Showing posts with label makan. Show all posts
Showing posts with label makan. Show all posts

Sunday, December 1, 2024

Makan Jemput-jemput Bawah Pokok Kayu Manis

Nasib baik isteri layankan ambil gambar

Petang yang nyaman di kampung memang tak ada tandingan. Petang semalam aku balik kampung di Pengkalan Perigi, Melaka, tempat aku membesar dengan seribu satu kenangan. Hehe, macam jauh sangat kampung, tak sampai 10 kilometer pun dari rumah aku. Di hadapan rumah emak, ada sebatang pokok kayu manis yang berdiri megah, tempat teduhan yang sempurna untuk menikmati suasana petang.

Sambil duduk atas kerusi, aku menggigit jemput-jemput yang emak goreng tadi. Orang lain panggil cucur bawang atau cekodok bawang, tapi aku suka sebut jemput-jemput. Dalam jemput-jemput ni, ada bawang dan ikan bilis yang sebati rasanya. Bila makan panas-panas, pergh, terus rasa nikmat dunia. Ditambah pula dengan secawan kopi O panas, cukup melengkapkan suasana.

Angin sepoi-sepoi meniup lembut, daun pokok kayu manis melambai-lambai macam nak turut serta menikmati petang ni. Bau tanah kampung yang basah lepas hujan pagi tadi memang buat hati rasa tenang. Sesekali terdengar bunyi burung berkicau dan riuh anak-anak bermain di halaman rumah. Rasa macam dunia ni berhenti sekejap, membiarkan aku menikmati saat ini sepenuhnya.

Jemput-jemput ni sebenarnya resipi yang luar biasa. Kalau aku buat sendiri pasti tak sama dengan yang mak aku masak. Bila makan di kampung, bawah pokok dengan angin kampung dan bau nostalgia, rasa dia jadi bertambah luar biasa. Memang betullah orang kata, makanan sedap tu bukan sebab bahan saja, tapi suasana dan kenangan yang datang sekali dengan setiap gigitan.

Kalau ada masa, aku cadangkan korang cuba makan Jemput-jemput bawah pokok macam ni. Simple, tapi mendamaikan jiwa. Bak kata orang, kecil-kecil hidup di kampung, besar-besar nak balik kampung juga. Memang rindu tak pernah habis. 

Friday, February 10, 2023

Sambut Ulang Tahun Perkahwinan Ke-15 di Restoran Ikan Bakar Ala Kassim

Pejam celik, pejam celik sudah 15 tahun mengharungi kehidupan bersama isteri tersayang. Pahit maung, suka, duka dikongsi bersama. Pada hakikatnya isteri adalah orang lain, milik keluarganya, orang yang tidak pernah dikenali sebelum ini namun akhirnya kami ditakdirkan bersama sebagai suami isteri dan berkeluarga. Alhamdulillah, kini telah mempunyai 5 orang anak.

Rezeki itu datangnya dari Allah SWT, ditakdirkan anak pertama lahir pada tahun yang sama hari pernikahan kami. Orang-orang dahulu sebut 'bunting pelamin'. Nikah awal tahun, hujung tahun menimang cahaya mata. Alhamdulillah. Jadi kelebihannya di sini,  aku dapat mengingati usia perkahwinan kami iaitu seusia anak sulung. 

Hendak dijadikan cerita, kami sekeluarga menyambut ulang tahun perkahwinan dengan makan malam di Restoran Ikan Bakar Ala Kassim di cawangannya Taman 1 Lagenda. Sebelum-sebelum ini kami biasa juga ke restoran utamanya di Medan Ikan Bakar Alai. 

Sesiapa datang ke Melaka, boleh cuba makan di sini. Disarankan (recommended)


Di sana kami nikmati seekor ikan siakap di mana sebelah dimasak bakar berlada dan sebelah lagi dibakar kosong sahaja. Lain-lain makanan ialah sotong goreng tepung dan udang butter. Dimakan dengan menu kegemaran rakyat Malaysia iaitu nasi lemak bungkus.

Harganya oklah. Tak betapa mahal. Semua sekali harga makanan dan minuman hanya RM104.00 sahaja. Makan pun sedap dan puas. Anak-anak pun suka. 

Ikan siakap bakar berlada

Ikan siakap bakar

Sotong goreng tepung

Udang butter

Kisah ini tidak habis di sini, macam biasa mesti ada kejutan pada hari-hari sebegini. Sebelum nak keluar pergi makan, isteri dan anak-anak telah awal berada di dalam kereta.  Aku macam biasa akan menjadi orang yang terakhir kerana perlu memastikan lampu-lampu yang tidak diperlukan di dalam rumah ditutup, begitu juga dengan pintu.

Sejurus masuk ke dalam kereta maka terkejutlah aku melihat bungkusan yang diletakkan di bawah tempat letak kaki di bahagian pemandu dengan jeritan isteri dan anak-anak menyebut supriseeeeee!!! Oh, rupa-rupanya isteri telah menghadiahkan telefon bimbit baharu iaitu Honor X9a. Aku apa lagi, dengan gaya melawak aku pun menggenggam jari sambil menyebut Yes! Yes! Yes!

Terpaksa menerima telefon bimbit baharu 😀👍🏼

Monday, February 6, 2023

Sambut Hari Lahir Biras dan Anak Buah di Restoran Rest Haus Melaka

Jarang sekali aku membuat posting berkaitan makan-makan di kedai atau restoran. Tapi kali ni aku ingin kongsikan sebuah restoran di mana aku dan keluarga telah dijemput oleh akak iparku untuk sama-sama meraikan hari lahir biras dan anak buah aku di Restoran Rest Haus Melaka.

Restoran ini terletak di Taman 1 Lagenda berdekatan dengan pasaraya Lotus dan AEON Bandaraya Melaka. Senang saja nak mencari restorannya, dekat dengan bulatan (roundabout)

Ini merupakan kali pertama aku menjejakkan kaki ke restoran ni. Sebelum ni aku tak pernah perasan pun kewujudan restoran ini. Restoran ni pun tak berapa besar, konsepnya seperti privasi yang sesuai untuk menjamu selera bersama keluarga dan orang tersayang.

Nak masuk ke restoran ni pula perlu membuka selipar atau kasut. Dalamnya berkarpet dan dilengkapi penghawa dingin. Jadi, apabila duduk di dalam restoran ini, rasa nyaman sahaja. 

Makanan di restoran ini terdapat menu tempatan dan menu barat (western). Aku yang bertekak Melayu ni biasanya akan memilih untuk menikmati menu tempatan. Budak-budak apa lagi kesukaannya, pastinya makanan ringan seperti kentang goreng, chicken chop dan lain-lain.

So far so good.. Makanan di restoran ni sedap-sedap belaka. Portion'nya' pun agak banyak sehingga senak aku nak menghabiskan sepinggan nasi goreng kampung. Anak aku makan pun tak habis, jadinya minta dibungkus untuk dibawa pulang ke rumah.

Membaca doa selamat sebelum menikmati juadah

Menu-menu yang membuatkan aku tak tahu nak pilih apa, akhirnya aku pilih nasi goreng kampung. Haha 

Cheezy wedges pilihan anak-anak

Kentang goreng a.k.a French fries juga kegemaran anak-anak

Anak perempuan aku order lamb chop. Makan termahal yang dia pilih.. huhu

Nasi putih dengan daging masa lada hitam

Nasi goreng chicken chop pilihan isteriku

Ini menu aku order nasi goreng kampung. Siap ada ketulan ayam goreng

Spaghetti Bolognese untuk anak buah


Sunday, August 8, 2021

CARA MENGERATKAN HUBUNGAN KEKELUARGAAN


Makan nasi bungkus bersama empat orang anak merupakan sesuatu yang menyeronokkan. Dari yang sulung berusia 13 tahun hinggalah ke bongsu berusia 3 tahun, sama-sama menikmati Nasi Ganja Bawah Pokok. Bukan satu bungkus, tetapi dua bungkus nasi habis kami makan. Ibunya tiada masa ni kerana bekerja.

Jadi apa kena mengena makan nasi dengan mengeratkan hubungan kekeluargaan? Ya lah.. Bila makan nasi bersama-sama beralaskan pembungkus nasi yang sama dengan lauk, kuah dan segalanya dikongsi bersama dapat membangkitkan lebih kemesraan. Sambil jari jemari masing-masing berlaga-laga semasa meramas nasi, mencubit daging ayam seorang sedikit, anak sulung pula bercerita pengalaman beberapa kali makan sebegini semasa dijemput oleh ahli tabligh yang pernah berkampung di kampung emak saya, ia mengundang kelucuan dan kemesraan seterusnya boleh mengeratkan hubungan kekeluargaan.

Ini sekadar pendapat saya, bukan bermaksud makan seperti biasa bersama di satu meja tak mesra, namun apabila merasai sendiri makan begini bersama anak-anak, nampak kemesraan itu lagi jelas terpancar dari kalangan semua ahli keluarga. Sesiapa yang belum cuba, boleh mencubanya. 

Thursday, February 9, 2017

SHELLOUT @ CENGKERANG SEAFOOD JUMBLE

Assalamualaikum dan salam sejahtera.

Dengan nama ALLAH yang MAHA PEMURAH lagi MAHA MENGASIHANI. Selawat dan salam buat nabi junjungan NABI MUHAMMAD S.A.W.

Memang sudah lama aku duk perati iklan-iklan dan gambar rakan-rakan dalam Facebook yang memaparkan makanan laut atau lebih dikenali sebagai shellout. Beberapa kali juga aku nak merasa, tapi asyik tak jadi sahaja, kalau keluar makan dengan keluarga, restoran yang satu tu sajalah yang kami kunjungi.

Sempena ulang tahun perkahwinan kami ke-9 pada 8 Februari semalam, kami pun pergilah ke sebuah restoran makanan laut yang menyajikan shellout di Kota Laksamana, Melaka. Nama restoran ini ialah CENGKERANG.




Menu yang kami pilih sudah tentulah shellout. Sudah memang teringin sangat nak merasa. Gambar di bawah ini merupakan set yang kami order. Set ni taklah banyak sangat, setakat nak makan 2 dewasa dan 3 orang anak-anak kecil, boleh lagi ni. 

Tak mahal manapun, cuma RM38.80, berbaloilah juga. Makanan pun sedap. Aku siap tambah nasi lagi. 


Kalau kebiasaannya apabila makan shellout, kita dapat makan ketam sekali, tapi set yang ni memang tiada ketam. Okaylah tu, kami anak beranak tak berapa teruja sangat nak makan ketam. Lagi pun, nak makan ketam ni leceh sikit.


Kalau kalian berminat nak cuba makan shellout, bolehlah bertandang di restoran ni yang terletak di Kota Laksamana, Melaka.




Ainnur Afiah dan Muhammad Fahim sangat teruja nak makan. Mereka pun suka makanan ni, tak pedas sangat.



Wednesday, June 24, 2015

TAHAP KELAPARAN YANG BERBEZA

Assalamualaikum dan salam sejahtera.

Dengan nama ALLAH yang MAHA PEMURAH lagi MAHA MENGASIHANI. Selawat dan salam buat nabi junjungan NABI MUHAMMAD S.A.W.

Bersyukur sangat kepada Allah SWT kerana tahap kelaparan aku berbeza bila masa hari biasa dan di bulan puasa iaitu bulan Ramadhan.

Kebiasaannya, kalau di hari biasa, tahap kelaparan memang lain macam. Masa bekerja, walau sudah sarapan pagi, tengah hari mesti makan. Kalau tidak memang menggigillah anggota badan. 



Lain pula di bulan Ramadhan, tahap kelaparannya tidaklah teruk sangat walaupun tidak makan sepanjang hari. Masih boleh rileks dan bertahan. Melainkan kalau terlepas bangun sahur, memang menggigil satu badan.

Alhamdulillah.. Secara peribadi, aku tiada masalah dalam mengerjakan ibadah puasa dan aku memang suka berpuasa. 

Sama-samalah kita mengerjakan ibadah puasa ini dengan sempurna dan moga ibadah kita ini diterima Allah SWT. Amin.

Saturday, May 17, 2014

MAKAN BERSUAP


Makan, makan, makan,
nafsu makan meluap-luap,
makan, makan makan bersuap,
menyuap mulut si pelahap,
habis sesuap mohon lagi disuap,
makan, makan, makan,
ikan bilis, ikan jerung habis disantap,
berbilas oren bukannya sirap,
darah daging menjadi kurap.

Makan, makan, makan,
nafsu makan meluap-luap,
tubuh keding menjadi tegap,
halal haram jadi penyedap, 
anak, bini juga santap.

Makan, makan, makan,
nafsu makan meluap-luap,
esok lusa jangan tersentap,
menyepi diri dalam lokap.

F. B. Mamat
17 Mei 2014
Bukit Katil, Melaka

Thursday, December 5, 2013

AKIBAT TERPENGARUH GAMBAR DI FACEBOOK


Assalamualaikum dan Salam Sejahtera.

Dengan nama ALLAH yang MAHA PEMURAH lagi MAHA MENGASIHANI. Selawat dan Salam buat nabi junjungan NABI MUHAMMAD S.A.W.

Alkisah, seorang rakan Facebook ada memaparkan gambar makanan yang agak glamor semasa di mengunjungi Pulau Pinang. Lihat saja makanan tu, nafsu makan aku agak meluap-luap.

Kalau nak pergi Penang hanya untuk sekadar menikmati makanan tu, memang takdan lah. Jauh. 

Lalu, masa balik kerja, aku ke kedai untuk membeli bahan-bahan seperti yang terpapar dalam gambar di Facebook tu. Sampai saja di rumah, aku menyingsing kedua-dua baju lengan panjang aku dan memulakan operasi main masak-masak.

Dan hasilnya... Taaaddaaaaaa....


Hehe.. Ianya ringkas saja sebenarnya. Budak-budak kecilpun boleh membuatnya. Tak sama seperti di gambar Facebook tu, tapi hampir serupa.. :) 

Monday, December 2, 2013

ROTI & MILO


Assalamualaikum dan Salam Sejahtera.

Dengan nama ALLAH yang MAHA PEMURAH lagi MAHA MENGASIHANI. Selawat dan Salam buat nabi junjungan NABI MUHAMMAD S.A.W.

Tetiba malam-malam macam ni lapar pula perut. Pergi ke dapur ada pula roti, tapi nak makan dengan apa ye.. Nak goreng telur rasa malas pula, jadi aku mula mengimbau makanan yang aku gemar pada zaman aku kanak-kanak dulu.


Inilah makanannya... Roti disapukan dengan MILO dan susu pekat manis. Dulu masa kecil memang makanan kegemaran aku ni. Tapi sekarang bukan lagi makanan kegemaran aku. Dah lama juga tak makan semacam ni. 

Eh... Sekali teringat pula kisah lama. Korang pernah tak makan macam ni? Cer cite.. Cer cite..

Monday, July 11, 2011

BERSIHKAH MAKANAN YANG KITA MAKAN DI RESTORAN?

Zaman sekarang semua orang nak mudah. Itu ini semua nak mudah, begitu juga dengan hal makan. Sekarang tak perlu memasak di rumah, pergi saja ke restoran-restoran berhampiran dan pesan saja apa makanan yang dikehendaki.

Namun apa yang diragukan sama ada restoran yang kita pergi itu bersih atau tidak? Kalau benar di kawasan meja makannya bersih dan indah, bagaimana pula dengan dapurnya? Kakitangan pula bagaimana? Bukan setakat kebersihan saja, moral kakitangan dapur juga perlu diambil berat.

Baru-baru ini kita diperlihatkan tentang moral dan tahap kebersihan makanan yang ditunjukan di You Tube tentang satu restoran makanan segera yang popular. Memang tidak dinafikan bahawa restoran ini memang bersih dari segi zahirnya, namun dari segi batin segelintir kakitangannya amatlah busuk dan menjijikan.

Pemantauan berterusan oleh pengurus adalah perlu bagi memastikan perkara ini tidak berulang. Pastikan kakitangan yang diambil bekerja mempunyai moral yang tinggi. Kakitangan ini pula perlu diberi kursus sahsiah diri dan moral dalam penyediaan makanan bagi memastikan setiap hidangan yang dimasak, adalah bersih dari segi zahir dan batinnya.

Dilampirkan dua video yang jijik ini untuk tatapan bersama. Tepuk dada tanyalah selera.








Friday, September 17, 2010

JEMPUTAN KE RUMAH TERBUKA


Assalamualaikum dan Salam 1 Malaysia kepada semua teman yang mengenali diri aku.

Di sini aku ingin menyemput tuan / puan hadir ke majlis makan-makan sempena Sambutan Hari Raya di rumah aku pada 19 September 2010 (Ahad) bermula dari pukul 1.00 tengahari hingga ke pukul 6.00 petang. Diharap tuan / puan dapat meluangkan masa untuk menghadiri majlis saya ini. Semoga dengan kehadiran tuan / puan dapat memeriahkan majlis ini. Terima kasih.

(P/s: Masuk dari IKS Bukit Katil, terus sahaja nanti jumpa Jalan M14. Berhadapan Taman Merak Mas)