Showing posts with label koleksi pantun. Show all posts
Showing posts with label koleksi pantun. Show all posts

Monday, November 2, 2020

Antologi Pantun : Gunung Daik Bercabang Tiga



Alhamdulillah... Kali pertama dapat menyumbangkan pantun di dalam buku Antologi Pantun Gunung Daik Bercabang Tiga yang terdiri daripada Gabungan Penulis Negeri Melaka.

Berikut merupakan sebanyak 15 pantun yang aku nukilkan untuk dimuatkan di dalam buku ini.

Kuih bingka, kuih keria,
sila diboko di sisi kolam;
negeri Melaka warisan dunia,
masyur seantero pelusuk alam.

Bunga raya dambaan dara,
mari dibuat hiasi taman;
warisan budaya terpelihara,
tatapan umat zaman-berzaman.

Gadis berkebaya berjalan ke pekan,
bertudung litup berona biru;
adat budaya kekal-kekalkan,
acuan hidup keturunan baharu.

Bunga telang dihembus bayu,
dipungut nyonya sambil berpantun;
mana hilang adat Melayu,
dulu bangsanya bersopan santun.

Bukan candat sebarang candat,
candat sotong di hujung tanjung;
bukan adat sebarang adat,
adat dijunjung, agama disanjung.

Kucing belang bermain raga,
raga dibeli di Pantai Puteri;
warisan hilang tidak dijaga,
usah kesali kerakusan sendiri.

Padi segemal bawa ke tanjung,
pohon pulasan mati berangan;
tradisi diamal adat dijunjung,
mekarlah warisan lahir kenangan.

Duri semalu di antara lalang,
daun keladi di pinggir hutan;
adat dahulu mana menghilang,
kini menjadi rindu-rinduan.

Keria disira di Pokok Mangga,
semerbak aroma resepi moyang;
hati gembira tiada terhingga,
melamun irama dondang sayang.

Lurah bukan sebarang lurah,
tempat hijrah kawanan ungka;
sejarah bukan sebarang sejarah,
tanda maruah bangsa merdeka.

Nikmati nasi berlauk lokan,
tinggalkan sisa di sisi gantang;
santapan tradisi usah dilupakan,
bagi dirasa generasi mendatang.

Keluar melukah ke Seri Mersing,
berbekal nasi mudik ke hulu;
gasing pangkah ligat berpusing,
mainan tradisi waktu dahulu.

Bersama teman turun ke lembah,
mengharung paya sesat bertanya;
meskipun zaman makin berubah,
adat budaya abadi selamanya.

Siti Hawa rajin berdandan,
rambutnya ikal ditatap lawa;
selagi nyawa dikandung badan,
tradisi kekal tersemat di jiwa.

Keris bengkok tiada berhulu,
perca kasa berbalut cindai;
jangan ditokok sejarah lalu,
rosak bangsa maruah tergadai.

Nukilan :
Fairus Mamat

Rujukan :
Ahmad Zauawi, AC Jaffrie & Yusof Yatim (pngr.). (2020). Antologi Pantun Gunung Daik Bercabang Tiga. Melaka : Pena Padu Press.

Wednesday, April 29, 2015

KOLEKSI PANTUN UNTUK MAJLIS (BAHAGIAN II)

Assalamualaikum dan salam sejahtera.

Dengan nama ALLAH yang MAHA PEMURAH lagi MAHA MENGASIHANI. Selawat dan salam buat nabi junjungan NABI MUHAMMAD S.A.W.

Sedang mendapat idea untuk mengarang pantun untuk majlis-majlis yang diadakan di jabatan tempat aku bertugas. Biasalah, aku kadang-kadang diperlukan untuk menjadi pengacara majlis, kerana itulah, perlu sentiasa bersedia. Kalau tidak menjadi pengacara majlis sekalipun, aku perlu membantu untuk menyiapkan teks pengacara majlis. 


Majlis yang dimaksudkan kebanyakkan majlis dalaman jabatan sahaja. Kepada sesiapa yang bekenan dengan pantun aku ni, bolehlah ambil. Tidak dikenakan sebarang bayaran pun.. :)

Dulu pernah juga mengarang pantun untuk majlis. Lihat sini >> KLIK <<

PEMBUKA MAJLIS

Samping songket menyelit sundang,
nampak tampan, gagah, berani,
hadir tuan dijemput diundang,
penyeri majlis kami ini.

Bergetar halkum membaca mentera,
merlimau keris dihujung bilah,
assalamualaikum, salam sejahtera,
majlis dibuka dengan bismillah.

BACAAN DOA

Menyulam tekat di Simpang Ampat,
tekat disemat kancing suasa,
tangan diangkat jari dirapat,
mohon restu Allah yang Kuasa.

Menganyam raga di hari Selasa,
raga diisi buah kuini,
doa dipanjat pada yang Esa,
moga dirahmat majlis ini.

MENYAMPAI KATA ALUAN

Sirih puan di atas papan,
pohon pinang jadi rinduan,
hadirlah tuan tampil ke depan,
mohon disampai kata aluan.

Anak Cina bermain petas,
hingar bunyinya ke Tanjung Tuan,
persila tuan naik ke pentas,
ungkaplah kata-kata aluan.

PERASMIAN MAJLIS

Lautan biru berbatu karang,
tempat bermain ikan bilis,
tuan dijemput bukan sembarang,
jemputan khas merasmi majlis.

Tersergam indah Istana Menanti,
kayunya dibawa dari Melaka,
inilah tika saat dinanti,
majlis dirasmi tirai dibuka.

PENUTUP MAJLIS

Bilah parang lagi diasah,
untuk menebas belakang perigi,
adat bertemu ada berpisah,
lain masa berjumpa lagi.

Menanam padi keliling kota,
kota terletak di Lubok Peringgi,
tamatlah sudah majlis kita,
insya-Allah kelak bersua lagi.

Lihat juga >> KOLEKSI PANTUN UNTUK MAJLIS <<

Thursday, March 13, 2014

KOLEKSI PANTUN UNTUK MAJLIS

Assalamualaikum dan Salam Sejahtera.

Dengan nama ALLAH yang MAHA PEMURAH lagi MAHA MENGASIHANI. Selawat dan Salam buat nabi junjungan NABI MUHAMMAD S.A.W.

Aku biasa juga membuat teks pengacara majlis (MC) untuk majlis-majlis di jabatan aku. Antara teks yang pernah aku buat ialah teks untuk majlis perhimpunan pagi jabatan dan juga program-program yang dibuat di bawah kelolaan unit aku.

Dalam membuat teks MC, aku suka menyelitkan pantun-pantun Melayu dalam teks tersebut. Bagi pendapat aku, pantun merupakan secebis kata-kata yang begitu begitu indah, lembut dan sopan. Walhal kalau kita memerli seseorang dalam pantun sekalipun, orang tersebut tidak akan terasa dengannya. 


Oleh kerana kebanyakkan majlis adalah majlis dalaman jabatan aku sendiri, aku lebih suka mencipta pantun-pantun untuk dijadikan teks MC. Berikut merupakan beberapa pantun yang aku cipta untuk majlis-majlis tertentu :

Koleksi Pantun Untuk Majlis (Bahagian 2)

PEMBUKA MAJLIS

Menguntum manis senyuman si dara,
datang teruna ingin bersua,
assalamualaikum mulai bicara,
salam hormat untuk semua.

Mari dimakan sirih puan,
sirih dipetik di Tasek Chini,
selamat datang tuan dan puan,
menjadi penyeri majlis ini.

BACAAN DOA

Buah langsat dicelah pohon,
ambil galah jolok-jolokkan ,
tangan diangkat doa dipohon,
moga Allah dapat restukan.

Membeli pukat di Simpang Ampat,
singgah sebentar di Anjung Batu,
tangan diangkat jari dirapat,
doa dipanjat memohon restu.

MENYAMPAI KATA ALUAN

Pak petani menyabit rumput,
rumput diberi makan ternakan,
jemput bukan sebarang jemput,
jemput menyampai kata aluan.

Masak ranum si buah rambutan,

dimakan sebiji menjadi rinduan, 
hadir tuan dengan jemputan,
mohon diungkap kata aluan,

PERASMIAN MAJLIS

Marilah mari menyorong papan,
papan disorong ke pohon kuini,
marilah tuan mari ke depan,
melafaskan rasmi majlis ini.

Makan nasi di tepi bendang,
bersambal tumis ikan bilis,
datanglah tuan kami mengundang,
tampil ke depan merasmi majlis.

PENUTUP MAJLIS

Mari dipetik sirih puan,
sirih dipetik di tepi perigi,
terima kasih tuan dan puan,
di lain masa berjumpa lagi.

Makan nasi bersayur kailan,
lepas makan terus bersugi,
selamat pulang hadirin sekalian,
ada umur bersua lagi.