihak Belanda yang akhirnya kemenangan di pihak Belanda dan Raja Haji telah meninggal dunia dan dikenali sebagai Marhum Teluk Ketapang. 

Nampaknya, penyelidik dari Belanda pun tidak boleh diharapkan. Walaupun bahan dalam simpanan mereka, tetapi maklumat yang diberikan tidak selari dengan pentarikhan yang dikatakan zaman Kesultanan Melayu Melaka yang telah hilang sejak abad ke-16 apabila Portugis menyerang Melaka. Portugis pula memerintah Melaka selama 130 tahun dari tahun 1511 hingga ke tahun 1641, masakan zaman pemerintahan Belanda di Melaka masih wujud Kesultanan Melayu Melaka. 















Thursday, June 27, 2024

Berjalan Pagi di Persisir Sungai Melaka

Sebelum mula bertugas, memulakan perjalanan berjalan di tepi Sungai Melaka, menelusuri jarak 2.2 kilometer dalam masa 33 minit. Sepanjang perjalanan, mata  dimanjakan dengan pemandangan sungai yang tenang serta bangunan-bangunan lama yang kaya dengan sejarah dan warisan.

Warna-warni bangunan menambah keindahan suasana pagi yang damai dan menenangkan hati. Sentuhan alam dan keunikan seni bina tempatan sungguh memikat, menjadikan aktiviti berjalan pagi ini begitu berharga dan pastinya menyihatkan badan. 

Pemandangan persisir Sungai Melaka ini diambil pada 27 Jun 2024 (Khamis) sekitar jam 7.30 pagi hingga 8.00 pagi.