Showing posts with label makan malam. Show all posts
Showing posts with label makan malam. Show all posts

Friday, February 10, 2023

Sambut Ulang Tahun Perkahwinan Ke-15 di Restoran Ikan Bakar Ala Kassim

Pejam celik, pejam celik sudah 15 tahun mengharungi kehidupan bersama isteri tersayang. Pahit maung, suka, duka dikongsi bersama. Pada hakikatnya isteri adalah orang lain, milik keluarganya, orang yang tidak pernah dikenali sebelum ini namun akhirnya kami ditakdirkan bersama sebagai suami isteri dan berkeluarga. Alhamdulillah, kini telah mempunyai 5 orang anak.

Rezeki itu datangnya dari Allah SWT, ditakdirkan anak pertama lahir pada tahun yang sama hari pernikahan kami. Orang-orang dahulu sebut 'bunting pelamin'. Nikah awal tahun, hujung tahun menimang cahaya mata. Alhamdulillah. Jadi kelebihannya di sini,  aku dapat mengingati usia perkahwinan kami iaitu seusia anak sulung. 

Hendak dijadikan cerita, kami sekeluarga menyambut ulang tahun perkahwinan dengan makan malam di Restoran Ikan Bakar Ala Kassim di cawangannya Taman 1 Lagenda. Sebelum-sebelum ini kami biasa juga ke restoran utamanya di Medan Ikan Bakar Alai. 

Sesiapa datang ke Melaka, boleh cuba makan di sini. Disarankan (recommended)


Di sana kami nikmati seekor ikan siakap di mana sebelah dimasak bakar berlada dan sebelah lagi dibakar kosong sahaja. Lain-lain makanan ialah sotong goreng tepung dan udang butter. Dimakan dengan menu kegemaran rakyat Malaysia iaitu nasi lemak bungkus.

Harganya oklah. Tak betapa mahal. Semua sekali harga makanan dan minuman hanya RM104.00 sahaja. Makan pun sedap dan puas. Anak-anak pun suka. 

Ikan siakap bakar berlada

Ikan siakap bakar

Sotong goreng tepung

Udang butter

Kisah ini tidak habis di sini, macam biasa mesti ada kejutan pada hari-hari sebegini. Sebelum nak keluar pergi makan, isteri dan anak-anak telah awal berada di dalam kereta.  Aku macam biasa akan menjadi orang yang terakhir kerana perlu memastikan lampu-lampu yang tidak diperlukan di dalam rumah ditutup, begitu juga dengan pintu.

Sejurus masuk ke dalam kereta maka terkejutlah aku melihat bungkusan yang diletakkan di bawah tempat letak kaki di bahagian pemandu dengan jeritan isteri dan anak-anak menyebut supriseeeeee!!! Oh, rupa-rupanya isteri telah menghadiahkan telefon bimbit baharu iaitu Honor X9a. Aku apa lagi, dengan gaya melawak aku pun menggenggam jari sambil menyebut Yes! Yes! Yes!

Terpaksa menerima telefon bimbit baharu 😀👍🏼

Sunday, March 10, 2013

ALKISAH TERPERANGKAP DI DALAM LIF


Assalamualaikum dan Salam Sejahtera.
 
Dengan nama Allah yang Maha Pemurah lagi Maha Mengasihani. Selawat dan Salam buat nabi junjungan Nabi Muhammad S.A.W.
 
Ada sesiapa berpengalaman terperangkap di dalam lif? Pada tanggal 7 Mac 2013, aku berpengalaman terperangkap di dalam lif di sebuah hotel baru yang 'berbintang-bintang' di Bandar Hilir, Melaka.
 
Aku dan isteri sebelum kejadian terperangkap di dalam lif 
 
 
Ketika itu aku baru sahaja selesai menghadiri satu program makan malam, orang memang ramai, hampir 1000 orang. Semasa pulang, orang berpusu-pusu untuk turun dengan menaiki lif, termasuklah aku. Kalau tingkatnya rendah mungkin aku boleh melalui tangga sahaja, namun programnya di tingkat 11, kalau nak melalui tangga, mahu berpeluh dibuatnya.
 
Nak dijadikan cerita, apabila masuk sahaja ke dalam lif, memang tiada apa-apa perkara ganjil berlaku, perjalanan ke tingkat bawah baik-baik sahaja. Tiba-tiba, apabila sampai di aras 'G', pintu lif tidak terbuka. Tunggu juga beberapa saat tapi tidak terbuka. Akhirnya aku yang berada betul-betul di butang nombor lif menekan loceng kecemasan. Terus berhubung dengan pihak hotel menggunakan intercom.
 
Di dalam lif terdapat 17 orang termasuk aku. Ada pula seorang wanita yang mengandung dan mempunyai asma. Mula-mula semuanya agak bersabar menanti bantuan tiba, namun lama-kelamaan keadaan menjadi sedikit tidak terkawal kerana agak terlalu lama kami terperangkap di dalam lif tersebut. Mengenangkan pula ada wanita mengalami asma, ada beberapa orang sudah memarah-marah pihak hotel melalui intercom. Aku hanya menyuruh mereka bersabar.
 
15 minit sudah berlalu, aku terasa sudah kekurangan oksigen, dalam lif juga sudah berasa panas. Ada seorang 'abang' tu sudah berpeluh-peluh aku lihat. Keadaan terus tidak terkawal, sudah ada yang terus memaki-maki, mengetuk-ngetuk pintu lif dan ada juga yang cuba membuka pintu lif dari dalam.
 
Selepas kira-kira 20 minit terperangkap di dalam lif, akhirnya kami selamat keluar dengan bantuan pihak teknikal hotel. Mereka membuka pintu lif secara manual dari luar. Tapi lif tersebut tidak betul-betul berada di landasannya, kami perlu melangkah seperti tangga untuk keluar.
 
Wanita yang asma tersebut dipapah keluar, kelihatan dia begitu lemah dan direhatkan dahulu di sebuah kerusi. Alhamdulillah, apabila aku lihat wanita tu seperti sihat saja, aku pun teruslah balik kerana jam di tangan sudah pun menghampiri pukul 12 tengah malam.
 
Sekian aku melaporkan.. :)