Showing posts with label kisah Pulau Nangka. Show all posts
Showing posts with label kisah Pulau Nangka. Show all posts

Sunday, January 14, 2024

Ada Apa di Pulau Nangka?


Pulau Nangka bukanlah sebuah pulau yang terkenal di negara kita. Tiada apa pun yang menarik di sana. Umpama sebuah pulau dara yang tidak berpenghuni, tiada infrastruktur seperti bekalan air bersih dan elektrik. Namun dalam beberapa tahun kebelakangan ini ia mula dikenali.

Pulau Nangka tidak jauh dari daratan. Untuk sampai di sana boleh menaiki bot melalui Jeti Umbai atau Jeti Anjung Batu. Hanya memakan masa antara 10 hingga 15 minit sahaja.


Dalam 10 tahun kebelakangan ini, Pulau ini menjadi sensasi apabila didakwa mempunyai harta peninggalan zaman Kesultanan Melayu Melaka. Malah telah beberapa kali kerja-kerja pencarian harta tersebut dilakukan, namun menemui kegagalan. 

Sebenarnya, kewujudan harta tersebut diketahui sejak tahun 90-an lagi. Kewujudannya menyebabkan Perbadanan Muzium Melaka (PERZIM) diarahkan untuk membeli pulau tersebut pada tahun 1995 daripada sebuah syarikat iaitu Long Chan. Sehingga kini, Pulau Nangka dimiliki 100% oleh PERZIM. 

Kisah kewujudan harta peninggalan Kesultanan Melayu Melaka ini merupakan sebuah kisah yang panjang. Ia bermula apabila Allahyarham Ustaz Dr. Haron Din telah diminta untuk "mengalihkan" makhluk halus yang menduduki Pulau Besar. Dalam proses mengalihkan makhluk tersebut Allahyarham telah menjadikan Pulau Nangka sebagai lokasi kediaman sementara di mana terdapat sebuah pondok didirikan di sana. 

Sepanjang menduduki Pulau Nangka, Allahyarham Ustaz Dr. Haron Din, dengan ilmu yang dimiliki mendakwa bahawa di Pulau Nangka terdapat harta zaman Kesultanan Melayu Melaka yang tersimpan di dalam gua. Walau bagaimanapun, secara mata kasar manusia, gua tersebut tidak kelihatan. 

Tidak hanya dakwaan oleh Allahyarham Ustaz Dr. Haron Din, terdapat beberapa tindakan lanjut yang telah dilakukan termasuk menggunakan peralatan berteknologi tinggi turut merekodkan di beberapa lokasi di Pulau Nangka mempunyai sebuah ruang di bawah tanah dan terdapat kesan-kesan logam didakwa sebagai emas dan harta peninggalan Kesultanan Melayu Melaka. 

Beberapa syarikat pencari harta telah mencuba sedaya upaya untuk mencari harta tersebut namun sehingga kini masih gagal. Walaupun menggunakan kaedah berteknologi tinggi dan peralatan yang moden, ia masih belum dijumpai. Malah pencarian ini kelihatan merosakkan pulau itu sendiri dengan banyak tinggalan lubang - lubang yang digali dan batu-batan yang di gerudi. 

Lantaran kegagalan demi kegagalan setelah beberapa syarikat melaksanakan pencarian, akhirnya PERZIM, selepas tahun 2023 tidak lagi mengeluarkan kebenaran untuk mana-mana pihak untuk mencari harta di Pulau Nangka. 



Kisah Pulau Nangka tidak habis di situ. Pulau ini bersama Pulau Dodol dan Pulau Undan telah digazetkan sebagai Taman Laut pada 4 April 2023. Justeru, di ketiga-tiga lokasi pulau ini tidak dibenarkan sebarang aktiviti penangkapan ikan dan hasil laut.




Antara yang boleh dilakukan adalah aktiviti snorkeling, scuba diving dan lain-lain yang tidak merosakkan karang-karang yang terdapat di pulau-pulau tersebut. Terdapat kajian yang menyatakan bahawa, karang-karang yang terdapat di sini merupakan antara yang menarik di dunia. 


Untuk pergi ke pulau-pulau ini perlu melalui operator yang dilantik. Pengusaha-pengusaha ini menyediakan bot  untuk aktiviti islands hoping dan peralatan-peralatan untuk snorkeling dan scuba diving.

Selain itu, di Pulau Nangka juga boleh diadakan aktiviti jungle trekking. Bentuk muka bumi yang berbukit-bukau dan hutan dara membuatkan ia sangat sesuai ditelusuri. Pelbagai spesis flora yang berusia tua juga boleh didapati di pulau ini. 


Untuk maklumat lanjut untuk tempahan melakukan aktiviti di Taman Laut Melaka boleh kunjungi pautan Taman Laut Melaka

Baca juga :