Showing posts with label kerja. Show all posts
Showing posts with label kerja. Show all posts

Sunday, September 17, 2023

Baliklah Fairus... Dah Malam

Aku penjaga masa.. Waktu bekerja, aku sangat menjaga masa. Tak suka datang lewat kecuali ada hal-hal yang tak dapat dielakkan. Dalam diari seharian aku pun tiada istilah minum pagi jam 10 dan melepak lama di kedai. Kalau nak sarapan pagi, di rumah sahaja atau di kedai sebelum waktu bekerja bermula. Ada kalanya terlajak juga, tapi tidak terlalu lama.

Apabila balik kerja pun sama. Jam 5.00 petang, keluar pejabat dan imbas perakam waktu. Tak suka balik lambat, kerana bagi aku bertugas perlu pada waktu bekerja, selebihnya adalah bersama keluarga. Kita bekerja pun untuk menampung keluarga. Tapi ada kalanya sengaja balik lambat kerana terpaksa menunggu juga untuk ambil anak yang balik sekolah agama jam 6.15 petang.

Ada kalanya hujung minggu pun bekerja juga sekiranya ada program yang perlu diuruskan atau untuk dihadiri. Tak pun diperlukan untuk memantau "anak-anak buah" yang bekerja. 

Beberapa hari ini banyak kerja di pejabat, namun tetap balik jam 5.00. Bagi aku, esok masih ada untuk meneruskan tugasan kerana tidak dikehendaki disiapkan segera.

Namun, Jumaat lalu aku mendapat tugasan yang baru diterima dan perlu diselesaikan segera. Justeru, terpaksa merelakan diri untuk tunggu dan menyiapkan kerja sehingga selesai. Buat kerja seorang sahaja. Syukur tak berapa lama sangat untuk menyiapkan tugasan, selepas Maghrib tugasan pun selesai.

Kebetulan pejabat aku terletak di dalam muzium. Muzium telah ditutup, apabila aku memadamkan lampu pejabat, jadi gelap suasananya. Hanya lampu di luar bangunan yang samar-samar menjadi panduan untuk melangkah, lantas lampu di telefon bimbit dinyalakan. 

Terdapat lampu peti pameran tidak dipadam. Barangkali kakitangan terlupa memadam suis. 


Lama tak balik malam. Rasa seram juga apabila berlalu dari satu ruang ke ruang di dalam muzium. Dengan patung-patung ya lagi. Eh! Jangan buat pasal lah.. 😅


Tuesday, August 1, 2023

Membantu Pelajar PhD dari China Membuat Penyelidikan

Walaupun aku telah bertukar dari Bahagian Penyelidikan dan Dokumentasi ke Bahagian Pengurusan Muzium namun aku masih membantu para penyelidik yang memerlukan bantuan bagi mendapatkan maklumat untuk kajian mereka. Atas tanggungjawab, aku tetap akan membantu kerana bagi aku, apabila kita memudahkan urusan orang lain, Allah SWT akan memudahkan urusan kita, Insya-Allah.

Tak berapa lama dahulu, pernah aku membantu seorang pelajar Sarjana bagi mendapatkan maklumat tentang jumpaan artifak di Pulau Melaka. Aku di temuduga dengan beberapa soalan, aku juga dengan senang hati melayannya dengan baik bahkan memberikan penerangan, memberikan laporan dan gambar-gambar berkaitan di samping mengeluarkan segala artifak yang tersimpan di dalam repositori untuk ditatapi oleh pelajar tersebut bagi tujuan penyelidikan. Apabila hendak mendapatkan informasi lanjut, beliau masih bertanya kepada aku melalui panggilan telefon ataupun aplikasi whatsapp

Apa yang membuat hati aku terharu, selepas beberapa bulan beliau whatsapp  kepada aku meminta izin untuk menamakan aku sebagai penulis bersama (co-writer) bagi penulisan jurnalnya. Alhamdulillah, kecil tapak tangan, nyiru hamba tadahkan.



Hari ini seorang lagi, iaitu pelajar PhD dari China yang belajar di universiti tempatan telah aku santuni. Juga membuat kajian berkisar kepada jumpaan artifak di Pulau Melaka. Aku telah mengeluarkan artifak-artifak dalam simpanan untuk penyelidikan beliau dan turut membawanya ke tapak ekskavasi bagi menunjukkan lokasi artifak-artifak ditemui.

Selesai lawatan ke tapak ekskavasi, beliau mempelawa aku untuk makan tengah hari, namun aku menolaknya dengan baik.

* * * * *

Sebenarnya telah agak lama aku tidak mengemaskini blog. Kehilangannya buah fikiran untuk menulis di samping tugas-tugas yang tiada penghujungnya di pejabat membuatkan aku lelah namun aku tetap suka akan pekerjaan ku.

Aku berusaha menulis semula secara harian sama ada panjang atau ringkas catatan harian ku yang boleh diabadikan untuk rujukan diri aku sendiri pada masa akan datang. 

😎🤘🏼

Monday, November 16, 2015

JANGAN KERJA SEKADAR KERJA!

Assalamualaikum dan slaam sejahtera.

Dengan nama ALLAH yang MAHA PEMURAH lagi MAHA MENGASIHANI. Selawat dan salam buat nabi junjungan NABI MUHAMMAD S.A.W.



Jangan kita mengutuk, memaki mahu pun bergosip yang buruk-buruk tentang majikan atau organisasi tempat kita bekerja. Di situ adalah tempat kita mencari rezeki. Rezeki yang Allah SWT berikan kepada kita.

Dari rezeki itu, kita memperolehi gaji yang banyak membantu kita bermula gaji yang pertama hingga kini. Gaji itulah kita belanjakan untuk membina keluarga, menyara hidup isteri dan anak-anak, membeli rumah, membeli kenderaan dan berbagai-bagai lagi.

Fikirkanlah... Majikan atau organisasi cuma memberikan peluang kepada kita untuk mendapatkan pekerjaan. Kita sendiri sebenarnya yang memohon pekerjaan itu. Mereka tidak minta pun kita bekerja dengan mereka. Kita yang minta!

Jadi, mengapa harus kita tidak suka dengan majikan atau organisasi tempat kita bekerja? Sekiranya memang tidak mampu bekerja lagi di sesuatu majikan atau organisasi, kita boleh angkat kaki dan carilah pekerjaan lain yang boleh memberikan kegembiraan dan kebahagiaan kepada diri kita.

Dan jangan kita jadikan kerja hanya sekadar kerja. Kerjalah dengan penuh kerelaan dan keikhlasan hati. Sekiranya kerja adalah sekadar kerja, beruk pun boleh bekerja dengan menurut arahan tuannya dengan memanjat pokok kelapa. 

Apa kita telah lupa dengan kata-kata indah yang pernah dijawab semasa temuduga dahulu? Semuanya pasti 'ya' dan 'boleh'. tetapi kini, mengapa kita berubah? Disuruh itu, tidak boleh, disuruh ini, banyak alasannya...!

Rasullullah pernah bersabda, "bekerjalah seperti kamu akan hidup 1000 tahun lagi, beribadahlah seperti kamu akan mati esok hari."

Jadi, marilah sama-sama kita fikirkan sama ada pekerjaan kita ini adalah tempat kita beribadah ataupun sebagai tempat kita membuat dosa?

Pesanan untuk diri sendiri dan sahabat-sahabat.

Friday, May 30, 2014

SIBUK TAPI PUAS


Assalamualaikum dan salam sejahtera.

Dengan nama ALLAH yang MAHA PEMURAH lagi MAHA MENGASIHANI. Selawat dan salam buat nabi junjungan NABI MUHAMMAD S.A.W.

Dari awal bulan April hingga ke hari ini, tugasan di pejabat memang teramat sibuk. Kerja yang benar-benar kerja sehingga merasakan tidak cukup masa untuk menyiapkan kerja. Terpaksa datang bertugas walaupun pada hujung minggu.

Urusan kerja yang sibuk ini akan berterusan sehingga ke bulan Jun ini. Selepas itu, aku merasakan akan dapat bernafas seperti biasa.

Kerja seperti pengurus acara. Pelbagai program perlu dilaksanakan. Dari satu ke satu. Dari kos hanya beribu hingga ke berpuluh ribu. Kadangkala stress. Selagi program belum dilaksanakan, selagi itu perasan risau hadir. Bos pula jenis yang mahukan kesempurnaan yang tertinggi. Silap sedikit memang kena hambur.



Namun, aku puas. Puas dengan hasil kerja keras sendiri bersama teman-teman lain. Salah silap boleh diperbaiki. Kena marah, biasalah, bos memang dah perangainya suka marah. 

Ok.. Itu saja luahan.. Jemput like page ni  >> KLIK <<

Monday, September 30, 2013

KUTIP SAMPAH PUN BOLEH DAPAT DUIT


Assalamualaikum dan Salam Sejahtera.

Dengan nama Allah yang Maha Pemurah lagi Maha Mengasihani. Selawat dan Salam buat nabi junjungan Nabi Muhammad S.A.W.

Kita mesti pernah mendengar, "ulat dalam batu pun boleh hidup, inikan pula kita manusia". Ha, biasa dengarkan? Sebenarnya aku ingin merungkai sedikit tentang hal orang kita yang kerap memilih pekerjaan sehingga tidak bekerja dan seolah-olah mahu menunggu kerja yang datang kepadanya.

Satu hari aku terlihat satu status di dalam Facebook di mana sebuah majikan melalui wakilnya mahu mengambil pekerja dengan bayaran gajinya sekian-sekian. Namun, ramai orang kita yang seakan-akan menolak pelawaan itu dengan menyatakan bayarannya murah, kerja berat, gajinya rendah dan bermacam-macam lagi. Pendek cerita, orang kita ni nak kerja ringan tapi bergaji mahal. 

Pernah satu hari aku berborak dengan seorang kenalan yang juga seorang pengumpul dan penjual barangan lama dan barangan yang boleh dikumpul (collectible item). Kami berborak mengenai sikap sesetengah remaja-remaja yang baru tamat persekolahan yang malas untuk mencari kerja. Masih bergantung pada ibu bapa dan amat memilih kerja. Sudah tu, bila tiada duit, asyik merungut tiada duit tetapi pada hakikatnya, dia malas mencari kerja.

Sebenarnya aku amat kagum dengan rakan aku tu. Bermula dari mencari barangan di dalam tong-tong sampah, kini telah berupaya untuk membuka kedai sendiri bagi menjual barang-barang yang boleh dikumpul (collectible item) atau lebih tepat aku gelarkan sebagai barangan hobi. Kalau dilihat di Facebooknya, boleh dikatakan setiap hari ada saja orang membeli barangan yang dijualnya. Sekiranya 1 hari boleh untung RM100.00, satu bulan sudah berapa boleh dapat? Kiralah sendiri.. Kerja pun enjoy saja. Kerja sendiri, sendiri bos sendiri kuli.

Sebenarnya aku memang menggalakkan sekiranya para remaja agak sukar mencari kerja, cubalah menceburi bidang ini. Tidak kisahlah kalau perlu bermula dari bawah walaupun terpaksa mengutip sampah (barang-barang kitar semula) untuk dijual. Yang penting, ada duit untuk berbelanja dan tidak menyusahkan ibu bapa.

Tak semua orang ditakdirkan untuk berjaya di dunia. Tak semua orang ditakdirkan untuk menjadi pegawai, ahli perniagaan atau lain-lain kerja yang mewah. Kalau sudah dapat pekerjaan yang sudah boleh menyara diri dan keluarga, itu sudah cukup baik. Namun, perlu juga terus berusaha untuk memajukan diri.  


Kagum dengan Orang Kelainan Upaya (OKU) yang ada motivasi diri.. Rujukan gambar KLIK

Sunday, November 11, 2012

TIPU MAKAN DIRI


Assalamualaikum dan Salam Sejahtera.
 
Allah itu Maha Adil, dalam sekelip mata sahaja orang yang menipu boleh terkantoi kepada orang yang ditipu.
 
Nak dijadikan cerita, malam semalam saya memberi mesej kepada seorang kakitangan supaya hadir ke suatu program yang perlu dihadiri pada pagi ini. Dia menjawab ringkas dengan menaip "tidak sihat". Itu saja mesejnya. Saya pun tidak peduli sangat, dah memang pun tahu ada saja alasannya.
 
Keesokan harinya saya sendiri yang pergi bersama kakitangan lain yang dapat bersama. Bertolak dari rumah pukul 7.00 pagi, setelah selesai, selepas Maghrib baru tiba di rumah. 
 
Kebetulan pula isteri mengajak saya ke sebuah hotel di mana saudaranya melangsungkan perkahwinan, walaupun penat namun saya tetap pergi juga. Setelah solat Maghrib saya terus bersiap hendak ke kenduri kahwin tersebut. Jarak hotel dengan rumah saya tidaklah jauh, lebih kurang 5 kilometer sahaja.
 
Masuk saja ke dalam dewan hotel, meja-meja sudah dipenuhi para tetamu. Nasib baiklah juga masih ada tempat duduk yang kosong, jadi dapatlah saya sekeluarga duduk.
 
Dalam memerhati tetamu-tetamu di sekeliling, saya terpandanglah seorang kakitangan yang telah memberitahu saya yang dia "tidak sihat" malam kelmarin. Tak pastilah sama ada dia pun perasan saya atau tidak.
 
Saya nampak dia sihat-sihat saja. Makan pun elok saja. Tak nampak langsung macam orang tidak sihat. Dalam hati saya berkata "peghh.. berani lu kencing wa hidup-hidup...". Lepas ini, apa alasan yang dia beri memang saya sukar mahu percaya lagi. Cukuplah saya ditipu.

Entri Tambahan :

:: Kata-Kata FairusMamat ::

 

Friday, March 16, 2012

KATA SPONTAN NO. 6 : TERIMA KASIH





Assalamualaikum dan Salam Sejahtera.

Terima kasih... Sukarkah untuk mengucapkan perkataan ini? Mengapa kita mesti ego dan sukar untuk mengucapkan terima kasih kepada seseorang sedangkan mereka telah memberikan segala yang terbaik untuk kita?

Misalannya, para pekerja telah melaksanakan kerja sehabis baik untuk menaikkan nama organisasi sehinggakan organisasi tersebut mendapat kedudukan yang tinggi. Sebagai majikan, haruslah mengucapkan terima kasih kepada pekerja, kerana merekalah organisasi tersebut mendapat nama. Ini tidak, kerana ego yang besar dalam diri sendiri, majikan menganggap segala apa yang dikecapi adalah atas usaha beliau seorang diri yang pandai menguruskan segalanya.

Sudah-sudahlah tu... Ketepikan ego. Berilah sedikit ruang penghargaan kepada mereka yang layak. Jangan biarkan mereka terus tidak dihargai selama bertahun-tahun.

Ucaplah... Terima kasih.. Terima kasih dan Terima kasih. Bukan susahpun.

Tuesday, February 7, 2012

KATA SPONTAN NO. 4 : BERSYUKUR DAN BUAT KERJA





Assalamualaikum dan Salam Sejahtera.

Hari ini kata spontan yang bermain di fikiran saya ialah :

"Bersyukurlah kepada kita yang telah mempunyai pekerjaan yang tetap. Lebih-lebih lagi yang bekerja di sektor kerajaan yang tetap dan berpencen. Sudah ada kerja, jadinya kita perlu bekerja. Kalau tak minat bekerja, kita perlu melepaskan jawatan untuk diisikan oleh orang lain yang lebih memerlukan kerja.

Lihatlah, sekiranya agensi-agensi kerajaan pusat mahupun negeri yang membuka peluang jawatan, 1 jawatan yang diiklankan, beribu-ribu yang menghantar permohonan. Lihatlah, betapa ramai lagi yang memerlukan pekerjaan di luar sana. Oleh itu, bagi yang sudah bekerja bersyukurlah dan buatlah kerja."

Saturday, January 14, 2012

TIADA BAWAH, ATAS MUNGKIN TIDAK BERJAYA





Assalamualaikum dan Salam Sejahtera.

Dalam sesuatu organisasi tidak kira sektor awam mahupun swasta ada pengubal polisi dan pelaksananya. Di dalam rangka pengurusan, biasanya golongan pelaksana ini adalah lebih ramai dari golongan pengubal polisi, pengurus ataupun ketua. Ketua pula perlu menguruskan ramai orang-orang bawahannya samaada puluhan mahupun ribuan pekerja

Dalam sesuatu oraganisasi, semua orang bekerja. Yang atas bekerja dengan caranya, yang bawah juga dengan bekerja mengikut kehendak atasan. Yang banyak melaksanakan tugas adalah orang bawahan, kerana yang atas hanya membuat sesuatu polisi, aturan, cara kerja manakala yang bawah-bawah inilah yang membuat kerja tak kira siang atau malam, secara bersahaja mahupun tugasan segera. Yang bawahan sentiasa berhempas pulas untuk memuaskan kehendak atasan.

Tapi itu tidak boleh dinafikan kerana yang atasan itu mempunyai ilmu, mempunyai kelulusan dan mungkin organisasi itu mereka yang punya. Jadinya, tidak mengapa, sama-samalah bekerja mengikut arahan yang sepatutnya. Kita perlu menghormati ketua. Sama-sama meningkatkan produktiviti dan nama organisasi.

Namun begitu, seperti yang dikatakan sebentar tadi, yang menghempas pulas bekerja ialah orang bawahan. Jadinya, apa-apa berlaku di dalam organisasi perlu melibatkan nama orang bawahan. Sekiranya organisasi kita cemerlang, organisasi kita dapat anugerah itu, ini, organisasi kita dapat mencapai matlamat, atau lain-lain pencapaian perlulah berterima kasih kepada mereka-mereka di bawah ini. Ya.. Memang benar yang di atas ini yang memacunya, tetapi yang melaksanakan adalah mereka yang di bawah. Mereka di bawah yang ramai-ramai ini.

Ini tidak.. Ego, sombong dengan tidak mahu mengucap terima kasih seperti segala pencapaian yang dikecapi semua adalah hasil usaha dia seorang sahaja yang mengepalai organisasi. Ingatlah-ingatlah yang bawah. Berapa kali saya mahu ulang, yang bawah itu paling ramai dari yang atas, sekali yang bawah goyang mahu tersunggkur yang di atas tu.

Akhir kata, sekiranya kita duduk di atas, jangan sekali-kali ego, sombong dan bongkak. Kalau kita menghina mereka yang di bawah, anda seorang saja yang menghina mereka seorang demi seorang. Sebaliknya yang di bawah ini ramai, mereka beramai-ramai menghina kita pula.

(Ps : Bukan susahpun nak berterima kasih dengan orang bawahan. Tidak kena bayarpun...)

Thursday, June 23, 2011

Wednesday, June 15, 2011

KENA BIASA KEMUDIAN BARULAH MAHIR

Kita hidup di dunia ini tak terus jadi pandai. Kalau yang jadi Doktor, Peguam, Cikgu dan lain-lain semua itu, kena belajar dulu barulah boleh jadi apa yang dikehendakkan. Jangan kata bidang pekerjaan sahaja, tetapi apa-apa saja perlakuan yang hendak kita buat, kenalah biasakan dulu barulah kita akan mahir.

Sepertimana juga dengan mahasiswa yang baru mendapat ijazah dan mahu masuk ke alam pekerjaan, mereka haruslah diberi peluang untuk menunjukan bakat dan kebolehan mereka sendiri oleh bakal majikan, jangan hanya mementingkan pengalaman. Sekiranya semua majikan mementingkan pengalaman, jawapnya semua peluang pekerjaan yang ada merupakan jawatan untuk mereka-mereka yang pernah bekerja yakni mempunyai pengalaman. Namun begitu, ia terpulang juga kepada majikan kerana mereka yang mengeluarkan wang untuk membayar upah pekerja.

Dalam tanggungjawab membesarkan anak pula, kita kena bersungguh-sungguh memberikan pembelajaran kepada mereka. Sekiranya anak kita sudah tahu membuat sesuatu, teruskan ajar mereka sehinggakan mereka biasa dan terus mahir. Misalannya, dalam mengajar anak kita supaya tak perlu membuang air pada "pampers" tetapi hendaklah membuang air di tandas, ia sememangnya bukan tugas yang mudah, tetapi ia sebenarnya memerlukan masa dan pengajaran yang berterusan sehingga mereka benar-benar mahir dan tidak perlukan lagi tunjuk ajar dari kita.

Sebenarnya kisah biasa dan mahir yang dicoretkan ini bukanlah apa, cuma pengalaman dari diri sendiri juga. Baru-baru ni abang aku ada meminjam kereta aku selama seminggu untuk pulang ke kampung isterinya di Johor Bahru. Kereta aku dan abang aku jenis yang berlainan. Kereta dia Proton dan auto. Kereta aku pula Toyota dan manual. Adalah beberapa berbezaan antaranya "wiper" dia sebelah kanan, aku punya kiri. Lampu isyarat dia sebelah kiri, aku punya pulak kanan. Terasa janggal juga masa mula-mula menggunakan kereta abang aku.

Selepas seminggu aku dapat kembali kereta aku. Apa yang terjadi ialah aku sendiri rasa janggal menaiki kereta aku. Nak bagi lampu isyarat tapi terbuka "wiper" pula, bila nak pasang "wiper' terbagi lampu isyarat pula. Dalam masa tu, aku pun berfikir, dalam masa seminggupun aku sudah lupa untuk membawa kereta aku yang sudah bertahun-tahun aku bawa.

Kesimpulannya, kita memang kena biasakan diri pada sesuatu sebelum kita mahir... :)





Thursday, June 2, 2011

ANTIKUITI

Rasanya belum lama aku bertugas di muzium ni, tapi asyik-asyik kena pindah bahagian atau unit. Ni bukan kerana aku bermasalah tau..? Tapi sudah memang polisi big bos tempat aku kerja yang suka rotate-rotate kakitangan. Kalau dulu mula-mula bekerja aku ditempatkan di Unit Pendaftaran. Dalam unit ini aku bermain dengan aset dan artifak. Mana ada aset dan artifak baru masuk, akulah yang mendaftarkannya bersama kakitangan unit aku yang lain. Mencabar jugalah kerja kat unit ni, memang hari-hari ada kerja. Termasuklah kerja-kerja merekod, meyemak, memeriksa aset dan artifak. Lepas setahun lebih, aku ditukar pula ke Bahagian Pemuziuman. Aku kena uruskan hal-hal muzium. Di sini aku kena urus Unit Muzium Istana Kesultanan Melaka. Dalam unit muzium tu pula ada beberapa pecahan muzium lagi. Kiranya semua 5 buah muzium kena diuruskan. Kalau dulu dekat Unit Pendaftaran aku hanya jaga aset dan artifak, sudah masuk Bahagian Pemuziuman ni, kena pula buat event, buat pengisian muzium baru. Kalau pergi Melaka, pergi cari Muzium Pengangkutan. Muzium ni hasil dari air tangan aku. :) Dan sekarang ni, pada 1 Jun lepas aku ditukarkan pulak ke Bahagian Antikuiti iaitu di Unit Konservasi. Makin bertambah-tambah tugaslah kali ni. Mana taknya, dalam unit ni kitorang kena urus tapak-tapak warisan, rumah-rumah tradisional, projek, makam-makam dan banyak lagilah.. Memang tak duduk pejabatlah aku lepas ni. Kena keluar lawat tapak sajalah. Apa-apapun, tak kisah lah big bos aku nak rotate-rotate kakitangan. Akupun harap aku dapat belajar lebih pasal hal-ehwal dalam pengurusan muzium. Lepas-lepas ni tak taulah pulak kat mana aku tercampak... :)

SKIM LATIHAN 1 MALAYSIA : APA KELEBIHANNYA?

1 Jun 2011 yang lepas, Perdana Menteri kita mengumumkan satu skim baru bagi graduan yang belum mendapat pekerjaan iaitu Skim Latihan 1 Malaysia. Skim ini akan bermula dengan ambilan seramai 3000 graduan untuk ditempatkan ke syarikat-syarikat berkaitan kerajaan (GLC). Skim ini juga dilihat bakal memberikan peluang para graduan untuk menimba ilmu dan pengalaman dan seterusnya boleh sebatikan diri dalam alam pekerjaan.

Apakah kelebihan skim ini? Dari pandangan peribadi aku, skim ini sememangnya amat berguna kepada graduan yang menganggur. Bukan apa, aku sendiri pernah mengalaminya. Iyalah, mana-mana syarikat yang kita minta kerja mesti mahukan pengalaman bekerja. Tapi macamana kita mahu mendapat pengalaman sekiranya kita baharu saja tamat pengajian dan baru saja mahu menempuh ke alam pekerjaan. Maka tak hairanlah selepas tamat pengajian di universiti aku pergi mencari pengalaman kerja dulu termasuk kerja kilang, kerja di kedai serbaneka dan sebagainya. Iyalah, daripada duduk menganggur kononnya nak menantikan peluang pekerjaan yang cerah lebih baik kita bekerja apa-apa pekerjaan terlebih dahulu. Dapatlah juga duit belanja dari minta duit mak bapa.

Selain itu, dengan skim ini memungkin para graduan yang menyertai skim ini terus mendapat pekerjaan di syarikat GLC tersebut. Iyalah, manalah tahu, dalam membuat pekerjaan tiba-tiba bos syarikat berkenan dengan cara tugasan kita dan terus ingin mengambil sebagai kakitangan tetap. Manalah tahu. Tuah ayam nampak di kaki, tuah manusia........

Walaupun banyak baiknya skim ini, para graduan yang mendapat mengikuti skim ini perlulah bekerja dengan baik dan sempurna. Anggaplah kita benar-benar bekerja di situ. Buat kerja sehabis baik dan ikhlas. Tunjukkan bakat yang ada dan jangan hanya bertugas sekadar melepaskan batuk di tangga. Semoga semuanya maju jaya.

Don’t bodek-bodek but market yourself. :)




Thursday, March 3, 2011

POLIS, ASKAR DAN BOMBA

Sekali teringat pula pada zaman persekolahan dulu. Semasa di sekolah rendah, pastinya tiap-tiap tahun kita akan menulis cita-cita kita di dalam suatu buku rekod di mana ianya perlu diisi sebanyak 3 cita-cita.

Dulu tak tahu apa-apa, cuma letakkan 3 cita-cita utama iaitu Polis, Askar dan Bomba. Itulah yang aku tulis setiap tahun. Ada pernah satu kali tu, aku ada menulis cita-cita aku untuk bekerja kilang. Iskhh... Apalah bengapnya aku masa tu, sehingga aku digelakkan oleh rakan aku. Bukan apa, aku ni dilahirkan bukanlah dari keluarga yang sangat berjaya dan berada, jadi aku kurang sensitif atau ambil berat terhadap cita-cita aku. Cerita pasal aku tulis cita-cita aku untuk bekerja kilang merupakan perkara yang aku tak boleh lupakan sehingga kini.




Dalam hujung-hujung tahun ke darjah enam, aku dah mula ada kesedaran, mulalah membuat cita-cita baru iaitu arkitek. Untuk jadi arkitek ni kena pandai melukis dan seni orangnya, tapi aku, minat tu ada tapi melukis dan seni tu tak pandai pula.

Lepas tamat UiTM aku dah mula mencari kerja. Tak tau nak kerja apa. Otak masih buntu. Ada juga cita-cita nak jadi guru, tapi banyak kali ambil exam, tak lepas-lepas. Sebelum ni ada juga menjadi guru sandaran, pernah mengajar di 2 buah sekolah. Ingat lagi masa tu, gaji aku sebanyak RM50 ++ sehari. Mak bapak aku pula mengharap aku jadi guru sepertimana Abang Long aku, tapi nak buat camne, jodoh aku sebagai guru tidak kesampaian.

Lepas tu macam-macam kerja jugalah aku buat, dari kedai Sushi King, Seven Eleven, kerja kilang, kerja syarikat berkaitan kerajaan (GLC) sehinggalah sekarang sudah 3 tahun lebih aku bekerja di muzium. Syukurlah.. Rezeki memang ketentuan Allah, kita hanya mampu merancang, akhirnya juga Allah yang menentukan.

Jadinya pesanan aku pada graduan-graduan universiti yang mengganggur di luar sana, jangan mudah putus asa. Terus kuatkan semangat untuk mencari kerja dan terus mencuba apa-apa kerja walaupun ianya bukanlah apa yang kita harapkan. Timbalah pengalaman walaupun sedikit upah yang diberikan. Insyaallah, ada rezeki dikemudian hari. Bersabarlah... Tapi usaha tetap perlu ada.

Wednesday, February 16, 2011

BERHENTI KERJA KERANA MLM

Sekarang kerja bukan senang nak cari. Ramai yang duduk menganggur termasuklah para graduan yang keluar dari universiti. Oleh itu, yang sudah dapat kerja tu, janganlah suka-suka nak berhenti.

Aku cerita pasal kerja ni bukan apa, cuma nak kongsikan sedikit pengalaman seorang kawan aku ni. Dulu dia mempunyai kerja yang agak baik juga, tapi selepas dia terjebak dengan satu perniagaan ala Multi Level Marketing, dia ambil keputusan untuk berhenti kerja untuk terus bersama "perniagaan" barunya itu.


Nak dijadikan cerita, perniagaan dia tu tak kemana-mana. Habis segala rancangan dia hancur. Kesian juga aku dengar cerita mengenai dia. Akhirnya dia mencari kerja semula. Syukurlah dia mendapat kerja semula setelah beberapa bulan tidak bekerja.

Sekiranya kawan aku ni ada terbaca entry ini, aku minta maaf banyak-banyak. Bukan niat untuk mengaibkan, cuma sekadar ingin memberi nasihat dan tauladan kepada yang lain agar tidak terburu-buru mengambil keputusan. Kepada sesiapa yang baru-baru nak berjinak dengan perniagaan MLM atau sebagainya, cubalah kukuhkan diri dahulu sebelum berhenti kerja.




Kalau dah betul-betul kukuh dan boleh berpijak di bumi yang nyata barulah boleh berhenti kerja. Itu pun aku tak galakan.Namun, ini masing-masing punya jalan. Kalau rasa diri tu yakin dan boleh, terpulanglah. Aku hanya mampu memberi nasihat dan pandangan.

Monday, December 27, 2010

PERKARA YANG DIKATAKAN YA SEMASA TEMUDUGA DAN TIDAK SELEPAS DAPAT KERJA

Kalau semasa temuduga untuk mendapatkan pekerjaan, sudah pasti kita menyatakan boleh membuat itu ini. Sebaliknya selepas mendapat kerja, kita mula lupa apa yang kita janjikan semasa ditemuduga dahulu. Antara yang kita mungkiri ialah :

1. Berpindah Lokasi

Masa temuduga - "Boleh.. Sabah, Sarawak pun saya sanggup."

Selepas mendapat kerja - "Saya dah kahwin, takkan nak duduk jauh-jauh dari suami." / "Saya tak mahu ke kawasan pedalaman."

2. Buat Kerja

Masa temuduga - "Saya berkebolehan membuat pelbagai tugas."

Selepas mendapat kerja - "Eh, itu bukan tugas saya. Saya buat tugas saya saja" (padahal dalam senarai tugas ada menyatakan "tugas-tugas lain yang diarahkan dari masa ke semasa")

3. Tepati Masa

Semasa temuduga - "Saya seorang yang pentingkan masa dan saya amat menepati masa."

Selepas mendapat kerja - Datang kerja lewat, ada minum pagi, makan tengahari dan minum petang. Huh, macam-macam makan ada…





4. Integriti

Semasa temuduga - "Saya seorang yang berintegriti. Saya bencikan rasuah."

Selepas mendapat kerja - "Encik, susah nak luluskan projek ni, kalau ada duit kopi senanglah sikit." / "Encik beri sebutharga, nanti saya adjustkan" / "Bro.. Nanti tolong punchkan kad aku.." / "Hello taukey, bagi resit kosong satu."

5. Bos

Semasa temuduga - "Saya seorang yang sangat meenghormati ketua."

Selepas mendapat kerja - "Kau tahu tak bos kita kan pet pot pet pot..." / "macam #*'!?* bos kita tu..."

Moral dari apa yang aku tulis ini... Eh, kita pikirlah sama-sama..

Tuesday, December 21, 2010

PERGI BALIK PERGI BALIK

Tau tak apa maksudnya tu? Sebenarnya, mula dari 20 Disember lepas, pejabat orang rumah aku telah ke MITC@Ayer Keroh Melaka. Bukan apa, kalau dulu aku pergi kerja satu jalan sahaja, tapi sekarang aku kena hantar orang rumah ke Ayer Keroh, then hantar anak kat Lorong Pandan dan pergi kerja kat Bandar Hilir. Huh, berpusing-pusing.

Kalau nak balik pulak, kena ambil orang rumah then pusing balik ke rumah.. Aduhai.. Tak boleh jadik ni. Aku ada sebuah motor, tapi motor tu aku pinjamkan kepada anak buah yang sedang belajar di Kedah.. Tahun depan tahun akhirnya, bolehlah aku pergi kerja dengan rempit pulak..







Wednesday, December 1, 2010

UNTUK APA MASUK UNIVERSITI

Anda mahu masuk universiti? Untuk apa?

Dapat kerja yang baik-baik?

Sorry, bukan tentu. Sekarang ramai yang keluar universiti tak dapat kerja baik-baik. Ada kerja yang sederhana pun dah cukup baik dari terus menganggur.

Dapat awek U?

Awek U lebih suka belajar dari layan budak-budak lelaki yang belum tahu masa depan. Lainlah awek tu pun sama serupa 2 x 5 kaki suka couple-couple.

Nak dapatkan ijazah?

Ijazah kelas berapa? Kelas 3 pun ijazah juga. Susah-susah belajar buat apa, kan ke sekarang ijazah pun boleh dibeli.





Nak dapatkan duit PTPTN?

Orang suruh guna duit untuk belajar, sara diri bukan pergi enjoy dan beli barang yang tak tentu pasal. Nanti kena bayar tu... Pinjam duit kerajaan sekejab je, lepas habis belajar pergi hadap hutang.

Saja ikut kawan apply U?

Huh, kalau kawan minta IKM, ILP, Politeknik pun mesti dia pun apply sama. Saja suka-suka apply.

Untuk menimba ilmu?

Ya, menuntut ilmu. Ramai yang lupa tujuan utama ke universiti. Menuntut ilmu adalah wajib, dan harus ia dijadikan keutamaan. Tak kiralah kita keluar jadi apapun. Ada rezeki, adalah pekerjaan yang bagus nanti. Rezekikan ditentukan oleh Allah. Kalau kita tak dapat kerja yang bagus sekalipun, asalkan kita jadi orang yang berilmu dan ada pekerjaan yang sederhana pun sudah cukup baik

Tuesday, November 30, 2010

SUDAH BEKERJA BUAT KERJA

Pada zaman sekarang mencari kerja bukanlah suatu yang senang. Agak ramai graduan lepasan universiti yang menganggur di luar sana yang dahagakan mendapat pekerjaan. Bagi yang sudah mendapat pekerjaan, buatlah setiap tugasan yang diarahkan dengan sempurna.

Kita sebagai pekerja, perkara utama yang perlu dilakukan ialah bekerja. Kita bukan dibayar gaji untuk duduk lepak sahaja dalam ofis dan cukup bulan cucuk gaji. Harap sikap sedemikian dapat diubah. Bukan apa, demi kebaikan bersama, bukan kebaikan bos kita sahaja.




Sekiranya kita tak berminat nak bekerja atau ingkar dengan arahan pihak yang lebih atas, adalah lebih baik kita letakan jawatan dan beri pada mereka yang betul-betul mahukan pekerjaan dan betul-betul mahu bekerja.